Friday, 30 August 2024

‘Day Trip’ Ke Songkhla, Thailand | Masuk Melalui Pintu Sempadan Padang Besar, Perlis dan Keluar Melalui Pintu Sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah

[Catatan hari Ahad, 25 Ogos 2024]

Tu diaaa…bukan main panjang tajuk entri 😁

Jika hujung minggu sebelumnya, saya dan geng konvoi ke wilayah Satun balik hari (day trip). Hari Ahad lalu kami balik hari ke wilayah Songkhla pula. Sebabnya, salah satu jenis insurans (voluntary insurance - property damage) yang dibeli sah selama 9 hari dengan bayaran RM80. Rugi pulak kalau cuma gunakan sehari je kan, maka kita masuk Thai sekali lagi iaitu pada hari terakhir tempoh sah insurans tersebut.

Cadangan awal - kami nak bertolak hari Sabtu dan bermalam di bandar Hatyai satu malam. Lebih santai dan dapat pergi banyak tempat disekitar wilayah Songkhla. Disebabkan buat keputusan saat akhir, memang susahlah nak dapat hotel dengan bilik yang banyak untuk ahli konvoi seramai 10 orang dewasa. Maka, balik hari sajalah nampaknya.


WILAYAH SONGKHLA, THAILAND
Info ringkas wilayah Songkhla :
  • Songkhla merupakan sebuah wilayah (negeri) yang terletak di selatan Thailand dan bersempadan dengan Malaysia.
  • Nama asal bagi Songkhla adalah Singgora atau Singora yang bermaksud kota singa dalam bahasa Melayu.
  • Bandar Songkhla merupakan ibu negeri bagi wilayah Songkhla.
  • Bandar Padang Besar, Hatyai dan Sadao merupakan antara bandar-bandar di wilayah Songkhla. Bandar Hatyai merupakan bandar terbesar di Songkhla.

‘DAY TRIP’ KE SONGKHLA
Trip kami tidak fokus kepada tarikan di bandar Hatyai, tetapi kami pergi ke beberapa tempat lain di sekitar wilayah Songkhla. Saya tandakan perjalanan kami dan tempat yang sempat kami pergi dalam peta di bawah :

Lokasi kediaman kami di tanda dengan bulatan warna biru.
  • A - Masuk Thailand melalui pintu sempadan Padang Besar, Perlis
  • B - Zoo Songkhla
  • C - Makan di The Seaside Halal
  • D - The Central Mosque of Songkhla
  • E - Central Hatyai (mall)
  • F - Makan di Dannok
  • G - Keluar Thailand melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

MASUK THAILAND MELALUI PINTU SEMPADAN PADANG BESAR, PERLIS
Ini merupakan pengalaman pertama saya melalui pintu sempadan di Padang Besar. Menariknya, Malaysia dan Thailand berkongsi nama tempat yang sama iaitu Padang Besar. Jadinya kalau nak sebut Padang Besar di kawasan sempadan, perlu sebut sekali nama negara supaya tak berlaku salah faham.

Songkhla Thailand
9.53 pagi waktu Malaysia | Pos sempadan Padang Besar, Thailand.
Urusan lancar di pos sempadan Malaysia, tetapi selepas itu kenderaan kami perlu ‘beratur panjang’ dalam keadaan sesak kira-kira 30 minit untuk ke pos sempadan Padang Besar, Thailand.

Prosedur di sini - kenderaan terus sahaja pandu lalu di pos imigresen. Kami (saya, Encik Suami dan seorang rakan lelaki) tak perlu keluar dari kenderaan, hanya hulurkan pasport/pas sempadan dan tunjukkan muka menghala kamera untuk proses imbasan. Tak perlu imbas jari dan tak perlu borang TM6 (white card) seperti pengalaman saya di pos sempadan Wang Prachan tempoh hari. Bayar overtime fee di kaunter ini (baca info overtime fee di entri INI).

Juga tiada pemeriksaan kenderaan. Pegawai kastam arahkan kenderaan parkir di tepi, Encik Suami kemudiannya perlu ke satu pos lain untuk urusan bawa kenderaan masuk Thailand (custom declaration form).

Tetapi, lain ceritanya dengan dua buah lagi kenderaan ahli konvoi kami. Kenderaan A dengan tiga orang penumpang - pegawai imigresen arahkan penumpang semua turun dan buat urusan cop pasport di bangunan passport control. Manakala kenderaan B pula, tidak diarahkan parkir tepi untuk urusan custom declaration form. Jadinya kenderaan B terus keluar meninggalkan pos sempadan dan menunggu kami di tepi jalan.

Songkhla Thailand
Wayar berselirat dan berjatuhan di tanah, pemandangan biasa di Songkhla.
Lokasi kenderaan B menunggu. Sebaik tiba di sini, Encik Suami turun dan maklumkan berkenaan kekeliruan yang berlaku. Apa lagi, terpaksalah kenderaan B berpatah balik. Custom declaration form merupakan dokumen penting dan perlu dikembalikan semasa meninggalkan Thailand.


