Tuesday, 29 November 2011

Kenapa Dia Yang Kamu Cintai?


Kenapa dia yang kamu cintai?
Kerana dia punyai wajah idaman Malaya.
Menatap wajahnya bisa membuat jiwa bergelora.
Lalu jika kemudian wajahnya cacat bercela,
Masih mampukah kamu mencintai dia...

Kenapa dia yang kamu cintai?
Kerana dia punyai jawatan tinggi.
Melihat angka gajinya bisa membuat kamu tersenyum sendiri.
Lalu jika kemudian dia hilang jawatan dan gaji,
Masih mampukah kamu mencintai dia...

Kenapa dia yang kamu cintai?
Kerana dia sering mengungkapkan puisi cinta.
Mendengarnya bisa membuat jiwa dibuai rasa.
Lalu jika kemudian dia berhenti membisik puisi cinta,
Masih mampukah kamu mencintai dia...

Kenapa dia yang kamu cintai?
Entahlah...kamu tak mampu memberi sebab.
Hanya ada rasa cinta tanpa bersebab.
Sesungguhnya...jangan bersebab untuk menyintai dia.
Asal berpandu iman di dada...jua warasnya akal fikiran.

Cinta yang tulus ikhlas...
Lahir dari hati tanpa sebab mahupun alasan!


*Rasa cinta tak perlu dicari, takut nantinya mudah jatuh cinta. Tapi masih perlu kepada usaha, dalam menemukan rasa cinta yang tulus dan berpanjangan.*


p/s: Ini adalah panduan buat adik-adik blogger yang sedang mencari teman hidup. Tapi kalau belum ada niat berkahwin, letak ke tepi je rasa cinta tu sebelum ia menjadi punca pelbagai dosa. Kan??


Monday, 28 November 2011

ETS: KL - IPOH - KL

Salam Maal Hijrah...
Untuk cuti kali ni saya mengambil peluang ke Ipoh dengan menggunakan perkhidmatan ETS (Electric Train Service). Bukan tak pernah ke sana, cuma kali ini pengalaman dan pemandangan sepanjang laluan adalah berbeza kerana menaiki tren. Untuk info lanjut mengenai ETS, SILA KLIK DI SINI. Oh ya, ETS juga boleh dinaiki dari/ke Seremban. Maaf, entri ni banyak gambar!


1. Keadaan dalam tren...selesa dan luas. Dilengkapi tandas yang moden dan ada jualan makanan.
2. Skrin TV di setiap koc- memaparkan masa dan kelajuan semasa tren (masa ni kira laju..145 km/jam). Juga ada tayangan cerita sebagai hiburan (tapi bosan sebab berulang-ulang beberapa cerita yang sama).
3. Tiket tren- harga dan masa perjalanan berbeza mengikut kelas Silver/Gold/Platinum. Untuk masa perjalanan yang saya ambil ni memang tiada pilihan, kecuali Gold. Masa yang diambil dari KL ke Ipoh - 2 jam 15 minit untuk kelas Gold.


IPOH : BAGAI TEROWONG MASA LALU!

4. Stesen Keretapi Ipoh- mula beroperasi pada tahun 1935. Antara bangunan peninggalan British.
5. Pandangan keseluruhan bangunan Stesen Keretapi Ipoh.
6. Bahagian atas bangunan- ada tingkap besar & kecil. Saya rasa ni bilik hotel...sebelum ni ada hotel beroperasi di bangunan ini.



7. Hotel Setesen (Station Hotel) - nama lama yang masih kekal di bangunan ini.
8. Laluan/koridor di luar Stesen Keretapi Ipoh.
9. Majestic Station Hotel (1935 - 2011) - menamatkan operasi pada Mac 2011 lalu, setelah 76 tahun!



10. Tugu Peringatan yang terletak bertentangan dengan Stesen Keretapi Ipoh.
11. Papan tanda besar 'Ipoh White Coffee' menambahkan aroma lama Ipoh.
12. Dewan Bandaran Ipoh - antara bangunan lama yang menghiasi landskap Ipoh.

