Monday, 16 March 2026

Suntikan Vaksin Meningococcal & Influenza dan Jojo Kena Bisul

Berada di hujung Ramadan, terasa makin sibuk nak uruskan dan fikirkan bermacam hal. Sebelum pulang menyambut Aidilfitri di Johor beberapa hari lagi, saya perlu pastikan - pakaian/barang yang nak dibawa cukup semuanya, rumah yang nak ditinggalkan berada dalam keadaan bersih & selamat, tanaman perlu dilengkapi dengan alat penyiraman automatik dan juga keperluan Jojo si anak bulu mencukupi. Kali ini tak boleh nak harapkan bantuan jiran sebab masing-masing pun bercuti raya.

Saya juga perlu buat persediaan untuk ke Tanah Suci yang dijangkakan pada minggu kedua bulan April nanti. Sedikit berdebar bila memikirkan isu terkini konflik Asia Barat yang mungkin akan menjejaskan perjalanan kami. Menurut pihak agensi umrah, setakat ini semua berjalan seperti dirancang kerana penerbangan kami secara terus iaitu Kuala Lumpur ke Jeddah dan Madinah ke Kuala Lumpur - bukan penerbangan transit di negara zon konflik. Apa pun, saya berserah kepada Allah dan memohon dikurniakan apa yang terbaik buat kami.


Suntikan Vaksin Meningococcal & Influenza
Antara persediaan penting untuk ke Tanah Suci, kita perlu mengambil suntikan vaksin Meningococcal. Saya dan Encik Suami ambil juga suntikan vaksin Influenza, sekali datang terus cucuk dua vaksin 😀

Kami buat di KPJ Perlis, perlu ke bahagian kecemasan untuk pendaftaran dan suntikan.

Urusan lancar dan mudah, bahagian kecemasan di sini nampaknya lengang dan santai. Sampai je sini boleh terus daftar di kaunter dan tak lama kemudian nama dipanggil masuk ke ruangan untuk suntikan vaksin. Encik Suami dengan petugas lelaki di ruang terbuka, manakala saya pula dengan petugas perempuan di ruang tertutup.

Sebelum suntikan diberi, saya ditanya buat kerja guna tangan mana sebab biasanya suntikan Meningococcal akan terasa lebih sakit berbanding suntikan vaksin Influenza. Oleh kerana saya dominan tangan kanan, maka saya dapat suntikan vaksin Influenza di lengan kanan dan vaksin Meningococcal di lengan kiri.

Memang terasa sakit semasa jarum suntikan vaksin Meningococcal menembusi kulit lengan saya, berbeza dengan suntikan Influenza yang hampir tak terasa.

Dapat kad vaksin.

Kos kedua-dua vaksin yang diambil sebanyak RM199 / seorang. Alhamdulillah kami berdua tak mengalami sebarang masalah kesan pengambilan dua jenis vaksin tersebut secara sekali gus.


Jojo Kena Bisul
Beberapa hari sebelum tu kami perasan ada semacam benjolan kecil di bahagian belakang badan Jojo. Bila disentuh, Jojo nampak tak selesa dan cuba mengelak. Jojo juga berubah - biasanya tidur terlentang nampak perut, tapi kali ini tidur dalam posisi sebaliknya.

Semalam pagi kami bawa Jojo ke klinik. Hasil pemeriksaan, doktor mendapati ada bisul kecil yang sudah pun mula mengeluarkan cecair. Bila doktor check, jumpa satu lagi bisul kecil. Doktor kata, mungkin Jojo ada bergaduh dan badannya terluka. Luka tersebut jadi bisul.

Kesian Jojo, terpaksalah dicukur bahagian yang ada bisul untuk memudahkan rawatan.

Dapat dua jenis ubat - pil antibiotik untuk 6 hari dan ubat sapu luka. Kos rawatan sebanyak RM78.

Alhamdulillah pagi ni nampak Jojo bertambah baik - luka semakin kering dan dah mula terlentang tunjuk perutnya 😀







Friday, 13 March 2026

Menginap Dua Malam di Belum Rainforest Resort, Gerik


Selama tiga hari dua malam kami menginap di bilik Chengal - penginapan yang terletak berhadapan dengan Tasik Temenggor, tapi bukanlah di pinggir tasik ya. Terdapat penginapan yang terletak betul-betul di pinggir tasik iaitu jenis Traditional Chalet (kampung house), harganya bermula RM1,200/malam. Teringin juga, tapi belum sanggup nak membayar harganya tu 😄

Belum Rainforest Resort, Gerik
Bangunan penginapan kami. Bilik kami bernombor 1001, terletak di aras bawah dan pada kedudukan pertama sebaik saja kita memasuki kawasan penginapan jenis Chengal. Kalau ambil bilik Chengal aras atas, harganya lebih mahal sebab dapat pemandangan lebih menarik.

