Tuesday, 31 December 2024

Sorotan Peribadi Tahun 2024

 
Kehadiran senja mengingatkan kita bahawa akan ada hari esok untuk sebuah harapan baru.

Masa berlalu begitu pantas, sekejap saja kita sudah pun berada pada hari terakhir tahun 2024. Saya catatkan sorotan peribadi sepanjang tahun 2024 sebagai sebuah kenangan.
  • Tahun yang memberikan saya banyak pengalaman baru kerana berhijrah ke Perlis - negeri paling utara di Semenanjung Malaysia. Saya belajar menyesuaikan diri dengan persekitaran, budaya, loghat pertuturan dan orang-orang yang baru dikenali. Memang ada debaran dan rasa kekok, tetapi saya rasa seronok melalui pengalaman baru dalam hidup.
  • Jojo si kucing jantan yang sering bertandang ke rumah, akhirnya menjadi sebahagian dari kehidupan saya - saya berikan makan/minum dan tempat tidur. Jojo masih bebas ke mana-mana, tetapi kebanyakkan masanya dihabiskan di rumah saya. Ini merupakan pengalaman pertama saya berhubungan rapat dengan seekor kucing. Jadinya banyak sungguh momen lucu kerana banyak hal yang baru saya ketahui dan pelajari.
  • Tahun ini saya hanya dapat menghabiskan bacaan sebanyak 11 buah buku, tersasar jauh dari target membaca sebanyak 24 buah buku. Juga tahun yang sangat sedikit saya membuat entri catatan bacaan.
  • Syukur dan rasa sangat seronok tahun ini kerana dapat merealisasikan impian kembara alam semula jadi ke Kuching, Sarawak dan bermusafir buat kali pertama ke negara yang teringin saya kunjungi iaitu Jepun.
  • Saya rasa sangat sedih dan terkesan emosi dengan pembantaian negara haram Israel ke atas Palestin yang sudah berlarutan lebih setahun, iaitu sejak serangan bermula pada 7 Oktober 2023. Saya suka mengikuti perkembangan terkini melalui strim di Facebook - ZRA Strim. Walaupun setiap kali menonton/mendengar strim tersebut saya akan terganggu emosi, tetapi saya perlu kekal mengetahui perkembangan Palestin (dan negara-negara lain yang turut diserang oleh Israel) supaya saya tidak lupa mereka di sana yang sedang berjuang keras demi menegakkan kebenaran.
  • Sejak 23 Disember lalu, kesihatan Mak saya semakin merosot. Sebelum ini Mak saya yang berusia 76 tahun masih mampu mengurus diri walau pergerakannya agak terbatas. Kali ini, Mak hanya mampu terbaring dan mengharapkan orang lain membantu untuk mengurus diri. Inilah kesedihan terbesar saya. Saya berharap sahabat blog dapat mendoakan agar kesihatan Mak saya bertambah baik.

Sewaktu menaip entri ini, saya terima berita - Menteri Besar Perlis mengumumkan esok cuti umum bagi negeri Perlis sempena 1 Rejab 1446H dan 1 Januari 2025.

Selamat menyambut tahun 2025 buat semua sahabat blog 😊. Semoga Allah mengurniakan kita semua kekuatan jiwa dalam menghadapi apa jua cabaran. Teruskan menulis blog sebagai satu bentuk terapi diri.







Monday, 30 December 2024

Keindahan Alam dan Keunikan Lanskap Taman Rekreasi Tasik Melati, Kangar

Catatan hari Ahad, 14 Julai 2024.

Taman Rekreasi Tasik Melati terletak kira-kira 13 km dari rumah saya dan kira-kira 9 km jika datang dari bandar Kangar.

Setahu saya, terdapat dua pintu masuk ke tempat ini. Saya dan Encik Suami ikut saja panduan di aplikasi Google Maps untuk ke Tasik Melati, entah ikut pintu yang mana satu. Maklumlah, ini merupakan kunjungan kali pertama kami ke sini sejak berhijrah ke Perlis. Kami belum begitu faham jalan-jalan di sini.

