Saturday, 30 March 2013

Buah Tangan : Toblerone


Harini jiran buat majlis kahwin untuk anak perempuannya.
Dapatlah buah tangan coklat Toblerone, satu dah makan tinggal lagi dua.
Baru sekali ni jumpa orang bagi coklat Toblerone sebagai buah tangan majlis kahwin.
Ringkas, sedap, hampir pasti takde yang buang.
Tapi kos lebihlah kan...

Untuk majlis kahwin adik saya hujung minggu lalu, 
kami bagi air kotak dan sebungkus kecil biskut Lee.
Dan untuk saudara dekat ada tambahan nasi berlauk (biasa sebut 'BERKAT').
Biskut Choco Chips keluaran Lee tu jadi pilihan sebab kilangnya dekat dengan rumah mak.


Thursday, 28 March 2013

Yang Terakhir

Lokasi 'outdoor photoshoot' : Pantai Rambah, Pontian, Johor.

Alhamdulillah...terasa sangat lega. Majlis perkahwinan adik bongsu saya dah pun selamat berlangsung pada hari Ahad lalu. Nikah dan kenduri pada hari yang sama. Sebelum tu, saya mohon maaf ya sebab tak menjemput korang. Kalau ni majlis saya senanglah nak menjemput semua. Saya cuma menjemput Kak Zakie sebab rumah orang tua kami tak berapa jauh, sayangnya Kak Zakie tak dapat hadir. 

Untuk majlis perkahwinan yang terakhir ni, saya yang jadi jurugambar. Memang nampak pelik sebab saya jurugambar tanpa kamera DSLR. Selain boleh jimat kos, ada beberapa lagi alasan lain kenapa saya yang diminta untuk jadi jurugambar. Cuma kalau dengan saya, memang takdelah gambar dengan gaya-gaya yang tak sesuai untuk tontonan umum tu.  


p/s: Cuma jadi jurugambar je pun boleh sakit kaki tau, letih punya pasal harini baru nak update blog.

Friday, 22 March 2013

Tak Malu? Buatlah!


Daripada Abi Mas'ud, Uqbah bin 'Amr al-Anshari al-Badri r.a. berkata,
bahawa Rasulullah salallahu 'alayhi wa sallam bersabda:

Maksudnya:
 "Sesungguhnya sebahagian daripada apa yang telah dikenali orang daripada ungkapan kenabian yang pertama adalah: Jika engkau tidak malu, berbuatlah sekehendakmu."

[hadis Riwayat al-Bukhari, Abu Daud]


  • Hadis ini BUKAN PERINTAH yang menyuruh kita berbuat sesuka hati ya.
  • Tetapi ia adalah ANCAMAN dan PERINGATAN KERAS bagi kita/mereka yang telah TAHU apa yang harus dijalankan dan apa yang harus ditinggalkan.
  • Malu itu sebahagian daripada iman. Tanpanya, hilanglah kebaikan dalam diri seseorang.
  • Adanya sifat MALU mendorong kita melakukan banyak perkara baik.
  • Adanya sifat MALU menjauhkan kita melakukan perkara yang mungkar/tidak baik.
[sumber rujukan: Hadis 40 Imam Nawawi]


*Malulah kepada Allah yang telah menciptakan kita, yang telah memberi segala nikmat hidup. Tunduk dan patuhlah kita pada suruhan dan larangan-Nya*

Wednesday, 20 March 2013

Cerita Upah Jahit Baju

Dalam entri lepas saya ada cerita pasal kain bahan sedondon untuk majlis kahwin adik saya. Punyalah susah nak cari kedai jahit yang ada tukang ukur badan, empat buah kedai saya pergi semua mintak baju contoh. Saya pulak memang nak ukur badan jugak, sebab baju kurung yang ada semua dah tak berapa sedap dipakai (akibat badan yang makin naik).

Rupanya ada hikmah saya tak dapat tempah baju di kedai-kedai tersebut, sebab semuanya caj RM50 untuk upah menjahit baju kurung biasa. Kedai seterusnya saya pergi barulah ada tukang ukur dan upah menjahit cuma RM38 je. Terkejut jugak dengan harganya, walau ada kedai tapi tetap tak caj melampau. Orangnya pun peramah dan mesra. 

Kelmarin dah siap baju kurung tu, dan hasilnya memuaskan. Alhamdulillah...dan moga murah rezeki akak tu sebab tak caj mahal macam kedai lain.

