Tuesday, 30 April 2024

Mencuba Sajian Eksotik Kerabu Telur Belangkas

Lewat petang Jumaat lepas, saya dan Encik Suami jalan-jalan cari makan di Kuala Perlis. Ada banyak pilihan restoran makanan laut di sini. Kami pun tak tahu mana satu yang sedap dan harga berpatutan, terus saja pilih mana-mana restoran yang nampak agak meriah. Kami ke Restoran Nyiru Klasik Ikan Bakar.

Pesanan dibuat secara layan diri - pergi ke bahagian hadapan restoran, pilih serta timbang makanan laut yang kita mahu, kemudian pilih jenis masakan.

Sajian eksotik KERABU TELUR BELANGKAS merupakan antara menu yang kami pilih. Eh, sebenarnya pilihan Encik Suami yang bersungguh nak saya mencuba makan menu belangkas. Seumur hidup memang saya tak pernah makan belangkas, berbeza dengan Encik Suami yang pernah makan sebelum ini.

Sajian Eksotik Kerabu Telur Belangkas
Beginilah rupa sajian eksotik - kerabu telur belangkas. Foto sudut pandang dari atas. Rupa bentuk belangkas agak menakutkan bagi saya, mungkin sebab tak biasa.

Sajian Eksotik Kerabu Telur Belangkas
Kerabu mangga diletakkan di atas telur belangkas.

Sajian Eksotik Kerabu Telur Belangkas
Begini rupa telur belangkas, bentuk bulat bersaiz kecil.

Bagaimana rasa sajian eksotik ini? Menurut saya, rasanya biasa saja tanpa ada rasa pelik atau rasa tak sedap. Lagi pula telur belangkas ini saya makan bersama kerabu mangga, jadi lebih kepada rasa sedap kerabu mangga. Tekstur telur belangkas ni pula agak kenyal.

Nak makan lagi atau tidak? Err…cukup sekali ini. Saya boleh makan sekadar untuk mencuba, tapi ia bukan makanan yang sesuai dengan cita rasa saya. Menurut Encik Suami pula, belangkas yang kami makan ni terdapat sedikit bau hanyir berbanding yang pernah Encik Suami makan sebelum ini lebih menyelerakan.

Sajian ini berharga RM40.






.

Monday, 29 April 2024

Cerita Hari Sabtu

Cerita hari Sabtu, 27 April 2024.

C-MART ARAU
Pasaraya C-Mart, Arau
PASARAYA DENGAN BANYAK PILIHAN BARANGAN | Semenjak menetap di Perlis, saya menghadapi masalah nak membeli keperluan rumah - tiada atau tak banyak pilihan dan harga biasanya lebih tinggi.

Kalau sebelum ni (di rumah NS dan rumah PP), saya berbelanja di pasaraya Aeon - lengkap pelbagai barangan, banyak pilihan pelbagai jenama/jenis, sayuran segar dan ada tawaran harga rendah produk tertentu atau baucer diskaun pada masa tertentu. Memang seronok membeli-belah.

Setakat ini di Perlis, saya membeli barang keperluan di pasaraya Giant, Borong Din dan Jmart yang terletak di Kangar. Pengalaman membeli-belah yang jauh berbeza - kurang pilihan jenama/jenis barangan, harga lebih tinggi dan selalunya sayuran kurang segar. Ini bukanlah satu rungutan ya, tetapi sekadar penceritaan pengalaman. Di bumi mana pun saya berhijrah, saya akan belajar sesuaikan diri dengan suasana kehidupan baru.

Seorang sahabat mencadangkan saya ke pasaraya C-Mart yang terletak di Arau. Maka pada hari Sabtu lalu, berpagian saya dan Encik Suami ke C-Mart yang terletak kira-kira 20 km dari rumah. Sebuah pasaraya besar dengan pelbagai pilihan barangan. Setakat ini, nampaknya inilah pasaraya paling lengkap dan banyak pilihan barangan yang pernah saya kunjungi di Perlis. Alhamdulillah.


HARI TANPA BEG PLASTIK FASA KE-3 MULAI 1 APRIL 2024 | Satu langkah yang baik oleh kerajaan Perlis dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar. Pelaksanaan Hari Tanpa Beg Plastik ini hanya pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja dan caj 50 sen dikenakan bagi penggunaan setiap helai plastik.

Tiada masalah bagi kami yang sudah biasa membawa beberapa jenis shopping bag dalam kereta. Lagi pulak semasa menetap di rumah PP, pelaksanaan Hari Tanpa Plastik di PP lebih tegas (setiap hari tanpa beg plastik dan ada hari tertentu beg plastik memang tak dijual).


