Thursday, 29 February 2024

Cerita Ular dan Cacing Besar

Entri pada tarikh yang jarang ditemui - 29 Februari. Selamat ulang tahun kelahiran buat anak saudara dan biras saya yang menyambutnya pada hari ini. Semoga beroleh bahagia di dunia dan akhirat.

——-

Dalam entri Tumpang Tidur, saya ada menyebut berkenaan ular dan cacing besar. Saya cuba catatkan kisahnya tanpa foto yang jelas supaya entri ini tak mengganggu perasaan kalian yang membaca 😄

ULAR DI TINGKAP BILIK TIDUR
Sebelum ini memang ada yang berpesan kepada saya supaya berhati-hati dengan kehadiran ular di rumah. Saya juga diingatkan supaya jangan biarkan pintu sliding door terbuka tanpa pengawasan kerana bimbang ular menyelinap masuk. Jadinya saya cuma buka beberapa buah tingkap di ruangan tertentu bagi tujuan pengudaraan. Saya fikir, ular tak memanjat dinding untuk masuk rumah melalui tingkap. Tapi…

Foto tingkap bilik sejurus selepas ular berjaya dikeluarkan.
Pagi 4 Januari lalu, saya buka satu daun tingkap sahaja di bilik tidur supaya cahaya matahari pagi dan udara segar dapat masuk ke bilik. Menjelang tengah hari saya tutup daun tingkap tersebut dan turunkan bidai bagi menghalang terik matahari. Sebagai makluman - tingkap ni ada tiga ‘lapisan’ iaitu tingkap cermin di luar, kemudian ada grill tingkap dan tambahan jaring nyamuk aluminium.

Petangnya, saya tergerak hati nak melihat ke luar rumah. Saya tarik tali bidai tingkap dan terkejut melihat seekor ular berwarna coklat sedang melingkar pada bingkai tingkap 😱. Spontan saya menjerit dek terkejut. Walaupun saiz ular taklah besar, mungkin anak ular tapi dah cukup buat saya terkejut dan rasa seram! Maknanya tengah hari tadi masa saya tutup daun tingkap, si panjang ni dah berada di sudut bingkai tingkap yang saya tak perasan 😧

Saya tenangkan diri (tarik nafas dalam-dalam) dan terus hubungi Encik Suami di tempat kerja. Alhamdulillah tak terjadi perkara buruk, ular berjaya dibawa pergi ke tempat lain oleh seorang kawan Encik Suami. Begitulah kisah saya yang pertama kali menghadapi situasi ular hampir masuk ke kediaman kami.


CACING BESAR
Kalian pernah jumpa cacing dengan saiz besar dan panjang? Saya pernah jumpa beberapa kali sewaktu di kampung. Kali ini bukan sesekali jumpa tau, tetapi setiap hari (dalam suatu tempoh masa) dan dalam jumlah yang banyak sehingga mencecah lebih 20 ekor dalam satu masa!

Maka, menjeritlah saya (dengan jeritan kecil) setiap pagi bila keluar rumah nampak cacing besar bersepah di lantai luar. Kebanyakkannya dah mati/tak bergerak dan ada sebahagian kecil masih bergerak. Lama-kelamaan bila dah setiap hari nampak, saya dah tak menjerit cuma muka berkerut dek rasa geli.

Setiap hari juga, saya menyaksikan kumpulan kerengga berusaha membawa cacing-cacing ini melalui kabel telefon menuju ke sarang kerengga di sebatang pokok. Saya geli pada cacing, tapi terselit rasa lucu dan kasihan juga melihat cacing-cacing ini menjadi ‘lauk kenduri’ kumpulan kerengga.

Foto-foto ‘penghantaran lauk kenduri’ ini dirakam sekitar penghujung Disember sehingga pertengahan Januari. Biar panas terik, hujan turun atau di awal pagi, gigih kumpulan kerengga ini bekerja. Paling geli dan seram (kalau-kalau terjatuh!) bila ada sehingga tiga ekor cacing bergantungan di kabel ini.