(sumber fakta : ukm/monline & rac.gov.my)

***************************************************************

Dengan berjalan kaki, saya dan suami tidak pergi terlalu jauh dari stesen keretapi. Tambahan pula, cuaca agak mendung...bila-bila masa saja hujan akan turun.

Untuk hidangan tengahari - disebabkan meragui tahap halal kafe di stesen keretapi, kami menuju ke Medan Selera Dato Sagor yang terletak di belakang Dewan Bandaran Ipoh dan berhadapan dengan Masjid Negeri Perak. Makanannya tiada masalah bagi saya, cuma kawasan medan selera ini agak tidak bersih. Suatu usaha perlu dilakukan demi kebaikan semua pihak- pelanggan, pengusaha & kerajaan negeri. Maaf jika ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ni ya!

Apapun, perjalanan menaiki tren ke Ipoh melalui banyak tasik dan bangunan lama yang menarik perhatian saya. Ipoh sendiri, bangunan-bangunan lamanya bagai membawa saya ke masa lalu! Tidak hairan juga petang tersebut kelihatan beberapa pasang pengantin sibuk dengan sesi fotografi berlatarkan bangunan lama ini.

* ETS ada menawarkan tiket berharga RM16 dengan syarat & terma tertentu. Tiket perlu dibeli awal 2 minggu sebelum masa perjalanan. Boleh rujuk web mereka untuk mendapatkannya.



Friday, 25 November 2011

Lelaki...Kamu Pun Ada Aurat!


Yang ni belum tutup aurat..
Aurat perempuan...sering diperkatakan.
Kerana perempuan, tumpuan pandangan lelaki.
Aurat lelaki...sering dilupakan.
Kerana lelaki, jarang menjadi tumpuan pandangan perempuan.

Duhai lelaki Muslim...
Sungguh...aurat untukmu amat mudah.
Sekadar dari pusat sehingga ke lutut.
Itulah aurat lelaki...mudah, lalu sering diambil mudah!

Tiada salah berseluar pendek melepasi lutut,
Menjadi salah bila tiap bergerak lutut tersingkap.
Tiada salah tidak berbaju...asal kawasan pusat tidak terlihat.
Menjadi salah juga bila seluar yang dipakai nipis dan ketat.

Seluar tiga suku boleh saja menjadi pilihanmu...
Santai, selesa dan mampu menutup aurat.
Sesuaikan juga pemakaian ketika bersukan...
Usah biar terdedah peha yang aurat.

Lelaki...jagalah auratmu!
Biar perempuan tidak memandang...
Namun ada Allah yang sedang menilai.
Jangan ambil mudah auratmu yang memang mudah!

Peringatkan suami, adik atau abang kita tentang aurat mereka.
Mungkin ada yang lupa...lelaki jua ada aurat yang perlu dipelihara!


Tuesday, 22 November 2011

Telur Ayam Bulat?

Telur ayam berbentuk bulat...korang pernah jumpa? Sebenarnya gambar ni diambil semasa balik kampung mertua Raya Haji lalu, tapi baru nak dibuat entri.

(rujuk pada gambar) Telur yang kanan tu adalah telur ayam kampung saiz dan bentuk biasa, bujur. Telur yang kiri tu pula adalah telur ayam kampung saiz jauh lebih kecil dan bentuk bulat. Info penting, mertua saya hanya bela ayam kampung saja ya..tiada ayam serama atau ayam katik.


Pandangan dari atas.

Pandangan dari sisi.

Penemuan ini merupakan yang pertama buat mak mertua saya setelah sekian lama membela ayam kampung. Pertama kali juga buat saya! Tapi bukan perkara luar biasa buat suami saya yang pernah bertahun bekerja di ladang ayam baka. Mertua saya kata tu telur ayam jantan. Tapi dia tak pasti. Betul ke??

Fakta Sebenar
Telur bulat tu bukan telur ayam jantan. Menurut suami saya, tu memang telur ayam betina. Cuma telur tu tak menjadi macam telur yang biasa. Di dalamnya cuma ada putih telur, tanpa bahagian kuning telur. Kalau di ladang ayam, telur ni akan dibuang sebab dikira telur reject.