Kalau kat kampung saya, upahnya cuma RM25. Kat kampung mertua lagi murah, RM20 je. Tapi semua takde kedailah. Cuma menjahit dari rumah. Biasa memang tempah baju kat kampung sebab murah, tapi kali ni terpaksa sebab hari majlis dah makin dekat. Dan yang benarnya saya jarang menempah baju kurung, tak keluar bekerja buat apa pulak baju kurung banyak-banyak kan..

Berapa upah baju kurung biasa kat tempat korang? Soalan ni bukan untuk cik Eita ya, sebab dia memang pakar jahit menjahit ni. ^__^


Tuesday, 19 March 2013

Kerana RM1,000

"Harap-haraplah BN menang, boleh dapat RM1,000 tahun depan."

"Nak dapat RM1,000, kena undi BN lah."


Lebih kurang begitu kata-kata yang saya dengar. Mereka, orang-orang kampung menjadi teruja dengan janji wang RM1,000 itu. Berdasarkan pemerhatian singkat saya sewaktu balik kampung tempohari, saya hampir pasti BN telah berjaya memenangi hati orang-orang kampung. Yang majoritinya warga emas. 

Saya tidak menyalahkan apa yang mereka fikir - undi BN, tahun depan dapat BR1M sebanyak RM1,000!. Kerana tahap pemahaman, pendedahan dan keperluan mereka yang membuahkan pemikiran begitu. Dan saya sendiri tidak berminat untuk memberi 'ceramah' kepada mereka mengenai cukai, harga minyak, subsidi gula atau menjelaskan apa itu tanggungjawab sebuah kerajaan terhadap rakyatnya. Saya malas mahu memanjangkan cerita politik. Biarlah mereka dengan undi mereka, dan saya dengan undi saya!


p/s: Penulisan ini sekadar mahu bercerita realiti yang saya lihat, bukan satu kempen untuk menjatuhkan mana-mana pihak.

Monday, 18 March 2013

Tanpa Tajuk

Rasa lama je tinggalkan aktiviti blogging. Update terakhir pada hari Rabu lalu. Sebab Khamis dah bergerak ke selatan- Johor. Ada pelbagai urusan di sana.



Hari Khamis berada di Johor Bahru. Menginap satu malam kat Tune Hotel, Danga Bay. Malam tu merayau kawasan sekitar, jumpa kapal yang meriah dengan lampu ni. Saya tak tahu ni tempat apa, tapi tertera tulisan 'Danga Cruise 8'. Berhampiran situ pulak ada macam Theme Park. Cuma ambil gambar kapal ni dan beredar. 

Masa di JB ni terasa asing sungguh, padahal kat negeri asal saya dan suami. Letih sebab asyik sesat dan lalu jalan yang sama. Inilah kesannya kalau dah terlalu lama merantau negeri orang, sampai tak sempat explore negeri sendiri.



Hari Jumaat tu balik Pontian pulak, kampung saya. Malamnya ada kenduri sikit, jemput jiran terdekat dan orang masjid. Makanan ditempah dan hidang cara buffet. Jadinya tak penat sangat, tapi 'penat' berborak dengan ahli keluarga yang lain.



Hari Sabtu ke kampung suami pulak di Batu Pahat. Kali ni ada empat ekor anak kucing yang dah kematian ibu. Dalam gambar ni cuma ada tiga ekor, susah nak ambil gambar semua sebab mereka ni lincah. Asyik bermain. Seronok pulak saya tengok.



Semalam, hari Ahad dah selamat balik rumah sendiri. Tapi sebelah malamnya pergi ke KLIA pulak, ambil seorang ahli keluarga yang tiba dari Sandakan, Sabah. Dapatlah ole-ole Rumpai Laut ni. Saya baru je tau pasal khasiat Rumpai Laut ni menerusi blog kawan-kawan, dan sekarang ada depan mata. Kenalah mencuba!


Wednesday, 13 March 2013

Patung Kertas

Satu patung kertas, boleh suai padan dengan pelbagai baju.
Permainan yang paling saya syok main sekitar tahun 80-an. Masa tu saya di peringkat awal sekolah rendah. Kalau kat rumah, ini ajelah yang saya dan kakak asyik mengadap. Dijual dalam bentuk sekeping kertas, ada satu patung dengan pelbagai baju. Kita perlu tanggalkan patung dan baju-baju tadi dari kertas tersebut dan bolehlah mula bermain. Harganya seingat saya sekitar beberapa puluh sen untuk sekeping kertas tu. Sama dengan nilai duit belanja sekolah yang saya dapat setiap hari. 

