Monday, 30 January 2023

Keindahan Menara Berkembar Petronas (KLCC) Pada Waktu Malam

[ Catatan kisah hari Jumaat, 13 Januari 2023 ]

Menara Berkembar Petronas (KLCC) terletak tak begitu jauh dari hotel penginapan kami, masih boleh sampai dengan berjalan kaki. Jadinya selepas menikmati makan malam di sebuah tapak food truck berhampiran, kami menuju pula ke KLCC.

Sesekali kita meronda melihat kehidupan malam di hutan batu ni pun seronok juga tau. Berjalan menyusuri laluan pejalan kaki, melewati bangunan-bangunan tinggi, menyaksikan kesibukan aliran trafik dan memerhati gelagat manusia di ibu kota. Kita ambil pengalaman.

Biarlah foto-foto berikut bercerita tentang keindahan malam yang saya saksikan di Menara Berkembar Petronas (KLCC) :

Keindahan Menara Berkembar Petronas (KLCC) Pada Waktu Malam
1. Pukul 9.26 malam, jalanan masih sibuk.

Keindahan Menara Berkembar Petronas (KLCC) Pada Waktu Malam
2. Antara tempat yang sesuai untuk berfoto dengan latar menara berkembar, iaitu di tempat melintas menuju ke KLCC. Tapi jangan berlama, orang lain nak berfoto juga dan nak melintas jalan. Boleh ikut contoh pasangan di atas cara bagaimana kedudukan subjek dan juru gambar. Saya dah kaburkan mereka berdua, harap tak menjadi kesalahan saya paparkan foto ini di blog.

Keindahan Menara Berkembar Petronas (KLCC) Pada Waktu Malam
3. Di sudut atas tangga ini juga antara tempat yang sesuai untuk berfoto dengan latar menara berkembar dan air pancut. Itulah sebabnya ramai orang berkumpul di sini untuk mendapatkan hasil fotografi yang menarik.

Keindahan Menara Berkembar Petronas (KLCC) Pada Waktu Malam
4. Selain para pelancong, tempat ini juga menjadi tumpuan orang-orang menjual aksesori/mainan bercahaya. Juga para juru gambar yang berkeliaran menawarkan servis fotografi. Di tangan mereka memegang gimbal (alat penstabil) lengkap dengan telefon bimbit dan reflector (alat memantulkan cahaya kepada subjek). Entah berapa harga servis yang ditawarkan, saya pun tak bertanya walaupun kerap kali disapa oleh para juru gambar ini.

Keindahan Menara Berkembar Petronas (KLCC) Pada Waktu Malam
5. Menara Berkembar Petronas berdiri gagah menyerlahkan keindahnya di malam hari.

Keindahan Menara Berkembar Petronas (KLCC) Pada Waktu Malam
6. Air pancut yang bertukar warna menambah keindahan suasana malam di sini. Saya bercadang nak ke hujung barisan air pancut ini untuk memotret dari sudut berbeza. Tapi rupanya tepat pukul 10 malam, air pancut ini berakhir. Kalaulah saya tau lebih awal…

Keindahan Menara Berkembar Petronas (KLCC) Pada Waktu Malam
7. Suasana malam di sini meriah, pelancong luar dan tempatan sibuk berfoto. Ada juga yang sekadar duduk santai menikmati suasana di bangku-bangku yang tersedia.

Keindahan Menara Berkembar Petronas (KLCC) Pada Waktu Malam
8. Foto menara berkembar dirakam dari sudut lebih dekat. Begitu hebat ciptaan manusia dengan akal fikiran anugerah Allah.

Keindahan Menara Berkembar Petronas (KLCC) Pada Waktu Malam
9. Saya zoom in kamera untuk memotret puncak menara. Ada kumpulan serangga berterbangan di puncak sana.

10. Pukul 10.33 malam, foto dirakam sewaktu kami dalam perjalanan kembali ke hotel penginapan. Dapatlah juga merakam foto Menara Kuala Lumpur dari kejauhan.

Rakaman video berdurasi 0:26 minit memaparkan suasana di KLCC.




Saturday, 28 January 2023

FLOW Smoke & Brew, Kuala Lumpur

Bersambung cerita di KL. Pada malam kami tiba di KL, encik suami bersungguh nak makan malam di FLOW Smoke & Brew yang terletak di Kampung Chubadak, Kuala Lumpur.