RISIKO BELI BARANG ‘ONLINE’ | Selepas membeli barang keperluan, kami ke syarikat penghantaran J&T bagi pos semula barang ke penjual. Beginilah antara hal yang leceh bila beli secara online - penjual salah pos barang, terpaksalah kita pergi pos semula. Kena mintak resit sebab nak tunjuk bukti kepada penjual bagi urusan refund. Kos pos RM7.40.


TELUR DADAR DAUN SELASIH
TELUR DADAR DAUN SELASIH | Kami makan tengah hari di Mee Mee Authentic Thai Empire, antara tempat makan kegemaran kami yang terletak di Kangar Jaya. Biasanya kami pesan telur dadar cha om, tapi kali ini kami mencuba telur dadar daun selasih. Sedap!


DERETAN GERAI JUALAN HARUMANIS | Perlis sudah pun memasuki musim buah mangga harumanis bermula sekitar Ramadan lalu. Ketika ini, di sana sini kelihatan deretan gerai jualan harumanis di tepi jalan. Rezeki kami menetap di sini, memang puas dapat makan harumanis tanpa keluar duit (pemberian orang dan pokok di belakang rumah).






.

Monday, 22 April 2024

Burung Rapang Duit (Red-wattled Lapwing)

Hari Sabtu malam Ahad lalu, saya menghadiri jamuan makan sempena hari raya di kawasan kediaman kami. Dapatlah saya berkenalan dengan lebih ramai jiran. Tetapi disebabkan masih baru di sini, segan pulak saya nak merakam foto itu ini. Maka tiada entri catatan khas berkenaannya.


TEE-TEE-TU-IT…TEE-TEE-TU-IT…
Entri kali ini berkenaan sejenis burung yang saya temui ketika melakukan aktiviti ‘morning walk’ sebaik saja kembali dari kampung halaman di Johor. Berbeza dengan burung lain yang biasanya sangat sukar saya rakam gambar dan videonya kerana cepat terbang menghilang, burung jenis ini berkelakuan pelik dengan tidak terbang menghilang, berbunyi kuat ketika saya menghampiri kawasannya dan terbang seolah-olah mengelilingi saya.

Saya berkesempatan membuat pemerhatian selama beberapa hari di kawasan tersebut dan mencari maklumat berkenaan burung ini. Saya kongsikan foto (sila klik foto untuk paparan lebih jelas) dan video serta maklumat menarik berkenaan burung yang berbunyi kuat dan bising ini :

Burung Rapang Duit (Red-wattled Lapwing)
Nama burung : Red-wattled Lapwing
Nama tempatan : Rapang Duit
Nama sains : Vanellus indicus

Burung Rapang Duit (Red-wattled Lapwing)
Terdapat dua hingga tiga ekor burung Rapang Duit di kawasan ini dengan saiz badan yang kelihatan sama. Sebaik saja saya memasuki kawasan di mana burung Rapang Duit ini berada, suasana bertukar kecoh dan bising dengan bunyi burung-burung ini. 

Burung Rapang Duit (Red-wattled Lapwing)
Tee-tee-tu-it…tee-tee-tu-it. Tak henti burung-burung ini berbunyi seakan bersahutan antara satu dengan lain. Agak lama burung ini berada di satu tempat, ia terbang beralih kedudukan tetapi masih berada tak begitu jauh dari posisi saya berdiri memerhati. Tapi bukanlah terlalu dekat ya, saya masih perlu zoom-in entah berapa kali untuk mendapatkan semua foto dan video. 

Burung Rapang Duit (Red-wattled Lapwing)
Burung Rapang Duit ini juga terbang dalam bentuk pusingan seolah-olah mengelilingi saya. Dalam foto di atas, burung saiz lebih besar itulah burung Rapang Duit, manakala seekor lagi yang kecil tu burung jenis lain.

Hasil carian maklumat saya mendapati - tingkah laku burung Rapang Duit berbunyi kuat dan bising serta terbang mengelilingi saya ini sebenarnya kerana merasa terancam dan cuba mengalihkan perhatian saya (yang dianggap pemangsa) supaya tidak mendekati telur atau anak burung yang berada di kawasan tersebut. Bijak sungguh! Memang saya terpedaya, pandangan mata asyik memerhati burung-burung ini yang berbunyi dan sering beralih kedudukan serta terbang di keliling saya.