Menurut pendapat saya (setelah menginap di sini), saya lebih selesa berada di aras bawah - pergerakan lebih mudah, tak perlu naik turun anak tangga. Kalau teringin menikmati pemandangan pada aras tinggi, kita boleh naik atas (rooftop) pada bila-bila masa.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Sebaik melangkah masuk, saya rasa teruja - biliknya luas, susunan kemas dan lengkap dengan pelbagai kemudahan. Paling saya suka, masuk bilik je dah rasa sejuk - pihak resort dah siap hidupkan penyaman udara sebelum kami masuk bilik ni. Terbaik!

Belum Rainforest Resort, Gerik
Reka bentuk dalaman bilik ni unik, terdapat tirai pemisah ruangan dan ada ruang di luar bilik.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Kedudukan katil terletak berhampiran tingkap. Sambil duduk di katil kita boleh menikmati pemandangan alam - tasik dan perbukitan. 

Tilamnya agak keras - tidaklah keras macam tidur atas lantai/papan tu ya, tapi bukan jenis tilam empuk selesa. Malam pertama, saya ambil masa juga nak lelapkan mata dek kerana tilam kurang selesa dan terganggu dengan bunyi aneh yang kuat.

Jangan takut - bukan bunyi aneh yang misteri, tapi setelah disiasat ia bunyi sejenis serangga 😀. Maklum saja kita menginap dalam kawasan hutan, ada pelbagai haiwan turut menghuni di sini. Malam kedua, saya tiada masalah tidur sebab badan penat buat aktiviti air pada siang harinya.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Bangku panjang, cermin besar dan TV skrin lebar - memang puas hati guna. Payung turut disediakan, kebetulan masa kami di sini ada sekali tu hujan. Jadi kami gunakan payung tersedia untuk berjalan kaki ke restoran.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Mesin kopi, eh…jajan baby pun ada. Juga tersedia pelbagai jenis teh Cameron Highlands dalam kotak kayu yang menarik.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Naskhah Al-Quran dan sejadah dibungkus kemas, diletak pada kedudukan tinggi di rak. Bagus buat begini demi menjaga martabat Al-Quran dan mengelakkan sejadah disalah guna. Maklumlah, resort ini menerima ramai tetamu asing dan bukan beragama Islam.

Bagi yang belum tahu, Belum Rainforest Resort dimiliki oleh MKN Group Sdn Bhd (juga dikenali sebagai EMKAY Group), yang diasaskan oleh Allahyarham Tan Sri Mustapha Kamal. Jadi tak hairanlah mengapa penginapan di sini menyediakan naskhah Al-Quran dan sejadah.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Seterika, papan seterika dan bathrobe turut disediakan.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Terdapat dua ruangan dalam bilik ini yang dipisahkan oleh tirai tebal. Ruang kedua menempatkan singki, tandas, bilik mandi dan rak sidai tuala. Juga ada satu lagi ruang luar yang dipisahkan dengan sliding door.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Kelengkapan mandian dan penjagaan diri. Biasanya saya tak suka pakai yang disediakan oleh pihak hotel, tapi yang ini bila cuba sekali saya terus suka. Mandian, syampu dan losyen semuanya bau sedap. Losyen tu pula tak rasa melekit di kulit.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Tandas dan bilik mandi dibina terpisah dua, tapi berdindingkan kaca. Memang ada tirai di dinding kaca tapi tirai tu tak boleh nak tutup sepenuhnya - masih ada ruang boleh intai sebelah. Pintu tandas pula hanya tirai kelabu tu sahaja. Bilik mandi pula guna pintu kaca, tarik tirai putih untuk privasi. Pendek kata, tiada pintu yang boleh dikunci dari dalam 😆

Tiada masalah buat kami sebab datang berdua suami isteri. Kalau datang dengan ahli keluarga yang lain tu, pandai-pandailah atur untuk urusan privasi ni ya.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Ruang luar pula menempatkan tab mandi dan kerusi santai. Juga ada satu lagi singki (tak kelihatan dalam foto di atas). Kalau nak berendam secara terbuka, bolehlah tarik ke tepi tirai tu. Barulah rasa betul-betul back to nature kan 😆