Pagi 1 Februari, akhirnya saya dapat keluar rumah melakukan ‘morning walk’ dengan tenang kerana tiada lagi kelihatan cacing besar di lantai luar rumah dan di jalanan. Fuh, lega! Syukurlah kehadiran cacing yang seperti satu serangan ini ada tempoh masa.

Menurut pemerhatian saya, ianya muncul sekitar pertengahan Disember sehingga penghujung Januari. Mula-mula sedikit, kemudian banyak dan selepas itu berkurangan sehinggalah tiada langsung.

Apa faktor ‘mereka keluar beramai-ramai’ tidaklah saya ketahui. Carian internet gagal menemukan jawapan. Teori yang boleh saya fikirkan, ada dua kemungkinan iaitu musim cacing keluar untuk bertelur/mengawan kemudian mati dan/atau petanda bermulanya musim panas kemarau di Perlis (cacing keluar dek kepanasan).

Saya catatkan kisah ini di blog sebagai satu dokumentasi bagi tujuan pemerhatian saya terhadap alam sekitar di sini. Saya rasa seronok dapat memerhatikan dan mengenali pelbagai hidupan di sini (meskipun seram dengan si panjang 😅).






.

Monday, 26 February 2024

Kudapan Kacang Poi Rebus

Pertama kali saya jumpa dan kenal kacang poi sewaktu mengunjungi Nat Balai Baru di Beseri, Perlis pada bulan Disember lalu. Menurut blogger Mama Cella (dalam komen entri Nat Balai Baru), kacang poi cuma ada setahun sekali sahaja.

Kacang Poi
Kacang poi mentah, saya beli di nat harganya RM10/kg.

Kacang Poi
Menurut penjual, cara rebus kacang poi sama macam kita rebus kacang tanah. Cara saya - rebus menggunakan PPC (Philips Pressure Cooker) dengan mode steam dan set KPT (keep pressure time) selama 20 minit.

Kacang Poi
Kacang poi rebus.

Kacang Poi
Saiz kacang poi.

Kacang Poi
Perbezaan rupa isi kacang poi mentah (luaran lebih licin berkilat) dan yang sudah direbus.
Kacang poi berbentuk bulat berisi satu biji kacang, kalau yang berbentuk lonjong berisi dua biji kacang. Tapi kebanyakkannya berbentuk bulat. Isi kacang poi berwarna merah tua.

Menurut saya, rasa kacang poi sama seperti rasa kacang tanah rebus tetapi lebih berlemak. Lebih sedap! Saya kurang menggemari kacang tanah rebus, tetapi nampaknya kacang poi rebus menjadi kudapan yang saya gemari.






.

Friday, 23 February 2024

Setelah 12 Hari

Kembali Ke Rumah Perlis Setelah 12 Hari 12 Malam
Catatan rekod paling lama setakat ini, kami tinggalkan rumah Perlis selama 12 hari 12 malam mulai hari Khamis 8 Februari pukul 7 pagi dan kembali pada hari Selasa 20 Februari kira-kira pukul 5.30 pagi 😅

Balik kampung di Johor cuma 2 malam, manakala 9 malam tu saya menetap di rumah NS untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan balik kampung dan juga atas urusan kerja Encik Suami. Satu malam lagi kami berada atas jalan, siap tidur entah 4 atau 5 kali di hentian dek nak menghilangkan rasa mengantuk.

R&R Bukit Gantang, salah satu hentian tempat kami melelapkan mata. Buka tingkap sedikit dan matikan enjin. Suasana tenang dan agak lengang. Pengalaman baru buat kami, tidur dalam kereta di beberapa hentian dan menyaksikan pengorbanan para pemandu kenderaan berat yang hanya melelapkan mata dalam kenderaan masing-masing.


Kembali Menikmati Keindahan Alam
Saya seorang yang suka menikmati alam semula jadi. Tempoh masa 12 hari meninggalkan rumah Perlis terasa lama. Tambahan pula hampir setiap hari saya buat ‘morning walk’, jadinya terasa ada sesuatu yang tak lengkap bila lama tak buat.

