Friday, 28 March 2025

Juadah Sahur, Berbuka dan Moreh Ramadan 2025

Bulan Ramadan kali ini, hampir setiap hari saya berbuka di rumah kecuali beberapa hari semasa ikut suami kerja di luar kawasan.

Rumah saya jauh dari lokasi bazar Ramadan, jadi malas rasanya nak keluar jauh semata-mata nak membeli makanan. Tambahan pulak, tahun ni kami berusaha nak solat tarawih setiap malam di surau. Kena jaga pemakanan supaya perut tak meragam waktu solat - tak boleh makan banyak, elakkan makan makanan yang ada unsur pedas (pedas sikit bolehlah). Kalau solat di rumah, senang nak ke tandas dan lepas tu sambung tarawih. 

Berbalik kepada tajuk entri, ayatnya macam banyak je foto juadah di sepanjang Ramadan 2025 😄. Hakikatnya sikit je foto yang ada, saya ambil foto bila sempat dan rajin.

Saya letak foto juadah sahur, berbuka dan moreh di blog sebagai kenangan dan rujukan akan datang.

Juadah sahur dan berbuka.
Lauk dalam bekas plastik tu pemberian jiran. Spaghetti carbonara chicken chop beli dari Daddy’s Kitchen - restoran paling dekat dengan rumah kami.

Jus tembikai manis tanpa gula, minuman yang kerap saya buat sebab sini dekat dengan ladang tembikai. Ini pun ada dua biji tembikai menanti untuk diproses - buat jus kemudian simpan dalam freezer supaya tahan lama. Keluarkan beberapa jam sebelum boleh diminum.

Juadah sahur dan berbuka.
Jemput-jemput pisang atau cekodok tu guna pisang yang disimpan dalam freezer. Pisang tersebut juga berguna bila saya nak buat smoothie.

Juadah moreh.
Dah sekian lama saya tak makan moreh. Biasanya kalau solat tarawih di mana-mana surau/masjid saya tak ambil juadah tersedia, sebab saya nak elak makan lewat malam dan memikirkan ramai lagi orang yang berminat nak ambil.

Tapi kali ini, jemaah cuma sekitar 20 orang. Kalau yang hadir di surau tak ambil juadah tersedia, makanan jadi berlebihan. Jemaah lelaki biasanya akan duduk makan juadah moreh sambil berbual santai. Encik Suami akan ambilkan untuk saya dan bawa balik makan di rumah.

Juadah moreh kami yang paling mahal 😅. Tomahawk steak di Daddy’s Kitchen. Sedap lembut berjus, recommended! Harganya tidaklah semahal restoran di bandar.

Kalau ikutkan, kami nak makan semasa berbuka tapi nanti kekenyangan susah pulak nak solat tarawih. Jadi malam tersebut kami berbuka sekadarnya, kemudian solat berjemaah di rumah dan keluar makan sekitar pukul 9.40 malam. 


Terima kasih Allah atas segala rezeki kurniaan-Mu.







Thursday, 27 March 2025

Musim Angin Timur Tanpa Cuaca Panas Melampau dan Kemarau

Alhamdulillah keadaan kesihatan saya semakin membaik walau belum pulih sepenuhnya. Masih lagi terbatuk-batuk dan masih makan ubatan diberi doktor. Terima kasih buat sahabat-sahabat blog yang telah mendoakan 💙

.

Ramadan tahun 2024, kami di negeri Perlis menjalani ibadah puasa dalam keadaan cuaca yang mencabar. Musim angin timur (berlaku sekitar bulan November - Mac) pada tahun lalu memberikan saya pengalaman baru - berpuasa dalam keadaan cuaca panas melampau, kemarau dan menyaksikan kebakaran di sana sini.


Alhamdulillah Ramadan tahun ini, keadaan cuaca berbeza. Walaupun masih berada dalam musim angin timur, tetapi cuaca tidaklah panas melampau dan tanpa kemarau. Ada hari panas dan ada hari hujan. Tiupan angin kuat juga tak sekerap tahun sebelumnya.

Tanpa gabungan ketiga-tiga elemen (cuaca panas melampau, kemarau dan tiupan angin kuat), sepatutnya tak berlaku kejadian kebakaran. Tapi nampaknya masih ada berlaku beberapa kes kebakaran kecil dan ada beberapa kali kebakaran besar sehingga menerbangkan debu hitam ke rumah saya.

Kebakaran bermula pada penghujung bulan Disember lalu. Rumput dan semak belukar bukan dalam keadaan kering seperti pemandangan pada musim angin timur yang lalu. Entah macam mana boleh terbakar.