Kalau sekeping tak meriahlah kan, biasanya saya/kakak ada banyak set patung kertas ni. Seronok sebab setiap keping (set) tu berlainan patung dan koleksi baju-bajunya. Macamana mainnya? Kami buatkan macam suasana sebuah rumah, gunakan pelbagai kotak kecil untuk jadikan katil dan ruang tamunya. Kat 'rumah' tu letaklah beberapa patung, lepas tu kita lakonkanlah watak patung-patung kertas tu. Siap berbual-bual lagi! Kejap-kejap tukar baju, sebab yang syok main ni bila kita dapat gayakan pelbagai baju yang cantik dan comel. Cara nak gayakan, cuma sangkutkan baju pada bahu patung. Macam dalam gambar bawah ni, pada setiap baju ada 'lebihan' kertas. Bahagian tu yang akan disangkut kat bahu patung.

Yang ni betul-betul macam set patung kertas saya dulu-dulu!

Disebabkan terlalu asyik main patung kertas, selalu jugaklah kena marah dengan mak. Ada satu ketika tu sampai kena buang patung-patung kertas saya. Tapi bukan susah pun, kena buang saya pergi beli baru kat kedai.

Tak pastilah bila patung kertas ni terakhir berada di pasaran. Ada yang menyimpan nostalgia dengan patung kertas ni? Macam saya...

*semua gambar ambil kat Google, entah siapa pemilik asalnya yang masih simpan permainan zaman lalu ni.

Tuesday, 12 March 2013

Cerita 'E-Codes'

Cerita E-Codes atau Kod 'E' ni memang tidak akan pernah habis selagi kita tak faham apa ia sebenarnya. Saya mula ambil tahu pasal E-Codes ni bila baca kat blog Mun (dah lama dulu). Dan sekarang saya nak kongsikan info daripada pihak Halal Malaysia (dahulu dikenali sebagai Halal Jakim). Tapi saya akan ringkaskan supaya mudah kita faham. Untuk artikel penuh, sila klik DI SINI.

Apa itu Kod 'E'?
Kod 'E' yang tertera pada label pembungkusan makanan (contohnya: E100, E471) adalah kod-kod yang digunakan di Eropah untuk bahan aditif dalam makanan (emulsifier, bahan pengawet, pewarna dan lain-lain). Rujukan tambahan, sila klik INI.

Ia boleh dibahagikan kepada DUA kumpulan- bahan tidak kritikal dan bahan kritikal. 
  1. BAHAN TIDAK KRITIKAL, contohnya kod E100 ialah bahan pewarna dari sumber tumbuhan. 
  2. BAHAN KRITIKAL, contohnya kod E422 ialah lecithin (bahan pengemulsi/emulsifier) yang berkemungkinan dari sumber haiwan (yang mungkin tidak halal, perlu dikaji sumber asal untuk status halal).
Kesimpulan/Rumusan
TIDAK SEMUA Kod E yang digunakan adalah berasaskan dari sumber yang haram. Bahan aditif boleh bersumberkan tumbuhan, sintetik, mikrob, semulajadi, kimia dan haiwan. 

Bagi produk yang telah mendapat status Halal Malaysia (Halal Jakim) dan badan-badan Islam luar negara yang diiktiraf, bahan kritikal dari aspek halal telah pun dipastikan sumbernya sebelum ia disahkan halal. 

Isu Kod E dan Dr. M. Amjad Khan
Dr. M. Amjad Khan dikatakan telah membuat kajian ke atas bahan makanan berkod E dan mendapati ianya mengandungi lemak babi. Pelbagai pihak mencarinya, dan didapati beliau tidak wujud dan artikel yang tersebar adalah palsu.

Isu Rota dan Magnum Walls
Keropok Rota dikatakan haram sebab ada kod E110. Sebenarnya ia adalah kod bagi bahan pewarna (sunset yellow yang dihasilkan dari bahan kimia). Manakala aiskrim Magnum Walls dengan kod E471 telah dipastikan menggunakan sumber yang halal, dan mendapat status halal daripada Majelis Ulama' Indonesia.



p/s: Ada orang tak percaya walaupun ia kenyataan dari pihak Halal Malaysia. Disebabkan saya bukan pakar dalam bidang begini, haruslah saya percaya kepada mereka yang lebih arif dan telah dipertanggungjawabkan. Jika masih ragu...tinggalkan saja.