Petang hari pertama tiba di rumah, saya bersama Encik Suami keluar jalan-jalan di sekitar rumah. Macam biasa, cara saya menikmati alam adalah dengan memerhati dan memotret.

Saya letak di sini foto dan video berikut sebagai kenangan :

Rumput kekeringan dek cuaca panas melampau dan taburan hujan yang sangat kurang (hampir tiada) di bumi Perlis ekoran musim angin timur. Setiap kali melangkah, saya boleh dengar bunyi derap rumput kering dipijak. Fenomena ini berlaku antara bulan Disember hingga Mac setiap tahun. Fakta ini saya ketahui hanya setelah menjadi sebahagian daripada penduduk Perlis 😄

sinaran krepuskular (crepuscular ray)
Pemandangan indah sinaran matahari dari celahan awan. Fenomena ini dikenali sebagai sinaran krepuskular (crepuscular ray).

Sinaran krepuskular ialah sinaran cahaya matahari yang terbentuk apabila matahari berada rendah di ufuk ketika sedang terbenam atau terbit dan dilindungi oleh gunung-ganang atau awan yang rendah. (Sumber info dan bacaan lanjut di laman web MYSA).

Bunga liar yang menarik perhatian saya.

Terpesona saya memerhatikan pokok lalang meliuk dibuai angin yang agak kuat.

Rasa seronok dan tenang jiwa saya dapat memerhatikan alam. Terima kasih Allah atas kurniaan nikmat hidup di tempat yang sesuai dengan jiwa saya meskipun ada beberapa hal lain yang perlu saya terima seadanya.






.

Wednesday, 21 February 2024

Tembok Mesir - Hentikan Fitnah, Tuduhan dan Prasangka


Screenshot bertarikh 16 Februari 2024.

Hanya dengan sekeping foto dan susunan kata meruntun rasa,
Lalu tanpa usul periksa ramai sekali yang melulu percaya.

Deretan komen berbaur fitnah dan tuduhan dilemparkan,
Pelbagai kata hinaan penuh amarah dilontarkan.

Mengapa kita mudah percaya?
Kerana kita malas berfikir.
Kerana kita tidak mencari kebenaran.
Kerana kita gemar mencari salah orang.

Kita lupa siapa musuh sebenar kita dalam isu Palestin-Israel.
Kita lupa bahawa kita juga ada tanggungjawab membantu Palestin.

Isu Palestin sepatutnya menyatukan kita umat Islam, bukan pecah belah.
Berhentilah menuding jari sesama negara Islam, tetapi carilah solusi.
Usah ditambah kekalutan yang ada dengan menyuburkan prasangka sesama kita.

Tanyalah diri sendiri, apa sumbangan kita dalam membantu Palestin?
Sudahkah kita berdoa saban hari memohon kemenangan buat Palestin?
Sudahkah kita memperbaiki iman bagi menjadi sekuat rakyat Palestin?


**************************************

Pernahkah kita berfikir sejenak apa akan terjadi kepada negara Palestin sekiranya semua rakyatnya lari meninggalkan bumi Palestin? Mereka tak akan boleh kembali dan negara Palestin tidak dapat didirikan! Itukah yang kita mahu?

Rakyat Palestin akan terus berjuang di bumi Palestin. Sementara itu, kita di sini teruskan berjuang menurut kadar kemampuan kita. Sebarkan semangat perjuangan dan sokongan terhadap Palestin serta jangan pernah putus asa memohon bantuan daripada Allah.

Saya jemput kalian ikuti perkembangan isu Palestin oleh Tuan Zainal Rashid Ahmad (ZRA) di Facebook - ZRA STRIM. Semoga kita mendapat pencerahan tentang isu Palestin dan tidak melupakan rakyat Palestin yang sedang berjuang di medan peperangan yang memasuki hari ke - 138.

