Tuesday, 31 March 2020

PHILIPS Pressure Cooker | Nasi Briyani Menggunakan Perencah Maggi

Semasa musim COVID-19 dan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berjalan, kita tak boleh terlalu memilih nak makan atau masak apa. Masak saja menggunakan stok bahan sedia ada di dapur.

Saya belek stok, masih ada satu pek perencah Nasi Briyani Maggi. Kebetulan memang dah lama tak memasak Nasi Briyani, teringin pulak. Nenas yang suami bawa dari ladang (tempat bekerja) pun ada, boleh buat pencuk (nama lainnya jelatah, acar).

Untuk kali ini, saya memasak Nasi Briyani menggunakan Philips Pressure Cooker (PPC). Selain tu, saya pernah juga memasaknya menggunakan rice cooker atau microwave. Kalau nak masak banyak untuk tetamu tapi PPC sedang digunakan untuk masak menu lain, maka saya akan gunakan rice cooker. Kalau nak masak sekadar untuk makan dua orang, saya gunakan microwave.

Bahan utama - satu pek perencah Nasi Briyani jenama Maggi. Satu pek ni dicadangkan untuk 4 orang (bersamaan 2 cawan beras), tapi selalu jugak saya buat untuk 6 orang (bersamaan 3 cawan beras) supaya rasa rempahnya berkurangan dan sesuai untuk anak kecil/orang tua.

Perencah ni saya dah gunakan sekian lama setiap kali memasak Nasi Briyani. Selalu juga menjadi hidangan untuk tetamu yang datang ke rumah, digandingkan bersama kari kambing atau ayam masak merah. Sebab ianya sangat mudah dan sedap!

Bahan-bahan untuk Nasi Briyani :
2 cawan beras basmathi (rendam ~15 minit)
1 pek perencah nasi briyani Maggi dijadikan pes
bawang besar potong dadu
hirisan isi ayam
kismis
badam

Disebabkan bawang dah tinggal sikit dan tak tau bila akan pergi beli, saya gunakan sedikit je tu. Kismis pulak terpaksa guna yang hitam sebab tu je stok yang ada. Saya lebih suka guna kismis kuning. Dan kali ni tak letak badam sebab takde stok.

Mula-mula kita On BAKE - CHICKEN untuk proses menumis. Masukkan sedikit minyak sapi (saya guna minyak masak biasa je), lepas minyak panas bolehlah tumis bawang besar. Kemudian masukkan hirisan ayam supaya ia digoreng sedikit kecut. Akhir sekali, masukkan pes Nasi Briyani Maggi. Tumis sehingga keluar minyak seperti dalam gambar.

Masukkan pula beras, kacau seketika bersama bahan tumis tadi. Kemudian masukkan air, sukatan ikut je paras untuk 2 cawan beras yang ditandakan dalam periuk PPC ni. Masukkan kismis dan badam (jika ada), kacau sikit dan off BAKE.

Sekarang kita nak masak nasi pulak. Tutup periuk, tombol SEALOn STEAM/STEW → KEEP PRESSURE TIME (KPT) → tekan MIN. sehingga 7 minit → Start. 

TIPS : Walaupun PPC ada mode Rice, tapi saya lebih suka guna mode Steam/Stew untuk memasak apa jua jenis nasi. Lebih cepat dan mengelakkan masalah berkerak. Tak kira banyak mana beras, masih sama set KPT kepada 7 minit saja.

Selepas sekitar 11 minit, PPC berbunyi beep. Off PPC untuk mengelakkan nasi berkerak dan biarkan tekanan dilepaskan secara automatik. Kalau nak cepat makan, boleh lepaskan tekanan secara manual. Beginilah rupa Nasi Briyani kita. Kacau nasi guna chopstick untuk mengelakkan beras patah.

Nasi Briyani saya kali ni dihidang bersama Ayam Masak Merah dan pencuk. Kalau tak buat pencuk, biasanya saya gantikan dengan salad dan tomato. Satu lagi yang kurang - papadom, tak simpan stok pulak.