Carian di Google banyak mengaitkan telur bulat dengan perkara pelik dan ada juga dikaitkan dengan kepercayaan karut. Hakikatnya ia cuma kejadian 'telur cacat', Maha Suci Allah yang menjadikan kepelbagaian dalam kehidupan kita. Jangan mudah terpedaya dan menjadikan kita kian jauh dari Allah.


Monday, 21 November 2011

Kenduri Kahwin: Jurugambar Lelaki & Pengantin Perempuan

Musim cuti sekolah...
Musim orang kenduri kahwin.
Musim rezeki lebat buat para jurugambar.
Kerana hampir setiap pasangan pengantin mengupah jurugambar.
Dan hampir semua jurugambar tersebut pula adalah LELAKI!

Mengambil gambar tiada salah...
Asal tahu asas hukum Islam mengenai aurat.
Bahawa lelaki diharamkan melihat aurat yang bukan mahram.
Bahawa jurugambar lelaki haram mengambil gambar pengantin yang membuka aurat.

Pengantin perempuan yang sedang disolekkan...pasti belum menutup aurat.
Jurugambar lelaki pula sibuk mengambil gambar.
Atas dasar sekali seumur hidup...pengantin perempuan merelakan.
Dan sememangnya ada pengantin yang meminta diperlakukan begitu!

Tak kurang juga pengantin perempuan...
Ingin bergambar mengikut beberapa tema pakaian.
Soal aurat ditolak ke tepi...demi menggayakan pakaian tadi.
Atas dasar kerja...jurugambar lelaki mengambil gambar.

Sekadar ingatan untuk para jurugambar...
Rezeki kamu mungkin cukup lebat,
Tapi sayang ia tidak punya berkat.
Kerana hasil yang halal bercampur dengan yang haram!
Berbincanglah dengan bakal pelanggan sebelum menerima tugasan.
Atau sediakan rakan jurugambar perempuan...itu mungkin yang terbaik.

Jua ingatan untuk bakal-bakal pengantin....
Carilah redha Allah seawal hari perkahwinanmu.
Tidak perlu menggadai agama demi kepingan gambar,
Yang tidak menjanjikan bahagia sebuah perkahwinan!
Berbincanglah dengan jurugambar apa mahumu.
Atau cari saja jurugambar perempuan...itu mungkin yang terbaik.


p/s: memang susah nak cari jurugambar perempuan. Semoga lebih ramai yang menunjukkan diri selepas ini..anda diperlukan!


Friday, 18 November 2011

Bawa Telekung?

(Amaran: Entri ni untuk kita yang kebiasaannya memakai telekung ketika solat. Untuk yang tak pakai telekung, lain ceritanya ya.)



Esok dan lusa hari cuti...bagi kebanyakkan orang.
Esok dan lusa biasanya kita akan pergi jalan-jalan.
Ziarah saudara, menghadiri jemputan kahwin.
Kadang-kala memerlukan kita bersolat di tempat awam.
Di masjid, di surau R&R atau di surau stesyen minyak.

Di tempat-tempat tersebut biasanya memang ada telekung.
Dan sangat biasa juga telekung awam ni kotor, bertahi lalat dan berbau.
Sanggup kita bertemu Allah dengan pakaian kotor begitu?
Terkadang saiznya juga tak sesuai dengan saiz badan kita.
Kita tinggi, kain telekung pendek...boleh terjulur kaki tiap bersujud.
Solat pun jadi tidak sah kerana nampak kaki tadi. Tahu?

Pesanan ringkas...BAWALAH TELEKUNG DARI RUMAH!
Sediakan beg khas untuk telekung.
Setiap kali keluar rumah, boleh terus dicapai.
Telekung sendiri...bersih dan menepati saiz diri kita.
Kita pun selesa, solat pun lebih sempurna!

