Wednesday, 10 December 2025

Bila Doktor Suruh ‘Exercise’

1 Disember lalu, si anak bulu balik rumah pada waktu malam dengan kaki kanan belakang terhincut-hincut. Tak pasti apa puncanya, bila saya belek kaki Jojo nampak macam ada luka kecil kemerahan. Jojo jadi pendiam tak berbunyi, kurang selera makan dan mahu menyendiri. Saya beri rawatan awal - semburan ubat antiseptik pada lukanya.

Esok pagi, keadaan Jojo masih sama - tak aktif seperti biasa. Jadinya petang tersebut kami bawa Jojo jumpa doktor. Doktor timbang berat badan dan periksa keseluruhan badan Jojo. Dua suntikan turut diberi - vitamin dan ubat tahan sakit. Doktor sempat berpesan supaya Jojo exercise 😆

Macam mana tak terlebih berat kalau dah kerjanya melayan mata.




Bersungguh bila minta makan, ditenung mangkuk makanan. Selagi kita tak isi makanannya, teruslah duduk jadi patung di situ. Kita ni cepat kasihan, jadi bagi jugalah.

Kali pertama kami bawa Jojo ke klinik pada bulan Januari 2025, beratnya 3.88 kg. Terkini, berat Jojo sudah mencapai 6.5 kg. Doktor kata, Jojo badan berisi sampai kena suntik jarum dua kali pun tak rasa apa 😅







Monday, 8 December 2025

Nanjing | Yuhuatai Scenic Area dan Li Ji Muslim Restaurant

CATATAN TRIP KE CHINA - WILAYAH YUNNAN & JIANGSU | 10 - 14 APRIL 2025

Sambungan catatan terdahulu —> Kembali ke Nanjing Dengan Tren CR C3602


Kumpulan kami seramai lima orang bergerak dari Nanjing South Railway Station menuju ke lokasi tarikan pelancongan yang terletak di Yuhuatai District, Nanjing. Berkenaan lokasi yang kami pergi, semuanya diatur oleh kawan Encik Suami.


YUHUATAI SCENIC AREA
Yuhuatai Scenic Area (雨花台风景区), located in the northern part of Yuhuatai District in Nanjing, China, spans an expansive 1.537 million square meters. 
It holds a special place in Chinese history as a sacred memorial to the New Democratic Revolution and stands as the largest commemorative mausoleum in New China. This site combines education, tourism, leisure, and entertainment, making it a prominent provincial-level scenic area in Jiangsu. It comprises six major functional zones: Historical and Scenic Zone, Martyrs’ Cemetery Zone, Yuhuatai Stone Culture Zone, Yuhuatai Tea Culture Zone, Recreational Zone, and the Ecological Forest Zone. [Sumber : ct-by.com]

Yuhuatai Scenic Area
Pintu gerbang Yuhuatai Scenic Area.

Menurut pemahaman saya, tempat ini merupakan sebuah taman dan juga memorial bagi memperingati pahlawan yang gugur. Masuk je di bahagian hadapan kawasan ini, terus nampak patung (statue) pahlawan yang menjadi simbol tempat ini.

Yuhuatai Scenic Area
Tiada tiket masuk dikenakan, tetapi perlu membayar sebanyak 20 yuan seorang jika kita nak berjalan-jalan dengan menaiki trem. Oleh kerana kawasan ini tersangat luas, maka rata-rata pengunjung memilih menaiki trem - begitu juga dengan kumpulan kami.

Yuhuatai Scenic Area
Memorial Hall.

Pemandu trem beri penerangan setiap kali trem melalui tempat menarik, tapi saya tak fahamlah sebab pertuturan bahasa Cina. Saya cuma merujuk kepada brosur yang diberi (juga dalam aksara Cina), kena gunakan Google Lens untuk terjemahan. Leceh jugalah 😅

Yuhuatai Scenic Area
Ternampak rombongan anak-anak kecil berpakaian seragam seperti anggota keselamatan. Comel!

Yuhuatai Scenic Area
Deretan patung di dinding, tak pasti cerita sejarah apa yang nak disampaikan. Saya lebih banyak melihat-lihat tanpa memahami.

Yuhuatai Scenic Area
Reflecting Pool.

Yuhuatai Scenic Area
Pagoda.