Saya terfikir, mungkinkah ada eleman manusia sebagai pencetus kebakaran? Contohnya - ada orang baling puntung rokok ke dalam semak. Mungkin dibuat kerana kecuaian, atau mungkin sengaja? Kalau sengaja - ada beberapa sebab kebakaran sengaja dicetuskan tetapi ia lebih sesuai dibualkan secara berdepan berbanding menulis di sini.

Untuk rekod, sehingga pertengahan bulan Mac ini masih berlaku kebakaran.

Buah harumanis di belakang rumah saya. Hasil musim kali ini cuma sedikit, tak lebat seperti tahun lepas. Mungkin juga ada kaitan dengan faktor cuaca. Kalau nak kata faktor baja, tahun lepas pun tak dibaja tapi hasilnya lumayan.

Pesta Angin Timur (PAT) 2025 yang diadakan pada bulan Februari lalu juga menerima kesan perubahan cuaca. Hujan lebat menyebabkan kawasan tapak bendang yang menjadi lokasi PAT digenangi air dan berlumpur.

Sengaja saya catatkan hal kecil begini sebagai kenangan sepanjang menetap di Perlis.







Monday, 24 March 2025

'Shopping' Ubat

Bulan puasa tahun lepas | saya diuji dengan masalah batuk berpanjangan - tiada satu malam pun saya mampu menunaikan solat tarawih di surau/masjid. Batuknya tak teruk tapi sesekali bila tekak rasa sangat gatal jadi terbatuk-batuk dengan kuat, tak sesuai berjemaah bersama orang ramai.

Alhamdulillah tahun ini | hampir setiap malam saya berpeluang solat berjemaah di sebuah surau kecil berhampiran dengan rumah. Jemaahnya tak ramai, selalunya tak lebih 20 orang. Imam solat merupakan dua orang anak tahfiz yang bergilir mengimamkan solat Isyak, solat tarawih dan solat witir.

Tetapi sejak hari Khamis malam Jumaat lalu, saya solat tarawih di rumah saja kerana keadaan kesihatan yang kurang baik - demam, kepala rasa berat, sakit badan dan batuk berkahak. Saya ambil ubatan yang sedia ada di rumah - ubat batuk dan panadol.

Semalam - hari Ahad | batuk masih belum baik dan ada masa rasa perit tekak sampai susah nak keluar suara. Sekejap rasa macam demam, sekejap elok. Tak begitu teruk. Encik Suami pun nampaknya mulai tak sihat dengan simptom yang hampir sama dengan saya. Walaupun tak teruk, kami pergi ke klinik sebab risau juga kalau lambat baik macam mana nak balik beraya di Johor.

Dalam perjalanan ke klinik, nampak orang naik motor bawa daun banyak begini. Kalau diperhatikan macam rupa daun teratai atau daun keladi, saya tak pasti. Nak guna buat apa agaknya tu?

Kami ke sebuah klinik di bandar Kangar, terletak sejauh 27 km dari rumah. Sebelum ni pernah pergi klinik yang lebih dekat dengan rumah, tapi rasa agak kurang puas hati. Jadi kali ni kami pergi jauh sedikit, kot rasa serasi bolehlah ulang datang sini kalau perlu rawatan.

Pesakit lain tak ramai, sekejap je duduk menunggu nama kami berdua dipanggil untuk masuk ke bilik konsultasi. Puan doktor dengan pertuturan dialek utara, sempat bertanya - balik kampung atau memang bekerja di sini? Agaknya sebab dengar kami 'cakap luar'.

Ada sekali tu puan doktor sebut - lepas 'soq'. Mujur saya faham 'soq' maksudnya sahur 😄

Terkejut juga saya masa dapat ubat, staf klinik beri dalam beg kertas jenis keras elok gini 😁

Isi dalam beg - penuh dengan ubat-ubatan kami berdua. Dah dekat nak raya, orang shopping barang raya kami shopping ubat 😅

Eh, siap dapat dua pek sampul duit raya dan baucer foto raya di studio.

Berapa caj rawatan kami di sini? Saya sendiri tak pasti sebab kami guna insurans perubatan oleh syarikat tempat Encik Suami bekerja. Setakat ini masih belum ada update di aplikasi PMCare. Tertanya-tanya juga berapa cajnya.

Semoga dengan usaha rawatan ini, Allah mengurniakan kesembuhan buat kami.







Wednesday, 19 March 2025

Catatan Pagi Hari Ketiga di Tokyo

CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KETIGA - JUMAAT, 6 DISEMBER 2024

Sambungan dari catatan terdahulu --> Gyumon Halal Ramen, Asakusa


Setelah dua malam kami menginap di Art Hotel Nippori Lungwood, tiba masanya kami perlu bertukar hotel penginapan. Rasa malas sungguh nak bertukar penginapan sebab dah cukup selesa menginap di sini, tapi terpaksa jua sebab tak ada kekosongan untuk hari berikutnya.