Saya juga memohon kita tidak mengecam pihak yang membuat posting dan berkongsi posting di atas. Setiap kita punya kelemahan sendiri. Semoga pada ketika ini posting tersebut (dan posting lain yang seumpamanya) sudah dipadam. Kita hentikan sebaran berbaur fitnah, tuduhan dan prasangka sesama negara Islam.



حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
Maksudnya: “Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami).”







Monday, 19 February 2024

BookDoc Virtual Run Challenges

Semenjak rajin buat ‘morning walk’ dan menetap di rumah yang memerlukan saya banyak melangkah, saya mula terfikir nak merekodkan langkah harian saya di aplikasi BookDoc dan menyertai siri cabaran ‘virtual run’. Tujuannya sekadar untuk menaikkan semangat diri agar kekal aktif. 

Cabaran ‘virtual run’ ini diadakan pada setiap bulan dan kita boleh sertai secara percuma atau berbayar. Kalau pilih berbayar, kita dapat t-shirt dan e-sijil. Setakat ini saya pilih penyertaan percuma sahaja. Jimat 😁

Berikut merupakan cabaran yang telah saya sertai pada bulan Disember 2023 dan Januari 2024 :

BookDoc Virtual Run Challenges
International Virtual Run Series 2023 - OSLO | 1 - 31 December 2023
Saya berjaya dapat virtual medal Silver & Gold. Masa ni (bulan Disember) saya sedang sibuk mengemas rumah baru pindah, itu yang mampu dapat lebih 200,000 langkah dalam sebulan.

BookDoc Virtual Run Challenges
International Virtual Run Series 2024 - SEOUL | 1 - 31 January 2024

BookDoc Virtual Run Challenges
Year of the Dragon Virtual Run 2024 | 1 - 10 January 2024

Alhamdulillah permulaan yang baik dan bersemangat bagi tahun 2024. Sebenarnya taklah begitu susah nak capai 100,000 langkah dalam sebulan, iaitu kira-kira 3,333 langkah sahaja setiap hari. Tapi tak juga mudah kerana sebelum ni saya tinggal di rumah jenis apartmen, memang susah nak dapat 3,000 langkah sehari hanya dengan melakukan kerja-kerja biasa di rumah. Nak turun ke bawah buat ‘morning walk’ pun rasa tak bersemangat sebab tak ada keindahan alam semula jadi untuk saya nikmati. Banyak betul alasannya kan 😆






.

Saturday, 17 February 2024

Tumpang Tidur

Cerita bulan November lalu, iaitu bulan pertama saya berhijrah ke negeri paling utara di Semenanjung Malaysia. 

Burung layang-layang
KISAH 1 | Seawal malam hari pertama saya dan Encik Suami tiba di kediaman baru kami, sudah ada sepasang burung yang menumpang tidur pada besi di bumbung beranda rumah. Saya tak pasti entah apa fungsi besi tersebut, tapi yang pasti ia jadi tempat tidur bagi sepasang burung layang-layang.

Setelah lebih 3 bulan, sepasang burung ini masih lagi menetap di sini. Menjelang malam, burung-burung ini datang dan serentak beredar bila langit mulai terang. Setakat ini kami tak ada masalah dengan kehadiran burung-burung ini kecuali perlu menyediakan bekas najis dan membasuhnya setiap hujung minggu. Macam membela burung pulak ya 😄


Burung tidur atas selipar
KISAH 2 | Ini pula burung yang paling comel gaya tidurnya 😀. Masa ni kami tinggalkan rumah satu malam sebab bermalam di rumah PP untuk kerja mengemas dan pindah barang. Malam berikutnya kami balik, dalam kelam cahaya saya nampak satu objek bulat besar di atas selipar yang diletakkan berhampiran pintu masuk. Bila buka lampu, Ya Allah ada burung sedang tidur di atas selipar saya 😂

Entah apa nama burung ini. Kepalanya disorokkan di balik sayap. Comel sangat. Geram saya sampai rasa nak pegang tapi nanti mengganggu tidurnya pulak. Tambah lucu, burung ni nampaknya tidur mati. Kami berulang-alik keluar masuk pintu rumah angkut barang (lalu betul-betul di sebelah selipar) sambil berborak agak kuat, tapi burung ni sedikit pun tak terganggu.