Sunday, 10 March 2013

Putu Mayam



Sekian lama tak makan Putu Mayam, sebab tak jumpa orang jual.
Putu Mayam ni saya beli di Pasar Malam, harganya RM2 untuk 8 keping.
Masa makan ni terus teringat zaman kanak-kanak...
Sebab masa tu selalu makan, ada orang naik motor jual makanan ni.

Sedikit sejarah Putu Mayam ni...
Ia merupakan makanan tradisional India, jika di Indonesia ia dikenali sebagai Putu Mayang.
Dihasilkan menggunakan tepung beras atau tepung iddiyappam dan air/santan.
Dimakan bersama kelapa parut dan gula Melaka/kabung/perang.
Klik SINI untuk lebih lanjut.


Saturday, 9 March 2013

Give Away (GA) Birthday Akiff ke-2 Tahun



Dia...
Permata hati yang dinanti,
Kebahagiaan Abah dan Ummie,
Semoga menjadi penyenang hati,
Besar menjadi insan terpuji.

Selamat Hari Lahir ke-2 tahun!
Untuk si kecil...
Muhammad Akiff Mirza.


-----------------------------------------------------------------------


Ini hadiahnya...menarik kan? Syarat pun mudah je.
GA ni anjuran blogger CARENO sempena ulangtahun kelahiran anaknya - AKIFF.
Jom join! Klik banner di atas untuk lebih lanjut.
^____^

Friday, 8 March 2013

Amnesia

Pernah dengar orang hilang ingatan (Amnesia) selepas kemalangan? Amnesia ni pulak ada jenis-jenisnya. Salah satunya pesakit tidak mampu mengingati apa yang berlaku SEMASA kemalangan. Walaupun selepas kemalangan dia mampu bercakap-cakap dan mata terbuka, tapi itu semua tiada dalam memorinya.

Itulah yang terjadi kepada seorang anak saudara saya selepas kemalangan kecil baru-baru ini. Dia terjatuh dari motor yang dinaiki bersama kawannya. Sebenarnya cuma alami luka ringan je. Cuma pelik bila dia macam tak tau apa-apa. Mata celik tapi pandangan kosong. Nasib baik kawannya yang sama-sama kemalangan tu masih okey, bolehlah hantarkan balik rumah. Itu pun dia tak tau nak masuk rumah, kena pegang dan bawa dia masuk. Tak lama tu dia muntah-muntah, dan mula bertanya apa yang jadi kepada dia. Kenapa ada luka-luka, dia ke mana, naik apa dan macam-macam soalan lagi. Ahli keluarga lain jadi terkejut sebab dia tak ingat langsung yang tadi dia jatuh dari motor.

Bila di bawa ke hospital, dia ditahan untuk pemantauan lanjut. Setelah diperiksa, kepala tak cedera cuma ada sedikit benjolan. Alhamdulillah selepas 24jam dia tak muntah-muntah lagi. Cuma masih pening dan sakit kepala. Tapi dia masih tak dapat ingat kejadian yang berlaku. Ingatannya cuma setakat dia ada naik motor, itu pun setelah diterangkan apa yang berlaku.


p/s: Bila dah terjadi kepada ahli keluarga sendiri, barulah saya mula faham adanya amnesia begini. Mulalah saya mencari info di internet, kalau ikutkan ini adalah Retrograde Amnesia. 


*update: Menurut doktor Daddy Ziyyad, apa yang anak saudara saya alami ini adalah Post Traumatic Amnesia dan ia bersifat sekejap sahaja. Bukan Retrograde Amnesia (amnesia yang lebih teruk).

Thursday, 7 March 2013

Biografi - Syed Mokhtar Albukhary


Tajuk: Biografi - Syed Mokhtar Albukhary
Penulis: Premilla Mohanlal
Penerbit: pVm Communications Sdn Bhd
Harga: RM19.90
Muka surat: 207

Buku ini asalnya dalam bahasa Inggeris, dan yang ni adalah versi terjemahan dalam bahasa Melayu. Menariknya buku ni sebab ia turut menyentuh sejarah / isu semasa yang berlaku disepanjang perjalanan hidup Syed Mokhtar. Jadinya selain mengetahui kisah hidup beliau, kita juga turut dibawa memahami peristiwa-peristiwa yang menjadi sejarah negara. Saya dapati penulisan buku ini juga agak terbuka dan berani (korang akan tau bila membacanya). 

