Satu lagi musibah/ujian melanda kita....seorang rakyat Malaysia meninggal akibat jangkitan MERS-CoV. Dan ini adalah
kes pertama bagi negara kita.
BATU PAHAT: Seramai 64 penduduk Kampung Bintang Laut, dekat sini, dikuarantin di rumah masing-masing sejak kelmarin kerana mempunyai tanda awal Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV) susulan kematian seorang penduduk akibat penyakit itu.
(untuk berita penuh sila baca DI SINI.)
------------------------------------------------------------------
Apa Itu Jangkitan MERS-CoV?
Novel Coronavirus, yang juga dikenali sebagai Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) pada masa kini berlaku di Arab Saudi dan dilaporkan di beberapa Negara Timur Tengah lain. Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mula melaporkan mengenainya pada September 2012. Sehingga 31 Mei 2013, sejumlah 53 kes MERS-CoV yang disahkan melalui ujian makmal telah dilaporkan dari seluruh dunia, meliputi 30 kematian. Rakyat Malaysia juga berisiko mendapat jangkitan kerana bilangan yang mengerjakan haji dan umrah adalah agak tinggi. Justeru para Jemaah atau pelawat diingatkan agar sentiasa berwaspada mengenai jangkitan MERS-CoV ini.
Untuk makluman, MERS-CoV menyebabkan jangkitan saluran pernafasan akut di kalangan manusia. Gejala utama adalah demam, batuk, dan kesukaran untuk bernafas. Kebanyakan kes mengalami radang paru-paru (pneumonia). Pihak World Health Organization (WHO) menyatakan punca jangkitan dan cara jangkitan bagi MERS-CoV ini masih lagi belum dapat dikenalpasti. Pihak WHO juga menegaskan tiada vaksin untuk MERS-CoV pada ketika ini. Kebanyakan kes, jangkitan MERS-CoV adalah ringan. Bagi individu yang kurang daya tahan jangkitan, gejala jangkitan mungkin berlaku dalam bentuk yang tidak lazim (atypical).
Sehubungan itu, memandangkan buat masa ini punca jangkitan dan cara jangkitan masih belum dikenalpasti, pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalanan atau sebarang larangan lawatan ke negara-negara yang terlibat.
Oleh itu, pihak KKM ingin menasihatkan mengenai perkara-perkara berikut untuk mengelakkan jangkitan respiratori:
i) Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), terutamanya selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman.
ii) Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (medical mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu.
iii) Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari menjamah makanan mentah atau tidak dimasak dengan sepenuhnya, menjamah buah-buahan mahupun sayuran yang tidak dibasuh terlebih dahulu atau meminum minuman yang menggunakan bekalan air tidak terawat.
iv) Mereka yang pulang ke Malaysia dengan gejala jangkitan respiratori (demam, batuk, selsema dan sakit tekak) adalah dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung (medical mask). Jika gejala yang dialami berterusan dan menjadi bertambah teruk, segera dapatkan rawatan perubatan serta maklumkan mengenai sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat.
KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan dari pihak WHO akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. KKM akan terus berhubung dengan pihak WHO untuk memantau situasi terkini MERS-CoV, seterusnya mengambil langkah pencegahan dan kawalan sebagaimana yang disarankan.
Disediakan oleh:
Bahagian Kawalan Penyakit
Kementerian Kesihatan Malaysia
12 Jun 2013
(sila KLIK DI SINI untuk sumber asal.)
------------------------------------------------------------------
Apabila mendengar wabak sebegini, disunatkan untuk membaca
لا إله إلا الله العظيمُ الحليمُ . لا إله إلا الله رب
العرشِ العظيمُ . لا إله إلا اللهُ ربُّ السماواتِ وربُّ الأرضِ وربُّ العرشِ الكريمُ
(Riwayat Sahih Muslim)
Selain itu, diriwayatkan ketika penyakit Taun tersebar, disunatkan solat khas untuk menjauhi penyakit itu dan baginda Nabi s.a.w diriwayatkan (كان رسول الله - صلى الله عليه وسلم - إذا حزبه أمر صلى ) Ertinya : Nabi s.a.w apabila membimbangkan olehnya sesuatu perkara, baginda akan mendirikan solat (sunat).
PARA ULAMA JUGA menyebut agar segera MEMANTAPKAN SOLAT YANG WAJIB dan disunatkan berqunut nazilah.
Selain itu, amalkanlah bacaan ini 3 kali pada pagi dan petang :
بسمِ اللهِ الذي لا يضُرُّ مع اسمِهِ شيءٌ في الأرضِ و لا في السماءِ ، وهُوَ السميعُ العليمُ
Ertinya : Dengan nama Allah yang tiada mudarat bersama namaNya sesuatu di bumi dan langit dan Dialah yang maha mendengar dan maha mengetahui.
(dari hadis sahih)