Nasi Briyani ni masih sedap dimakan gitu je tanpa lauk, sebab dalam tu dah ada hirisan ayam dan kismis. Untuk 2 cawan beras Basmathi tadi, sesuai dimakan untuk 5-6 orang dewasa. Sebab beras Basmathi ni macam mengembang, jadi banyak. Kalau pakai beras biasa, 2 cawan memang cukup saiz hidangan biasa untuk 4 orang.




Saturday, 28 March 2020

COVID-19 & PKP | Wajarkah Tuan Rumah Beri Pelepasan Bayaran Sewa?


Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dilanjutkan sehingga 14 April 2020 banyak memberi kesan ekonomi kepada kita.

Yang bekerja sendiri atau pemilik perniagaan kecil, pendapatan mereka terjejas. Yang bekerja makan gaji secara gaji harian, memang pastilah tiada pendapatan. Yang bekerja dengan syarikat swasta, mungkin ada yang tidak menerima gaji sepanjang cuti PKP. Kalau dapat pun cuma gaji asas, tak cukup menampung keperluan. Pendek kata, ramai yang terjejas dengan situasi semasa.

Antara langkah yang diambil untuk membantu individu dan syarikat yang terjejas oleh wabak COVID-19, pihak kerajaan mengumumkan penangguhan pembayaran balik pinjaman selama 6 bulan, secara automatik.


TUAN RUMAH TAK PERLU BAYAR PINJAMAN, MAKA PENYEWA TAK PERLU BAYAR SEWA RUMAH?

Hmm...ada segelintir yang berfikir begini. Terlupa bahawa apa yang ditawarkan kerajaan bukanlah tak perlu bayar pinjaman,  tetapi sekadar penangguhan bayaran. Tetap kena bayar.

Sumber : Bank Negara Malaysia

Tetapi, tuan rumah dengan menggunakan budi bicara wajar memberi kelonggaran bayaran sewa kepada penyewa, sekiranya penyewa didapati menghadapi kesukaran kesan wabak COVID-19.

Antara pilihan yang boleh dibuat :
▪︎ pengurangan kadar sewa.
▪︎ penangguhan bayaran sewa.
▪︎ pelepasan bayaran sewa.

Tempoh kelonggaran? Bergantung kepada tuan rumah...satu bulan, dua bulan, atau lebih. Tuan rumah pun masih perlu duit untuk menampung kos penyelenggaraan rumah, bayaran cukai harta, bayaran cukai tanah dan lain-lain. Paling penting, tujuan rumah disewakan adalah untuk menampung kos sara hidup pemiliknya (dan mungkin itulah pendapatan utamanya).

Kesimpulan di sini, keputusan memberi kelonggaran bayaran sewa rumah adalah bergantung kepada situasi ekonomi tuan rumah dan situasi ekonomi penyewa. Perlu saling memahami dalam menghadapi saat sukar begini.

‐----‐---------------------------------------------

Saya menguruskan penyewaan sebuah rumah kedai (bukan milik saya), dan penyewa ada meminta pengurangan bayaran sewa disebabkan kesan COVID-19. 

Memandangkan penyewa menjalankan perniagaan salun rambut di tingkat bawah (kedai), dan dalam situasi sekarang tentulah perniagaannya terjejas. Penyewa jugak tak pernah culas membayar sewa seperti dalam surat perjanjian (sebelum/pada 7hb. setiap bulan). Maka, wajarlah dia diberi kelonggaran. 

Tuan rumah kedai bersetuju beri pengurangan kadar sewa dengan potongan 30% untuk April dan Mei. Juga bersetuju bayaran sedikit lewat (selepas 7hb.).

Penyewa yang bagus, tuan rumah pun mudah nak beri kelonggaran. Harmoni.


Friday, 20 March 2020

Profile Photo


Semalam petang, saya bermesej suara di WhatsApp  dengan Mak. Saja bertanya khabar Mak di kampung pada hari ke-2 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mak perasan profile photo WhatsApp saya sudah bertukar (seperti gambar di atas).

Terus ditanya saya tengah berada di hutan mana tu? Tak kawal pergerakan pun?

