Wednesday, 26 February 2025

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida

CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KEDUA - KHAMIS, 5 DISEMBER 2025


Dari bandar Fujikawaguchiko, kenderaan kami bergerak ke bandar Fujiyoshida - menuju ke Arakurayama Sengen Park. Jaraknya cuma kira-kira 6 km.

Kami tiba di sini sekitar pukul 1.40 petang, agak ramai pengunjung ketika ini. Kenderaan kami perlu menunggu seketika sebelum dapat masuk ke kawasan parkir.

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Kawasan parkir berbayar. Saya tak tahu berapa caj parkir sebab dah termasuk dalam pakej day trip Fuji.

Encik M beri penerangan ringkas berkenaan tempat ini sebab nanti dia tak ikut kami naik ke atas. Kami diberi masa kira-kira 1 jam untuk berada di Arakurayama Sengen Park, cukup masa semua perlu kembali berada di kenderaan.

Info ringkas Arakurayama Sengen Park :
  • Terkenal dengan foto ikonik - Gunung Fuji dilitupi salji, pagoda lima tingkat berwarna merah dan bunga sakura. Foto yang biasa kita nampak pada poster promosi pelancongan Jepun.
  • Tempat ini dibuka sebagai taman awam pada tahun 1959.
  • Untuk sampai ke Observation Deck (lokasi sudut pandang foto ikonik), pengunjung boleh memilih sama ada mendaki Sakuyahime Stairway dengan 398 anak tangga atau menggunakan laluan biasa.
  • Tiada bayaran masuk.

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Awal-awal lagi dah kena mendaki anak tangga.

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Sampai di dataran pertama, ada sebuah kuil. Masa ni saya dah mula teruja melihat dedaun musim luruh dengan pelbagai warna! Cantik sungguh daun maple berwarna merah terang ni.

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
MasyaAllah indah sungguh warna dedaun musim luruh 😍

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Dek terlalu teruja, asyik sungguh saya memotret sana sini.

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Indah lukisan alam. Terima kasih Allah yang memberi kurnia nikmat dapat saya menatap keindahan di sini. Saya rasa sangat seronok!

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Mendaki 398 anak tangga sambil menikmati keindahan alam.

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Menurut Encik M, ketika ini sudah pun berada di penghujung musim luruh - peralihan ke musim sejuk. Dedaun tak begitu cantik, sudah mulai kering. Tapi apa yang ada di hadapan mata saya ini semuanya dah terlalu cantik. Maklumlah, saya baru pertama kali ke luar negara pada musim luruh (lebih tepat - penghujung musim luruh). Pengalaman pertama yang mengujakan!

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Selain mendaki anak tangga, kita juga boleh memilih naik menggunakan laluan biasa. Jadinya selepas beberapa ketika mendaki anak tangga, saya dan Encik Suami memilih untuk menggunakan laluan biasa. Lebih tenang sebab tak ramai pengunjung lalu ikut jalan ni.

Kelebihan lain - lebih santai sebab tak perlu mendaki anak tangga dan dapat menikmati pemandangan berbeza. Tetapi, jarak laluannya lebih jauh berbanding mendaki anak tangga kerana berkelok-kelok (boleh rujuk foto peta Arakurayama Sengen Park di bawah).

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Ada hutan di tepi laluan, kita berhenti sekejap merakam memori di sini.

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Pukul 2.05 petang, kami tiba di Chureito Pagoda. Inilah pagoda dalam foto ikonik yang saya nyatakan di awal entri. Bagi mendapatkan sudut pandang seperti dalam foto ikonik tersebut, kita perlu teruskan mendaki ke atas sedikit lagi menuju ke Observation Deck.
Chureito Pagoda | A five-storied pagoda that is about 20m tall. A five-storied pagoda is normally used in a Buddhist temple to keep Buddha’s relics. The Chureito pagoda, however, was constructed to console the spirits of the victims of the latest wars Japan was involved in. Those are the Japan-Sino War, Japan-Russo War, WW1, and WW2. [Sumber info : japancitytour.com]

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Laluan ke Observation Deck - jalan depan sikit dan ambil laluan sebelah kiri. Kalau jalan terus lagi, boleh sampai ke puncak Gunung Arakura. 