TANDAS TANPA PAIP AIR DAN SISTEM ‘FLUSH’
Selesai urusan di pos sempadan, konvoi kami berhenti seketika di Stesen Minyak PTT yang terletak tak jauh dari pintu sempadan. Di stesen minyak ini terdapat kemudahan surau, tandas, Cafe Amazon dan 7 Eleven. Kami mengisi perut di sini - beli minuman di Cafe Amazon dan beli burger di 7 Eleven.

Saya rasa kagum tengok tandas di stesen minyak PTT sebab luas, bersih tanpa bau tak menyenangkan dan ada banyak unit tandas. Memang berbeza dengan tandas di stesen minyak negara kita.

Songkhla Thailand
Unit tandas di Stesen Minyak PTT.
Tetapi saya rasa terkejut sebab tandasnya tak ada paip air dan sistem flush 😄. Terdapat kolah mini di tepi tu, mungkin sama macam sistem tangki - air akan masuk apabila paras air berkurangan. Nampaknya lain kali kena bawa portable travel bidet, lebih selesa dan yakin digunakan untuk bersuci.


BANDAR PADANG BESAR
Songkhla Thailand
10.11 pagi waktu Thai | Padang Bezar City
Berkongsi nama yang sama dengan Padang Besar di Malaysia, tetapi di sini ada beberapa versi ejaan iaitu Padang Besa, Padang Bezar dan Padang Basar


BANDAR HATYAI
Kami tiba di bandar Hatyai setelah kira-kira satu jam perjalanan dari bandar Padang Besar. Memang ketara perbezaan suasana kesibukan aliran trafik dan deretan bangunan tinggi di bandar paling besar di Songkhla ini.

Hatyai, Songkhla, Thailand
11.07 pagi waktu Thai | Hatyai

Hatyai, Songkhla, Thailand
Papan tanda arah tempat menarik di Songkhla.


KELUAR THAILAND MELALUI PINTU SEMPADAN BUKIT KAYU HITAM - SADAO
Pintu sempadan di Padang Besar hanya beroperasi sehingga pukul 10 malam (waktu Malaysia), manakala pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam beroperasi sehingga pukul 12 tengah malam (waktu Malaysia)

Memandangkan kami sibuk berjalan sana sini, memang tak sempatlah nak kembali ke pintu sempadan Padang Besar sebelum pukul 10 malam waktu Malaysia. Jadinya, kenalah keluar melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam (Malaysia) - Sadao (Thailand).

Sadao Border Checkpoint, Songkhla, Thailand
10.39 malam waktu Thai | Sadao Border Checkpoint, Songkhla, Thailand.
Kami tiba di sempadan Bukit Kayu Hitam - Sadao kira-kira 30 minit sebelum pos sempadan ditutup pada pukul 12 tengah malam waktu Malaysia.

Tak banyak kenderaan pada ketika ini. Urusan lancar dan pantas - tak perlu berhenti untuk pemeriksaan kenderaan. Untuk urusan cop pasport/pas sempadan - terus saja pandu lalu di pos imigresen, semua orang perlu turun untuk imbasan wajah dan serahkan overtime fee. Kemudian Encik Suami turun menuju ke pos kastam untuk pulangkan custom declaration form. Kegagalan serah kembali borang akan dikenakan denda maksima 10,000 Baht.

InsyaAllah nanti saya akan buat entri berkenaan tempat-tempat yang kami pergi di Songkhla. Banyak sungguh entri yang tertangguh, antaranya catatan trip ke Kuching. Begitulah bila berblog ikut mood 😄







Tuesday, 27 August 2024

Sawi Hidroponik

Hari Jumaat lepas, jiran datang hantar seplastik besar hasil tanaman hidroponik. Sebenarnya di rumah saya pun ada set hidroponik pemberian orang, tapi masih belum digunakan 🤭

Ada dua jenis sawi - sawi hijau dan sawi bunga. Lebar dan segar, seronok tengok 😍

Bahagian bunga sawi saya jadikan hiasan sebab rasa cantik ceria bunga warna kuning.

Saya gunakan LECA balls, iaitu lightweight expanded clay aggregate sebagai medium tanaman. Kemudian letak air tak melebihi permukaan leca balls. Sudah empat hari, bunga sawi masih segar menjadi penyeri meja makan kami.

Sawi bunga ni boleh dimasak dan makan kesemuanya termasuk bahagian bunga. Tapi saya belum pernah lagi masak dengan bunganya.

Alhamdulillah dapat rezeki sayuran segar, semoga Allah mengurniakan rezeki berlipat ganda buat jiran kami yang baik hati berkongsi hasil tanaman hidroponik beliau.