Patutlah burung-burung ini hanya berbunyi bising sebaik saja saya memasuki kawasan ini dan berhenti berbunyi apabila saya melangkah pergi. Ada sebabnya 😄

Burung Rapang Duit (Red-wattled Lapwing)
Kredit foto burung : Mohammad Samsul Fitri dan kredit foto telur burung : Perlis Nature Xplorer
Saya kongsikan foto lebih jelas rupa burung Rapang Duit dan telurnya sebagai rujukan. Cantik burung Rapang Duit ini dengan kaki tirus panjang berwarna kuning, badan berwarna coklat/hitam/putih dan berwarna merah di bahagian mata hingga ke sebahagian paruh.

Burung Rapang Duit bertelur di tempat terbuka seperti di atas tanah tanpa membuat sarang. Biasanya, musim bertelur bagi burung ini adalah sekitar bulan Mac sehingga Jun. Saya cuba memerhatikan kawasan sekitar bagi mencari telur burung sambil mengabaikan kekecohan yang sedang dibuat oleh burung-burung dewasa. Memang susah nak jumpa, ini kerana burung Rapang Duit akan bertelur di tempat yang hampir sama dengan rupa telur bagi tujuan penyamaran. Semoga telur-telur tersebut selamat dan dapatlah menambah populasi burung di sini.


Nak dengar bunyi bising burung Rapang Duit? Klik video yang saya rakam pada 16 April lalu.

Burung yang boleh ditemui di kawasan berair, kawasan padang dan kawasan terbuka ini merupakan spesis burung yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Jadi jangan suka-suka nak tangkap burung Rapang Duit ni tau. Jika sabit kesalahan, kita boleh dihukum denda maksimum hingga RM1 juta dan penjara maksimum 15 tahun.






.

Tuesday, 16 April 2024

Dari Negeri Paling Utara Ke Negeri Paling Selatan

Salam Syawal buat semua sahabat blog, moga semuanya ceria dan berbahagia. Nak ucap Selamat Hari Raya, tapi rasa macam dah terlewat pulak 😄. Apa pun, entri ini merupakan catatan raya saya - pertama kali balik raya dari rumah Perlis ke kampung di Johor. Perjalanan dari negeri paling utara ke negeri paling selatan di Semenanjung Malaysia.

Memikirkan perjalanan yang sangat jauh iaitu lebih 800 km untuk tiba di kampung Pontian, saya dan Encik Suami ambil keputusan untuk singgah di rumah NS. Kebetulan pula ada urusan perlu diselesaikan, jadinya kami menginap selama 2 malam di rumah NS sebelum meneruskan perjalanan ke Johor.

Catatan bergambar :

Kami bertolak dari rumah Perlis pada hari Ahad kira-kira pukul 11.50 pagi. Agak lewat sebab sibuk mengemas itu ini sebelum nak meninggalkan rumah dengan jarak jauh dan tempoh masa lama. Dari rumah Perlis kami ke Alor Setar, Kedah. Tak sangka pulak bandar Alor Setar sangat sesak, lebih 1 jam kami berada dalam kesesakan jalan sebelum tiba ke tempat tujuan.

Tempat tujuan kami - Kompleks Pekan Rabu. Kami ke sini untuk mengambil kuih kapit isi coklat dan ‘peanut butter’ yang sudah ditempah awal melalui WhatsApp. Sambil tu kami beli juga makanan lain seperti kuih ros dan serunding daging. Semuanya untuk diberi kepada keluarga di Johor, jiran terdekat di rumah NS dan untuk rumah kami di Perlis. Peniaga tanya, “Nak berniaga ke?”. Banyak sangat memborong sampai orang sangka kami nak berniaga 😄

Balik kampung kali ini, kami bergerak di lebuh raya bersama keluarga adik ipar (adik Encik Suami yang juga menetap di Perlis) secara tak sengaja 😁. Mulanya kami ‘bertemu’ di Sungai Petani, kemudian saling bertukar posisi - kadang kenderaan kami di depan dan kadang kenderaan mereka pula memotong kami. Kemudian kami sama-sama berhenti untuk berbuka puasa di R&R Ulu Bernam, juga tanpa dirancang.

Tol percuma mulai pukul 12.01 tengah malam, Isnin 8 April 2024. Alang-alang kami sampai rumah NS menghampiri waktu tengah malam, kami berhenti di hentian bagi menunggu detik tengah malam sebelum keluar di tol Nilai. Dapatlah penjimatan kira-kira RM51. Balik Johor pada hari Selasa, sekali lagi kami dapat penjimatan kira-kira RM25. Alhamdulillah! Bersyukur sebab perjalanan dari utara ke selatan sangat lancar dan dapat pulak tol percuma 🤗

Meriah acara berbuka puasa kami pada hari terakhir Ramadan, Alhamdulillah dapat berkumpul 5 buah keluarga daripada 9 buah keluarga. Jarang kami dapat berkumpul ramai-ramai begini.