Belum Rainforest Resort, Gerik
Ini pula sudut pandang dari pintu hadapan bilik kami. Terus nampak pemandangan Tasik Temenggor, perbukitan dan Jambatan Barat Tasik Temenggor.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Lebih menarik, bilik kami terletak berhampiran kolam renang. Buka pintu, jalan kaki sikit untuk jenguk bawah - nampaklah infinity pool ni. Mudahlah saya nak guna kolam renang, tengok masa orang tak ada tu cepat-cepatlah saya pergi.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Pemandangan Jambatan Barat Temenggor pada waktu malam. Tak nampak kawasan tasik atau perbukitan, gelap semuanya. Saya suka begini, barulah terasa berada dekat dengan alam semula jadi.

Secara keseluruhannya, saya sangat berpuas hati sepanjang menginap di bilik ini. Alhamdulillah semuanya dalam keadaan baik, bersih dan selesa. Ada jugalah sedikit hal seperti kepala paip singki yang berkeadaan kurang baik, tapi itu semua hanya hal kecil yang tak menjejaskan keseronokan percutian di sini.

Kalau kalian suka tempat tenang dan jauh dari kesibukan, di sinilah tempatnya. Sangat sesuai untuk percutian santai - menikmati keindahan alam semula jadi.







Tuesday, 10 March 2026

Menghampiri Penghujung Ramadan

Entri dengan beberapa kisah, senang tak perlu buat banyak entri 😄. Yang penting, ada catatan buat kenangan akan datang.


⏵ KE PEKAN RABU, ALOR SETAR
Sebelum Ramadan memang dah rancang beli apa nak beli, bulan puasa tak perlu meletihkan diri keluar cari keperluan. Tapi kadang berlaku hal di luar perancangan. Pendek cerita, hari Ahad lepas saya dan Encik Suami ke kompleks Pekan Rabu.

Pekan Rabu, Alor Setar
Hari Ahad, hari bekerja di Kedah. Tak ramai pengunjung ketika ini, tapi tidaklah lengang (foto di atas sengaja saya pilih sudut yang tak kelihatan pengunjung lain). Saya suka membeli di aras atas sebab rasa lebih nyaman, di bawah terasa lebih panas.

Pekan Rabu, Alor Setar
Beli keperluan Encik Suami di sini.

Pekan Rabu, Alor Setar
Kedai kuih dan kudapan yang selalu kami kunjungi sejak menetap di Pulau Pinang. Orang kedai pun dah kenal muka kami 😁. Kali ni kami tak beli banyak macam selalu sebab saya dah tempah kuih raya dari jiran, kami datang sebab nak membeli kuih kapit inti coklat & peanut butter kiriman mak.


⏵ INDAH BUMI PERLIS
Sebelum berhijrah ke Perlis, saya dah rasa kagum dan suka dengan keindahan alam semula jadi di sini. Alhamdulillah, takdir Allah membawa saya menetap di negeri terkecil di Malaysia ini - setiap hari saya dapat menikmati keindahan jajaran bukit batu kapur dengan bentuk yang unik!

Mujurlah bukan saya yang memandu, mata asyik memandang keindahan pemandangan bukit batu kapur. Walaupun dah biasa nampak, saya masih belum jemu.

Pemandangan indah suasana senja. Masa ni kami dalam perjalanan nak berbuka puasa di rumah adik Encik Suami di bandar Kangar. Jaraknya lebih 20 km, kami terlewat keluar rumah. Sedang elok sampai, masuklah waktu Maghrib 😅


⏵ SAF WANITA TIDAK RAPAT
Baru-baru ini tersebar kisah saf jemaah perempuan yang bermasalah - tidak rapatkan saf. Malam tadi, buat kali pertama saya berhadapan dengan situasi tersebut.

Saya berada di saf pertama, kedudukan saya rapat ke kanan. Di sebelah kiri ada kosong, saya ajak orang sebelah kiri rapatkan saf - dia menolak. Puas saya ajak orang-orang di saf belakang, masing-masing menggelang. Ya Allah…nak marah, tapi kena sabar dan tetap senyum.

Imam dah pun memulakan solat Isyak, saya tak dapat berbuat apa melainkan terus solat dan membiarkan saf lompong di sebelah kiri saya.

Mungkin sebaiknya sebelum solat (terutamanya pada bulan Ramadan), imam perlu ingatkan jemaah supaya lurus dan rapatkan saf kerana jemaah perempuan jarang ke masjid - tak biasa, mungkin tak tahu hukum rapatkan saf. 