Kami tiba di sini kira-kira pukul 9 pagi, matahari sedang memancar. Kawasan ini nampaknya agak lengang - cuma ada beberapa buah kenderaan di tempat parkir. Deretan gerai jualan berhampiran tempat parkir juga tidak ada yang beroperasi.

Taman Rekreasi Tasik Melati Perlis
Sudut pandang dari kawasan parkir. Gerbang taman rekreasi yang menonjolkan seni bina Cina.

Taman Rekreasi Tasik Melati Perlis
Tasik di sini merupakan tasik buatan. Suatu ketika dahulu, ia menjadi sumber takungan air bagi aktiviti pertanian.

Taman Rekreasi Tasik Melati Perlis
Terpukau mata saya memandang keindahan alam dan lanskap di sini 😍

Taman Rekreasi Tasik Melati Perlis
Terdapat laluan untuk pengunjung menikmati keindahan alam di tengah tasik.

Taman Rekreasi Tasik Melati Perlis
Water reflection yang cantik! Nampaknya Tasik Melati sangat sesuai bagi penggemar fotografi lanskap.

Taman Rekreasi Tasik Melati Perlis
MasyaAllah cantik sungguh bunga teratai disimbah cahaya matahari pagi.

Taman Rekreasi Tasik Melati Perlis
Sejenis lagi tumbuhan air yang terdapat di sini. Cantik bunga kecil berwarna putih, entah apa namanya.

Taman Rekreasi Tasik Melati Perlis
Teratai menjadi penyeri tasik dan lanskap seni bina Cina mencipta keunikan Tasik Melati.

Taman Rekreasi Tasik Melati Perlis
Malangnya, bukan semua orang tahu menghargai kemudahan rekreasi yang disediakan secara percuma.

Taman Rekreasi Tasik Melati Perlis
Pemandangan di sudut lain - kelihatan beberapa spesis burung berkaki panjang sedang mencari makan di sini.

Di bahagian sebelah sana, terdapat satu lagi kawasan tasik dengan laluan pejalan kaki di tengah tasik. Kami tak ke sana sebab laluan masuk ditutup sebagai persediaan Pesta Cahaya yang bertemakan Taman Fantasi. Juga ada bahagian lain yang kami tak pergi - dari jauh nampak ada taman permainan kanak-kanak.

Taman Rekreasi Tasik Melati Perlis
Tasik Melati - taman rekreasi dengan keindahan alam dan keunikan lanskap yang cukup menarik. Tempat ini sangat sesuai untuk aktiviti santai seisi keluarga. Ia juga tempat yang menarik bagi penggemar fotografi alam dan lanskap.

Saya nampak ada juga kemudahan surau dan tandas, tapi tak pasti keadaannya bagaimana. 

InsyaAllah lain kali kami datang buat brisk walk keliling taman, kali ni cuma berjalan santai menikmati alam dan sibuk memotret itu ini 😄. Kalau nak beriadah kena datang awal pagi sebelum matahari memancar.

Kalau kalian berkunjung ke Perlis, boleh masukkan Tasik Melati dalam itinerari. Buat carian di Google Maps - Tasik Melati Recreational Park.







Friday, 27 December 2024

View Point Wang Kelian

Catatan hari Ahad, 7 Julai 2024.

Saya pernah ke View Point Wang Kelian pada tahun 2022, ketika itu saya masih lagi menetap di Pulau Pinang. Kunjungan pada bulan Julai lalu pula merupakan kunjungan pertama saya sejak berpindah ke Perlis.

Setelah lebih dua tahun berlalu, terdapat beberapa perubahan di tempat ini. Antaranya :
  • Bayaran masuk dikenakan.
  • Tambahan ruang parkir di seberang jalan.
  • Perkhidmatan ‘bus buggy’ disediakan untuk pengunjung naik ke atas.