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Peta panduan kawasan Arakurayama Sengen Park. Klik foto untuk paparan lebih jelas.

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Pemandangan menarik bandar Fujiyoshida di sebelah kanan laluan.

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Fuh! Akhirnya sampai jua kami di Observation Deck.

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Pemandangan Gunung Fuji yang silau dek cahaya matahari, pagoda merah dan pokok sakura yang belum berbunga 😂. Beginilah hasil 'foto ikonik' saya. Tak dapat cantik macam foto ikonik yang biasa saya lihat, tapi dapatlah merasa sendiri pengalaman berada di sini.

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Sesak di bahagian atas tempat saya berdiri. Jadi susah nak dapatkan sudut yang cantik untuk memotret. Di bahagian atas satu lagi - berderet tripod besar mungkin sedang menanti detik yang sesuai bagi mendapatkan hasil foto terbaik.

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Jomlah kita turun. Eh, cantik pemandangan semasa nak turun.

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Perjalanan balik kami menggunakan tangga sepenuhnya. Sesekali kami berhenti untuk menikmati pemandangan indah di hadapan mata. Kalau sambil melangkah sibuk tengok pemandangan, boleh tergolek ke bawah 😅

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Gunung Fuji yang mempesona.

Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida
Tak jemu pandang dan tak jemu memotret si Fuji.

Alhamdulillah! Kami berjaya naik sehingga ke Observation Deck dan selamat kembali ke tempat parkir kenderaan. Memang terasa penat semasa mendaki, tapi seronok dapat menikmati pemandangan di sepanjang laluan dan pemandangan dari Observation Deck. Syukur jugalah kami ke sini ketika udara sejuk, perjalanan rasa selesa tanpa berpeluh.

Sampai di tempat parkir, saya ke tandas berhampiran. Tapi sangat mengejutkan, keadaan tandas kotor - berbau sangat tidak menyenangkan dan tisu tandas bersepah di lantai. Terkejut saya dan ahli keluarga Encik A yang sama-sama masuk tandas perempuan ketika itu. Terus terbantut hajat kami. Menurut Encik M, berkemungkinan besar ada kumpulan pelancong dari China yang baru saja menggunakan tandas tersebut.

Dari Arakurayama Sengen Park, Encik M bawa kami ke sebuah perkampungan yang merupakan sebahagian daripada 'Mount Fuji UNESCO World Cultural Heritage Site'.


Video singkat berdurasi 18 saat memaparkan keindahan dedaun musim luruh di Arakurayama Sengen Park, Fujiyoshida.

Semoga ada kesempatan buat saya kembali ke sini lagi pada musim bunga sakura berkembang. Tentu suasananya jauh berbeza. Apa pun, setiap musim ada keunikan dan pesona tersendiri.







Tuesday, 25 February 2025

Oleh-oleh Dari Tokyo

Sepatutnya petang tadi saya dan Encik Suami dah bertolak ke Shah Alam atas urusan kerja. Sejak pagi tadi saya sibuk membersihkan rumah yang nak ditinggalkan dan mengemas keperluan kami bermusafir selama 4 hari 3 malam.

Bila dah siap semua tinggal tunggu angkut beg masuk kereta, ehh...Encik Suami mesej dari tempat kerja katanya tak jadi pergi. Marah ke tak? Saya tak rasa marah sebab jujurnya saya pun malas nak berjalan jauh. Saya lebih suka duduk di rumah je 😄

Tak jadi bermusafir, bolehlah saya kembali menggerakkan jari di papan kekunci.

Oleh-oleh dari Tokyo, Jepun. Pemberian dari kawan-kawan Encik Suami yang baru saja kembali dari Tokyo.

Keychain pedang samurai pun ada. Tapi kurang sesuai jadi keychain sebab pedangnya mudah terkeluar daripada sarung. Lebih sesuai digantung sebagai hiasan, sesekali boleh buat main sambil membayangkan pedang samurai ukuran biasa 😁

Dapat juga satu pek makanan.