Hukum tak rapat saf solat
HUKUM SOLAT JEMAAH TAPI TIDAK RAPATKAN SAF
Solat jemaah yang didirikan dalam keadaan saf tidak rapat adalah tetap sah tetapi makruh. Ini kerana meluruskan dan merapatkan saf adalah disunatkan dan bukannya wajib sebagaimana pendapat jumhur ulama, di samping ia juga bukanlah termasuk dalam syarat sah solat mahupun rukunnya.

Sekalipun begitu, perbuatan meninggalkan daripada merapatkan dan meluruskan saf adalah makruh tanpa sebarang sebab yang diizinkan syarak kerana dia telah terlepas daripada mendapatkan fadhilat berjemaah. (Sumber rujukan : zulkiflialbakri.com)


⏵ BAYAR ZAKAT FITRAH ONLINE
Kadar zakat fitrah Perlis 2026
Biasanya di negeri lain akan ada beberapa kadar zakat fitrah mengikut jenis beras dimakan, tetapi di Perlis nampaknya hanya satu kadar sahaja. Mudah juga begini, seragam.

Hukum bayar zakat fitrah online
Hukum bayar zakat secara online. Rupa-rupanya tidak perlu akad, yang penting cukup syaratnya.

Bayar zakat fitrah Perlis online
Alhamdulillah, selesai bayar zakat fitrah di Perlis buat tahun yang ketiga. Pembayaran secara online di https://digital.maips.gov.my

Berbeza dengan aplikasi bayaran zakat fitrah online negeri lain (setakat pengalaman saya bayar bagi negeri Johor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang ada paparan akad), Perlis tiada paparan akad untuk dibaca sebelum membuat bayaran. Perbuatan membayar itu sendiri sudah menunjukkan kita berniat membayar zakat fitrah.







Saturday, 7 March 2026

Percutian Alam Semula Jadi di Belum Rainforest Resort, Gerik

Catatan hari Ahad-Selasa, 15-17 Februari 2026.

Cuti panjang menjelang bulan Ramadan, saya dan Encik Suami ke Belum Rainforest Resort yang terletak di Pulau Banding, Gerik, Perak. Lokasi yang saya jangkakan tak ramai pengunjung, laluan tidak sesak dan tak terlalu jauh dari rumah iaitu kira-kira 242 km. Alhamdulillah jangkaan saya tepat - laluan lancar dan dapat bercuti di tempat yang sangat kurang pengunjung.

Bagi yang biasa lalu jalan Gerik-Jeli atau lebih dikenali sebagai Lebuh Raya Timur-Barat (LRTB), tentu perasan kewujudan sebuah resort di laluan ini yang terletak berhampiran Jambatan Barat Tasik Temenggor.

Jambatan Tasik Temenggor, Gerik, Perak
Jambatan Barat Tasik Temenggor.
Kami dari arah Gerik, Belum Rainforest Resort terletak di sebelah kanan jalan selepas Jambatan Barat Tasik Temenggor.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Peta menunjukkan kedudukan resort yang terletak di Pulau Banding - pulau yang terbentuk kesan pembinaan Empangan Temenggor pada pertengahan 1970-an. Tasik yang terbentuk pula dikenali sebagai Tasik Temenggor.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Ruang legar Belum Rainforest Resort.
Kami disambut mesra oleh dua orang staf resort, siap diberi welcome drink yang sedap! Encik Suami sempat bertanya air apa - katanya air teh serai, madu & halia. Kami boleh datang minum secara percuma, sambil tangannya menunjuk arah kaunter yang terletak di ruang sebelah (ada pintu kaca pemisah ruang).

Belum Rainforest Resort, Gerik
Peta kawasan resort. Terdapat tiga jenis penginapan di sini - bilik, traditional chalet (kampung house) dan vila. Jika nak menginap di houseboat pun boleh juga, ada pakej houseboat. Kami menginap di bilik Chengal - menghadap Tasik Temenggor.

Belum Rainforest Resort Room Rates 2026
Klik untuk paparan lebih jelas.
Kadar harga bilik yang dipaparkan di kaunter.  Masa mula-mula saya buat carian berkenaan resort ini, memang terkejut tengok harganya. Tapi saya sedia maklum rata-rata penginapan jenis rainforest resort biasanya mahal disebabkan lokasi, penginapan selesa dan pengalaman eksklusif yang ditawarkan. 