Esok paginya sekitar pukul 6 lebih pagi, saya tengok burung ni masih lena tidur. Bila dah siang, burung ni pun menghilang.


KISAH 3 | Ada satu malam tu saya hidupkan lampu kecil di luar rumah. Saya pun jenguklah di balik cermin sliding door untuk memastikan saya tak silap hidupkan lampu. Tapi terkejut saya bila nampak ada seekor burung sedang tumpang tidur 😄. Kesian pulak tidur lampu terang, jadi saya matikan lampu tersebut. Saya perasan ada beberapa malam burung ni tidur di atas lampu.


Beginilah bila tinggal di suasana yang begitu dekat dengan alam semula jadi. Macam-macam pengalaman baru yang saya lalui. Ini salah satunya. Saya belum lagi mencatat kisah ular di tingkap rumah dan ‘serangan’ cacing besar di luar rumah.






.

Friday, 16 February 2024

Ke Klinik Gigi Memenuhi Rutin Setiap 6 Bulan

[Catatan hari Sabtu, 3 Februari 2024]

Janji temu rawatan susulan bagi masalah gusi saya ini telah dibuat pada bulan Julai 2023 lalu sewaktu masih menetap di Pulau Pinang. Sekarang bila dah berpindah ke Perlis, terpaksalah saya bertolak seawal kira-kira pukul 5 pagi supaya sempat tiba di klinik sebelum waktu janji temu iaitu pada pukul 9 pagi. Disebabkan ini klinik pakar, maka susah bagi saya nak tukar masa sesuka hati.

Alhamdulillah pukul 8 pagi saya dan Encik Suami dah berada di atas Jambatan Pulau Pinang. Nampaknya ada pembinaan di sebelah jambatan. Entah nak buat apa agaknya.

RAWATAN & KOS | Seperti biasa, Dr. Freeda menyambut mesra kehadiran saya di bilik rawatan dengan ucapan salam dan bertanya tentang kesihatan gigi (baca : gigi dan gusi). Alhamdulillah sejak kali terakhir bertemu beliau 6 bulan lalu, saya tak mengalami sebarang masalah gigi.

Rawatan susulan kali ini doktor lakukan tiga perkara berikut :
  • Scaling
  • Periksa ikatan gigi (splinting)
  • Ukur gigi
Alhamdulillah semua dalam keadaan baik dan tiada penyakit gusi. Menurut Dr. Freeda, walaupun ada bahagian gigi saya yang masih mengalami penyusutan gusi agak teruk (dapat diketahui setelah melakukan prosedur ukur gigi) tetapi semuanya bebas penyakit gusi. Gusi yang susut memang tak dapat pulih kembali tetapi dapat dicegah penyusutannya dengan memastikan gusi bebas penyakit.

Kos rawatan susulan kali ini sebanyak RM400. Janji temu seterusnya pada awal bulan Ogos. Alhamdulillah lega setiap kali selesai hal gigi. Maklumlah bukan mudah nak beranikan diri jumpa doktor gigi.






.

Thursday, 15 February 2024

Balik Kampung 3H2M

Balik kampung kali ini, kami cuma ke rumah mak saya di Pontian. Kami tak balik rumah mak Encik Suami di Batu Pahat kerana mak berada di rumah adik di Perlis.

Kepulangan kali ini juga agak berbeza kerana kesihatan mak saya yang semakin merosot sejak pertengahan Januari lalu. Kalau sebelum ini mak cuma perlukan tongkat, kali ini mak perlukan bantuan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan beliau.