Friday, 23 August 2024

JJCM Satun, Thailand | Krua Tangke, Cafe Amazon & 7-Eleven


Seperti selalunya apabila berjalan ke tempat orang, saya suka melihat ke luar kenderaan memerhatikan suasana kehidupan masyarakat setempat. Majoriti penduduk di Satun merupakan Melayu Muslim, maka tak hairanlah jika kita dapat melihat masjid di kanan dan kiri jalan, juga orang-orang perempuan bertudung.

Sedikit perkongsian sejarah Satun :
Sehingga tahun 1813, Satun atau Setui masih merupakan sebuah mukim dalam negeri Kedah. Akibat perjanjian British dengan Siam pada tahun 1909, British menyerahkan Setui kepada Siam. Bertitik tolak daripada peristiwa bersejarah itu, terpisahlah wilayah-wilayah Melayu di Thailand Selatan dengan negeri-negeri serumpunnya iaitu Kedah, Kelantan, dan Terengganu. Setui yang berasal daripada nama sejenis buah, ditukar kepada Satun. Sama seperti Singgora yang ditukar menjadi Songkhla, Terang menjadi Trang, Jala menjadi Yala, dan Menara menjadi Narathiwat. (Sumber dan bacaan lanjut di thepatriots.asia)


⏵ KRUA TANGKE, TANYONG PO (TANJUNG PAUH)
Memandangkan ini kali pertama kami jalan-jalan cari makan (JJCM) di wilayah Satun, kami ikut saja cadangan mereka yang dah biasa ke sini untuk memilih lokasi makan-makan.

Kami ke Krua Tangke untuk menikmati hidangan tengah hari. Lokasi restoran makanan laut ini terletak kira-kira 56 km dari pintu sempadan Wang Kelian-Wang Prachan. Kami mengambil masa hampir satu jam untuk tiba di sini.

Krua Tangke terletak di tepi pantai.

Restoran ini menghadap Laut Andaman. Jika tengok peta, kedudukannya tidak begitu jauh dari Pulau Langkawi. 

Cantik pemandangan pantai dan lautan di sini. Masa ni air laut semakin surut, dapatlah kami berjalan-jalan dan berfoto di pantai.

Pilih dan sauk sendiri hasil laut segar untuk dimasak, kemudian timbang dan pilih jenis masakan. Antara yang diambil - udang kara (lobster) dengan harga 2,200 Baht/kg (nilai tukaran semasa RM286/kg).

Ahli konvoi kami - 12 orang dewasa dan dua orang kanak-kanak/bayi. Selesa makan ramai-ramai di sini, ruang terbuka yang luas dan kedudukan meja yang agak privasi (berjarak jauh dengan meja lain).

Sementara menunggu hidangan dimasak, kami nikmati homemade ice cream dalam bekas cawan kecil. Saya kongsi makan dengan Encik Suami. Dalam setiap bekas tersedia peket kecil perasa untuk ais krim. Encik Suami main tuang semua, suapan pertama saja dah membuat saya terkejut. Ais krim rasa masam pedas! Rasa masam tu memang sedaplah, tapi rasa pedas tu memang terkejut jugaklah. Orang lain dah tau, tuang sikit-sikit. Kami tak tau, main tuang je 🤣

Tak lama menunggu, satu demi satu hidangan tiba.

Macam-macam ada - ikan kerapu, ikan siakap, udang lipan, udang kara, ketam, sotong dan beberapa jenis lauk sayuran. Semuanya nampak menarik dihidang dengan hiasan dedaun dan bunga telang. Masing-masing berselera makan dan menambah, saya cuma mampu makan sedikit saja. Bukan tak kena selera, tapi saya rasa kenyang pulak lepas tengok makanan terlampau banyak atas meja 😄

Antara produk jualan sampingan di sini - air nira dan belacan. Air jernih dalam botol tu ditulis sebagai coconut flower, rupa-rupanya air nira. Biasa kita tengok air nira tidaklah jernih begini kan? Belacan tu pulak ada dua jenis, satu berwarna gelap dan satu lagi agak cerah. Tak pasti apa bezanya, kami tak tanya lanjut sebab tak membeli. Saya tertarik dengan cara pembungkusan belacan begini - kemas dan menarik untuk dijadikan oleh-oleh.

Krua Tangke - restoran makanan laut yang cukup bersih selesa, hidangan memuaskan selera dan servisnya pantas. Paling seronok, dapat makan sambil disapa hembusan angin laut. Kalau kalian nak ke sini, buat carian Google Maps ‘Krua Tangke Halal Food’.


⏵  MASJID NURUL IHSAN
Selesai acara utama iaitu makan tengah hari di Krua Tangke, konvoi kami berpatah balik menuju ke pintu sempadan negara. Dalam perjalanan, ada beberapa tempat lagi kami singgah.

Kami singgah menunaikan solat jamak Zohor dan Asar di Masjid Nurul Ihsan. Nak baca tulisan Thai tak pandai, syukurlah pandai baca tulisan Jawi bolehlah tahu nama masjid ni.