Sebelum ini (November 2022), encik suami pernah beli bungkus untuk kami makan di tempat penginapan je. Jadinya kali kedua ni encik suami nak makan di kedainya pula. Saya menurut saja walaupun pada fikiran saya makan jelah di mana-mana yang berhampiran dengan hotel penginapan. Cuma berjalan kaki, tak perlu susah payah keluar berkenderaan.

Supaya tak perlu bersusah payah meredah kesesakan trafik di KL dan susah pula nak dapatkan semula tempat parkir di hotel, kami naik kenderaan e-hailing. Tu diaa…bukan main gigih demi nak makan di FLOW Smoke & Brew. Ini semua gara-gara Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad yang menayang kelazatan dan kelembutan daging yang dimakan semasa bersiaran di ZRA Strim. Kalian pernah tonton siaran ZRA Strim? Kalau belum pernah, silalah cuba tonton. Saya sendiri dah terpengaruh dengan encik suami dan jadi pengikut ZRA Strim untuk menadah ilmu berkenaan perkembangan semasa tempatan/dunia, perbukuan, pengalaman hidup dan hal kemanusiaan. Selalu juga kami bersama-sama mendengar ZRA Strim di dalam kereta sewaktu melakukan perjalanan jauh atau ketika bersantai di rumah.

Ok, berbalik cerita makan-makan…

FLOW Smoke & Brew, Kuala Lumpur
Ada dua pilihan ruang makan. Kalau suka ruang terbuka atau datang dengan kumpulan, sesuai duduk makan di luar ni.

FLOW Smoke & Brew, Kuala Lumpur
Satu lagi ruang makan terletak di dalam bangunan. Tak luas dan sesuai untuk yang datang seorang atau berdua. Kami pilih makan di dalam. Imbas kod QR di meja makan untuk membuat pesanan.

FLOW Smoke & Brew, Kuala Lumpur
Antara dekorasi di ruang dalam. Turut disediakan bahan bacaan. Tak sempat membaca, tapi nak berfoto acah-acah baca buku sambil minum kopi pun boleh. Hehe.

FLOW Smoke & Brew, Kuala Lumpur
Minuman kami.

FLOW Smoke & Brew, Kuala Lumpur
Kami makan Smoke Brisket dan Smoke Lamb Ribs, tambah juga Mashed Potatoes.

FLOW Smoke & Brew, Kuala Lumpur
Meh kasi tengok dekat sikit tekstur daging. Dah dua kali makan, rasa dan teksturnya konsisten. Memang sedap berjus dan lembut! Sesuai untuk orang yang giginya dah tak berapa kuat nak kunyah daging macam saya 🤭

FLOW Smoke & Brew, Kuala Lumpur
Apa rahsianya? Mereka memasak daging menggunakan alat salai selama 12-15 jam dengan kayu rambutan. Itu yang dagingnya cukup lembut dan berjus.

Foto alat salai di atas saya rakam dengan izin tuan kedai. Sewaktu menunggu kereta e-hailing untuk kami kembali ke hotel penginapan, kami sempat berborak ringkas dengan dua daripada tiga orang pemilik bisnes ini.

Saya rasa seronok dan berbangga ada orang-orang muda yang bersungguh berniaga dengan menawarkan hidangan yang berkualiti begini. Usaha yang baik harus kita sokong, jomlah cuba makan di sini! Mana tau ia sesuai dengan cita rasa kalian juga. Pilihan menu boleh lihat DI SINI. Kalau nak tahu promosi terkini boleh ikuti mereka di Facebook : Flow.

Kekurangan tempat ini - lokasinya agak sedikit tersorok dan ruang parkir yang terhad. Kena parkir kenderaan di tepi jalan. Tapi makanannya memang terbaik, tak rugi mencuba.

—————————————————————————

FLOW SMOKE & BREW
Kampung Chubadak,
Kuala Lumpur.
(Carian Google Maps - FLOW Smoke & Brew)

Waktu operasi :
Selasa - Jumaat : 4 petang - 10 malam
Sabtu & Ahad : 4 petang - 11 malam
Cuti hari Isnin





Thursday, 26 January 2023

Concorde Hotel Kuala Lumpur

Pada 12 - 14 Januari lalu saya menemani encik suami ke KL atas urusan kerja. Kami bertolak dari rumah PP pada waktu petang, Alhamdulillah selamat sampai di hotel penginapan sekitar pukul 7.30 malam.