Sedikit coretan selama 3 hari 2 malam (9 - 11 Februari 2024) di kampung buat rujukan dan kenangan di masa akan datang :

PENUNGGANG AGAMA? | Semasa melakukan kerja-kerja mengemas rumah mak, saya jumpa kertas ini. Terkejut saya bila baca butiran pembelian al-Quran dengan harga sebegitu mahal! Mak bercerita, ada orang datang rumah menawarkan pembelian al-Quran untuk diwakafkan. Pihak mereka juga akan membacakan al-Quran untuk senarai nama yang diberi pembeli.

Tepuk dahi saya mendengarnya. Walau dah berkali saya pesan pada mak jangan layan orang begini, tetap jua mak terpedaya. Sebelum ni kalau mak nak menderma ke mana-mana, mak akan maklumkan kepada saya untuk buat urusan. Kali ini entah apa ayat manis si penunggang agama sehingga terpedaya mak saya (dan beberapa orang jiran lain yang juga warga emas). Mungkin berat tuduhan saya mengatakan orang tersebut penunggang agama. Tapi dengan semua bukti yang ada, apa lagi perkataan yang sesuai untuk manusia sebegini? Datang dari Pahang ke kampung di Johor mendekati warga emas, menjual al-Quran yang tak wujud dengan harga beratus ringgit dengan alasan untuk wakaf dan kod QR pada bil yang tidak memaparkan apa-apa maklumat.

BUAH PULASAN ISI TEBAL MANIS RASANYA | Alhamdulillah rezeki balik kampung kali ini pokok pulasan di tepi rumah mak sedang berbuah. Ada sedikit yang sudah boleh dimakan dan banyak lagi masih berwarna hijau. Bolehlah ahli keluarga yang lain turut merasa bila tiba masa mereka balik kampung nanti.

Foto di atas - Encik Suami panjat pokok petik buah. Tiga orang anak saudara jadi tukang kutip dan tukang makan. Saya pula tukang memerhati dan tukang merakam foto sambil mendukung si kecil.

MAKAN MALAM DI RUMAH KOPI SOGAMA | Kunjungan kali kedua kami di sini. Kami bawa dua orang anak saudara bersama. Perubahan kali ini, sudah ada ruang tambahan di belakang kedai menjadikan tempat ini lebih luas bagi memuatkan pelanggan yang ramai.

Suasana di lebuh raya sewaktu kami kembali menyambung perjalanan.
TIDUR 1 JAM DI R&R SENAWANG | Kami bertolak dari rumah mak menuju ke rumah NS kira-kira pukul 6 petang. Jalan raya sesak tapi kenderaan masih bergerak. Masuk waktu malam, mata saya mulai mengantuk dan asyik terlelap. Encik Suami pun saya perhatikan kerap kali menguap. Akhirnya Encik Suami bersuara, katanya nak berhenti di hentian untuk tidur. Suasana sesak di hentian, Alhamdulillah dapat juga ruang parkir. Kami matikan enjin kereta dan buka sedikit tingkap kereta sebelum sama-sama terlelap.

Sekitar 1 jam atau lebih kami tidur, kami kemudiannya menyambung perjalanan. Sebenarnya dah tak jauh sangat untuk kami exit tol Nilai. Tapi kalau pemandu terlalu mengantuk, wajiblah berhenti rehat. Biar lambat asal selamat.

Alhamdulillah kami selamat sampai di rumah NS kira-kira pukul 1 pagi.






.

Tuesday, 13 February 2024

Bulan Sabit Tua, Planet Zuhrah dan Tol Percuma di Hari Israk Mikraj

[Catatan hari Khamis, 8 Februari 2024]

Alhamdulillah negeri Perlis ambil cuti umum pada hari Khamis lalu sempena Israk Mikraj, maka dapatlah kami bercuti panjang sedikit untuk pulang ke kampung halaman di negeri Johor. Ini merupakan kali pertama kami balik kampung selepas berpindah ke Perlis.