Pergi Tak Kembali

Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayunya alunan suara
Cemas di dada...lemah tak bermaya
Terbuka hijab di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baikkah atau sebaliknya

Amalan dan takwa jadi bekalan
Sejahtera bahagia pulang...ke sana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal-bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiring doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

Tajuk Lagu: Pergi Tak Kembali
Nyanyian: Rabbani

(sumber: liriklagu.com)

********************************************************
Nasyid ini mengingatkan kita tentang saat kematian yang pasti dilalui oleh setiap insan. Sebagai persediaan, lakukanlah amal baik sebanyak mungkin. Juga didiklah anak / isteri untuk menjadi Muslim sebenar, yang mampu mendoakan kita. Sesungguhnya, selagi kita bernafas...masih belum terlewat untuk memperbetulkan kesilapan semalam!

Saya syorkan untuk korang dengar sendiri lontaran suara hebat Allahyarham Ustaz Asri. KLIK DI SINI untuk mendengar.

Thursday, 17 November 2011

Contest Blogger Idol By Achie & Eyda



Siapakah blogger inspirasi...
Itu soalan yang diberi.
Blogger Diana Rashid sumber inspirasi.
Tunjuk ajar diberi seawal blog beroperasi...
Header pertama blog ini turut diberi.

Walau berstatus ibu dan isteri,
Sangat bijak masa di bahagi...
Blog tetap hebat, keluarga tidak terabai.
Itulah yang menjadi inspirasi.
Buat semua blogger bergelar isteri.

Apa matlamat dalam jangkamasa terdekat...
Pastinya ingin meningkatkan jaringan sahabat,
UV juga harap dapat dipertingkat,
Pembaca setia ingin diikat,
Jauh di mata, di hati terasa dekat.

Masa hadapan turut bermatlamat...
Pastinya ingin seperti blogger terhebat,
Sekali buat entri ramai yang 'melekat',
Entri pula yang memberi manfaat,
Untuk panduan dan saling ingat-mengingat.

Sebagai memenuhi syarat, saya tag Ieja dan Lia.
Yang lain-lain pun, dijemput KLIK pada banner di atas untuk join!


*Ini entri nak menang. Rasanya ayat dah cukup hebat..harap Achie berkenan ya!

Wednesday, 16 November 2011

Ayat Paling Agung

Malam kelmarin saya ada menonton tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal di TV Hijrah. Senang dengan penyampaiannya yang ringkas dan terasa santai. Cuma masa pertama kali saya menonton rancangannya, saya ketawa sebab ingatkan pelakon Jehan Miskin sedang berlakon jadi ustaz dan bagi tazkirah!


Tazkirahnya mengenai ayat paling agung dalam Al-Quran iaitu Ayat 255 : Surah Al-Baqarah atau disebut sebagai Ayat Kursi. Kenapa ia ayat paling agung? Kerana ia mengandungi penjelasan perkara-perkara yang agung dan sifat-sifat Allah yang mulia. Baca perlahan-lahan maksud ayat kursi ini untuk memahaminya...

“Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya). tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafa’at di sisi Allah tanpa izin-Nya. Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”
(Al Baqarah : Ayat 255)

Kenapa bacaan Ayat Kursi kita tak 'menjadi'?
Membaca Ayat Kursi boleh menjadi pendinding diri dari gangguan jin dan syaitan. Juga boleh menjadi penawar penyakit. Tak kisahlah yang membacanya seorang ustaz atau orang biasa macam saya.

Persoalannya kenapa bila ustaz yang baca, syaitan boleh pergi dan sakit boleh berkurangan? Bila kita baca, tak jadi apa-apa. Menurut Ustaz Don, sebabnya ramai yang baca tanpa tajwid. Membaca dengan tajwid yang betul penting untuk mengekalkan bacaan sebenar. Barulah Ayat Kursi ni 'menjadi' bila dibaca.

Jom amalkan Ayat Kursi setiap lepas solat dan sebelum tidur..dengan bertajwid!


p/s: Ayat Kursi ni juga saya jadikan doa sebelum memulakan perjalanan. Tapi kadang-kadang baca laju-laju..tajwid pun lari lah! Entri ni nak mengingatkan diri saya, juga korang yang sudi baca.


Tuesday, 15 November 2011

Orang Bertanya, Kita Menjawab

Entri kali ni nak menjawab soalan dari Shameel Iskandar yang dah tag saya. Siap minta maaf sebab tag tu...bagus betul.