Bila dibuka, begini isinya. Lebih kurang seperti kuih bahulu kita, tapi yang ini ada inti di dalamnya - inti kacang merah. Boleh dimakan terus atau dipanaskan seketika dengan menggunakan microwave untuk rasa yang lebih sedap.

Alhamdulillah semuanya rezeki daripada Allah. 







Sunday, 23 February 2025

Hantar Kucing Kampung 'Grooming'

Pagi tadi saya hantar anak bulu - Jojo si kucing jantan untuk servis grooming di Klinik Haiwan Calico yang terletak di Arau. Nak hantar grooming di sini perlu buat janji temu. Juga perlu hantar pada pukul 11 pagi dan ambil pada lewat petang.

Muka stres si kucing kampung kena hantar grooming buat kali pertama 😄

Saya ambil Pakej Platinum RM70 - mandian (syampu, pelembut & pewangi), potong kuku, trim bulu tapak kaki, cuci telinga, degreser dan advocate (kutu, hama, cacing & kurap).

Selain grooming, Jojo juga diberi suntikan vaksin kedua. Senang sekali datang terus buat dua perkara. Bukan senang nak datang, jauh perjalanannya nak sampai ke klinik.

Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Kos servis dan rawatan Jojo kali ini. Caj grooming dapat kurang RM5 sebab kata staf klinik - Jojo baik tak susah nak mandikan. Lega dengar sebab saya memang risaukan reaksi Jojo bila kena mandi. 

Ada tambahan ubat untuk merawat bengkak pada satu jari Jojo. Ubat boleh mula diberi lagi beberapa hari memandangkan hari ini baru lepas cucuk vaksin.

Jojo si kucing kampung selepas grooming - bau wangi dan bulu lembut! Masa ni kami dah sampai rumah, Jojo baru nak tenangkan dirinya selepas seharian kena 'kurung' dalam klinik. Kucing kampung dah biasa bebas merayau, bebas keluar masuk rumah tiba-tiba kena hantar grooming 😅

Jojo sebenarnya ada sedikit kecacatan pada satu jarinya - kanan, depan. Bahagian tersebut yang bengkak dan perlu makan ubat. Entah apa kisah lalu yang membuatkan jarinya begitu.










Saturday, 22 February 2025

Makan dan Solat di Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko

CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KEDUA - KHAMIS, 5 DISEMBER 2024


Dari Oishi Park, kenderaan kami menuju ke Masjid Fujikawaguchiko bagi menunaikan solat jamak Zohor-Asar dan makan tengah hari. Dekat je jarak di antara dua tempat ni, iaitu kira-kira 4.7 km. 

Sempat saya memotret Gunung Fuji dari dalam kenderaan sewaktu kami sedang melalui Kawaguchiko-ohashi Bridge. 

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Pukul 12.12 tengah hari, kami tiba di Masjid Fujikawaguchiko. Selain berfungsi sebagai tempat ibadah, di sini juga terdapat sebuah kafe. Jadinya kalau ke sini kita boleh makan dan solat di bawah satu bumbung. Alhamdulillah...memang mudah! 

Sejarah ringkas Masjid Fujikawaguchiko :
  • Pembinaan masjid ini merupakan inisiatif oleh Japan Halal Certification Promotion Organization (JHCPO) bagi memenuhi keperluan pelancong Muslim yang berkunjung ke Yamanashi Prefecture, khususnya di Fujikawaguchiko.
  • Mula beroperasi pada bulan November 2020.
  • Ruang solat boleh memuatkan seramai 200 orang jemaah.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Sebaik kaki melangkah masuk ke bangunan masjid, kita akan terus jumpa kafe - ada kaunter jualan dan set meja kerusi. Tak begitu banyak menu ditawarkan, tetapi apa yang ada dah memadai bagi kami mengisi perut yang lapar. Pelayan di kaunter pula mungkin orang Pakistan, yang pasti bukan orang Jepun.

Untuk info, kafe masjid ini beroperasi mulai pukul 10 pagi sehingga pukul 7 malam.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Lega rasanya bila dapat masuk ke dalam bangunan sebab ada alat pemanas.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Di sudut belakang sebelah kanan, terdapat rak jualan pelbagai produk.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Di sudut belakang sebelah kiri pula merupakan laluan menuju ke ruang solat masjid.