Saya jawab, tu gambar bulan lepas la Mak. Sekarang semua hutan dah tutup, tak boleh masuk.

Jawab Mak sambil ketawa, "Baguslah dah tutup. Kalau tak engkau nanti merayap masuk utan aje...orang pegi bandar, dia pegi utan aje". 

😑😞 yelah Mak 😄😂


(...tak dapat masuk hutan, dapat tukar profile photo berlatarkan hutan pun jadiklah...)


Tuesday, 17 March 2020

COVID-19 - Di Antara Dua Pilihan


COVID-19 - Di Antara Dua Pilihan

Kita boleh memilih untuk menjadi penyebar berita yang tak pasti.
Kita juga boleh memilih untuk menjadi penyebar berita sahih dari media yang berkredibiliti.

Kita boleh memilih untuk marah bila pendapatan kita terjejas dek wabak dari Wuhan.
Kita juga boleh memilih untuk sabar bila pendapatan kita terjejas dan percaya dengan janji Allah bahawa selepas setiap kesulitan, ada kesenangan.

Kita boleh memilih untuk menganggap COVID-19 sebagai satu senjata biologi pihak tertentu.
Kita juga boleh memilih untuk menganggap COVID-19 sebagai satu ujian Allah dek kerana kerosakkan yang kita lakukan di bumi milik-Nya ini.

Kita boleh memilih untuk percaya bahawa kita tidak mungkin terkena COVID-19.
Kita juga boleh memilih untuk percaya bahawa sesiapa sahaja berisiko untuk terkena COVID-19.

Kita boleh memilih untuk menggunakan hand sanitizer sebagai langkah pencegahan.
Kita juga boleh memilih untuk kerap membasuh tangan dengan sabun sebagai langkah pencegahan yang lebih efektif.

Kita boleh memilih untuk mementingkan diri dan membeli stok makanan yang berlebihan, sehingga tidak berbaki untuk orang lain.
Kita juga boleh memilih untuk tidak mementingkan diri dan membeli stok sekadar keperluan, kita tahu yang orang lain juga pasti memerlukannya.

Kita boleh memilih untuk merasa cemas dengan Perintah Kawalan Pergerakan tanpa mengetahui info tepat mengenainya.
Kita juga boleh memilih untuk menerima baik info Perintah Kawalan Pergerakan dan melaluinya dengan tenang.


COVID-19 sedang menyerang, kita sentiasa ada dua pilihan untuk menghadapinya. Hadapilah ia dengan ILMU, bukan dengan pemikiran yang dangkal.

-------------------------------------------------

Sewaktu catatan ini ditulis, negara kita sudah mencatatkan dua (2) kematian disebabkan oleh COVID-19. Semoga dengan adanya usaha Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok 18hb. sehingga 31hb. Mac 2020 mampu mengekang pertambahan kes.

Doa memohon perlindungan daripada mudarat dan wabak :

بسمِ اللهِ الذي لا يضُرُّ مع اسمِهِ شيءٌ في الأرضِ و لا في السماءِ ، وهُوَ السميعُ العليمُ

Ertinya : Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
(HR Abu Daud, Tirmizi)

Thursday, 12 March 2020

Tebing Guest House, Kuala Tahan

Jika berkunjung ke Taman Negara Pahang, Kuala Tahan, kita mempunyai banyak pilihan penginapan bergantung kepada bajet dan ciri-ciri keutamaan.

Kesemua penginapan ni berada di Kampung Kuala Tahan, kecuali Mutiara Resort (satu-satunya penginapan di dalam kawasan Taman Negara dan paling mahal).

Bagi saya dan suami, kami memilih untuk menginap di Tebing Guest House setelah membaca review baik mengenai tempat ini.

Pandangan hadapan Tebing Guest House, kemas dan menarik.

Penginapan ini dibuka pada Oktober 2016, kiranya masih agak baru. Tengok bahagian luar ni pun saya dah suka, nampak bersih dan landskap yang sedap mata memandang.