Perlu baca ARAHAN SOALAN dengan teliti:
1. You must post this Rules
2. Each person must post 11 things about themselves in their journal
3. Answer the questions the tagger set for you in their post and create 11 new question for the people you tagged to answer
4. You have to choose eleven people to tagged and link them to the post
5. Go to their page and tell them you have tag HIM/HER
6. No tag back !
7. No stuff in the tagging section about “YOU ARE TAG IF YOU READING THIS” YOU LEGIMATELLY (a.k.a REALLY,TRUST WITH ALL HONEST) have tagged 11 people

11 PERKARA tentang saya:
1. Pengurus Rumahtangga. (utk. adik Yana, ya..akak dah kawin!)
2. Kalau tak tolak tawaran KPLI, kini saya Guru Kaunseling.
3. Berketurunan Jawa Johor.
4. Ada seorang abang, 5 orang kakak dan 2 orang adik.
5. Minat ambil gambar yang ada 'cerita'.
6. Suka makan nasi lemak dan karipap (epok-epok-sebutan kat Johor).
7. Antara novel yang diminati, karya Ramlee Awang Murshid.
8. Suka baca majalah Solusi, sebab bagi motivasi & peringatan untuk jadi lebih baik.
9. Suka aktiviti luar -mendaki gunung & 'camping'. (tapi dah lama tak buat sejak berkahwin).
10. Suka mengemas rumah tapi kurang suka memasak.
11. Geli cacing, tapi tak geli pegang ular.

Menjawab 11 SOALAN dari Shameel:
1. Selalu tak anda ditag?
    Jarang-jarang.
2. Rancangan TV yang paling anda sukai, Kenapa?
    Takde, jarang tengok tv. Biasanya tengok MHI sebab ada info.
3. Steysen Radio yang paling anda sukai, Kenapa ?
    Pun takde, jarang dengar radio.
4. Filem paling best yang pernah anda tonton setakat ini. Apa sebabnya filem tu best pada pandangan anda.
    Pun takde, kalau ada pun filem lakonan P.Ramlee kot. Sebab lawak bersahaja tapi ada mesej.
5. Berapa Jam sehari anda online?
    Tak tentu, ikut keadaan. Tapi kalau ada buat entri paling kurang sejam.
6. Antara blog dan FB, mana yang lebih anda suka?
    Blog.
7. Sejak bilakah anda mula terlibat dalam dunia blog?
    Jun 2011 yang lalu.
8. Kat sekolah dulu, subjek apakah yang paling anda tak suka. Kenapa ?
    Matematik, sebab result selalu tak elok.
9. Perkara paling mengembirakan anda dalam tempoh yang terdekat ini?
    Dapat hadiah gajet best masa ulangtahun perkahwinan.
10. Berapa peratuskah impian anda yang telah tercapai?
    Oh..susah nak ukur la. Banyak lagi belum tercapai.
11. Susah tak soalan-soalan ini?
    Soalan nampak senang, tapi ada yang susah nak jawab.

Disebabkan bukan senang nak menjawab soalan, oleh itu saya ubah peraturan dengan tidak tag sesiapa. Bolehkan? ^__^

Monday, 14 November 2011

Isteri...Wang dan Pangkat

(Catatan ini berdasarkan kisah realiti. Bukan untuk menghukum, bukan jua untuk memburukkan sesiapa. Tapi cukup untuk diambil pengajaran dan dijadikan peringatan.)


Awal perkahwinan...suami isteri hidup aman bahagia.
Suami bergaji biasa-biasa...isteri menjaga rumahtangga.
Tanpa rumah besar, tanpa kereta...masih ada tawa.
Benarlah...wang dan pangkat bukan penentu segala!

Sudah sampai rezeki Allah...kurniaan zuriat diterima penuh gembira.
Rezeki datang berganda...tawaran ke universiti buat isteri turut tiba.
Atas dasar kasih sayang...redha suami mengiringi langkah isteri tercinta.
Biar berjauhan, biar hidup dalam kepayahan...demi hari muka!