Peta laluan perjalanan kami.
Titik A - rumah Perlis, B - rumah NS, C - kampung Pontian dan D - kampung Batu Pahat (BP).

Perjalanan Pergi | rumah Perlis ➡ rumah NS (2 malam) ➡ kampung Pontian (2 malam).
Perjalanan Balik | kampung BP (3 malam) ➡ rumah Perlis (tempoh perjalanan kira-kira 12 jam 30 minit termasuk keluar tol Bertam/Kepala Batas untuk makan).

*ikut rancangan awal, perjalanan balik akan bermalam di rumah NS. Disebabkan aliran trafik nampaknya lancar, maka kami ambil keputusan teruskan perjalanan ke Perlis. Cuma singgah sebentar di rumah NS untuk ambil barang.


PERJALANAN MUSIM PERAYAAN YANG LANCAR
Sangkaan saya meleset. Perjalanan di musim perayaan yang dijangka akan sesak dengan kenderaan, tetapi sebaliknya begitu lancar. Malah boleh saya katakan aliran trafik dari/ke utara tanah air lebih lancar berbanding pada hujung minggu yang biasanya sesak.

Begitu juga perjalanan menuju ke Johor pada hari Selasa, iaitu sehari menjelang Syawal juga sangat lancar tanpa sebarang kesesakan. Agaknya masing-masing dah balik kampung lebih awal.

Cuma berlaku sedikit kesesakan trafik di beberapa tempat sewaktu kami kembali ke rumah Perlis - iaitu di Tangkak, di laluan masuk ke KL dan laluan ke jambatan Pulau Pinang. Kesesakan yang tak begitu teruk.

Alhamdulillah. Terima kasih Allah yang memberi kemudahan dan keselamatan buat kami menempuh perjalanan yang begitu jauh dengan jarak keseluruhan kira-kira 1,930 km.





.

Tuesday, 9 April 2024

Tuaian Pertama Mangga Harumanis

Hari Jumaat lalu, sebelum pergi kerja sempatlah Encik Suami menuai buah mangga harumanis di pokok belakang rumah. Tuaian pertama buat kami yang tiba-tiba dapat pokok mangga harumanis ‘segera’ dan juga tuaian pertama bagi musim harumanis tahun 2024.

Encik Suami tukang tuai buah, saya tukang merakam foto je 😁. Itu pun kena gigit kerengga jugak tau, sebab pokok mangga ni banyak kerengga. Nak bungkus buah pun susah, nak tuai pun susah sebab perlu berperang dengan kumpulan kerengga.

Bila ada pokok mangga ni, barulah saya tahu mengenai ‘tangkai pengasuh’. Antara ciri-ciri buah mangga harumanis yang matang (sesuai dituai), kita lihat pada tangkai pengasuhnya yang dah kering (rujuk foto).

Alhamdulillah hasil tuaian pagi ini dapatlah 6 biji buah mangga harumanis. Sepatutnya, semua ada 8 biji buah yang awal (bungkus kali pertama). Sebiji tu kedudukannya tinggi sangat, esoknya baru Encik Suami ambil dengan menggunakan tangga. Manakala sebiji lagi dah gugur sewaktu hujan lebat tempoh hari.

Buah mangga harumanis ni perlu diperam supaya masak sekata, barulah sedap dimakan. Tetapi ada sebiji yang dah mulai masak di pokok sebab kami lambat tuai. Maklumlah pengalaman pertama ada pokok mangga harumanis di rumah, banyak hal perlu belajar. Buah yang dah masak (masak tak sekata) tu bila dimakan, rasanya tidaklah begitu sedap seperti mangga harumanis yang biasa kami makan.

Sedang elok pula kami nak balik kampung di Johor, bolehlah bawa sebahagian untuk ahli keluarga lain merasa. Tapi ni cuma sedikit dan tak pasti kualitinya bagaimana, maka kami beli lagi 3 kotak buah mangga harumanis dari pengusaha tanaman harumanis berhampiran. Harganya RM22/kg. Harganya agak rendah mungkin atas faktor tuaian buah awal dan jualan bulan puasa (buah kurang laku).

Ada banyak faktor mempengaruhi harga buah mangga harumanis, jadinya semasa membeli kita tak boleh sekadar membandingkan harga tanpa mengambil kira faktor lain. Contohnya - kalau buah dengan kualiti baik (gred A), dibungkus dengan ‘foam’ setiap biji, boleh di pos serta ada jaminan buah rosak akan diganti itu tentunya lebih mahal iaitu sekitar RM40/kg.