Dari penginapan di Nippori kami berpindah penginapan di Ueno pula.


▶ MENDAFTAR KELUAR DARI ART HOTEL NIPPORI LUNGWOOD, NIPPORI

Art Hotel Nippori
Pemandangan dari jendela bilik pada pukul 6.30 pagi.

Waktu Subuh di sini kira-kira pukul 5.06 pagi, lepas solat Subuh kami sambung tidur/rehat dan kemudian mengemas beg. Pesan Encik M, jangan keluar awal pagi kalau tak mahu bersesak naik tren dengan orang Jepun pergi kerja. Waktu paling sesuai adalah selepas pukul 11 pagi.

Disebabkan kami nak naik tren dengan membawa bagasi, jadinya kami keluar dari hotel pada pukul 10 pagi. Tak terlalu awal dan tak terlalu lewat.

Nippori Jepun
Kami berjalan kaki menuju ke Nippori Station. Langit cerah dengan suhu 13℃. Hembusan angin membuatkan udara terasa sangat sejuk.

Nippori Fabric Town - Nippori terkenal dengan deretan kedai yang menawarkan pelbagai jenis fabrik, aksesori dan kelengkapan menjahit. Tapi kami tak sempat pun nak berjalan-jalan melihat kedai-kedai yang ada di sini. Kalau kalian minat menjahit, sesuai sangat menghabiskan masa di sini.

Dari Nippori Station kami naik tren ke Ueno Station. Perjalanannya mudah sebab tak perlu bertukar tren, cuma naik satu tren JR Yamanote Line dengan kadar tambang sebanyak 146 yen.


▶ UENO STATION
Agak terpinga-pinga juga kami sewaktu tiba di Ueno Station - jauh lebih moden dan besar berbanding Nippori Station. Tak mudah bagi kami mencari pintu keluar menuju ke hotel walaupun dah ikut panduan pada Google Maps.

Kami bergilir mencari - seorang tunggu bagasi dan seorang lagi berjalan mencari di manakah Shinobazu Gate untuk kami keluar menerusi Ikenohata Exit.

Ueno Station
Suasana di Ueno Station. Di lokasi saya berdiri menunggu, ada beberapa orang/kumpulan yang juga nampaknya sedang mencari-cari arah 😅. Masing-masing pegang telefon sambil mata memandang papan tanda yang ada.

Ueno Station
Alhamdulillah...akhirnya jumpa juga jalan yang dicari. Ikut laluan begini. Di kanan dan kirinya terdapat deretan tempat penyimpanan dan juga mesin minuman.


▶ AKIBAT TERLUPA PILIH 'WHEELCHAIR ACCESSIBLE'
Keluar dari Ueno Station, kami gunakan Live View (real-time navigation) pada Google Maps sebagai panduan menuju ke hotel penginapan.

Halakan kamera telefon ke depan dan ikut saja arah anak panah. Bagi memudahkan langkah, Encik Suami bawa kedua-dua bagasi kami dan saya pula fokus cari arah.

Terdapat dua tempat bertangga. Satu perlu naik tangga dan satu lagi turun tangga. Tinggi mana? Boleh lihat pada foto di atas dan di bawah.

Ueno Park
Turun tangga, kemudian melintas sebatang jalan kecil. Hotel penginapan kami APA Hotel terletak di seberang jalan. Masih awal, belum boleh mendaftar masuk. Kami tinggalkan bagasi di lobi hotel. Pihak hotel beri kod QR rekod penyimpanan bagasi, nanti masa nak ambil boleh terus imbas kod QR tersebut.

Tadi sewaktu berjalan menuju ke hotel, saya perasan orang-orang berjalan membawa bagasi dari suatu arah. Maksudnya, mereka tak melalui tangga seperti kami.

Barulah saya perasan - tadi semasa pilih mod berjalan kaki, saya terlupa pilih 'trip options - wheelchair accessible'. Jarang berjalan kaki bawa bagasi, jadi terlupa buat pilihan untuk mengelak laluan bertangga. Tepuk dahi!


▶ AMEYOKO SHOPPING STREET
Dari hotel penginapan, kami berjalan kaki menuju ke Ameyoko Shopping Street. Lokasinya berhampiran dengan Ueno Station. Kali ini kami dah tahu nak ikut jalan mana - tak perlu ikut laluan bertangga tadi.