Empat tahun berlalu...segulung ijazah kini milik isteri tercinta.
Lepaslah segala lelah...suami kini tersenyum gembira.
Berbekal ijazah...bermulalah episod isteri berkerjaya.
Kasihnya suami...menyokong segala!

Masa terus berlalu...isteri berjaya dengan kerjayanya.
Suami masih seperti dulu...bergaji biasa-biasa.
Masa mengubah segala...isteri kini makin berbangga.
Suami dipandang sepi...kasih dan hormat kian tiada!

Suami diperlaku seperti kuli...disuruh itu ini segala.
Kerana masih ada sayang...suami menurut tanpa kata.
Gaji besar isteri tak mahu dikongsi...suami dituntut penuhi semua.
Suami rela meminjam berhutang...demi sayang yang masih bersisa!

Bidikan syaitan telah mengena...isteri semakin jadi derhaka.
Rasa mampu hidup sendiri...penceraian pula di minta!
Terkedu suami tak terkata...pinta isteri mencabar rasa.
Benarlah...wang dan pangkat boleh mengubah segala!

Sesungguhnya, isteri yang derhaka kepada suami yang baik...
syurga bukan untuknya!


p/s: Semoga ada jalan pulang buat isteri ini dan semoga ada sinar bahagia buat suami ini...juga anak-anaknya. Jika ada ahli keluarga kita yang begini, nasihati dan peringatkanlah mereka akan amaran dan janji-janji Allah kepada isteri derhaka. 


Sunday, 13 November 2011

"My View My World Contest"


Ini adalah contest anjuran Cik Nuurul @ CN.
Terpanggil untuk join sebab syaratnya agak mudah.


Kat sini saya sertakan dua keping gambar untuk penilaian CN. Harap CN berkenan pilih gambar hasil lensa rasa saya ni ya!


Lokasi: Teluk Batik, Perak.

Lokasi: Kundasang, Sabah.
 
******************************
Kalau korang nak join, sila KLIK banner di atas!



Friday, 11 November 2011

Jangan Cepat Percaya, Jangan Cepat Menafikan

Jika kamu mendapat sebaran...
"Kepak ayam jangan dimakan,
Kerana bahagian tersebut telah disuntik."
Jangan kamu cepat percaya lalu menyebarkannya.
Juga jangan cepat menafikan lalu melupakannya.
Tapi bertanyalah kepada penternak ayam,
Untuk jawapan yang tepat dan betul.

Jika kamu mendengar khabar...
"Ibadah haji Najib tidak mabrur."
Jangan kamu cepat percaya lalu mengutuknya.
Juga jangan kamu cepat menafikan lalu memujinya.
Tapi serahkan saja pada Allah sebagai penilai sebenar.
Cukup sekadar kamu ambil peringatan untuk diri sendiri.

Jika kamu mendengar berita...
"Anwar terlibat kes liwat."
Jangan kamu cepat percaya lalu menghukumnya.
Juga jangan kamu cepat menafikan lalu terus menyokongnya.
Tapi selidiki dari segenap sumber untuk mencari kebenaran.
Cukup untuk sebuah kebenaran dan bukan untuk menyebarkan aib.

Teknologi memungkinkan segalanya...
Tapi kita masih punya akal berbekal iman.
Jangan tergesa-gesa dalam menilai sesuatu khabar.
Berdiam diri itu lebih baik dari berhujah sesuatu yang tidak pasti!


p/s: Ini adalah pendapat dari saya, korang mungkin ada pendapat yang lain. Juga sekadar peringatan untuk diri sendiri yang sering lalai dan lupa.

Thursday, 10 November 2011

Kulit Lembu

Masih lagi berkisar cerita hari raya haji lalu. Sebelum ni dah tunjuk ekor lembu, sekarang nak tunjuk kulit lembu pulak. Sebenarnya ini merupakan pengalaman pertama saya melihat kulit lembu dalam rupa begini.

Kulit lembu yang dah siap dibakar dan dipotong.
Saya sampai rumah mertua agak lewat, jadinya terlepas untuk melihat kulit lembu yang belum diproses. Yang dalam dulang ni sudah siap dibakar dan dipotong. Kemudian dijemur supaya boleh tahan lama. Kulit lembu ini kemudiannya bolehlah dibuat masak sup atau sambal kering.