⏵ CAFE AMAZON
Kami berhenti di sebuah stesen minyak, saya tak ambil pulak info nama stesen minyak. Tapi di sini terdapat pelbagai kemudahan - tandas, surau, Cafe Amazon dan 7-Eleven.

Kami singgah mengopi di sini. Minuman saya white chocolate macchiato, harganya 60 Baht. Masa ni hujan turun membasahi bumi Satun, memang sesuailah menghirup minuman panas sambil berborak.


⏵ 7-ELEVEN
Sesudah mengopi, kami bergerak ke bangunan sebelah yang menempatkan kedai 7-Eleven. Walaupun cuma masuk 7-Eleven, tapi meriah jugaklah acara membeli-belah kami. Nak beli bedak berbincang dulu, nak beli burger pun pakat berbincang jugak 😄

Saya menambah koleksi bedak kecil jenama POND’S. Sebelum ini dah beli satu jenis semasa ke Bangkok, kali ni tambah lagi dua jenis. Senang nak letak satu di rumah, satu dalam beg tangan dan satu lagi dalam beg telekung travel. Saya lebih selesa pakai translucent powder berbanding compact powder.

Beli jugak beberapa jenis burger CP untuk merasa walaupun saya kurang suka makan burger. Saya makan sewaktu di rumah, panaskan guna microwave dalam 20 saat kemudian masukkan sekejap dalam air fryer suhu 160 darjah untuk rasa garing sedikit. Memang sedap, cuma rasa agak masin pada deria saya. Bolehlah sesekali nak merasa.


Alhamdulillah konvoi kami selamat kembali di pintu sempadan Wang Kelian-Wang Prachan pada pukul 5.39 petang waktu Malaysia.







Wednesday, 21 August 2024

Ke Negara Jiran Melalui Pintu Sempadan Wang Kelian-Wang Prachan

[Catatan hari Ahad, 18 Ogos 2024]

Akhirnya, saya berkesempatan ke negara jiran iaitu Thailand melalui jalan darat setelah lebih sembilan bulan menetap di bumi Perlis. Saya dan Encik Suami pergi bersama jiran/rakan sekerja dengan menaiki empat buah kenderaan. 

Terdapat tiga pintu sempadan terdekat - Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis, Bukit Kayu Hitam di Kedah. Kami cuma nak jalan-jalan cari makan di wilayah Satun, jadinya kami perlu melalui pintu sempadan terdekat iaitu di Wang Kelian.

Persediaan sebelum masuk ke Thailand melalui jalan darat, secara ringkasnya :
  • beli insurans untuk bawa masuk kenderaan —> kami buat melalui ejen, kecuali insurans Ext. 101 perlu hubungi ejen insurans kenderaan kita.
  • isi borang TM2 (borang maklumat kenderaan), TM3 (borang senarai penumpang kenderaan) dan TM6 (white card - borang masuk/keluar Thailand) —> ejen isikan, sekali dengan buat insurans.
  • tukar duit Thai Baht (THB) —> kami tukar di Padang Besar dengan kadar tukaran THB1,000 = RM128.75

Wang Prachan Boundary Post
Wang Prachan Boundary Post | 10.50 pagi waktu Malaysia.
Kami parkir kenderaan di tepi untuk selesaikan urusan bawa masuk kenderaan dan cop pasport. Tiada bayaran tambahan diminta sewaktu cop pasport (tidak seperti pengalaman saya sewaktu melalui pintu sempadan masuk ke Betong, Thailand suatu ketika dahulu).

Tetapi rupa-rupanya setiap kenderaan perlu bayar overtime fee, Encik Suami perlu bayar 40 Baht semasa masuk dan 45 Baht semasa keluar. Berbeza kadar sebab masa masuk kami naik bertiga, baliknya tambah lagi seorang penumpang (pergi naik kenderaan lain, balik naik dengan kami).

Saya copy & paste info berkenaan overtime fee yang diambil dari laman riderchris.com :

Overtime Timing

You are ONLY required to pay the Overtime fee when you cross into Thailand Between the time below (add 1 hour if you’re using Malaysian time).

05:00-08:30
12:00-13:00
16:30-23:00
All-day on Weekends
All-day on Malaysia & Thailand Public Holiday(s)
 

IMPORTANT: If you are crossing into Thai other than the time stated above, it is FREE. I’ve crossed into Thai during working hours at 1430 on a weekday using my motorcycle and I didn’t have to pay anything! Also, the fee only applies to those who are driving their vehicle into Thai. If you’re on a public bus/walk-in, you are NOT required to pay any fee regardless of the time.

Fee Pricing
For Motorcycle: If you ride alone, you will need to pay THB10 and an additional THB3 if you have a passenger.

For Car: If you drive alone, you will need to pay THB25 and an additional THB5 per passenger.