View Point Wang Kelian Kaki Bukit Perlis
Saya dan Encik Suami tiba di sini pada pukul 12.30 tengah hari. Masa ni hujan lebat baru saja berhenti, tetapi rintik-rintik hujan masih membasahi bumi.

Dari tempat parkir kenderaan di seberang jalan, kami menuju ke pintu masuk View Point Wang Kelian. Sebelum naik ke atas, pengunjung perlu membuat bayaran masuk di kaunter tiket.

View Point Wang Kelian Kaki Bukit Perlis
Kadar bayaran masuk bagi warganegara - RM2/dewasa dan RM1/kanak-kanak. Bayaran tertentu juga dikenakan bagi fotografi dan videografi komersial.

Untuk naik ke atas, pengunjung boleh memilih sama ada berjalan kaki atau menaiki ‘bus buggy’ dengan kadar bayaran sebanyak RM3. Bayaran perlu dibuat kepada pemandu ‘bus buggy’ sebelum naik kenderaan.

View Point Wang Kelian Kaki Bukit Perlis
Pintu gerbang tempat permulaan untuk kita naik ke atas. Kami memilih untuk berjalan kaki (baca : mendaki 😄) supaya dapat lebih menikmati suasana sekitar.

View Point Wang Kelian Kaki Bukit Perlis
Beginilah rupa laluan ke atas. Kali ini saya sempat ‘mengukur’ dengan menggunakan smart watch, jarak direkodkan kira-kira 160 meter. Tak jauh pun, tapi perlukan stamina sebab laluan mendaki. Kami berjalan santai sambil sesekali berhenti menikmati suasana sekitar dan merakam foto, disamping itu bolehlah ambil nafas 😄

View Point Wang Kelian Kaki Bukit Perlis
Sudut pandang dari laluan mendaki - ruang parkir yang terletak di seberang jalan.

View Point Wang Kelian Kaki Bukit Perlis
Pemandangan indah saujana mata memandang.

View Point Wang Kelian Kaki Bukit Perlis
Tiba di atas, iaitu View Point Wang Kelian. Mungkin disebabkan faktor cuaca hujan, jadinya tak ramai pengunjung ketika ini.

View Point Wang Kelian Kaki Bukit Perlis
Pelantar yang menjadi tumpuan pengunjung merakam memori di View Point Wang Kelian. Kalau cuaca cerah, memang cantik berfoto di sini dengan berlatarkan panorama perbukitan batu kapur dan hamparan hijau alam.

View Point Wang Kelian Kaki Bukit Perlis
Di sudut lain - sudah ada alat teropong berbayar.

View Point Wang Kelian Kaki Bukit Perlis
Masih seperti dahulu, terdapat deretan khemah gerai jualan. Kami mencari-cari penjual caffe latte, nasi goreng dan char kuetiau yang pernah kami makan dulu, tapi tak kelihatan.

View Point Wang Kelian Kaki Bukit Perlis
Tulisan ‘Wang Kelian Perlis’ yang gah dan menarik untuk berfoto tanda sudah sampai di sini, tapi jadi tak menarik sebab ada khemah jualan. Mungkin pihak berkenaan boleh memindahkan khemah jualan ke bahagian bawah atau membuat susun atur khemah jualan yang lebih kemas.

View Point Wang Kelian Kaki Bukit Perlis
Dalam keadaan gerimis dan suasana berkabus, ini sajalah foto alam yang dapat dirakam. Pemandangan yang indah mempesona di mata saya.

Kalau nak menyaksikan pemandangan indah ketika cuaca cerah, boleh lihat entri saya sewaktu kunjungan pertama pada tahun 2022 DI SINI.






Wednesday, 25 December 2024

Geotapak Bukit Jernih - Taman Rekreasi Bukit Jernih

Catatan hari Ahad, 7 Julai 2024.

