[Catatan Trip ke Bangkok - Hari Ketiga | Jumaat, 30 Jun 2023]
Mengembara ke tempat asing sememangnya memberi keseronokan dalam hidup kerana menemukan kita dengan perkara-perkara baru dan melalui pengalaman-pengalaman baru. Tetapi bukan semua kisah kembara itu indah, ada cabaran yang perlu dilalui dan ada hal-hal yang berlaku di luar kawalan kita. Semuanya menjadi rencah dalam kisah kembara kita.
Catatan kisah hari ketiga kami…
|
6 pagi | Pantri hotel Noursabah. |
Seawal pukul 6 pagi kami dah berada di pantri hotel. Encik Suami buat kopi dengan menggunakan mesin kopi tersedia. Kami bersarapan murtabak yang dibeli daripada peniaga jalanan di luar hotel. Murtabak daging dan murtabak dengan isi pisang, kismis & halwa. Dua-dua jenis murtabak ni sedap rasanya, lembut dimakan. Diberi juga potongan timun dan bungkusan plastik kecil air cuka (saya agaklah, tak bukak pun).
Perancangan kami, pagi ni nak keluar berjalan lebih awal ke tempat-tempat yang tak begitu jauh dari hotel. Jadinya nanti kami boleh balik semula ke hotel sebelum pukul 12 tengah hari untuk daftar keluar hotel, juga bolehlah Encik Suami menunaikan solat Jumaat di Masjid Darul Aman pada pukul 12.21 tengah hari.
BILA PERUT MERAGAM | Tetapi apa yang berlaku, selepas bersarapan saya rasa tak selesa perut. Bukan sakit perut nak ke tandas tu, tapi entahlah macam rasa kembung perut dan rasa sakit perut. Saya kunyah pil Actal Plus warna kuning yang dibekal dan berehat saja di bilik. Lepas beberapa ketika perut saya masih belum pulih, kami akhirnya memutuskan untuk tak ke mana-mana pagi ini. Kalau dah keluar lambat, nanti tak sempat pulak nak balik semula ke hotel.
|
10 pagi | Lorong Phetchaburi 7 |
Alhamdulillah beberapa jam kemudian, perut saya kembali pulih. Rugi pulak duduk saja dalam bilik kan, jomlah kita jalan-jalan melihat sekitar kawasan hotel. Kami menuju ke arah bahagian lorong yang belum pernah kami lalui. Terus ke belakang lagi sampai jumpa jalan mati.
Seronok juga jalan-jalan santai gini tau, kita dapat melihat kehidupan harian penduduk. Ada yang sedang bersembang depan pintu rumah dan ada yang sedang menyiapkan bungkusan makanan (nampak bersusun bungkusan pek nasi dalam bakul, sedap aromanya).
Selepas singgah membeli sedikit barang di 7-Elevan, kami kembali ke bilik penginapan. Berkemas dan daftar keluar awal, iaitu pada pukul 11 pagi. Kami minta tumpang beg di lobi hotel sementara kami pergi makan di
Asma Kitchen. Selesai makan, Encik Suami pergi menunaikan solat Jumaat dan saya pula duduk menunggu di lobi hotel. Alhamdulillah, seronok dengar azan berkumandang diikuti dengan khutbah dan bacaan solat.
Selesai solat Jumaat, dengan berat hati kami beredar dari hotel Noursabah untuk ke hotel seterusnya. Kami datang disambut dengan ucapan ‘sawadikap’ dan diberi ucapan ‘selamat jalan’ sebelum beredar keluar dari pintu hotel. Lucu pulak dengar staf kaunter berusaha bercakap dalam bahasa Melayu 😁. Kami je yang langsung tak cuba bercakap sepatah pun bahasa Thai, tak yakin.
|
1.45 petang | Jalan Ratchaprarop |
Untuk ke hotel seterusnya, kami menaiki tren Airport Rail Link (ARL) di stesen Phaya Thai dan turun di stesen Ratchaprarop. Tak terlalu jauh, sekitar 1.9 km jika berjalan kaki. Tapi tak sangguplah nak jalan kaki, tren kan ada.