Kali ini kami menginap di Concorde Hotel Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Sultan Ismail. Jalan yang sesak dan ada laluan yang sempit, saya pulak yang rasa berdebar walaupun cuma duduk di sebelah pemandu.

Sudut pandang dari kolam renang hotel.
Kawasan parkir Concorde Hotel terletak di bangunan yang bersambung dengan bangunan hotel. Dari kawasan parkir, kita perlu melalui kolam renang untuk menuju masuk ke bangunan hotel.

Foto di atas saya rakam sekitar pukul 10 malam. Sementara encik suami kembali ke kereta kami mengambil barang, saya pula ambil kesempatan memotret keindahan malam di sini.

Bilik penginapan kami selama dua malam - Premier Room. Sebenarnya encik suami buat tempahan bilik jenis Superior Room. Tapi semasa mendaftar masuk, pihak hotel tawarkan untuk upgrade kepada Premier Room jenis smoking room (boleh merokok di dalam bilik dan ada disediakan bekas habuk rokok). Menurut staf hotel, walaupun smoking room tetapi tiada sebarang bau rokok dan kita boleh tukar bilik sekiranya ada bau rokok. 

Alhamdulillah…bilik penginapan yang cukup luas dan lengkap dengan meja kerja. Juga tak ada sebarang bau rokok pun. Selesa!

Binaan kabinet menjadi pemisah di antara tempat tidur dan bilik air.

Bilik air lengkap dengan tab mandi. Rasa macam dah lama tak dapat bilik hotel yang dilengkapi dengan tab mandi. 

Pemandangan dari tingkap bilik penginapan kami di aras 3. Walaupun ini bukanlah pemandangan yang menarik di mata saya, tapi ia bukanlah satu masalah. Keutamaan adalah pada keselesaan bilik.

Penginapan di sini termasuk sarapan pagi. Banyak pilihan makanan tersedia. Ambil itu sikit ini sikit, jadi banyak juga. Yang penting, dah ambil kenalah habiskan supaya tak membazir.

Alhamdulillah secara keseluruhannya saya rasa selesa sepanjang menginap di Concorde Hotel Kuala Lumpur ni. Bilik penginapannya sangat bersih dan selesa, sarapan pagi pun kena selera saya. InsyaAllah kalau ada rezeki bolehlah menginap di sini lagi. Nak ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) pun boleh berjalan kaki saja.




Wednesday, 25 January 2023

Kusemai Iris Berbunga Tulip

 
Kusemai Iris Berbunga Tulip
Judul : KUSEMAI IRIS BERBUNGA TULIP
Penulis : Gabungan Penulis
Penerbit : Ulul Albab Publication
Tahun terbit : Cetakan Pertama 2022
Jumlah halaman : 216


Bacaan buku pertama saya bagi tahun 2023. Sebuah naskhah himpunan karya oleh 31 orang penulis. Buku yang saya miliki ini merupakan pemberian kakak saya, selaku salah seorang penulis. Menariknya, di dalam naskhah ini mengandungi penulisan cerpen beliau yang pertama. Teruja saya mahu membacanya!

Karya yang dimuatkan di dalam naskhah ini bertemakan pengalaman para penulis ketika berada di luar negara. Seronok membaca pengalaman hidup yang berbeza dengan kehidupan kita di Malaysia. Kadangkala saya merujuk aplikasi Google Maps untuk mengetahui lokasi yang menjadi latar cerita. Cuma pembacaan saya agak terganggu bila ada hasil penulisan yang melakukan banyak kesalahan ejaan.

Saya kongsikan dua buah karya yang menarik perhatian saya :

Syahadah
Kisah perjalanan sekumpulan guru dan anak murid ke Jepun untuk program pengantarabangsaan. Anak-anak murid kemudiannya diserahkan kepada keluarga angkat. Saya suka pesanan yang diberi oleh guru kepada anak murid :
“Ingat ya, solat jangan tinggal. Jaga aurat. Hormat dengan keluarga angkat. Kamu semua bukan sahaja duta sekolah tetapi juga duta Malaysia dan duta Muslim.”
Tinggal bersama keluarga angkat yang berlainan agama, tentunya timbul beberapa isu. Di sinilah saya lihat pentingnya peranan guru membimbing anak murid dalam menangani persoalan yang timbul. Tentang makanan halal, tentang aurat.

