(Sebuah catatan lalu...)
Kali pertama saya menghadiri ceramah politik adalah semasa saya masih belajar di universiti. Sekitar tahun 1999, masa tu saya di tahun akhir. Masih belum cukup umur untuk mengundi, tapi jiwa muda saya bangkit disebabkan kes penyingkiran Anwar Ibrahim. Disebabkan saya menyewa di luar kampus, saya terdedah kepada suasana pilihanraya yang hangat ketika itu. Hangat kerana buat pertama kalinya sebuah parti campuran pembangkang telah ditubuhkan bagi menentang Barisan Nasional (BN). Parti campuran PAS, DAP dan Parti Keadilan telah membentuk Barisan Alternatif (BA).
Pada suatu malam dengan ditemani seorang rakan, saya hadir dalam satu ceramah oleh Parti Keadilan. Lokasinya tak jauh dari rumah sewa, cuma perlu berjalan kaki je. Ceramah dibuat di luar rumah seorang calon yang bertanding. Rumahnya terletak di corner lot dan berhampiran jalan besar. Setelah ditumbangkan pagar dawai tu, mampu memuatkan hadirin yang ramai. Tapi sebab saya ni perempuan dan tak sesuai bersesak, saya berdiri agak jauh dari kelompok ramai untuk mendengar ceramah yang disampaikan. Isi ceramah? Saya pun dah lupa!
Dan kemudiannya, baru saya tahu bahawa calon tersebut merupakan sepupu kepada nenek saya. Pangkat datuk saudara dengan saya. Yang juga berasal dari Pontian, Johor.
P/s: sekarang tak payah susah pegi ceramah, banyak info boleh dapat menerusi internet. Tapi saya dan suami masih berhasrat nak hadiri ceramah politik secara langsung untuk PRU kali ni. Kalau dapat nak hadir untuk kedua belah pihak -BN dan PR.