Bilik penginapan kami - Standard King Room berharga RM140/malam (buat tempahan di Agoda dan bayar masa sampai)Ruang bilik yang sederhana luas (muat untuk kami solat berjemaah) dan dengan dekorasi ringkas tapi menarik. Saya suka padanan warna yang digunakan. Paling utama bagi saya - kemas dan bersih!

Kemudahan membuat minuman panas disediakan. Malamnya kami berehat dalam bilik je sambil minum teh dan nescafe panas. Kalau nak lepak minum kat depan bilik (ada set kerusi meja) pun boleh.

Bilik airnya pun cukup memuaskan. Cuma satu masalah di sini - tekanan air di sinki dan salah satu paip di dinding yang sangat perlahan. Tapi ini bukanlah masalah besar bagi saya berbanding dengan rasa selesa sepanjang menginap di sini.


Subuh Yang Indah

Sewaktu bangun nak menunaikan solat Subuh, sambil menunggu giliran nak masuk bilik air...tergerak hati nak menjenguk langit di luar. Saya selak langsir dan membuka tingkap kaca bilik. Tepi bilik, ada tembok batu memang tak nampak sekitar. Saya dongak ke atas...Masya Allah, cantik sungguh langit gelap ditaburi bintang! Dengan pantas saya capai handphone...

Lepas solat Subuh, saya dan suami berjalan-jalan di luar kawasan penginapan. Menikmati suasana Subuh di kampung yang menjadi pintu masuk ke Taman Negara. Masa ni langit dah bertukar kebiruan, cantik pulak pokok Kekabu ni berlatarkan langit kebiruan. 

----------------------------------------------------------

Walaupun harga bilik di sini saya dapati lebih tinggi berbanding penginapan lain di Kampung Kuala Tahan, saya rasa ianya sangat berbaloi dengan keselesaan menginap di sini. Sangat bersih dan lokasinya yang tak jauh dari jeti untuk ke Taman Negara (cuma perlu berjalan kaki beberapa minit melalui tepi sekolah). Staf pun baik melayan.


TEBING GUEST HOUSE
Jalan Sungai Deli, Kampung Kuala Tahan,
Jerantut, Pahang.
013-584 3476

Facebook : Tebing Guest House

Tuesday, 10 March 2020

Eksplorasi Hutan Taman Negara (Bahagian 2) | Bumbun Tahan

...sambungan dari catatan DI SINI.

Kami akhirnya memilih untuk kembali ke Kuala Tahan. Jam menghampiri pukul 3.50 petang, bimbang lewat sangat keluar hutan kalau kami memilih untuk meneruskan niat mendaki Bukit Teresek. Lagi pulak, macam dah tak larat je...haha!

Kuala Tahan 1.5 km. Bunyi macam dekat je kan? Tapi berjalan dalam hutan tak sama macam berjalan atas jalan rata. Lagi pulak macam saya ni sibuk memerhati sekeliling, ambil gambar itu ini. Ambil masa.

Laluan yang disediakan sangat memudahkan kita untuk melakukan aktiviti eksplorasi hutan. Kalau takde laluan ni, perjalanan tentu lebih sukar.

Sambil berjalan, kita belajar nama pokok. Memang tak boleh nak ingat, tapi sekurang-kurang taklah terasa asing bila dengar nama pokok Hujan Panas...eh, teringat nasi hujan panas sedapnya! Saya juga tertarik kat pokok sebelah tu, berselirat dengan akar (saya rasa tu akar).


BUMBUN TAHAN (TAHAN HIDE)

Cahaya mentari pukul 4.30 petang yang menembusi hingga ke lantai hutan, menghasilkan satu pemandangan yang indah di mata saya. Dari sini, kami menuju laluan ke Bumbun Tahan (Tahan Hide).

Laluan simen menuju ke Bumbun Tahan.

Inilah Bumbun Tahan, iaitu sebuah menara pemerhati untuk kita memerhati hidupan liar di hutan ini. Terdapat beberapa lagi bumbun di sini, tetapi Bumbun Tahan merupakan yang paling dekat dari Park Centre (HQ) dan mudah kita kunjungi.