Sementara menunggu pesanan makanan kami siap, saya pergi menunaikan solat. Kasut perlu dibuka dan letak di rak tersedia. Saya berjalan di satu lorong - di sebelah kiri terdapat deretan tandas dan tempat wuduk (berasingan bagi lelaki dan perempuan) dan di sebelah kanan merupakan ruang solat.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Ruang solat Masjid Fujikawaguchiko. Terdapat rak rendah sebagai pemisah ruang antara jemaah lelaki dan perempuan. Tenang dan selesa dapat menunaikan solat di sini. Alhamdulillah!

Semoga Allah mengurniakan ganjaran kebaikan di dunia dan akhirat kepada semua pihak yang telah berusaha mendirikan masjid ini dan menghidupkan operasi masjid. Ianya merupakan satu sumbangan besar buat komuniti Muslim di sini dan buat para musafir.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Tempat wuduk perempuan. Perhatikan rekaan seperti kolah, jadinya air wuduk tak membasahi lantai. Rekaan yang sangat praktikal bagi mengatasi masalah basah dan lantai jadi licin di tempat wuduk.

Selesai menunaikan solat, saya kembali ke ruangan kafe. Rupa-rupanya makanan yang dipesan baru saja tiba. Mujurlah saya tak duduk menunggu saja. Ketika ini juga dah agak ramai pelanggan yang datang, tadi cuma kumpulan kami yang berada di sini.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Entah apa nama menu ni, masakan jenis pasta. Sedap memuaskan selera. Macam biasa, Encik Suami memesan dua jenis hidangan berbeza untuk kami kongsi berdua.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Satu lagi makanan - kebab. Ada dua saiz, Big/1,000 yen dan M/800 yen. Ada pilihan rasa, antaranya - original, spicy, teriyaki dan wasabi. Kalau tak silap, kami ambil perasa teriyaki. Saya agak kurang suka makan kebab sebab biasanya kalau makan selalu dapat yang tak kena selera. Tapi kebab yang saya makan ni sangat sedap. Recommended!

Selesai makan - sementara menunggu yang lain siap urusan makan/solat/tandas, saya keluar dari bangunan masjid ini untuk melihat-lihat kawasan sekitar. Bukan senang nak sampai ke sini, rugilah kalau duduk saja tak memerhati hal-hal baru.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Jalan raya di hadapan masjid. Jalan raya di sini tidak begitu lebar dan tak banyak kenderaan lalu-lalang (hasil pemerhatian saya yang cuma seketika di sini).

Masjid ini terletak berhadapan dengan Tasik Kawaguchi, tapi bukanlah nampak jelas tasik di depan masjid. Kita kena berjalan kaki sedikit. Di seberang jalan ini juga terdapat sebuah kawasan parkir yang luas, mungkin untuk pengunjung yang nak bersiar-siar di kawasan tasik dan melawat tarikan pelancongan di sekitarnya.

Kalau nak penginapan yang berhampiran dengan Masjid Fujikawaguchiko, mungkin boleh menginap di Kawaguchiko Lakeside Hotel - bangunan bumbung merah pada foto di atas. Kalau menginap di situ, boleh berjalan kaki untuk makanan halal di masjid dan bersiar di tasik. Ada banyak lagi penginapan lain di sekitar masjid, saya sebut satu ni je sebab memang nampak jelas dari hadapan masjid.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Tadi foto betul-betul depan masjid, ini pula hasil foto selepas saya bergerak jauh sedikit. Sebelah kiri tu bangunan masjid, bersebelahan dengan tempat latihan sukan (entah sukan apa). Cantik pemandangan alam di sini.

Di suatu sudut (keluar pintu bangunan masjid, pandang sebelah kanan), saya nampak deretan vending machine minuman. Salah satunya begitu menyerlah dengan ciri-ciri budaya Jepun.