Sebelum berakhirnya tahun 2024, InsyaAllah saya akan cuba hasilkan entri tempat-tempat yang saya kunjungi sepanjang beberapa bulan lalu. Akibat kurang rajin berblog, itu yang banyak catatan tertunda 😅. Tapi saya perlu catatkan di blog sebagai sebahagian memori sepanjang setahun pertama saya menetap di Perlis dan juga sebagai rujukan akan datang.

Saya mulakan dengan entri kunjungan ke Bukit Jernih yang terletak kira-kira 8 km dari rumah. Tak jauh, tapi biasalah kalau tempat yang dekat dengan rumah kita memang bertangguh nak pergi 😄

Geotapak Bukit Jernih - Taman Rekreasi Bukit Jernih
Geotapak Bukit Jernih atau lebih dikenali sebagai Taman Rekreasi Bukit Jernih.
Info | Taman Rekreasi Bukit Jernih telah mendapat pengiktirafan sebagai salah satu Geotapak di Malaysia kerana mempunyai pelbagai struktur geologi penting iaitu batu kapur Formasi Chuping yang berusia 240 juta tahun yang dipenuhi pelbagai jenis fosil dan geotrail. (Sumber : perlis.gov.my)
Geotapak Bukit Jernih - Taman Rekreasi Bukit Jernih
Saya dan Encik Suami tiba di sini kira-kira pukul 9.30 pagi. Tak ramai pengunjung, cuma terdapat beberapa kumpulan kecil pengunjung sedang berkelah di tepi sungai. Kereta kami parkir di kawasan ini.

Geotapak Bukit Jernih - Taman Rekreasi Bukit Jernih
Merujuk pelan ini, barulah saya tahu ada gua yang boleh diterokai di sini. Wah…menarik!

Geotapak Bukit Jernih - Taman Rekreasi Bukit Jernih
Bukit batu kapur yang tersergam dengan keunikannya tersendiri. Mungkin inilah Bukit Jernih.

Geotapak Bukit Jernih - Taman Rekreasi Bukit Jernih
Dari tempat pelan lokasi tadi, terdapat dua cabang jalan. Kami berjalan menuju ke sebelah kanan jalan, sehingga tiba di sebuah jambatan yang merentangi Sungai Jernih.

Geotapak Bukit Jernih - Taman Rekreasi Bukit Jernih
Sebenarnya saya agak terkejut melihat warna air di sini. Saya sangka tempat ini menawarkan pemandangan aliran sungai dengan air yang jernih, tetapi nampaknya sangkaan saya meleset. Tetapi ia bukanlah warna air yang nampak kotor, cuma tidak jernih.

Di bahagian lain - di kawasan berbatu dengan aliran air sungai berwarna agak kelabu, kelihatan sekumpulan pengunjung sedang bermandi-manda. Saya tak pasti sama ada memang begini warna air sungai di sini disebabkan faktor kawasan batu kapur atau ada sebab lain.

Geotapak Bukit Jernih - Taman Rekreasi Bukit Jernih
Tiba di penghujung jalan, terdapat hamparan sawah padi milik penduduk.

Kami kemudiannya berpatah balik ke simpang jalan dan menuju ke sebelah kiri pula - ke arah gua. Laluan yang sama menuju ke sebuah pusat pengajian Islam - madrasah Dar al Quran Wal Hadeeth.

Geotapak Bukit Jernih - Taman Rekreasi Bukit Jernih
Kami tiba di trailhead untuk aktiviti eksplorasi gua. Bila baca papan tanda tu, baru tahu boleh buat aktiviti pendakian juga di sini. Tentunya pendakian menuju ke puncak Bukit Jernih.

Geotapak Bukit Jernih - Taman Rekreasi Bukit Jernih
Dah ada papan tanda ‘DILARANG MASUK’, jadinya saya cuma merakam foto pintu gua dari jauh walaupun hati melonjak teringin nak masuk menjenguk di pintu gua.