Rasa macam sekejap saja dah siap pusing kawasan ini. Mungkin trem hanya bawa ke tempat tertentu saja sebab kalau tengok peta pada brosur tempat ni sangat luas. Kalau dapat berada lebih lama di sini mungkin lebih seronok, tambahan pula udara nyaman jadi selesa nak berjalan.

Dari Yuhuatai Scenic Area, kenderaan sewa bergerak menuju ke sebuah kedai makan halal yang katanya terkenal di Nanjing.

Dalam perjalanan, ternampak Nanjing Male Health Hospital.


LI JI MUSLIM RESTURANT

Li Ji Muslim Restaurant, Nanjing
Pintu masuk restoran. Kami tiba di sini pukul 12 tengah hari, waktu puncak - restoran agak sesak dengan pelanggan.

Li Ji Muslim Restaurant, Nanjing
Jalan raya di hadapan restoran.

Li Ji Muslim Restaurant, Nanjing
Sempat memotret bunga warna oren kuning yang ditanam di depan restoran.

Li Ji Muslim Restaurant, Nanjing
Kena cari tempat duduk untuk dapatkan nombor meja sebelum buat order di kaunter. Melilau mata cari meja kosong, akhirnya dapat sebuah meja sederhana besar di sudut bahagian belakang restoran. Foto di atas saya ambil dari tempat kami duduk sementara menunggu kawan Encik Suami order makanan.

Li Ji Muslim Restaurant, Nanjing
Bahagian penyediaan dumpling goreng. Masa nampak ni tadi, rasa teringin nak makan tapi saya dah order makanan lain. Rupa-rupanya kawan Encik Suami ada order dumpling ni untuk dikongsi bersama.

Walaupun pelanggan ramai, tetapi pekerja restoran juga ramai. Kami tak perlu menunggu lama untuk menikmati hidangan tengah hari.

Li Ji Muslim Restaurant, Nanjing
Beef wonton (wantan) pilihan saya. Nampak ringkas je hidangan ni, tapi rasanya sedap!

Li Ji Muslim Restaurant, Nanjing
Dumpling goreng dan itik panggang kongsi makan sama-sama. Dumpling goreng tu pun sedap, tak cukup makan satu!

Alhamdulillah perut dah kenyang, kami bergerak ke satu lagi tempat tarikan pelancong di Nanjing.







Sunday, 7 December 2025

Sinaran Krepuskular dan Burung Pucung Cina

Catatan hari Jumaat, 5 Disember 2025.


SINARAN KREPUSKULAR (CREPUSCULAR RAY)
Rezeki di pagi Jumaat, saya berpeluang menyaksikan fenomena indah sinaran krepuscular (crepuscular ray) ketika matahari terbit. 

Sinaran krepuskular (crepuscular ray)
Foto dirakam pada pukul 6.54 pagi dari pekarangan rumah.

Sinaran krepuskular (crepuscular ray)
Masya Allah indah alam ciptaan-Nya.



 BURUNG PUCUNG CINA (CHINESE POND HERON)
Dalam entri terdahulu, saya pernah berkongsi foto dan catatan berkenaan burung ini tanpa mengetahui namanya. Kali ini saya berjaya memotret foto burung tersebut dengan lebih jelas, seterusnya memudahkan carian maklumat berkenaannya.

Nama Melayu - Pucung Cina / Pucung Keladi
Nama Inggeris - Chinese Pond Heron
Nama saintifik - Ardeola bacchus

Burung Pucung Cina (Chinese Pond Heron)
Hasil foto zoom-in yang diambil sekitar pukul 2.45 petang dari jendela bilik tidur saya. Hasil foto tidak begitu jelas kerana dirakam menerusi lapisan jendela kaca dan jaring nyamuk. 

Burung Pucung Cina (Chinese Pond Heron)
Zoom-in lebih dekat bagi memerhatikan rupa bentuknya.

Burung Pucung Cina (Chinese Pond Heron)
Foto paling dekat dan paling jelas yang berjaya dirakam. Antara ciri-ciri burung Pucung Cina - mata kuning terang, paruh hitam kekuningan, bulu dada dan leher berjalur coklat putih dan badan coklat keperangan.

Carian saya mendapati, burung Pucung Cina merupakan burung hijrah (migrasi) yang berkemungkinan datang dari negara China ke Malaysia semasa musim sejuk. Ia berpadanan dengan catatan saya pada entri terdahulu - di mana burung ini muncul di kawasan rumah saya hanya dalam tempoh tertentu iaitu sekitar Oktober sehingga Mac.

