Hari ini hari ke-7 kita menjalani ibadah puasa. Juga hari ke-2 kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 yang dijadualkan sehingga 12 Mei 2020.
Tidak seperti Ramadhan tahun-tahun sebelumnya, di mana saya sibuk dengan urusan jualan tudung secara online (kadang-kala ada juga tambahan jualan baju dan anak tudung berdagu). Ramadhan tahun ini saya bebas dari rutin buat iklan di Facebook dan Instagram, kemaskini stok di blog jualan, melayan juga menerima pesanan pelanggan di WhatsApp, Facebook dan Instagram, membeli stok jualan, memeriksa stok tudung yang diterima, melakukan kerja pembungkusan untuk di pos, menulis borang pengeposan dan memastikan tudung selamat sampai ke tangan pelanggan. Fuh!
Saya hadkan masa melayan pelanggan sehingga jam 11 malam sahaja (sama ada pada bulan puasa atau hari-hari biasa), tetapi mula melayan pelanggan seawal waktu sahur (pada bulan puasa). Biasanya pada bulan puasa, pelanggan lebih aktif membuat pembelian pada waktu lewat malam dan waktu sahur membawa ke selepas Subuh.
Setiap tahun, memang saya alami kesibukan luar biasa pada bulan puasa berbanding bulan-bulan lain. Lebih tepat, kesibukan bermula sebelum puasa dan semakin berkurang pada pengujung puasa. Pada masa ini sahajalah peluang untuk menjana pendapatan lebih tinggi dari biasa. Rekod jualan bulanan tertinggi adalah pada tahun 2017 iaitu melebihi RM10,000. Tahun tersebut juga mencatatkan rekod paling cemerlang sepanjang saya menjual secara online, dengan jualan menghampiri RM72,000. Tapi jangan salah faham pulak ya, itu adalah nilai jualan dan bukan nilai keuntungan yang diraih.
Biarpun taklah begitu banyak, tetapi untuk saya yang bekerja sendiri dari rumah ia sudah cukup memuaskan hati. Memang sangat penat, kadang sampai lenguh jari-jemari melayan pelanggan tak henti-henti.
Sehinggalah pada tahun lepas (2019), saya memutuskan untuk berhenti dari menjadi reseller tudung setelah melakukannya selama 6 tahun. Saya ada dua alasan - hilang minat dan permintaan yang semakin kurang (mungkin atas faktor kelembapan ekonomi semasa, persaingan pengeluar tudung yang makin banyak dan perubahan minat pelanggan). Maka, tahun 2019 menjadi tahun terakhir saya berniaga di bulan puasa.
Dan mulai tahun 2020, saya meneruskan jualan sebagai ejen dropship (tak pegang stok, cuma ambil pesanan dan urusan pos di buat oleh pembekal) sekadar untuk membantu regular customer mendapatkan tudung. Pada awalnya saya nak berhenti sepenuhnya, tapi bila dah lama berniaga tudung ni kita ada pelanggan biasa yang tetap cari kita untuk membeli. Maka, saya masih kekalkan medium jualan saya di Instagram. Manakala di Facebook dan blog semuanya saya tutup. Saya juga tak lagi aktif membuat iklan, sekadar meletakkan gambar produk di Instagram untuk pelanggan pilih.
Kat bawah ni gambar-gambar aktiviti jualan tudung saya sekitar tahun 2016 - 2018. Saya letak sini sebagai kenangan.
Bungkusan stok tudung yang baru diterima. Biasanya menggunakan kurier servis City Link. Kalau terlampau banyak, saya akan pergi ambil sendiri di Gombak.
Sebelum beli stok, saya ambil pesanan pelanggan terlebih dahulu. Saya ada wujudkan broadcast di WhatsApp untuk para pelanggan yang pernah membeli daripada saya (saya masukkan mereka dengan izin dan kerelaan mereka). Mudah saya broadcast sebarang promosi/tudung terkini. Jadinya kita taklah beli kurang atau lebih berbanding permintaan. Macam tudung dalam gambar ni, 67 helai daripada 101 helai sudah pun ada tuan punya. Bakinya untuk jualan terbuka di blog/Facebook/Instagram.
Selepas setiap helai tudung diperiksa, barulah boleh bungkus mengikut pesanan pelanggan. Sekali lagi letih jari dek menulis maklumat pelanggan pada borang pos. Mujur juga untuk bahagian maklumat penghantar sudah sedia dicetak oleh pihak Pos Laju (saya buka akaun dengan Pos Laju).
Dah siap bungkus, letak dalam bakul di luar rumah. Tunggu posmen datang ambil. Tapi kan datang tak tentu masa, jadinya susah untuk saya sentiasa menunggu. Saya tinggalkan pesanan begini. Lama-lama saya dah tak perlu tunggu, posmen dah tau buka pagar sendiri, ambil bungkusan dan tinggalkan borang salinan untuk saya. Sangat mudah! Sebagai tanda penghargaan, pernah beberapa kali saya berikan biskut raya kepada mereka.
Inilah rak putih menempatkan stok jualan saya. Tak jumpa pulak gambar berwarna, jadiklah yang ni sekadar untuk kenangan. Sekarang rak ni dah kosong, tinggal beberapa helai tudung yang belum terjual.
Ok, selesai sudah catatan kenangan menjual tudung. Tiada lagi kesibukan serupa pada tahun ini. Barulah saya boleh kembali aktif menulis blog, dah tak sibuk kerja. Rutin Ramadhan kali ni pun turut berubah, saya dah boleh tidur seawal pukul 10 malam dan lebih masa untuk aktiviti sendiri.
Alhamdulillah. Terima kasih Allah atas segala rezeki dan pengalaman ini.