"Sebutkan rukun Iman?" pinta penemuduga.
Diam. Lelaki itu gagal menjawab. Mungkin jua terkejut, lalu gagal mengingati.
"Baca surah al-Fatihah." arah penemuduga lagi.
Tergagap-gagap lelaki itu cuba melafazkan kalimah suci.
"Berapa lama kamu tak solat?" tanya penemuduga, pabila lelaki itu gagal membaca surah al-Fatihah (surah yang wajib dibaca dalam solat).
Lelaki itu menjawab "Sudah lama...". Ada yang mengaku sudah berbulan, ada yang mengaku sudah bertahun. Ya, lelaki itu dan lelaki-lelaki itu sudah sekian lama tidak bertuhan!
Lelaki-lelaki itu adalah suami kepada keluarga Islam. Punya isteri dan anak-anak. Mereka adalah NAKHODA kepada sebuah pelayaran bahtera rumahtangga. Hidup mereka tidak seindah impian, terperangkap dalam belenggu kemiskinan. Tapi yang lebih malang, hidup mereka jauh dari Allah yang telah menciptakan mereka (juga kita). Mereka benar-benar miskin! Miskin harta dan iman.
-----------------------------------------------------------------------------------
Sedih, kasihan, risau....itu yang saya rasa. Entah apa yang mereka lalui, entah bagaimana didikan penjaga mereka, hingga akhirnya menjadi 'nakhoda yang pincang'. Risau mengenangkan generasi zuriat yang terhasil. Moga usaha membawa mereka keluar dari belenggu kemiskinan ini bakal membawa mereka kepada hidup bertuhan.
Insaf, syukur...itu jua yang saya rasa. Terima kasih Allah atas segala nikmat hidup dan kemanisan rasa bertuhan yang Kau kurniakan!
Rasa bertanggungjawab...itu yang perlu saya dan kita semua rasa. Jom sama-sama kita ambil peduli pada insan sekeliling kita. Lakukan usaha semampu mungkin. Yang miskin harta, kita berikan bantuan harta. Yang miskin iman, kita tunjukkan jalan kebenaran-Nya. Ya, semampu kita kerana kita sendiri masih terumbang-ambing dalam usaha meningkatkan tahap ekonomi dan tahap keimanan.