Pengakhiran kisah dengan judul Syahadah ini membuat saya terasa sebak. Sesungguhnya walau di mana kita berada, kita merupakan duta agama Islam. Orang bukan Islam tidak melihat bagaimana Islam menurut ajaran kitab, tetapi mereka menilai apa yang dilihat pada diri seorang Muslim.


Epilog Cinta Semalam
Karya berlatarkan bumi Basel, Switzerland ini mempunyai jalan cerita yang menarik dan gaya bahasa yang sedap dibaca. Pertemuan semula Azalea dengan Zohaib atas satu tugasan membuka semula kisah percintaan mereka sewaktu menuntut di universiti. Cinta yang tidak berakhir dengan perkahwinan.

Zohaib yang sudah berkeluarga bertindak seolah mahu menyambung semula perhubungannya bersama Azalea. Bagaimanakah reaksi Azalea? Pengakhiran cerita ini menjelaskan sisi tegas dan fikiran jernih Azalea dalam menangani persoalan hati.

Memetik kata-kata penulis :
“Tetapi dengan iman senipis kulit bawang, berupayakah dia menangani keadaan dan menangkis godaan sekiranya terus-terusan diuji dengan soal hati dan perasaan? Mampukah dia terus mengempang paluan ombak rasa daripada singgah dan meninggalkan jejak di pantai hatinya?”


 ————————————————————

Syabas buat kakak saya, Azizah dengan cerpennya berjudul Syahadah. Satu permulaan yang menurut saya cukup baik. Semoga terus bersemangat menghasilkan karya bermutu. Jemput ikuti YouTube beliau DI SINI.

Terima kasih juga atas kesudian menghadiahkan naskhah Kusemai Iris Berbunga Tulip ini buat saya. Saya ambil semasa pulang ke kampung di Johor tempohari. Terus saya memotret buku ini dengan latar persekitaran di rumah Mak kami.






Tuesday, 24 January 2023

Menikmati Kuey Teow Theng di Barika House, Changkat Jering

Kuey Teow Theng. Nama hidangan yang agak asing bagi saya. Kali pertama saya mencubanya ketika singgah makan di Barika House yang terletak di Changkat Jering, Perak.

Barika House, Changkat Jering
Ada perkataan ‘herba’ tu membuatkan saya ragu-ragu nak mencuba. Tapi kalau tak mencuba, macam mana nak merasa ‘kan?

Cuma ada dua pilihan hidangan utama di sini - Kuey Teow Theng dan Nasi Kukus Ayam Berempah. Jadinya saya pilih kuetiau dan encik suami pilih nasi. Macam selalunya, nanti masa makan kami akan saling bertukar hidangan. Dapatlah merasa makanan pilihan masing-masing.

Barika House, Changkat Jering
Kemas susun atur dan bersih kedai makannya.

Barika House, Changkat Jering
Menariknya di Barika House ni, ada beberapa set meja & bangku yang unik. Perhatikan kaki meja dan bangku yang digunakan. Kaki meja menggunakan kaki mesin jahit lama jenama Singer. Bangku pula menggunakan bekas tong. Nampak klasik.

Barika House, Changkat Jering
Set Nasi Kukuk Ayam Berempah. Saya rasa agak lama juga menunggu mereka menggoreng ayam, tapi ia penantian yang berbaloi. Sedap gorengan ayam berempah ni, isi ayam lembut berjus.

Barika House, Changkat Jering
Inilah Kuey Teow Theng. Rupa macam kuetiau sup. Dihidangkan bersama hirisan fish cake, isi ayam yang disiat, taugeh dan sambal merah. Juga ditabur dengan gorengan bawang putih dan hirisan daun sup. Semangkuk kecil sambal kicap turut disediakan kalau nak rasa yang lebih pedas.

Bagaimana rasanya? Menurut saya, Kuey Teow Theng tidak mempunyai rasa rempah yang kuat tetapi rasanya sedap dan cukup menyegarkan! Memang menepati cita rasa saya.

Lokasi Barika House cuma sekitar 3 km dari Plaza Tol Changkat Jering. Tak begitu jauh. Walaupun pilihan makanannya tak banyak, tetapi menu istimewa Kuey Teow Theng sudah cukup menarik buat saya. Tambahan pula dengan persekitaran kedai makan yang sedap mata memandang dan layanan mesra yang diberi, ia menjadi tarikan untuk kami datang lagi ke Barika House.