Wang Prachan, Satun, Thailand
Wang Prachan, Satun, Thailand | 10.05 pagi waktu Thai.
Beginilah suasana selepas kita melewati pos sempadan Wang Prachan, meriah dengan gerai jualan di kanan dan kiri jalan. Saya pernah berada di sini pada tahun 2012, sewaktu terdapatnya kemudahan free flow untuk rakyat Thailand dan Malaysia - baca catatannya DI SINI.

Chalung, Satun, Thailand
Chalung, Satun, Thailand | 10.34 pagi waktu Thai.
Suasana jalan raya di pekan Chalung. Tidak begitu sesak. Wayar elektrik di sini juga tidak berselirat seperti yang saya lihat di Betong dan Bangkok.

Perjalanan kali ini, saya duduk di tempat duduk belakang. Rasa sedikit janggal sebab tak dapat melihat pemandangan luas di depan.

Perjalanan kami diteruskan menuju ke bahagian pantai tanpa panduan GPS, kami ikut saja kenderaan jiran/rakan sekerja Encik Suami yang dah biasa ke sini. Mereka semua pemegang Pas Sempadan (buku warna biru muda), kecuali kami berdua dan seorang lagi masuk menggunakan Pasport Malaysia Antarabangsa (buku warna merah).







Monday, 19 August 2024

Kupi Kahfi @ Bukit Tau Adventure Park, Kangar

[Catatan hari Sabtu, 17 Ogos 2024]

Kupi Kahfi terletak di Bukit Tau Adventure Park, Kampung Padang Lati, Beseri, Kangar, Perlis. Jaraknya kira-kira 14 km dari rumah saya. Tak begitu jauh, tapi baru kali ini saya dan Encik Suami berkesempatan ke lokasi yang menawarkan suasana mengopi di dalam sebuah gua.

Kupi Kahfi @ Bukit Tau Adventure Park, Beseri
Bukit Pau - di sinilah terletaknya kafe Kupi Kahfi. Kahfi (bahasa Arab) bermaksud gua. Kami tiba di sini menghampiri pukul 6 petang.

Kupi Kahfi @ Bukit Tau Adventure Park, Beseri
Pandangan keseluruhan luar gua.

Kupi Kahfi @ Bukit Tau Adventure Park, Beseri
Terdapat dua buah gerai menjual makanan di hadapan gua. Antara pilihan makanan yang ditawarkan - set ramen, jagung manis, kerabu maggi dan pilihan roti bakar. Pengunjung boleh membuat pesanan makanan di sini dan terus buat bayaran, dah siap nanti akan dihantar ke meja kita.

Kupi Kahfi @ Bukit Tau Adventure Park, Beseri
Gerai kopi pula terletak betul-betul di depan pintu gua (sila klik foto untuk paparan lebih jelas). Di bahagian depan ini juga terdapat sebuah buaian. Ramai yang cuba berbuai dan merakam foto memori di sini.

Kupi Kahfi @ Bukit Tau Adventure Park, Beseri
Terdapat pilihan tempat duduk di luar pada kedudukan sedikit jauh dari pintu gua.

Kupi Kahfi @ Bukit Tau Adventure Park, Beseri
Beginilah suasana kafe di dalam gua. Boleh pilih nak duduk di hadapan/pintu gua atau duduk betul-betul di dalam gua. Kami memilih tempat duduk di dalam gua bagi merasai sendiri pengalaman mengopi dalam gua.

Kupi Kahfi @ Bukit Tau Adventure Park, Beseri
Suasana tempat duduk di dalam gua. Foto dirakam dari sudut dalam gua. Walaupun tanpa kipas, ruangan dalam gua ini memang terasa nyaman berangin. Ini kerana terdapat aliran pengudaraan yang baik dan berangin dari lima buah pintu gua di sini. Berkenaan bau najis kelawar, saya tak mengesan sebarang bau yang tak sedap di ruangan ini.

Kupi Kahfi @ Bukit Tau Adventure Park, Beseri
Terdapat juga pilihan tempat duduk di bahagian lain sudut gua. Tiada pengunjung duduk di sini. Saya dapati bau najis kelawar agak kuat di ruangan ini.

Kupi Kahfi @ Bukit Tau Adventure Park, Beseri
Salah satu dari lima pintu gua yang terdapat di sini. Maha hebat Allah dalam penciptaan-Nya, setiap gua yang pernah saya kunjungi mempunyai keunikan tersendiri. Nampak gua semua macam sama je, tetapi sebenarnya berbeza.

Kupi Kahfi @ Bukit Tau Adventure Park, Beseri
Hiasan di dinding gua. Boleh baca ayat bertulisan Jawi di atas? 😁

Kupi Kahfi @ Bukit Tau Adventure Park, Beseri
Makanan pilihan kami - roti titab RM5.50 dan kerabu maggi RM8. Minuman kami beli satu je - caramel macchiato RM10.