Geotapak Bukit Jernih - Taman Rekreasi Bukit Jernih
Info berkenaan aktiviti eksplorasi gua Bukit Jernih. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas.

Saya tak dapat nak bertanya lanjut memandangkan tiada sesiapa pun di pondok kaunter pendaftaran. Perlu menghubungi nombor tertera pada foto untuk info lanjut. InsyaAllah ada kesempatan teringin juga saya mencuba aktiviti eksplorasi gua dan mendaki bukit di sini. 

Walaupun aliran air sungai di sini agak kurang menarik, tetapi Geotapak Bukit Jernih a.k.a. Taman Rekreasi Bukit Jernih ini sememangnya menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi untuk seisi keluarga - berjoging, berkelah, berkhemah, ekplorasi gua dan mendaki bukit.

Setakat kunjungan saya pada bulan Julai lalu, tiada bayaran dikenakan untuk masuk dan parkir kenderaan. Kemudahan tandas ada disediakan, tapi tak pasti berkenan bayaran sebab saya tak ke tandas.

Kalau nak ke sini, boleh buat carian di Google Maps - Sungai Bukit Jernih.







Monday, 23 December 2024

Catatan Hari Terakhir Trip ke Kuching

[Catatan Trip ke Kuching - Hari Keempat | Isnin, 20 Mei 2024]

Hari terakhir kami di Kuching, Sarawak. Keadaan kaki Encik Suami semakin teruk, kaki kirinya bertambah sakit sehingga sukar nak melangkah. Makanya, aktiviti yang dirancang pada pagi ini dibatalkan.


SUNTIKAN HYALGAN
Dengan menggunakan aplikasi Google Maps, saya buat carian lokasi klinik terdekat. Syukurlah terdapat sebuah klinik berhampiran hotel.

Kami tiba di Klinik Perdana kira-kira pukul 9.10 pagi. Tiada pesakit lain menanti, dapatlah Encik Suami berjumpa doktor dengan segera. Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor mencadangkan agar Encik Suami mendapatkan suntikan bagi merawat buku lali yang sakit.

Info berkenaan suntikan.
Doktor beri dua suntikan - satu di bahagian berhampiran pelipat siku kiri dan satu lagi suntikan di bahagian pergelangan kaki kiri. Caj rawatan dan suntikan sebanyak RM399.

Terkejut mendengar cajnya 😅, maklumlah kami tak pernah ada pengalaman mendapatkan suntikan begini. Kami perlu bayar sendiri terlebih dahulu sebab bukan klinik panel - bayar dahulu kemudian claim. Alhamdulillah selepas itu, claim lulus penuh tanpa masalah.


LAKSA SARAWAK DAN NASI GORENG DABAI
Dari klinik, kami ke King Laksa Sarawak untuk menikmati hidangan pagi. Semalam dah ke sini, dah tahu tempatnya senang terus pergi tak payah mencari mana nak makan.

Laksa Sarawak. Semalam ambil pilihan sotong, kali ini ambil yang biasa je.

Pertama kali mencuba nasi goreng dabai. Warna purple gelap itulah buah dabai. Mungkin ini buah dabai yang dah dibuat jeruk sebab rasanya masin. Tak habis kami makan nasi goreng ni sebab rasa sangat masin.


KEK LAPIS WARISAN
Rugi pula kalau dah sampai Kuching tapi tak membeli kek lapis Sarawak. Saya buat carian kedai kek lapis berhampiran lokasi kami dan kemudiannya memilih untuk ke Kek Lapis Warisan.

Tak susah mencari sebab kedainya terletak di tepi jalan besar. Sebuah bangunan dengan ruang parkir yang sederhana luas. Rupa-rupanya, bukan saja ada kedai jualan tetapi ada ruang demo pembuatan kek lapis. Menarik!