—————————————————————————

BARIKA HOUSE
Jalan Kampung Koh,
Changkat Jering, Perak.

Waktu operasi :
Setiap hari (kecuali Khamis cuti)
Pukul 12 tengah hari sehingga 11 malam
*Jumaat - buka selepas solat Jumaat





Monday, 23 January 2023

Riadah di Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam

Empangan Mengkuang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang merupakan antara tempat riadah yang saya gemari dan terletak tak begitu jauh dari rumah saya. Cuma perjalanan ke sini sedikit sukar kerana jalannya berliku-liku dan sempit.

Walaupun tanpa teduhan pepohon rendang, tetapi tempat ini menyajikan pemandangan tasik empangan yang mempesona. Laluannya juga panjang, sesuailah untuk kita melakukan aktiviti kecergasan - berjoging, berjalan laju atau sekadar berjalan santai.

Pagi tadi, saya dan encik suami beriadah di sini. Ini merupakan kunjungan kali ke-3 sejak pertama kali kami ke sini pada pertengahan tahun 2022 lalu. Tetapi kali ni rekod paling lewat kami tiba, iaitu menghampiri pukul 10 pagi. Matahari sedang bersinar garang.

Riadah di Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam
Hampir lengang. Cuma ada beberapa kumpulan kecil pengunjung. Mungkin sebab cuti panjang, beriadah di sini bukanlah satu pilihan. Kalau nak tengok kemeriahan tempat ini pada hari hujung minggu biasa, boleh tengok DI SINI.

Riadah di Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam
Langkah bermula perlahan sambil pandangan terpukau melihat keindahan tasik empangan.

Riadah di Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam
Antara perubahan yang saya perasan kali ini, dah ada CCTV memantau di sini.

Riadah di Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam
MasyaAllah indahnya alam! Sesekali saya berhenti bila terpandang riak di permukaan air. Hasil pemerhatian, saya dapati ada beberapa ekor ikan dengan saiz agak panjang berwarna seakan kemerahan. Meliuk-liuk badannya berenang. Entah ikan apa. Seingatnya, ini kali pertama saya perasan kewujudan ikan di Empangan Mengkuang. 

Riadah di Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam
Foto rakaman dari kawasan parkir, di atas sana terletaknya tasik empangan. Nak mendaki ke atas tu jelah saya rasa sedikit sukar, perlu mengatur nafas. Sampai atas, jalannya rata je.

Rekod aktiviti kecergasan hari ini, data dari Samsung Galaxy Watch. Hajat di hati nak buat pusingan dari hujung kanan ke hujung kiri empangan. Tapi saya rasa tak larat dek panahan mentari. Jadinya cukuplah 1 jam di sini dengan jarak sekitar 4 km. Itu pun dah berpeluh-peluh walaupun pada kebanyakkan masa saya cuma berjalan santai.

Alhamdulillah. Badan terasa segar lepas beriadah.






.

Saturday, 21 January 2023

Philips Pressure Cooker | Kacang Kuda Rebus

Dah terlalu lama saya tak buat entri masakan menggunakan Philips Pressure Cooker (PPC). Sebabnya, sejak berpindah ke PP ni memang saya jarang memasak macam-macam. Jarang guna PPC. Gaya hidup minimalis - keperluan rumah termasuklah peralatan di dapur tak selengkap seperti di rumah NS. Pinggan & cawan pun cuma untuk beberapa orang saja tau 🤭. Mudahlah bila-bila kami nak berpindah semula ke NS nanti, tak terlalu banyak barang perlu diuruskan.

Berbalik kepada tajuk entri, hari ni bermula cuti panjang sempena sambutan Tahun Baru Cina tetapi saya tak ke mana-mana. Teringat kacang kuda yang dibeli di kedai Shopee masih berbaki sebungkus. Jomlah kita masak…

Kacang Kuda Rebus guna PPC
1 kg kacang kuda mentah dibeli dengan harga RM8.50. Basuh dengan cara lalukan air bersih. Saya tak rendam semalaman sebab nak masak menggunakan periuk tekanan.

Kacang Kuda Rebus guna PPC
Terus masukkan kacang kuda ke dalam PPC. Letak air melebihi paras kacang, jangan sikit sangat tau sebab kacang tu perlukan air untuk kembang. Lepas tu saya tambahkan sesudu kecil garam, serbuk kunyit secukupnya dan helaian daun kari. Kacau-kacau sikit supaya mesra bahan yang kita tambah.