Jika sebelum ini saya masuk gua kerana melakukan aktiviti eksplorasi, kali ini saya masuk gua untuk mengopi 😄. Sebenarnya bukanlah nak ngopi atau makan-makan, tetapi lebih kepada nak merasai sendiri suasana kafe dalam gua. Memang satu pengalaman yang unik!

Bagi kalian yang tak pernah masuk gua atau fobia ruangan sempit seperti gua, mungkin boleh cuba ke kafe Kupi Kahfi. Ini kerana keadaan gua di sini tidaklah sempit dan gelap. Bolehlah bersantai mengopi sambil memerhati persekitaran gua. Tetapi kalau jenis geli/takut labah-labah (tempat duduk saya berhampiran dengan sarang labah-labah di dinding gua), saya sarankan pilihlah tempat duduk di luar gua.

Kupi Kahfi tidak menawarkan pilihan makanan yang pelbagai bagi menjaga kebersihan persekitaran dan di dalam gua. Jadi kalau kalian datang sebab nak makan beria, ini bukan tempatnya ya. Kupi Kahfi untuk kita menikmati keindahan gua batu kapur dengan cara santai sambil menikmati hidangan ringan.


***********************************************

KUPI KAHFI
Bukit Tau, Kampung Padang Lati,
Mukim Beseri, Kangar,
Perlis.

Google Maps | Kupi Kahfi @ Bukit Tau Adventure Park

Waktu operasi :
Isnin - Khamis | 10.30 pagi - 7 malam
Sabtu - Ahad | 8.30 pagi - 7 malam
Cuti | Jumaat







Thursday, 15 August 2024

Serangan Monyet Agresif dan Menunggu Bot Yang Tidak Kunjung Tiba



Sebaik keluar dari bilik penginapan, kelihatan sekumpulan babi berjanggut (bearded pig) sedang berkeliaran mencari makan di kawasan sekitar. Ada yang bersaiz besar dan ada yang bersaiz kecil. Pemandangan biasa di sini.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Masa ni kami sedang berjalan menuju ke bangunan warna hijau untuk urusan daftar keluar. Terpaksa lalu dekat beberapa ekor babi yang sedang mencari makan berhampiran laluan pejalan kaki. Hapak sungguh baunya.

Selesai urusan daftar keluar, kami berjalan ke jeti untuk menaiki bot kembali ke Terminal Bako. Semalam Encik Suami dah maklumkan kepada pengendali bot untuk ambil kami pada pukul 11 pagi. Bila tiba di jeti, pengendali bot maklumkan akan tiba lewat sedikit. Oklah.

Sementara menunggu, saya jalan-jalan memotret itu ini. Masa kami tiba semalam dalam keadaan hujan dan mendung, foto-foto jadi gelap dan tak menarik. Kali ini cuaca agak cerah, memang elok untuk merakam keindahan suasana di sini.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Foto di atas merupakan sudut pandang dari jeti menghadap sungai (tempat laluan bot keluar/masuk) dan sebuah jambatan konkrit menuju ke laluan hutan.

Perhatikan paras air sungai yang tidak begitu tinggi, tetapi masih sesuai untuk laluan bot membawa pengunjung keluar/masuk. Jika paras air surut, pengunjung perlu naik/turun bot di kawasan pantai berhadapan dengan bangunan Park HQ. Tiada jeti, jadinya kita kena melangkah masuk dalam air. 

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
MasyaAllah 😍 Panorama indah lautan dan Gunung Santubong. Foto dirakam dari atas jambatan.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Sebelah kiri tu jeti tempat kami menunggu bot. Masa ni cuma kami berdua sahaja yang sedang menunggu bot.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Deretan bot tanpa pengendali bersusun di sudut sungai.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Detik masa terus berlalu dan bot yang ditunggu masih tak kunjung tiba. Tetapi yang tak ditunggu pula muncul di jeti - sekumpulan monyet. Mulanya cuma beberapa ekor monyet, datang memanjat pokok dan berjalan di jambatan. Tak ganggu kami.

Tiba-tiba, datang seekor monyet menghampiri tempat duduk kami. Saya bangun dari tempat duduk sebab dah mula rasa agak takut. Monyet tersebut semakin berani, duduk di tepi backpack besar kami. Encik Suami cuba menghalau tapi nampaknya monyet yang satu ni jenis melawan - berbunyi sambil membuka luas mulutnya dan menampakkan taring gigi. Ahh…sudah!

Si monyet bertindak lebih agresif, tangannya membuka zip bahagian utama backpack. Tapi gagal, mungkin sebab beg kami padat jadi sukar nak dibuka zipnya. Tak putus asa, si monyet cuba buka zip bahagian depan beg pula. Berjaya! Segera ditarik keluar isi beg - pek bungkusan kacang tanah yang kami beli sewaktu menaiki pesawat Firefly. 

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Terus dibawa lari ke atas.