Gambar ihsan Google, tak sempat ambil gambar sebenar.

Hidangan tengahari hari tersebut, SUP KULIT LEMBU bersama KAKI LEMBU sebenarnya. Rupanya lebih kurang macam dalam gambar di atas. Tapi sebab tak pernah makan, saya belum ada kekuatan untuk mencubanya. Kalau tak diberitahu itu adalah kulit lembu, mungkin saya akan makan.

Korang pernah makan?


Wednesday, 9 November 2011

Pantai Rambah

Bagi korang yang masih belum tahu misteri rambut dalam entri sebelum ini, rambut tersebut sebenarnya adalah bahagian hujung ekor lembu. Jangan takut ya, bukan rambut hantu dan seumpamanya!
************************************

Entri kali ni sekadar memaparkan lokasi di mana saya dan ahli keluarga lain suka bersantai bila pulang ke kampung di Pontian, Johor. Lokasinya di Pantai Rambah, tidak jauh dari rumah mak saya dan kira-kira 6km jika dari bandar Pontian. Walaupun tak secantik pantai di Terengganu, tapi tetap seronok bila berkunjung ke sini.


Kali ni kami pergi waktu petang, pada hari raya haji yang lalu. Masa ni air laut sedang pasang, cuaca redup dan kelihatan banyak bot di lautan. Hati rasa begitu tenang...
Oh ya, yang dalam gambar di atas ni anak saudara saya bernama Ammar. Beria-ia dia mintak saya masukkan gambar dia ni dalam blog!



Pulau yang berbentuk seperti orang sedang berbaring tu adalah Pulau Pisang. Pulau ini tidak berpenghuni dan pernah menjadi kontroversi kerana terdapat rumah api di bawah seliaan Singapura.



Walaupun namanya 'pantai', tapi kat sini sangat tak sesuai untuk aktiviti mandi-manda. Sebab tiada pantai berpasir dan lautan membiru seperti di Port Dickson dan seumpamanya. Kawasan ni juga telah ditambak dengan batu-batu besar seperti dalam gambar di atas.


p/s: Semalam baru je sampai dari kampung. Hari ni banyaklah nak berkemas & membasuh. Sekarang bolehlah berblog!


Monday, 7 November 2011

Biar Gambar Bercerita #3


gambar 1


gambar 2

p/s: Siapakah empunya rambut ni?
Ada yang tahu??? ^__^


Saturday, 5 November 2011

Aidil Adha...Apa Kenangan Anda?

Aidil Adha datang lagi...
Tidak banyak kenangan sebenarnya.
Berbanding Aidil Fitri yang penuh rasa dan perasaan.

Buat pertama kali menyambut Aidil Adha bersama teman-teman,
Di asrama semasa sekolah menengah...
Jauh dari sisi keluarga,
Itu adalah kenangan yang sedih berbaur indah .

Sedih...
Saat takbir bergema,
Terduduk dihujung katil asrama...
Sambil berembes air mata dan teresak-esak.

Bukan sayu dengan indahnya takbir,
Tapi pilu terkenangkan keluarga,
Juga juadah yang membuka selera,
Itulah erti raya ketika itu.

Indah...
Menikmati juadah seadanya di dewan makan,
Bersolat sunat dan bertakbir di surau asrama,
Semuanya bersama teman-teman.

Melihat lembu yang bakal dikorban terlepas lari,
Menyaksikan proses sembelihan lembu korban,
Melihat darah yang berselerakan,
Itulah pengalaman pertama..juga terakhir.


**********************************

Sempena Aidil Adha ni, jangan lupa amalan sunat berikut:
  1. Berpuasa sunat pada 9 Zulhijjah (Sabtu) sempena hari wukuf.
  2. Solat sunat Aidil Adha, bertakbir dan melakukan ibadah korban pada 10 Zulhijjah.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA!


Thursday, 3 November 2011

Rahsia "Black Magic"



Amaran: sila baca perlahan-lahan untuk memahaminya.