Peminat mangga harumanis? Bolehlah cari pembekal/pengusaha tanaman harumanis yang dipercayai untuk membeli buah yang berbau harum dan rasa lemak manis ini. 

Orang dah sibuk cerita raya, saya cerita tuaian harumanis 😀. Kalau bertangguh, terus tak buat catatan di blog pulak. Ketika menulis entri ini saya sudah pun berada di rumah NS selama 2 malam dan akan menyambung perjalanan balik kampung untuk menyambut 1 Syawal di rumah mak saya. Tahun ni kami balik Pontian dahulu, kemudian barulah balik Batu Pahat pula. Kalian pula, balik raya di mana pada 1 Syawal nanti?






.

Thursday, 4 April 2024

Bermusafir di Bulan Ramadan

Lewat petang semalam (Rabu, 3 April 2024), saya dan Encik Suami memulakan perjalanan dari rumah Perlis menuju ke Putrajaya. Permusafiran pertama kami dalam bulan Ramadan kali ini. Awalnya saya dah rasa lega sebab Ramadan kali ini tak perlu bermusafir jauh. Tak sangka pulak dah hujung puasa begini terpaksa jugak bermusafir atas tuntutan kerja Encik Suami.

Kami bawa bekal minuman air kosong dan air Ribena sejuk sebagai persediaan buka puasa dalam kereta. Kemudian kami keluar di tol Bertam/Kepala Batas untuk makan. Ada banyak pilihan tempat makan di sini, kenderaan kami berlegar seketika sebelum berhenti parkir di sebuah kedai makan yang nampaknya meriah dengan pelanggan.

Pengalaman pertama saya berbuka di luar (bagi Ramadan kali ini). Saya pesan mi bandung dan neslo ais, pilihan Encik Suami pula bihun tomyam dan limau ais. Alhamdulillah sedap memuaskan selera, kecuali neslo ais rasa terlebih manis. Itu silap saya sendiri lupa pesan kurang manis. Insya Allah lain kali bolehlah singgah makan di kedai ni lagi.

Tengah makan, saya perasan ada kedai BumbleBee di situ. Teringin pulak nak mencuba buat kali pertama bila dah ada depan mata dan mungkin dek nafsu orang berpuasa 😄. Ada pilihan aiskrim atau aiskrim yogurt. Saya peminat yogurt, jadi saya pilih aiskrim yogurt cawan paling kecil. Cawan paling kecil boleh pilih mana-mana satu jenis topping, perasa mangga menjadi pilihan saya. Bagaimana rasanya? Nampaknya tak menepati cita rasa saya kerana kurang rasa masam yogurt (saya suka rasa masam) dan topping perasa mangga yang terlampau manis. Lain orang lain cita rasanya, kenalah cuba sendiri ya.

Pemanduan pada waktu malam tanpa persediaan tidur waktu siang memang sangat mencabar. Sekitar pukul 11.35 malam kami berhenti di Hentian Sebelah Simpang Pulai bagi melelapkan mata. Enjin kereta dimatikan, tingkap di kedua-dua belah dibuka sedikit bagi tujuan pengudaraan. Sekejap saja dah terdengar bunyi dengkuran kecil Encik Suami di tempat duduk pemandu. Saya pulak cuma mampu tidur-tidur ayam, sekejap buka mata memerhati kenderaan di kanan dan kiri silih berganti dan kemudian terlelap seketika.

Sekitar pukul 12.10 tengah malam barulah kami menyambung perjalanan setelah menyegarkan diri dengan minuman yang dibeli di kedai stesen Petronas dan ke tandas. 

Alhamdulillah kami selamat tiba di hotel penginapan The Everly Putrajaya sekitar pukul 2.45 pagi, setelah menempuh jarak perjalanan kira-kira 530 km dengan tempoh masa 8 jam 45 minit.

Secara keseluruhannya, perjalanan malam tadi di Lebuhraya Utara-Selatan adalah lancar walaupun terdapat beberapa kemalangan melibatkan kenderaan berat. Tiada kerja-kerja baik pulih jalan dan kurang kenderaan. Cuma sesekali terasa seram bila melalui laluan mencabar seperti laluan sebelum dan selepas terowong Meru dengan kenderaan berat di sebelah, di depan dan di belakang kita 😅. Masuk tandas dan surau hentian pun lengang je, kawasan parkir hanya dipenuhi kenderaan berat. Mungkin sebab tengah minggu dan bulan puasa, orang kurang melakukan perjalanan.






.