Fujikawaguchiko manhole cover
Sempat juga saya berfoto dengan penutup manhole yang cantik ni. Sebelum ini cuma baca cerita orang berkenaan penutup manhole unik di Jepun, sekarang saya dapat saksikan sendiri. Kagum sungguh, benda buat tutup lubang je pun jadi bahan seni yang menarik!

Motif pada penutup manhole ini menggambarkan Gunung Fuji, Tasik Kawaguchi dan Kawaguchiko-ohashi Bridge. Bunga-bunga tu tak pasti entah gambaran bunga apa. Hasil Google Lens, tertera tulisan atas bermaksud - Kawaguchiko Town dan tulisan bawah gagal diterjemah.

Kenapa Jepun buat penutup cantik begini? Boleh baca info menarik di japaninsides.com.

Sebelum beredar dari sini, kumpulan kami berfoto kenangan di hadapan masjid. Sebelah kami itulah kenderaan yang membawa kami seharian ke sana sini - sebuah MPV Toyota Alphard. Cukup luas dan selesa.

Ke mana pula selepas ini? Kami ke tempat yang membuat saya begitu teruja menyaksikan warna dedaun musim luruh 🍁🍂







Friday, 21 February 2025

Bingkisan Dari Blogger Mulan

Semalam petang saya terima bingkisan dari blogger Mulan. Berbungkus cantik dan kemas sekali. Belum dibuka pun dah berbunga rasa hati!




Tersenyum lebar saya membelek barangan yang diterima. Bukan satu, tapi ada empat semuanya! Sebelum ni blogger Mulan pernah beri Tupperware warna purple, kali ni dapat warna purple lagi. Maka bertambahlah geng Tupperware purple saya 😊

Alhamdulillah syukur atas rezeki diterima. InsyaAllah semua barangan akan digunakan sebaiknya. Setiap kali guna, pasti saya akan teringat pada sahabat blogger Mulan 💙

Terima kasih buat blogger Mulan atas pemberian yang sangat menarik ini. Semoga Allah membalas dengan kebaikan di dunia dan akhirat.

Oh ya, bingkisan ini saya terima kerana menjadi 'Top Commentators', tapi saya berada di nombor paling corot 😄😅







Thursday, 20 February 2025

Oishi Park - Taman di Tepian Tasik Kawaguchi, Fujikawaguchiko

CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KEDUA - KHAMIS, 5 DISEMBER 2024


Pukul 11.05 pagi, kami tiba di Oishi Park - sebuah taman di tepian Tasik Kawaguchi, Fujikawaguchiko yang menawarkan pemandangan memukau Gunung Fuji. Oleh sebab itu, ia menjadi tumpuan para pelancong untuk memotret keindahan gunung ikonik ini dengan berlatarkan kawasan taman dan Tasik Kawaguchi.

Oishi Park - Taman di Tepian Tasik Kawaguchi, Yamanashi, Jepun
Kami diberi masa kira-kira 1 jam untuk berada di sini. Sebelum berpecah mengikut langkah kaki masing-masing, Encik M arahkan kami berfoto kenangan di sini.

Oishi Park - Taman di Tepian Tasik Kawaguchi, Yamanashi, Jepun
Oishi Park juga terkenal dengan keindahan bunga-bunganya. Tetapi ketika kami di sini, taman ini nampak kurang berseri disebabkan peralihan musim luruh memasuki musim sejuk - dedaun pokok berguguran dan tak banyak bunga-bunga. Apa pun, saya tetap bersyukur kerana dapat juga ke sini menyaksikan perubahan alam di negara empat musim.

Oishi Park - Taman di Tepian Tasik Kawaguchi, Yamanashi, Jepun
Saya dan Encik Suami berjalan-jalan seketika di kawasan taman bahagian hadapan - berhampiran tempat parkir kenderaan. Suasana di sini meriah dengan jumlah pelancong yang ramai. Udara terasa begitu sejuk walaupun matahari sedang memancar terang.