Sinopsis
Syed Mokhtar Albukhary merupakan antara hartawan yang terkenal di Malaysia. Namun, tidak banyak yang diketahui mengenainya. Biografi ini, yang berdasarkan temubual eksklusif dan penyelidikan penulis, memberi gambaran serba sedikit mengenai kehidupan masa kecilnya dan keluarganya.

Buku ini juga mengetengahkan hubungan baiknya dengan bekas Perdana Menteri - Tun Dr. Mahathir Mohamad.


Petikan Buku
Ini permulaan kepada apa yang kadang-kadang disebut sebagai 'chopsticks management' (pengurusan chopsticks), yang saya dapati merupakan rahsia di sebalik kejayaan perniagaan orang-orang Cina. Ia berdasarkan prinsip bahawa setiap perniagaan memerlukan dua pemain penting untuk menggerakkan kejayaannya; seorang menjalankan perniagaan, seorang lagi menguruskan kewangan.

Di Syarikat Kenderaan Sentosa (SKS), Encik Yeoh menguruskan perniagaan, manakala Syed Mokhtar menguruskan kewangan. Disebabkan ia hanya syarikat kecil, Syed Mokhtar juga terlibat sama dalam operasinya. Ia juga satu kaedah yang baik untuk membolehkannya mendalami selok belok perniagaan dan membantunya untuk membuat keputusan yang betul dalam soal-soal yang melibatkan operasi dan kewangan.



p/s: Buku ni saya kategorikan 'MESTI BACA'. 

Wednesday, 6 March 2013

Segmen: Siapa Blogger Bertuah by Anak En. Yusni


Setelah kena tag dengan cik EITA, haruslah saya join sama segmen ni kan.
Kot-kot saya bertuah...

Siapa nak join, sila klik banner di atas ya. Simple je syaratnya.
Segmen ni tamat 31/3/2013.

Syarat lainnya kena tag kawan lain, maka saya tag mereka:


Biar Gambar Bercerita #13




Tuesday, 5 March 2013

Bila 'Dia' Kena Tahan

Harini awal pagi lagi dah keluar rumah, nak menghantar 'si dia' buat pemeriksaan berjadual. Sampai di 'hospital' orang masih belum ramai, lega. Saya dan suami pun duduk-duduk menunggu, sambil makan biskut yang tersedia di situ. 

Tak lama kemudian, 'doktor' panggil suami saya. Bagitau yang 'si dia' terpaksa ditahan untuk 'rawatan' lanjut. Mungkin ambil masa 4 hari. Masalah 'kesihatan' yang nampak kecil rupanya mengambil masa untuk 'dirawat'. Tak sangka jugak.

Terpaksalah....saya dan suami meninggalkan 'si dia' di situ. Dan terpaksalah kami balik menaiki komuter. Sebab 'si dia' yang sakit itu adalah KERETA kami. Perjalanan yang agak lama, dari Subang Jaya ke Bangi.

Setiba di stesen komuter Bangi, kami naik 'teksi sapu' untuk balik ke rumah. Caj RM8 untuk kami berdua. Teksi bermeter memang tak kelihatan kat sini. Kalau nak naik bas cuma RM1 seorang, tapi kenalah menunggu dan bas tu pulak cuma berhenti kat jalan besar berhampiran taman perumahan.

*Sebab itulah siang tadi saya tak jenguk blog...


Monday, 4 March 2013

Pencerobohan

(sumber: www.malaysiamap.org)

Pencerobohan di Sabah...
Jika difikir-fikirkan memang terlalu banyak persoalan berlegar.
Hingga menimbulkan terlalu banyak andaian dan pertuduhan.
 Lalu menghasilkan isu-isu kecil yang diperbesar-besarkan.

Pasti banyak yang tersirat di sebalik pencerobohan ini.
Namun sebagai rakyat biasa kita cuma mampu melihat yang tersurat.
Lalu cuma satu perkara kita mampu lakukan...
BERDOA!

Berdoa agar segalanya segera berakhir dengan baik.
Berdoa agar anggota keselamatan beroleh kejayaan.
Berdoa agar penduduk Sabah dilindungi-Nya.
Berdoa agar negara Malaysia aman sejahtera.
Berdoa agar kebenaran tersingkap!


*Setakat entri ini ditulis, ENAM orang lagi anggota polis telah terkorban. Jika sebelum ini ia berlaku Lahad Datu, kali ini serang hendap berlaku di Semporna.



p/s: Antara kesan insiden ini, dah boleh 'lekat kat otak' saya mana lokasi Lahad Datu. Maklum je, kalau belum pernah sampai memang susah nak faham dan ingat lokasi sesuatu tempat.