Tingkat 1 Bumbun Tahan. Boleh bermalam di sini dengan bayaran RM5/malam, sebab waktu malam lebih sesuai untuk memerhati haiwan liar yang aktif berkeliaran di hutan.

Do's and Don'ts bagi pengunjung di Bumbun Tahan. Senyap tu penting! Kami berdua cakap berbisik-bisik je tau, dengan harapan muncul haiwan kat bawah tu..hehe.

Info mengenai Bumbun Tahan dan apa itu jenut (salt lick).

Di tingkat 2 bumbun, ada disediakan bangku panjang untuk kita memerhati bawah ke arah padang ragut dan jenut. Kami duduk di sini sambil memerhati ke bawah...

Padang ragut.

Jenut jenis tanah di bahagian tengah padang ragut. Jenut jenis tanah adalah tanah yang mengandungi garam galian yang berfaedah untuk kesihatan hidupan liar. Hidupan liar akan datang sini untuk menjilat tanah tersebut.

Sedang kami asyik perhati kawasan padang dan jenut ni, kami mendengar bunyi yang asing dari bahagian belakang bumbun (kawasan hutan). Perlahan-lahan kami bergerak ke bahagian belakang dan menukar fokus pemerhatian kami.

Kami nampak si cantik manis Merak Pongsu ni di lantai hutan! Seekor burung saiz sederhana besar dengan rupa yang menawan. Burung Merak ni kelihatan sedang mencari makan dengan mematuk-matuk tanah. Alhamdulillah...ada la jugak hasil kami duduk memerhati di bumbun ni.

Setelah agak lama memerhati, burung Merak ni pun akhirnya menghilang dibalik rimbunan pokok hutan, kami pun bergerak meninggalkan bumbun.

Eksplorasi diteruskan...

Pokok dengan tag nama Pupoi ( Sarcotheca griffithii ) , unik batang pokoknya berkeluk. 

Simpulan-simpulan (entah batang atau akar pokok) yang menarik perhatian saya. Semacam satu seni yang indah!

------------------------------------------------------------
Alhamdulillah....

Kami akhirnya selamat keluar dari kawasan hutan sekitar pukul 5.10 petang. Masuk melalui laluan berhampiran Mutiara Resort, dan keluar melalui laluan berhampiran Park Centre (HQ). Total masa eksplorasi adalah sekitar 3 jam untuk jarak sekitar 4 km.

Sepanjang eksplorasi hutan, cuma sesekali kami berselisih dengan pengunjung lain. Hampir kesemuanya pengunjung luar negara, samada solo atau berdua. Mungkin sebab kami masuk waktu petang, bukan waktu pilihan ramai. Ini menjadikan keadaan lebih seronok bagi saya untuk menikmati suasana hutan, takde gangguan suara manusia berborak dan lebih peluang untuk melihat hidupan hutan berkeliaran.

Ada satu ketika, kumpulan burung (saiz sederhana besar seperti burung Merak yang kami temui di Bumbun Tahan) sekitar 5-6 ekor melintas di hadapan kami. Badannya berwarna hitam dan terdapat tompokan warna putih di kepala. Laju je kesemuanya berlari dan terbang rendah, lalu menghilang di balik hutan. Tak sempat saya nak ambil gambar.

Ada rezeki, teringin jugak nak melakukan eksplorasi hutan ke kawasan lain di Taman Negara ni. Kawasan Taman Negara sangat luas, dan ada pelbagai pilihan rintis untuk kita cuba. Kos pun masih murah dan lengkap dengan kemudahan yang baik.

Video berdurasi 47 saat.

Untuk anda yang gemarkan suasana kehijauan hutan dan ingin menikmati bunyi orkestra hutan, berkunjunglah ke Taman Negara Pahang, Kuala Tahan. Nikmatilah keindahan hutan khazanah negara kita!

Friday, 6 March 2020

Eksplorasi Hutan Taman Negara (Bahagian 1) | Canopy Walkway

...sambungan dari catatan DI SINI.