Garam tu sebaiknya tambah bila hampir siap memasak, bila air rebusan tinggal sedikit. Tapi disebabkan agak leceh kalau nak buat begitu bila memasak guna PPC, jadi saya letak je di awal proses memasak. Serbuk kunyit saya tambah bertujuan memberi sedikit warna kekuningan pada kacang, nampak lebih menarik. Daun kari pula sebagai menambah aroma. Semua ni ikut suka nak letak atau tidak ya, terpulang kepada cita rasa sendiri.

Lepas tu bolehlah tutup periuk. Pastikan tombol SEAL - pilih mod BEANS/TENDON - tambah KPT 10 minit - tekan START. Jumlah masa yang saya set adalah selama 40 minit (mod Beans/Tendon 30 minit + KPT 10 minit).

Kacang Kuda Rebus guna PPC
Hampir 60 minit kemudian, PPC berbunyi beep. Dah siap! Walaupun tadi saya set masa memasak 40 minit, tapi masa akan bertambah sebab proses nak memanaskan air rebusan akan mengambil masa.

Tekan OFF dan biarkan sekitar 20 minit atau lebih sehingga tekanan dalam periuk dilepaskan secara automatik. Boleh tengok pin pada penutup, kalau dah jatuh ke bawah maksudnya dah boleh buka PPC tanpa sebarang tekanan dalam periuk. Atau kalau nak cepat, gunakan sudip panjang untuk tolak perlahan-lahan tombol ke VENT dan tunggu sehingga pin jatuh barulah buka penutup ya.

Kacang Kuda Rebus guna PPC
Keluarkan kacang kuda yang telah direbus dan toskan sebelum dipindah masuk ke bekas simpanan. Inilah hasil daripada kacang kuda mentah sebanyak 1 kg tadi. Cukup banyak buat kudapan kami berdua selama beberapa hari.

Kacang Kuda Rebus guna PPC
Kacang kuda rebus. Alhamdulillah memuaskan selera. Saya lebih suka makan semasa masih hangat. Kalau dah sejuk boleh panaskan semula dengan cara mengukus atau guna microwave (percikan air supaya kacang tak terlalu kering).

——————————————————————————-

Khasiat kacang kuda pada kesihatan :
  1. Mengawal penyakit kencing manis.
  2. Menghalang obesiti.
  3. Mencegah penyakit kanser.
  4. Mengurangkan risiko penyakit jantung.
  5. Menghalang penyakit hiperkolesterolemia.
  6. Mengawal penyakit tekanan darah tinggi.
  7. Menjaga kesihatan sistem pencernaan.
  8. Menghasilkan kesan estrogenik.
  9. Membantu pesakit anemia.
  10. Menjaga kesihatan kulit.
Terbukti bahawa kacang kuda mengandungi kandungi nutrisi dan berkhasiat pada kesihatan. Kacang kuda berupaya dalam membantu mengurangkan risiko penyakit disebabkan oleh kandungan nutrisi dan komponen istimewa yang dijumpai dalam makanan tersebut.

Sumber dipetik dari laman web The Diagnosa. Bacaan lanjut berkenaan khasiat kacang kuda boleh klik DI SINI ya. Saya cuma kongsikan secara umumnya saja buat pengetahuan dan motivasi untuk kita menjadikan kacang kuda sebagai makanan pilihan. Ianya murah dan mudah dimasak.





Thursday, 19 January 2023

Oh Kolesterolku!

Selepas 7 hari saya dan encik suami menjalani pemeriksaan kesihatan menerusi ujian darah dan ujian air kencing, pihak klinik menghantar pesanan WhatsApp memaklumkan keputusan ujian sudah tersedia. 6 hari kemudian barulah kami berdua berkesempatan bertemu doktor untuk sesi konsultasi.

Sebelum masuk ke bilik konsultasi untuk bertemu doktor, staf klinik mengambil bacaan suhu badan, tekanan darah dan paras oksigen di dalam darah.

Kami kemudiannya masuk bersama untuk bertemu puan doktor. Di atas meja doktor sudah tersedia dua buah fail keputusan ujian kesihatan kami. Berdebar rasanya! Begitulah kan, nak terima apa-apa keputusan pun mesti ada terselit debaran.

Keputusan ujian kesihatan
Doktor mulakan sesi konsultasi dengan saya. Helaian demi helaian keputusan ujian di terangkan.