Malam sebelum bertolak, Encik Suami dah masukkan segala beg dan barang dalam kereta. Kali ini banyak yang perlu kami bawa sehingga penuh but kereta dan tempat duduk belakang. Encik Suami bawa sekali peralatan tebuk lubang dinding, water jet dan mesin pemotong pokok bagi memudahkan kerja-kerja di rumah Mak. Keperluan pakaian pula kami bawa banyak sebab selepas balik kampung, Encik Suami sambung kerja di KL pula.


BULAN SABIT TUA dan PLANET ZUHRAH
Kami bergerak meninggalkan rumah Perlis kira-kira pukul 7 pagi. Tapi sebelum itu, saya sempat menikmati keindahan langit Subuh dan merakam foto-foto berikut dari halaman rumah :

Bulan sabit tua (waning crescent moon) dan planet Zuhrah (Venus)
Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Bulan sabit tua (waning crescent moon) dan planet Zuhrah (Venus), kedua-duanya bersinar indah di langit Subuh. Pemandangan yang memukau 😍

Terima kasih Encik Suami yang memaklumkan kepada saya. Kita ni tengah kelam-kabut periksa rumah sebab nak tinggalkan dalam tempoh lama, tak perasan apa ada di langit.

Bulan sabit tua (waning crescent moon) dan planet Zuhrah (Venus)
MasyaAllah cantik!

Hasil zoom-in ~30x.

Dah puas saya menikmati dan merakam foto langit Subuh, kami pun bergerak bagi memulakan perjalanan menuju ke selatan tanah air.


TOL PERCUMA
Kami tak tahu pun hari ini (8 Februari) kerajaan bagi tol percuma. Semasa keluar di tol Bertam/Kepala Batas untuk sarapan di Nasi Lemak Nooraz, kami terkejut tengok kadar tol RM0.00.

Terus saya buat carian internet. Oh, rupanya tol percuma pada 8 & 9 Februari sempena perayaan Tahun Baru Cina. 

Tol percuma Tahun Baru Cina
Seronok sungguh bila sentuh kad untuk membayar, paparan menunjukkan RM0.00! Foto di atas saya rakam ketika exit tol Putrajaya.

Kami menginap satu malam di rumah NS sebelum meneruskan perjalanan ke Johor pada esok pagi. Sebelum ke rumah NS, kami ke IOI City Mall bagi membeli keperluan di HomePro.

Penjimatan tol bagi perjalanan kali ini dari Perlis ke Johor adalah kira-kira RM80. Alhamdulillah rezeki!






.

Wednesday, 7 February 2024

Bingkisan Dari Kuantan

Petang semalam posmen PosLaju datang rumah. Walaupun hon motor posmen kedengaran perlahan dan lemah seperti orang belum makan, namun masih dapat saya dengari dari bilik tidur. Berlari anak saya segera ke luar rumah. Encik posmen menyebut nama saya dan menyerahkan sebuah bungkusan. Saya diminta pegang bungkusan untuk dirakam foto bungkusan tersebut. Ambil sekali, tak jadi. Ulang sekali lagi.

Geli hati juga sebab dah bertahun saya tak alami hal begini - ambil bungkusan dan dirakam foto bungkusan di tangan kita 😄. Sebenarnya, kalau dengan syarikat kurier lain saya tak perlu keluar ambil bungkusan pun kerana mereka akan letak saja atas bangku di luar rumah. Makluman dihantar menerusi WhatsApp. Tetapi dengan PosLaju, saya masih perlu keluar ambil sendiri bungkusan yang dihantar. Selagi tak keluar selagi tu berbunyi hon.


BINGKISAN DARI KUANTAN
Alhamdulillah…bingkisan dari Kuantan kiriman blogger Mulan selamat saya terima. Rezeki menjadi ‘top commentators 2023’ di blog beliau (walaupun nombor hujung-hujung 😅), dapatlah merasa hadiah istimewa ini.

Lengkap dengan nota (sila klik foto untuk paparan lebih jelas). Eh, mana ada ‘tak seberapa’….

Bukak bekas plastik, tu diaa macam-macam ada!