Kehadiran burung yang muncul pada tempoh tertentu ini saya sedari pada pengujung bulan Oktober lalu. Uokk…uokk…uokk…bunyinya kedengaran pada suatu pagi. Saya tersenyum sendiri, ia bunyi yang saya kenali! Kehadirannya juga seakan petanda bahawa Perlis akan memasuki musim angin timur. Ini kerana tempoh keberadaannya di sini hampir sama dengan musim angin timur yang biasanya berlaku sekitar November - Mac.

Perbezaan Chinese Pond Heron dengan dua jenis burung yang hampir serupa.

Setelah dua tahun saya menetap di sini serta menyaksikan datang pergi burung berwarna coklat dengan jalur putih ini, akhirnya baru sekarang saya tahu namanya 😄

Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis burung hijrah yang memenuhi kawasan sawah padi di sekitar Perlis. Saya suka memerhatikan burung-burung ini dari jendela kenderaan. Kawasan rumah saya jauh dari sawah padi jadinya saya tak berpeluang memotret burung-burung tersebut dengan lebih dekat.







Thursday, 4 December 2025

Kembali Ke Nanjing Dengan Tren CR C3602

CATATAN TRIP KE CHINA - WILAYAH YUNNAN & JIANGSU | 10 - 14 APRIL 2025

Sambungan catatan terdahulu —> Jalan-jalan Menikmati Suasana Malam di Liyang


Hari Isnin bersamaan 14 April 2025, hari terakhir kami berada di negara China. Penerbangan kami ke Singapura dijadualkan pada pukul 1.25 pagi, hari Selasa. Jadinya kami ada masa seharian untuk berjalan-jalan di Nanjing. 

Pukul 9.15 pagi, kami mendaftar keluar dari Liyang Marriot Hotel menuju ke Liyang Railway Station. Jika sebelum ini kami datang ke Liyang dengan menaiki kenderaan sewa, tetapi untuk kembali ke Nanjing kami menaiki high-speed train.

Liyang Railway Station
Suasana di Liyang Railway Station. Tenang, tak sesak dengan orang ramai. Terdapat petugas sedang berdiri di beberapa sudut stesen, sedia membantu para penumpang. Bagus betul.

Liyang Railway Station
Tiba masa, kami ke platform untuk menaiki tren. Penumpang beratur mengikut koc yang bakal dinaiki.

Liyang Railway Station
9.54 pagi, tren kami tiba. High-speed train ini dikendalikan oleh China Railway Shanghai Group. Ia dalam perjalanan dari Shanghaihongqiao Railway Station menuju ke Nanjing South Railway Station dengan melalui 7 buah stesen perhentian - Liyang merupakan stesen perhentian kelima.

Liyang Railway Station
Kami naik koc no. 1, paling hadapan.

High Speed Train Liyang - Nanjing
Koc no. 1 untuk tempat duduk Kelas Pertama dengan susunan kerusi 2-2. Kadar tambang sebanyak 81 yuan bagi perjalanan dari Liyang ke Nanjing.

Pada skrin hadapan (di atas pintu), tertera info antaranya suhu di luar & di dalam dan kod tren ini iaitu C3602.

High Speed Train Liyang - Nanjing
Tempat duduknya luas selesa.

High Speed Train Liyang - Nanjing
Diberi juga senaskhah akhbar Shanghai Securities News.

High Speed Train Liyang - Nanjing
Antara pemandangan di luar yang sempat saya rakam.

Nanjing South Railway Station
Sekejap saja perjalanan kami, dalam tempoh 30 minit kami selamat tiba di Nanjing South Railway Station. Stesen di sini besar dengan deretan platform.

Nanjing South Railway Station
Suasana sibuk di dalam Nanjing South Railway Station.

Kami kemudiannya bergerak meninggalkan stesen dengan menaiki sebuah kenderaan sewa yang akan membawa kami berjalan-jalan di sekitar Nanjing. 

Tempat tarikan pelancongan yang kami kunjungi :
  • Yuhuatai Scenic Area
  • Niushoushan Cultural Park
  • Jalan-jalan di kawasan pelancongan Qinhuai River
  • Aktiviti night cruise di Qinhuai River
Insya Allah catatan lanjut berkenaan aktiviti jalan-jalan di entri seterusnya.