Keputusan ujian kesihatan
Tiba di helaian keputusan berkenaan tahap kolesterol, banyak pula angka dengan cetakan tebal (bold). Angka dengan cetakan tebal dan bergaris bawah menunjukkan keputusan ujian yang ‘bermasalah’.

Bacaan Total Cholesterol, LDL Cholesterol & Non-HDL Cholesterol saya menunjukkan melebihi tahap normal! Doktor menerangkan setiap bacaan dan apa yang perlu saya lakukan demi mencapai tahap kolesterol normal.

Menurut doktor, buat masa ini saya tak perlukan sebarang jenis ubatan. Cuma perlu mengamalkan gaya hidup sihat menerusi pemakanan sihat dan rutin senaman. Ujian kolesterol boleh dilakukan sekali lagi selepas 3 bulan atau 6 bulan. Bacaan lanjut berkenaan apa itu lemak dan kolesterol serta panduan pemakanan, boleh klik DI SINI.

Atas saranan doktor disebabkan faktor umur melebihi 40 tahun, saya turut menjalani Ujian Penanda Jantung (Cardiac Biomarker Test) iaitu hs-CRP (High Sensitive C-Reactive Protein). Keputusan menunjukkan saya berada pada tahap ‘Average Risk’. Alhamdulillah. Tetapi saya perlu berjaga-jaga dan berusaha supaya berada pada tahap ‘Low Risk’ dengan cara mengamalkan gaya hidup sihat. 

Saya catatkan di blog sebagai satu peringatan buat diri sendiri dan juga cabaran bagi mencapai bacaan tahap kolesterol normal. Ini akan saya lakukan bersama encik suami yang juga mempunyai masalah serupa.





Wednesday, 18 January 2023

Mandarin Lokam

Buah limau mandarin a.k.a. mandarin lokam a.k.a. lokam, buah yang sinonim dengan perayaan Tahun Baru Cina. Hujung minggu lalu sewaktu ke sebuah pasar raya, saya lihat meriah bersusun kotak buah limau mandarin. Tapi saya tak membeli.

Semalam encik suami balik dari kerja, ditangannya menjinjing sebuah kotak berbentuk bulat. Kotak cantik dengan isinya bersusun 8 biji buah limau mandarin saiz L pemberian seorang kawan berbangsa Cina. Alhamdulillah rezeki.
Buah limau mandarin a.k.a. mandarin lokam a.k.a. lokam

Buah limau mandarin a.k.a. mandarin lokam a.k.a. lokam

Menurut laporan berita The Star, harga jualan limau mandarin tahun ini dijangka meningkat sehingga 40%. Hal ini disebabkan oleh gangguan pada rantaian logistik global, selain kadar pengeluaran yang berkurangan.

Buah limau mandarin 4 kg bersaiz kecil berharga RM19.80 sekotak (berbanding RM12.98 pada 2021), RM22.80 untuk saiz M (berbanding RM16.98 sebelum ini), dan sehingga RM32.80 untuk saiz XL (berbanding RM18.38 sebelum ini).






Monday, 16 January 2023

Rumah Kopi Sogama, Pontian

Khamis | 29.12.2022

Rumah Kopi Sogama yang terletak di Rimba Terjun, Pontian, Johor ni cuma berjarak sekitar 2 km saja dari rumah Mak saya. Tapi sejak kewujudannya, saya sendiri tak pernah mencuba makan di sini dek keterbatasan masa setiap kali balik kampung. Waktu operasinya bermula pula agak lewat, jadi selalu saja tak kena dengan masa saya.

Alhamdulillah, akhirnya saya dan encik suami berkesempatan ke sini. Kami datang bertiga bersama seorang kakak saya.  Ajak Mak ikut bersama, tapi Mak tak berminat nak keluar petang hari.

Apa yang menarik tentang Kedai Kopi Sogama ni? Jom kita tengok…

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Lokasi kedainya terletak di lot tanah bersebelahan Sekolah Agama Rimba Terjun. Malah tembok sekolah yang tertera nama sekolah turut menghadap tepi kedai. Loghat tempatan menyebut sekolah agama sebagai ‘sogama’ (cara sebut : so ga me), mungkin daripada perkataan tersebut Rumah Kopi Sogama mendapat nama.