Empat barang dengan hampir semuanya warna senada. Seronok sungguh, tambahan pulak dapat warna-warna yang saya suka 😍

Kita gantung tote bag begini, barulah jelas nampak saiznya. Tak besar sangat dan tak kecik. Mulalah terfikir nak isi apa dalam beg ni. Eh, macam-macamlah boleh isi. Banyak kegunaannya.



TERIMA KASIH BUAT SAHABAT BLOGGER MULAN ❤️
SEMOGA ALLAH LIMPAHKAN REZEKI DAN SENTIASA DALAM RAHMAT-NYA.






.

Monday, 5 February 2024

Menikmati Menu Eksotik Daging Landak

Baru-baru ini ada orang beri kami lauk daging landak. Alhamdulillah dapatlah saya merasa menu eksotik ini buat kali pertama. Kami dapat dua jenis lauk - landak masak lemak cili api dan landak masak kunyit.


DAGING LANDAK MASAK LEMAK CILI API

Daging landak masak lemak cili api

Daging landak masak lemak cili api


DAGING LANDAK MASAK KUNYIT

Daging landak masak kunyit

Daging landak masak kunyit

Bagaimana rasa daging landak? Rasanya seperti makan daging ayam tetapi isinya lebih pejal. Daging landak juga terdapat banyak tulang kecil. Sedap menurut cita rasa saya.

Dah siap makan barulah saya buat carian rupa daging landak yang sedia untuk dimasak. Erkk! Mujur tengok lepas makan. Kalau sebelum makan mungkin terbantut selera saya 😅. Bukan apa, kita tak biasa makan landak jadi rasa lain macam pulak bila tengok rupa dagingnya.






.

Friday, 2 February 2024

‘Morning Walk’ Yang Terlewat

Rutin pagi saya sekarang, hampir setiap hari saya akan buat ‘morning walk’ di sekitar kawasan rumah. Tak lama pun, dapat sekurang-kurangnya 1,000 langkah cukuplah sekadar buat senaman kaki dan jantung. Bentuk muka bumi di sini sedikit berbukit, jadinya taklah terlalu santai saya berjalan.

Selain sebagai senaman, berjalan waktu pagi memberi rasa seronok kerana saya dapat menikmati angin segar dan menikmati pelbagai bunyi kicauan burung. Tambahan lagi, dapatlah saya memerhatikan kepelbagaian alam dan mengabadikannya dalam bentuk foto.

Biasanya sekitar pukul 7.30 pagi sehingga 8.30 pagi saya akan keluar berjalan. Tapi pagi tadi saya memulakan langkah pada pukul 10.19 pagi. ‘Morning walk’ yang terlewat.

Matahari bersinar terang dengan langit biru yang kurang litupan awan, tetapi tidaklah rasa bahang sebab masih waktu pagi. Tambahan pulak, sekarang musim angin kuat di Perlis. Jalan-jalan sambil menikmati hembusan angin, memang seronok.

Sambil jalan-jalan, saya perhati keliling - bawah, atas, kanan dan kiri. Sesekali saya berhenti memerhati dan memotret objek yang menarik perhatian. Macam pokok mati ni, ada keunikan tersendiri.

Entah bunga apa, cantik warna putih. Pokoknya melilit pada pokok tebu telur yang dah kering. Tau pokok tebu telur?

seekor belalang dengan rupa seakan daun dan ranting kayu kering
Ini pula nampak seperti seekor belalang dengan rupa seakan daun dan ranting kayu kering. Penyamaran yang bagus. Hampir saya tak perasan sebab rupa dan warnanya begini. Hebat sungguh Allah yang menciptakan serangga unik begini.


Walaupun aktiviti berjalan pagi hari ini bermula lewat, tapi saya habiskan masa lebih lama iaitu sekitar 20 minit. Tak perasan masa berlalu dek leka memerhatikan itu ini. Seronok memerhatikan alam, setiap hari ada perbezaan/perkara baru yang dapat dilihat. Sekarang ni, galeri foto pada telefon saya penuh dengan pelbagai foto alam 😀





.