Kami masuk ke kedai terlebih dahulu, selesaikan hal utama iaitu nak membeli kek lapis Sarawak. Masa ni keadaan kaki Encik Suami semakin membaik, rasa sakit semakin berkurangan. Jadinya bolehlah kami bersama-sama memilih dan membeli kek lapis.

Tester pelbagai perisa kek lapis Sarawak. Banyak sungguh sampai tak tau mana satu nak dicuba 😀

Dah merasa, barulah kami membeli. Terdapat dua pilihan, iaitu kek lapis biasa dan kek lapis premium. Harga bermula dari RM10 sehingga RM30.

Keropok kering buah dabai pun ada dijual.

Siap membeli di dalam kedai, kami ke ruang sebelah pula.

Selain menyaksikan pembuatan kek lapis Sarawak, pengunjung juga boleh ikut mencuba. Tapi saya lebih suka merakam foto, tak rajin nak mencuba buat 😄

Seronok tengok, macam senang je tengok orang buat selapis demi selapis. Tapi sebenarnya tidaklah mudah, lagi pula kena tahan bahang panas oven.

Info Kek Lapis Warisan.


MASJID JAMEK NEGERI SARAWAK
Dari Kek Lapis Warisan, kami menuju ke Masjid Jamek Negeri Sarawak bagi menunaikan solat jamak Zohor-Asar dan menziarahi masjid yang menjadi mercu tanda di Petra Jaya, Kuching.

Dari jauh kelihatan kubah masjid tersegam indah bagai menyambut kehadiran kami.

Binaan menara berdiri megah menambah keunikan masjid ini.

MasyaAllah cantik sungguh reka bentuk dalaman masjid ini.

Sudut telekung ni pun nampak menarik dan telekung digantung kemas.

Masjid dengan binaan dua tingkat ini bukan sekadar menjadi tempat ibadah solat, tetapi ia juga menjadi tempat bagi pendidikan awal kanak-kanak. Sewaktu saya nak berwuduk di tingkat bawah, saya menyaksikan kumpulan kanan-kanak kecil berpakaian seragam sedang menggosok gigi beramai-ramai. Bagus sungguh!


MOMS LAKSA KAFE
Lokasi JJCM (jalan-jalan cari makan) kami yang terakhir di bandar raya Kuching - Moms Laksa Kafe yang terletak di Jalan Hj. Taha.

Selagi ada di Kuching, selagi tu tak jemu menikmati laksa Sarawak 😀. Walaupun nama menu sama, tapi terdapat perbezaan rasa di tempat makan yang berbeza.


TERBANG PULANG MENAIKI PESAWAT FIREFLY
Pukul 4 petang, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Kereta sewa kami pulangkan di lokasi sama sewaktu kami ambil. Sewaktu serahan semula, kereta sewa akan diperiksa oleh staf syarikat Ikram Transport. Semuanya dalam keadaan baik, deposit dikembalikan secara online.

Pesawat yang kami naiki berlepas ke Pulau Pinang pada pukul 6.40 petang. 

Sampai di Pulau Pinang, perjalanan diteruskan menuju ke Perlis. Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah sebelum pukul 12 tengah malam.


Catatan trip ke Kuching berakhir di sini. Trip yang saya rasa sangat puas sebab dapat menikmati alam semulajadi - hutan dan gua. Ada beberapa tempat yang tak sempat kami pergi kerana masalah kaki Encik Suami, antaranya Semenggoh Wildlife Centre dan Borneo Cultural Museum. InsyaAllah ada kesempatan kami pasti akan berkunjung lagi ke negeri Bumi Kenyalang ini.

Berkenaan kaki Encik Suami pula, nampaknya suntikan yang diambil sangat berkesan. Selepas beberapa jam suntikan, kaki Encik Suami kembali pulih. Esok harinya selepas balik dari Kuching, Encik Suami dapat meneruskan trip kerja ke Bangkok selama lima hari tanpa sebarang masalah kaki. Alhamdulillah.