Kami bergerak dari Park Centre (HQ) pada pukul 2.17 petang. Perjalanan kami bermula melalui kawasan chalet Mutiara Taman Negara. Chalet yang hanya mampu kami tengok, tapi tak mampu nak membayar harga ratusan ringgit semalam. Kelebihan jika kita mampu menginap di sini - lokasinya yang terletak di dalam Taman Negara, dapat pengalaman indah menginap di kawasan hutan dan lebih dekat untuk melakukan aktiviti di hutan.


RENTIS TERESEK 

Perjalanan sebenar eksplorasi hutan bermula di sini, melalui Rentis Teresek. Teruja rasanya untuk menikmati keindahan hutan hujan tropika antara yang tertua di dunia, yang dianggarkan berusia lebih 130 juta tahun!

Laluan pejalan kaki disediakan. Insya Allah tak sesat jika kita kekal berjalan di atas pelantar pejalan kaki ini. Kasut pun tak kotor sebab tak kena tanah.

Tapi kenapa suami saya bawa bersama walking pole tu? Kerana kami merancang nak mendaki Bukit Teresek selepas menaiki Canopy Walkway. 7 tahun lalu kami pernah mendaki ke sana (sampai 1st view je) dan dah merasa seksanya memanjat anak tangga. Dulu umur 30-an, sekarang dah 40-an. Walking pole ni sangat membantu pendakian dan demi menjaga lutut.

Kami sampai di pokok besar yang selalu saya lihat dalam gambar mereka yang berkunjung ke Taman Negara. SubhanAllah! Seronok sangat bila hari ini saya dapat melihatnya sendiri di hadapan mata! Semasa kunjungan pertama dulu, kami tak melalui Rentis Teresek sebab tu tak jumpa pokok besar ni.

Rupa bahagian atas pokok. Pokok besar dan tinggi ini adalah pokok Mengkundur. Nama saintifiknya Tetrameles Nudiflora.

Perjalanan diteruskan sehingga kami tiba di persimpangan ini. Untuk ke Canopy Walkway boleh pilih samada ikut jalan ke kiri dengan jarak 470 m atau terus ke depan lagi dengan jarak 750 m. Kami pilih ikut kiri, konon jarak lebih pendek tentulah lebih cepat sampai. Kami kan sedang mengejar masa sebelum Canopy Walkway bakal tutup pada pukul 3 petang.

Tangga penyesalan...patutlah jarak lebih pendek, sebab kena mendaki ke atas dan ke atas lagi. Serius saya rasa sangat penat sampai boleh dengar degupan jantung sendiri. Saya perlahankan langkah...sambil bercakap sendiri, "takpelah kalau tak sempat naik Canopy Walkway hari ni". Memujuk diri dek rasa penat melayan anak tangga yang terus-terusan mendaki.

Alhamdulillah...akhirnya tangga mendaki tamat dan kena menurun pulak. Dan dah makin hampir dengan Canopy Walkway...yeayyy!


CANOPY WALKWAY (TITIAN KANOPI)

Kami tiba di sini pada pukul 2.52 petang. Suami jalan laju di hadapan dengan harapan kami masih berpeluang naik Canopy Walkway. Alhamdulillah...petugas di sini berbaik hati beri kami naik, tapi dengan pesanan jangan berlama-lama di atas sebab mereka dah nak tamat tugas. Untuk naik, cuma perlu tunjuk tiket untuk ditebuk (kami dah beli di HQ) dan tulis nama di buku rekod.

Bismillah...memang terasa seram bila jambatan ini bergoyang setiap kali kita melangkah. Memang patut petugas tadi melarang kami memegang barang lain, atau menggunakan kamera sewaktu di atas jambatan ini. Sebab kedua-dua belah tangan perlu berpegang pada tali jambatan untuk lebih stabil melangkah. Pengunjung juga perlu menjaga jarak antara satu sama lain. Setelah saya melepasi satu jarak yang ditanda dengan riben merah, barulah suami boleh ikut berjalan di belakang.

INFO : Canopy Walkway (Titian Kanopi atau dikenali sebagai Titian Silara) sepanjang 283 m ini terdiri daripada 7 jambatan dan 6 platform. Info ni saya dapat secara langsung dari petugas di sini. Tapi saya lupa tanya bab ketinggian. Menerusi carian internet, dicatatkan ketinggian dari lantai hutan adalah melebihi 40 m! Tapi bukanlah keseluruhan jambatan berketinggian begitu rasanya, sebab ada jambatan yang menurun.