Pernah main permainan BLACK MAGIC? Permainan ini saya dan kawan-kawan main selepas peperiksaan PMR. Masa tu bermacam-macam permainan kami main, antaranya Black Magic ni lah. Lagi 'menjadi' jika dimainkan waktu malam dalam kegelapan dorm asrama! Oh..indahnya kenangan bersama kawan-kawan di asrama...

Apa tu permainan Black Magic?
Ia dinamakan Black Magic kerana kita boleh mengetahui apa benda/barang yang telah dibisikkan oleh seorang rakan kepada rakan yang lain. Magic sebab kita tak dengar apa yang dibisik mereka, tapi kita tahu apa benda tersebut!

Cara bermain:
Seorang atau lebih akan menyebut sejenis benda, contohnya komputer. Ia disebut secara berbisik kepada seorang individu A, tanpa pengetahuan individu B yang duduk berjauhan dari situ. Kemudian si A akan mula menyoal si B, si B perlu meneka BUKAN atau YA sambil disaksikan mereka yang menyebut benda tersebut. Contoh;

Individu A: bantal..
Individu B: BUKAN
Individu A: matahari..
Individu B: BUKAN

berterusan sehinggalah si A sebut komputer, barulah si B jawab YA! Lepas tu dah tentu mereka yang bertanya akan hairan dan rasa sangat MAGIC! Mulalah tak puas hati suruh buat lagi..dan lagi. Siap suruh meneka disebalik dindinglah, jangan pandang orang yang menyoal dan bermacam ragam lagi. Memang seronok dan kelakar!

Rahsia Black Magic:
Sebenarnya tiada magic, tiada menggunakan sebarang isyarat komunikasi antara si A dan si B. Apa yang perlu, si A mesti menyebut benda berwarna hitam dalam sesi soalannya kepada si B tadi. Selepas itu barulah menyebut benda yang sebenar, iaitu komputer. Sebab itulah si B boleh tahu!
Kata kuncinya- jawapan yang dicari adalah selepas benda berwarna HITAM/BLACK. Contoh: rambut si A, kereta hitam jiran sebelah...

Jadinya, untuk merealisasikan permainan ini korang kena ajar seorang lagi rakan sebelum mula bermain dengan rakan lain. Lepas tu jangan bagitau rahsia permainan ini, biarkan mereka 'pecah kepala' fikir apa sebabnya!

Permainan ni saya main semasa camping, masa malam kenduri kahwin (selepas penat rewang) dan bila berjumpa ramai-ramai dengan ahli keluarga. Biasanya mesti berakhir dengan suara-suara tak puas hati. tak kurang juga yang teruskan mencuba untuk mengkaji apa rahsianya. Sebab tu jangan bagitau rahsianya, kalau nak main selalu!


p/s: Harap korang faham penerangan saya ni ya. Saya kongsikan supaya korang boleh bermain dgn kawan dan keluarga. Sebab ia boleh dimainkan oleh semua peringkat umur. Menyeronokkan dan mengeratkan lagi hubungan!

Tuesday, 1 November 2011

Isterimu Memang Menawan!

Duhai teman,
Memang patut kamu sering upload gambarnya di Fb,
Aku tahu kamu berbangga memilikinya,
Isterimu memang menawan!

Rambut beralun cantik,
Berbaju semuat tubuh.
Berseluar paras lutut.
Isterimu pandai bergaya persis model!

Ramai teman Fb memuji-muji,
Wow..cantiknya isteri kau, bertuahlah!
Kamu pasti tersenyum dengan semua pujian tadi,
Alhamdulillah...jawabmu!

Temanku,
Mungkin kamu tidak tahu atau sudah lupa,
Bahawa isterimu di bawah bimbinganmu,
Dosa membuka auratnya di bawah tanggunganmu!

Apatah lagi bila kamu 'menayangkan' dia di Fb,
Tiap mata lelaki lain yang memandangnya,
Tiap kali itu kamu mendapat pujian daripada mereka,
Juga beserta dosa!

Duhai temanku,
Aurat isterimu hanya untuk kamu suaminya,
Aurat isterimu bukan untuk tontonan umum.
Itu kamu WAJIB tahu!