Oishi Park - Taman di Tepian Tasik Kawaguchi, Yamanashi, Jepun
Monument of Fuji - dibina dengan menggunakan batuan yang dikumpul dari 252 tempat di 47 prefecture (negeri) di Jepun. (Sumber info : kawaguchiko.net)

Oishi Park - Taman di Tepian Tasik Kawaguchi, Yamanashi, Jepun
Jom kita masuk ke bangunan Natural Living Centre yang menempatkan jualan makanan ringan dan cenderamata.

Paling terkenal di sini - aiskrim lavender berwarna purple. Tapi saya tak mencuba aiskrim lavender sebab tak buat carian terlebih dahulu berkenaan status halal (boleh juga bertanya langsung di kaunter jualan), selain kurang berminat untuk makan aiskrim dalam suasana sejuk.

Lagi pula, mata saya lebih tertarik mahu membelek deretan produk cenderamata yang ditawarkan di sini. Semuanya nampak sangat menarik!

Oishi Park - Taman di Tepian Tasik Kawaguchi, Yamanashi, Jepun
Pelbagai jenis beg dengan motif menarik.

Oishi Park - Taman di Tepian Tasik Kawaguchi, Yamanashi, Jepun
Produk daripada lava Gunung Fuji. Harga semuanya tertera dengan jelas, mudahlah nak memilih ikut bajet kita. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas.

Oishi Park - Taman di Tepian Tasik Kawaguchi, Yamanashi, Jepun
Pelbagai jenis tuala muka dan sapu tangan.

Lebih kurang 20 minit juga saya di sini membelek dan memilih cenderamata.

Dengan pembelian minima sebanyak 5,500 yen, boleh dapat diskaun 10% sebab membeli di 'Tax-free Shop'. Perlu berikan pasport semasa membuat bayaran bagi menunjukkan bukti bahawa kita bukan penduduk Jepun dan juga tidak menetap di sini.

Sementara Encik Suami uruskan pembayaran di kaunter khas tax-free, saya keluar bangunan untuk berjalan-jalan di bahagian lain taman yang tadinya belum sempat pergi.

Oishi Park - Taman di Tepian Tasik Kawaguchi, Yamanashi, Jepun
Di bahagian ini lebih banyak jenis pokok. Ada juga yang sedang berbunga.

Oishi Park - Taman di Tepian Tasik Kawaguchi, Yamanashi, Jepun
Cantik bunga berwarna merah oren. Jenis bunga ros agaknya.

Oishi Park - Taman di Tepian Tasik Kawaguchi, Yamanashi, Jepun
Berada di sini kita dapat menikmati sepuasnya keindahan Gunung Fuji tersergam di depan mata. Tak jemu memandang dan memerhatikan puncak Fuji yang berubah rupa - boleh bandingkan dengan foto puncak Fuji dalam entri terdahulu.

Oishi Park - Taman di Tepian Tasik Kawaguchi, Yamanashi, Jepun
Kita zoom-in, perhatikan terdapat pembentukan awan di atas puncak Fuji.

Oishi Park - Taman di Tepian Tasik Kawaguchi, Yamanashi, Jepun
Pemandangan puncak Fuji yang diselimuti salji memutih. Masya Allah indah sungguh!

Oishi Park - Taman di Tepian Tasik Kawaguchi, Yamanashi, Jepun
Berfoto kenangan di Oishi Park berlatarkan Gunung Fuji dan hasil shopping di sini. Tak sempat nak fikir sudut yang cantik, ambil sajalah foto di sudut mana pun.

Untuk info, barang yang dibeli dengan diskaun tax-free tadi akan di masukkan dalam beg plastik khas dan siap seal. Peraturannya - selagi kita berada di Jepun, kita dilarang buka seal tersebut.

Oishi Park - Taman di Tepian Tasik Kawaguchi, Yamanashi, Jepun
Anjing comel yang lalu di hadapan saya. Sepanjang berada di Tokyo, saya selalu jumpa orang bawa anjing comel begini berjalan dicelah orang ramai. Sekali pandang, nampak macam anak patung pula.

Setelah lebih kurang satu jam berada di Oishi Park, kami kembali berkumpul bersama keluarga Encik A di kenderaan sewa. Encik M maklumkan selepas ini kami akan dibawa ke masjid terdekat untuk makan tengah hari dan menunaikan solat.