Canopy Walkway ini asalnya lebih panjang iaitu melebihi 500 m (dikatakan sebagai yang terpanjang di dunia). Tetapi disebabkan sebahagian jambatan sudah ditimpa pokok tumbang, sekarang cuma 283 m. Ia baru saja dibuka semula pada 12 Oktober 2019 setelah ditutup sejak 8 November 2018 untuk kerja-kerja baik pulih.

Ini adalah kali ketiga saya menaiki Canopy Walkway (kali pertama di Sungai Sedim, Kulim dan kali kedua di Poring, Ranau). Walaupun jambatan kali ini terasa lebih seram sebab kecil, panjang dan tinggi, tetapi kali ini saya dah berjaya melawan rasa gayat dan berani melihat ke bawah. Suatu pengalaman yang menarik dapat menikmati pemandangan hutan dari aras tinggi!

Saya berada di jambatan yang ke-7 iaitu yang terakhir, diikuti oleh suami dan para petugas di sini. Nampak tu...petugas yang akhir sekali sedang menyapu lantai jambatan. Rasa kelakar sungguh...saya berharap nak ke sini tanpa ada pengunjung lain sebab tak mahu gangguan bising dan nak menikmati alam dengan tenang. Alhamdulillah tertunai hasrat itu dan menjadi pengunjung terakhir pulak! Hahaha...

Alhamdulillah...selesai sudah aktiviti Canopy Walkway kami yang dilakukan dalam tempoh sekitar 17 minit. Dalam gambar di atas adalah bahagian jambatan yang saya rasa paling mendebarkan - menuruni tangga yang tergantung!

Pemandangan salah satu jambatan Canopy Walkway dari bawah. Memang tinggi.

Inilah rupa platform. 7 buah jambatan yang berselang-seli dengan 6 buah platform. Pengunjung dibenarkan berhenti untuk ambil gambar di platform ini.

Tips : Elakkan datang ke sini pada waktu pagi hari hujung minggu/cuti sekolah/cuti umum, sebab biasanya akan ramai dengan pengunjung yang datang dalam kumpulan besar.

Jika terpaksa, usahakan datang paling awal. Menurut petugas di sini, pagi tadi saja pengunjung perlu beratur lebih 2 jam. Inilah sebabnya mengapa saya bersungguh nak naik petang ni dan mengelak esok pagi - tak mau beratur panjang dan tak mau gangguan bising bila dah ramai-ramai.


CANOPY WALKWAY,
TAMAN NEGARA, KUALA TAHAN.
HARGA TIKET : RM5 (dewasa), RM3 (kanak-kanak)
WAKTU OPERASI : 9 PAGI - 3 PETANG
TUTUP : JUMAAT
(Pihak Perhilitan juga akan menghentikan operasi pada bila-bila masa jika keadaan cuaca tidak baik.)


TANDAS DALAM HUTAN

Selepas duduk berehat, kami meneruskan eksplorasi hutan dengan mengikuti pelantar pejalan kaki yang tersedia. Masa ni semua petugas tadi sudah pun beredar pulang. Salah seorang dari mereka ada memaklumkan kami bahawa di hujung nanti ada tandas. Wah...tandas dalam hutan?

Inilah tandas yang dimaksudkan. Belum pernah saya jumpa tandas dalam hutan. Kami turut 'mencuba' tandas unik ini. Lengkap dan dalam keadaan yang memuaskan. Sumber air dari tangki yang berada di hadapan tandas ni. Rasanya ia menggunakan air paip yang disalurkan melalui poly pipe dari HQ/Mutiara Resort.

Eksplorasi diteruskan. Tiba di persimpangan untuk memilih hala tuju. Kalaulah ada kudrat dan masa, semua tempat saya nak pergi...hehe. Tapi, hidup ini harus memilih. Ke mana hala pilihan kami?

...bersambung bahagian 2 (akhir)...