Pertama kali sampai di stesen Ratchaprarop, kami tercari-cari laluan keluar paling mudah untuk melintas jalan menuju ke hotel. Jadinya dari tingkas atas, kami memerhati jalanan di bawah. Kemudian kami perasan sesuatu, eh…jalan di bawah ni lima lorong arah sini dan satu lorong arah bertentangan.
|
2 petang | KC Place Hotel Pratunam |
Alhamdulillah, setelah turun naik tangga stesen beberapa kali, kami jumpa laluan ke hotel. Hanya perlu melintasi landasan keretapi. Seterusnya, kami ikut saja panduan berjalan kaki di Google Maps melalui sebatang lorong sehinggalah tiba di lokasi hotel.
BILIK HOTEL YANG TIDAK SELESA | Entah deretan ‘online review’ yang saya baca tu hanya rekaan (mengatakan hotel ini bagus) atau saya yang terlampau cerewet. Penginapan kami di KC Place Hotel Pratunam dapat bilik yang nampaknya bersih tetapi tidak selesa - tilam keras terasa macam baring atas papan kayu, ruang bilik serta bilik air sempit dan juga ada seekor lipas! Harganya pula lebih tinggi berbanding hotel Noursabah yang jauh lebih selesa.
SESAT dan PENAT | Sebelah petang kami merancang nak ke pusat membeli-belah Central Rama 3 dan baliknya terus ke pasar malam Ramkhamhaeng. Tapi rupanya tak begitu mudah perjalanan menaiki kenderaan awam ke Central Rama 3. Perlu naik tren ARL, tukar tren MRT, kemudian perlu naik bas. Rumit! Tapi takpelah, kami berfikiran positif nak cuba jugak.
|
4.30 petang | Jalan Rama IV |
Dah bertukar dua jenis tren, kami berjalan kaki pula di sebuah bulatan jejantas. Ia seperti roundabout jalan raya, tetapi berada di atas bagi kegunaan pejalan kaki. Kita boleh naik/turun di empat tangga tersedia. Memang hampir mustahil untuk orang melintasi jalanan yang sibuk di bawah, sebab itu dibina jejantas unik ini.
|
Bulatan jejantas untuk pejalan kaki. Klik foto untuk paparan lebih jelas. |
Dari bawah, kami perlu meniti anak tangga kecil untuk naik di jejantas ini. Bila sampai di atas, saya rasa seram pulak nak melangkah sebab laluannya kecil. Lebih seram bila berada di tengah perjalanan, saya nampak bawah jalanan sesak dengan kenderaan.
Fuh, rasa lega sangat bila dah selamat turun dari jejantas unik ni. Lepas tu bermulalah satu lagi kisah yang tak indah apabila kami hilang arah. Jalan punya jalan, tak sampai pun tempat bas yang dicari. Saya mula hilang semangat nak meneruskan perjalanan sebab dah penat kaki melangkah. Cubaan Encik Suami mencari kereta e-hailing pula gagal. Mungkin semuanya tak sanggup ke jalanan sesak ni.
Akhirnya, kami batalkan saja rancangan dan berpatah balik ke hotel penginapan. Cuma sebelum sampai hotel tu kami singgah makan malam di sebuah restoran halal berhampiran. Malamnya kami tidur awal sebab esok nak keluar awal ke pasar hujung minggu yang terbesar di Thailand.
Begitulah kisah kembara saya dan Encik Suami pada hari ketiga kami di Bangkok - berlakunya perkara-perkara di luar kawalan dan perancangan kami. Bukanlah perkara yang terlalu buruk, tetapi ia cuma cabaran biasa dalam sebuah kembara.
.