Encik Suami kata, kita ambil dua malam terus bagi betul-betul puas bercuti di sini. Ini kali pertama kami bercuti di dalam negara dengan harga bilik semahal ini 😅

Kami beli menerusi Agoda, dapat harga RM1,247.35 penginapan 3 hari 2 malam (termasuk sarapan) bagi bilik Chengal aras bawah (GF). Dapat kurang sikitlah berbanding harga dipaparkan. 

Kalian boleh terus ke laman web Belum Rainforest Resort system.idb.com.my untuk tempahan penginapan dan info kadar harga promosi sempena musim tertentu (Ramadan, cuti perayaan dan cuti sekolah).

Belum Rainforest Resort, Gerik
Penginapan bilik Chengal di sebelah kiri dan traditional chalet di sebelah kanan (kedudukan lebih rendah).
Kenderaan tak boleh bawa ke kawasan penginapan. Kami dibawa naik buggy untuk ke bilik. Kalau nak jalan kaki pun boleh, tapi agak penat jugalah sebab bentuk muka bumi berbukit. Sekali je kami naik buggy sebab nak angkut beg, lepas tu jalan kaki je.

Kami dibawa melihat kawasan penginapan sebelum dihantar ke bilik. Bilik kami terletak paling hadapan di kedudukan pertama, kami dibawa jalan-jalan sehingga ke penginapan jenis vila yang terletak jauh di atas bukit. Staf perempuan yang bawa kami siap bagi penerangan berkenaan jenis bilik dan kemudahan yang tersedia di sini. Memang terbaik!

Belum Rainforest Resort, Gerik
Masya Allah cantik pemandangan 😍. Perbukitan, Jambatan Barat Tasik Temenggor dan Tasik Temenggor menjadi latar pemandangan di sini. Paling menarik, terdapat infinity pool di sini.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Staf kata, kalau nak ke restoran kena lalu sini. Laluan bertangga yang tinggi dan jauh. Bahagian bawah yang ada set kerusi meja tu pula merupakan ruang indoor game.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Mendaki anak tangga untuk tiba di Hornbill Restaurant. Penat ya, entah berapa kali saya berhenti ambil nafas sejak mula mendaki anak tangga besi tadi 😅

Sempat dua kali je kami guna laluan bertangga ni. Selepas menjelajah tempat ini, kami dapati lebih mudah ikut laluan bertar di jalan utama untuk ke restoran. Masih perlu mendaki, tapi mendaki jalan tar bukan anak tangga.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Surau resort.
Kami solat dalam bilik jelah kan, tapi saya tunjuk juga surau ni sebab rupa-rupanya orang ramai boleh berkunjung ke resort ini tanpa perlu menginap. Cuma perlu bayar RM5 satu kenderaan - pengunjung boleh berjalan-jalan menikmati keindahan alam tempat ini, boleh makan di restoran, guna tandas dan surau. Kenderaan boleh parkir depan restoran, cuma kalau nak ke surau kena jalan kaki turun ke bawah sikit.

Jika nak guna servis buggy untuk bersiar-siar di sini, perlu tambahan bayaran. Kalau tak silap saya, caj dikenakan RM5/orang. 

Belum Rainforest Resort, Gerik
Jeti dan tempat berlabuh houseboat. Semua aktiviti air bermula di sini - naik bot, berkayak dan naik rakit buluh.

InsyaAllah catatan lanjut berkenaan bilik penginapan kami, makan-makan di Hornbill Restaurant dan aktiviti kami sepanjang di sini pada entri seterusnya.

Video pendek suasana sekitar Belum Rainforest Resort.







Tuesday, 3 March 2026

Menginap Tiga Malam di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam

Catatan hari Rabu - Sabtu, 25 - 28 Februari 2026.

Selama empat hari saya ikut Encik Suami ke Lembah Klang atas urusan kerja. Buat pertama kali, kami menginap di Mardhiyyah Hotel & Suites yang terletak di Shah Alam. Hotel ini dahulunya dikenali sebagai Grand Blue Wave Hotel.

Perjalanan dari rumah Perlis ke Shah Alam, Selangor sejauh hampir 500 km terasa sangat melelahkan dek pergerakan kenderaan yang tidak lancar di lebuh raya - terdapat kerja-kerja penyelenggaraan di banyak tempat dan hujan lebat di beberapa tempat. Tambahan pula kami sedang berpuasa.

Kami tiba di hotel sudah pun lewat petang. Sebaik kaki melangkah masuk di ruang legar hotel, terdengar alunan lembut bacaan zikir dan selawat. Terasa lain suasananya.

Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam
Ruang legar hotel luas, saya hanya memotret satu sudut je. Badan dah penat, saya ambil foto sekadarnya setakat buat kenangan dan rujukan.

Penginapan kami di aras 13, bilik jenis Deluxe King RM188/malam tidak termasuk bayaran Selangor Sustainability Fee RM7/malam.

Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam
Perabot dan karpet nampak agak usang, tetapi semuanya dalam keadaan bersih dan tiada bau yang tak menyenangkan. Keluasan bilik sangat memuaskan dan lengkap pelbagai kemudahan. Pendek kata, cukup selesa untuk kami menginap di sini selama tiga malam.

Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam
Ruang bilik air ni saja sedikit bermasalah buat kami. Tab mandi (tak kelihatan dalam foto di atas) dan shower di tempat sama - setiap kali nak guna shower kena masuk dalam tab mandi.

Satu lagi masalah, masa hari pertama elok je boleh keluar air panas (hangat) tapi masuk hari kedua cuma air sejuk je keluar. Tak mampulah nak buat urusan lama-lama dalam ni 😅. Bila kita duduk hotel, sejuk lain macam ya walau pun dah tutup pendingin hawa. Kami tak buat aduan sebab waktu siang saya tinggal seorang, malaslah saya nak tunggu/terima orang masuk bilik. Dah malas, hadap jelah kan.

Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam
Pemandangan sekitar hotel dari jendela bilik kami. Tersergam indah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Teringin nak ikut solat tarawih di masjid ni, tapi nampaknya tak berkesempatan - lepas berbuka, kepala saya jadi berat. Lebih selesa tarawih di bilik je.

Harga bilik penginapan kami tidak termasuk hidangan bufet sahur, perlu tambah lebih kurang RM50/seorang. Hidangan bufet berbuka puasa pula lebih kurang RM180/seorang. Kami sahur dan buka sendiri jelah, lebih berbaloi 😁

Terdapat banyak pilihan kedai makan di sekitar Shah Alam, kami sempat mencuba hidangan di tiga buah kedai makan - dua buah kedai kami beli makanan menerusi GrabFood dan hanya sebuah kedai je kami pergi sendiri ke tempatnya.

Warong Tiga Lima | Kedai makan yang terletak berhampiran hotel, cuma berjalan kaki sekejap je sampai. Kami ke sini selesai solat tarawih. Tadi berbuka dengan sebungkus nasi Arab kongsi berdua (beli menerusi GrabFood), jadi sekarang barulah nak makan kenyang-kenyang.

Kami makan mi kari, mi goreng mamak dan cucur bawang. Rasanya belum menepati selera saya, jadinya sekali tu jelah kami ke sini. Apa pun, rasa makanan adalah subjektif - kena datang cuba sendiri ya. Layanan di sini sangatlah baik, mesra dan makanan semua sampai cepat.

Rumah Makan Selebriti | Berbuka hari kedua, sekali lagi kami beli makanan menerusi GrabFood. Berbuka di bilik, lebih selesa dan mudah. Masya Allah sedap sungguh masakan Rumah Makan Selebriti ni - lontong darat, soto dan ayam goreng berempah semuanya kena dengan selera saya.

Paling sedap - lontong darat dihidangkan dengan lauk paru balado, rendang daging, sambal goreng, sambal tumis, serunding kelapa dan kuah kacang.

Oleh kerana sedap, waktu sahur kami cuba pula nasi lemak. Pun sedap walaupun beli sebelum tidur, makan pada waktu sahur - nasi lemak, ayam goreng dan telur goreng dah sejuk. Hari ketiga berbuka, sekali lagi saya makan lontong darat. Encik Suami mencuba mi rebus, pun sedap tapi lontong darat tetap nombor satu!

Harganya agak mahal, lontong darat RM16.90 pembelian menerusi GrabFood. Agaknya kalau makan di kedai tidaklah mahal gitu. Menurut saya, harganya berbaloi dengan pelbagai jenis lauk yang sedap semuanya. Lontongnya pula bukan nasi impit tetapi lontong daun pisang - lembut dan beraroma. Tengok harga macam mahal, tapi bila dah makan terus rasa tak mahal pun 😁

Kalau kalian ke Shah Alam, nak tidur hotel boleh menginap di Mardhiyyah Hotel dan kalau nak makan bolehlah mencuba hidangan di Rumah Makan Selebriti - saya baru tau ia dimiliki oleh selebriti Nazia Mustafar.