Inilah si monyet yang agresif tu. Mujur kami dah makan sebahagian, cuma tinggal sebahagian saja lagi pek kecil kacang tanah yang menjadi rezeki si monyet. Satu persatu pek bungkusan kosong dicampak ke bawah.

Tak lama kemudian, datang pasangan mat salih. Lega sikit perasaan saya sebab ada orang lain di jeti. Kami berbual ringkas berkenaan hal si monyet.

Si monyet belum habis makan, datang pula sekumpulan monyet lain. Keadaan jadi ribut, masing-masing berebut baki bungkusan kacang tersebut. Mulanya berkejaran di atas, kemudian turun bergaduh sampai masuk kawasan berair - masa ni terselit jugak rasa lucu melihat monyet dalam keadaan basah.

Saya fikir, lepas habis makanan tersebut tidaklah kami diganggu lagi. Rupa-rupanya keadaan jadi bertambah menakutkan - kumpulan monyet tadi menghampiri dan berada di sekeliling kami berdua dan pasangan mat salih tadi. Nampaknya monyet-monyet ini cuba nak dapatkan makanan dari beg-beg kami. Suasana agak tegang, tapi tak mampu nak berbuat apa cuma berdoa segalanya segera berakhir. 

Mujurlah ada sebuah bot tiba. Saya sangkakan pengendali bot kami, tapi nampaknya ia bot yang akan membawa pasangan mat salih. Kecewa dan rasa geram dengan pengendali bot kami yang tidak kunjung tiba. Dalam keadaan terdesak kerana takut dengan ancaman monyet yang masih tak berganjak, saya minta dengan pakcik pengendali bot untuk naik bot sekali. Tapi katanya dia tak boleh izinkan sebab bot sudah dibayar khas untuk pasangan mat salih ni. Iyalah, sama macam kami dah bayar bot untuk berdua tapi botnya tak muncul. Pakcik pengendali bot kata, lelaki muda pengendali bot kami tadinya dilihat ada sedang minum di terminal. Jadinya tak pasti kenapa dia tak bergerak ambil kami seperti dijanjikan.

Memahami situasi kami, pasangan mat salih tadi ajak kami naik sekali. Sebaik saja saya naik bot, lelaki mat salih kata kepada saya “YOU’RE SAFE!”. Berkali-kali saya ucapkan terima kasih kepada mereka berdua. Terima kasih Allah yang telah membantu kami. Fuh lega!

Sampai saja di jeti Terminal Bako dan keluar dari bot, Encik Suami hulurkan wang nilai tambang bot kami kepada mereka. Kadar tambang RM100 satu bot sehala, kami naik empat orang jadinya RM25 seorang. Selepas itu Encik Suami terus ke kaunter syarikat bot untuk minta refund kerana bot tidak muncul selepas 45 minit dari masa dijanjikan, juga kami terpaksa naik bot lain bagi menyelamatkan diri dari serangan monyet.

Kami diminta menunggu seketika, staf kaunter sedang cuba menghubungi pengendali bot bagi mendapatkan kepastian. Sementara itu, kami duduk makan di sebuah gerai di terminal. Alhamdulillah sedap mi goreng ni, bagai mengubat perasaan saya yang baru terlepas dari dua hal yang tidak menyenangkan tadi.

Alhamdulillah, staf kaunter kembalikan wang kami sebanyak RM100. Tadi dah bayar RM50 kepada pasangan mat salih, jadinya kami jimat RM50 bagi tambang bot balik.

Antara hikmah yang diperolehi disebabkan dua hal tadi - kami dapat penjimatan RM50 tambang bot balik dan kami dapat pengalaman berhadapan dengan monyet agresif (menjadikan kami akan lebih berhati-hati selepas ini). Menerima kebaikan orang (pasangan mat salih) juga membuatkan saya sedar bahawa hidup perlu saling berbuat baik tak mengira bangsa dan agama. Bukanlah selama ini tak sedar, tapi berbeza rasa sedar apabila kita sendiri mengalami sesuatu peristiwa.

Catatan trip ke Taman Negara Bako, Kuching, Sarawak berakhir di sini. Serik? Oh tidak! Setiap yang berlaku menjadi pengalaman hidup buat mematangkan diri dan menjadikan kita manusia yang lebih baik insyaAllah. Keindahan alam dan kepelbagaian flora fauna di Taman Negara Bako begitu mengujakan! InsyaAllah ada rezeki saya akan kembali lagi, masih banyak laluan hutan yang belum sempat kami teroka dan nikmati suasananya.



Ke mana kami selepas ini? Kereta sewa kami dipandu menuju ke daerah Bau. Eksplorasi alam semula jadi Sarawak diteruskan.