Sedikit memori berkenaan sogama pada zaman kanak-kanak saya sekitar lewat tahun 80-an. Berkenaan Sekolah Agama Rimba Terjun, saya sendiri pernah bersekolah di sekolah ini tetapi bukan di lokasi sekarang. Masa tu sekolah agama yang berlangsung pada waktu petang masih lagi menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Rimba Terjun. Sempatlah setahun saya di Sekolah Agama Rimba Terjun.

Disebabkan saya bersekolah kebangsaan di STMI (1) iaitu sekolah yang mengamalkan sistem bergilir setahun pagi dan setahun petang dengan STMI (2), jadinya sekolah agama pun kenalah bergilir setahun pagi dan setahun petang. Hal ini membuatkan saya bersekolah agama di beberapa buah sekolah. Kalau sekolah agama kena giliran pagi, saya perlu ke sekolah agama di bandar (satu-satunya yang menawarkan sesi pagi pada masa tersebut). Kalau giliran petang, saya pernah bersekolah di Sekolah Agama Rimba Terjun dan Sekolah Agama Rambah. Seronok berpeluang sekolah di beberapa tempat ni tau, kita akan dapat ramai kawan-kawan baru. Lagi pula sekolah agama ni tak tertakluk kepada umur, jadinya kita akan bergaul dengan kawan-kawan pelbagai usia di dalam satu kelas.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Berbalik cerita Rumah Kopi Sogama, beginilah suasana di ruang hadapan kedai. Memang nampak sangat menarik! Ada beberapa pilihan ruang untuk kita menjamu selera di kedai makan ini. Kalau suka suasana santai, meriah dan ruangan terbuka, bolehlah duduk di bahagian luar kedai.

Di luar juga terdapat beberapa buah gerai kecil yang menurut saya ia disewakan kepada peniaga lain. Kalau nak membeli makanan dari gerai, perlu pergi ke gerai tersebut dan buat pesanan makanan sendiri. Makanan di gerai tiada dalam senarai menu yang diberi untuk kita membuat pesanan makanan.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Siap ada pokok tumbuh segar di tengah meja. Idea yang menarik.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Ini pula antara pilihan ruang makan di dalam kedai. Ada satu lagi ruang selepas pintu masuk, lebih menarik suasananya. Tapi saya tak merakam sebarang foto kerana segan pula ramai pengunjung sedang menikmati hidangan di ruang tersebut.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Sudut yang menarik, dekorasi yang menggamit memori masa lalu - dinding separa batu & kayu dan jeriji besi rekaan lama. Nampak laluan tar di luar sana? Itulah laluan ke bangunan sekolah agama yang terletak di belakang kedai makan.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Ini pula ruang makan paling belakang. Kami memilih makan di sini. Dekorasi ringkas yang sedap mata memandang. Juga ada gantungan pokok Pothos a.k.a. Money Plant yang membuatkan ruang ini mendapat sedikit sentuhan segar.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Dari sudut ini juga, kita dapat menyaksikan para pekerja kedai sedang sibuk menyiapkan hidangan.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Hidangan kami bertiga. Minuman tu boleh pilih nak plain atau sweet.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Alhamdulillah tak rugi mencuba. Makanan dan minuman semuanya memenuhi cita rasa.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Harga makan kami bertiga. Sangat berpatutan.

Rumah Kopi Sogama - tempat makan dengan dekorasi menarik, bersih, layanan pantas dan hidangan yang memuaskan selera. Walaupun tak banyak pilihan makanan ditawarkan semasa kunjungan saya ke sini (hanya hidangan makanan Barat kecuali jika kita membeli dari gerai di bahagian luar kedai), tapi saya rasa puas hati. Kalau banyak pilihan, tapi servis lambat pun tak seronok juga pelanggan nak datang mengulang makan.

Alhamdulillah, saya turut rasa seronok sebab ada juga tempat makan yang menarik dan bagus di kampung saya ni. Kalian ada ke Pontian? Bolehlah mencuba makan di Rumah Kopi Sogama ni. Ia terletak di sebelah kiri jalan menuju ke Tanjung Piai - Penghujung Benua Asia. Boleh buat carian di aplikasi Google Maps - Rumah Kopi Sogama.


———————————————————————-

RUMAH KOPI SOGAMA
(Sebelah Sekolah Agama Rimba Terjun)
Jalan Kukup, Kampung Rimba Terjun,
Pontian, Johor.

Waktu operasi :
4 petang - 11 malam
Setiap hari, kecuali Rabu