Wednesday, 14 August 2024

Eksplorasi Hutan TNB | Laluan Teluk Delima



Sewaktu kunjungan kami ke Taman Negara Bako, terdapat tujuh laluan hutan (trail) yang dibuka kepada pengunjung (rujuk foto peta laluan hutan DI SINI) . Semalam petang kami sudah pun melakukan eksplorasi hutan laluan Teluk Pandan Besar, pagi ini kami memilih untuk ke Teluk Delima pula. Kami memilih laluan Teluk Delima disebabkan tempoh perjalanannya paling singkat. Kami tak boleh ambil masa lama sebab perlu daftar keluar penginapan selewat-lewatnya pukul 11 pagi dan sudah berjanji dengan orang bot untuk datang ambil kami.

Teluk Delima trail
Berbeza dengan laluan semalam (Teluk Pandan Besar) yang mana kami perlu menyeberangi sungai di jeti taman negara, laluan Teluk Delima terletak di bahagian belakang kawasan penginapan. Kami hanya perlu berjalan di atas platform kayu melewati kawasan penginapan sehingga masuk ke kawasan hutan.

Durian hantu Taman Negara Bako
Buah durian hantu.
Antara tumbuhan yang kami temui di kawasan hutan - pokok durian hantu. Bukan ‘hantu durian’ tau, itu lain. Ini memang namanya pokok durian hantu (nama saintifik : Coelostegia borneensis). Saya dimaklumkan, durian jenis ini tak boleh dimakan kerana tak ada isi. Maka sebab itu ia dipanggil durian hantu.

Tiba di suatu tempat, perjalanan kami terhenti. Bukan kami sahaja, tetapi para pengunjung lain semuanya berhenti. Rupa-rupanya ada sekumpulan monyet sedang menghalang laluan. Saya berbual ringkas dengan seorang pengunjung tempatan yang berada di hadapan saya. Menurutnya, guide mereka minta berhenti sebab kumpulan monyet tersebut agak agresif - bimbang menggigit dan berpotensi menyebarkan virus rabies yang boleh membawa maut.


LALUAN TELUK DELIMA
Permulaan laluan Teluk Delima terletak di sebelah kanan. Terdapat papan tanda arah tertera Teluk Delima dan Lintang, maksudnya bagi sesiapa yang nak ke Teluk Delima dan Lintang akan melalui laluan permulaan yang sama.

Teluk Delima trail
Permulaan laluan yang agak mencabar kerana perlu mendaki dengan memijak akar pokok yang berselirat di tanah. Cantik pula saya tengok rupa akar berselirat begini.

Teluk Delima trail
Warna dedaun di lantai hutan yang menarik perhatian saya.

Teluk Delima trail
Matahari pagi memancar lembut menerusi celahan pokok.

Teluk Delima trail
Kami tiba di satu persimpangan - ke kanan menuju laluan Teluk Delima, ke kiri menuju laluan Lintang. Perhatikan juga warna penanda arah, satu warna merah dan satu lagi warna biru putih. Sebelum tiba di simpang ini, pengunjung hanya nampak tanda warna merah (trail Lintang). Selepas ini barulah fokus melihat warna tanda arah biru putih (trail Teluk Delima).

Teluk Delima trail
Pantang jumpa batang pokok tumbang melintang di laluan, mesti rasa nak berhenti duduk 😄

Teluk Delima trail
Batu besar menambah keunikan laluan hutan di sini.

Kami tiba di penghujung laluan. Hati-hati, ada buaya! Terus mata saya melilau perhati sekeliling.

Teluk Delima Taman Negara Bako
Pemandangan unik pokok-pokok di Teluk Delima.

Teluk Delima Taman Negara Bako
Memikirkan amaran buaya, tak berani saya nak berjalan ke hujung sana. Cukuplah memerhati dari jauh.

Teluk Delima Taman Negara Bako
Batu besar dengan bentuk unik.

Kami berada di sini cuma seketika. Kami segera berpatah balik sebab mengejar masa. Berdasarkan info, laluan Teluk Delima merupakan kawasan pemerhatian monyet belanda. Tapi kami gagal mengesan kelibat monyet belanda sepanjang berada di laluan Teluk Delima. Mujurlah tadi pagi dah berpeluang tengok dengan jelas, taklah rasa kecewa.

Teluk Delima Taman Negara Bako
Rekod aktiviti jungle trekking ke Teluk Delima.

Alhamdulillah dapat juga kami melakukan aktiviti eksplorasi hutan sebelum beredar dari Taman Negara Bako. Laluan Teluk Delima tak begitu sukar seperti laluan Teluk Pandan Besar atas faktor bentuk muka bumi dan jarak, tetapi ada cabarannya tersendiri.

Keluar dari hutan, kami balik ke bilik penginapan - bersihkan diri dan kemas barang untuk mendaftar keluar. Kemudian kami berjalan menuju ke jeti untuk menaiki bot kembali ke Terminal Bako.

Masa nak balik ni, terjadi dua hal yang tak menyenangkan. InsyaAllah catatannya di entri akan datang.