Ameyoko Shopping Street
Ameyoko Shopping Street. Tengok nama pun dah tahu ini tempat apa.

Ameyoko Shopping Street
Kami tiba di sini lebih kurang pukul 11 pagi. Tempat ini meriah dengan pengunjung. Pelbagai barang jualan ada di sini - antaranya barangan cenderamata, pakaian dan beg. Barang basah seperti ikan, sotong kurita dan daging pun ada dijual di sini. Kedai makan pun ada juga.

Ameyoko Shopping Street
Kami jalan-jalan di bahagian luar je, tak masuk kedai dalam bangunan. 

Ameyoko Shopping Street
Mesin mainan kapsul pun ada di sini. Tertera notis supaya pelanggan memulangkan kapsul kosong. Sepanjang berada di Tokyo, mesin ini sangat mudah ditemui di mana-mana. Siap ada kedai besar yang hanya dipenuhi dengan mesin mainan kapsul. Mulanya saya sangka ia mainan untuk kanak-kanak (seperti di negara kita), tapi rupa-rupanya ramai pembeli dewasa.

Ameyoko Shopping Street
Lalu kedai jual buah, kami beli buah anggur hijau dari Takayama, Gifu Prefecture berharga 2,800 yen. Terasa mahal harganya, tapi Encik Suami beli juga. Sedap rangup buahnya. Teringin juga nak beli buah strawberi tapi kami baru nak berjalan-jalan, tak sesuai bawa buah strawberi ke sana sini.

Menariknya buah-buahan di sini, semuanya buah tempatan. Siap ada nama tempat asal buah tersebut. Teringat kata Encik M, orang Jepun utamakan buah tempatan.

Semasa berjalan-jalan di sini, kami jumpa sebuah gerai menjual kebab dengan tanda halal. Mulanya kami nak juga singgah cuba makan, tapi langkah kaki terhenti bila perasan mereka turut menjual minuman arak. Saya rasa ragu-ragu pula tentang pemahaman penjual berkenaan kebab halal. Lagi pula di Tokyo terdapat banyak pilihan kedai makan halal, tak makan di sini nanti boleh makan di tempat lain.


▶ LELAKI MESIR BANTU KAMI KE TOKYO CAMII (TOKYO MOSQUE)
Dari Ameyoko Shopping Street kami menuju ke Tokyo Camii (Tokyo Mosque) untuk aktiviti ziarah masjid dan menunaikan solat Jumaat.

Dari Ueno Station, kami perlu menaiki dua tren - Tokyo Metro Ginza Line dan Tokyo Metro Chiyoda Line dengan kadar tambang sebanyak 252 yen.

Ueno Station --> Omote-Sando Station --> Yoyogi-Uehara Station

Ueno Station
Tokyo Metro Ginza Line - kami berada di G16 Ueno menuju ke G02 Omote-Sando. Perjalanan mengambil masa 25 minit.

Tujuan saya catatkan di blog dengan agak terperinci kerana saya tak buat entri khusus berkenaan penggunaan tren di Tokyo. Sistem tren di sini complicated - tak mudah untuk saya faham dan terangkan semula. Tetapi tidaklah terlalu sukar untuk kita bergerak sendiri dengan adanya panduan Google Maps.

Ueno Station
Platform menunggu tren Ginza Line di Ueno Station.

Omote-Sando Station
12.05 tengah hari - tiba di Omote-Sando Station. Turun tangga untuk tukar tren Chiyoda Line.

Dalam tren Chiyoda Line menuju ke Yoyogi-Uehara Station. Masa ni orang tak ramai, bolehlah ambil foto untuk kenangan. Kalau tengah penuh, memang sangat sesak sampai nak tengok skrin atas tu pun susah.

Paparan skrin terdapat dalam bahasa Jepun dan bahasa Inggeris.

Tiba di Yoyogi-Uehara Station, macam biasa perlu rujuk Google Maps bagi panduan perjalanan ke masjid. Sedang kami memerhati papan tanda di stesen mencari arah pintu keluar, tiba-tiba seorang lelaki mendekati Encik Suami dan memberi salam.

"Mosque?", tanya lelaki tersebut.

Uehara
Pukul 12.20 tengah hari.
Tujuan kami sama, jadinya kami ikut saja langkah kaki beliau. Kami berjalan keluar stesen, seterusnya menyusuri tepi bangunan, melintas jalan besar sehinggalah tiba di perkarangan masjid. Sebelum berpisah, kami ucapkan terima kasih kepada beliau.

Alhamdulillah...Allah datangkan pertolongan buat kami melalui lelaki Mesir tadi. Waktu solat Jumaat bermula pada pukul 12.45 tengah hari. Tanpa bantuan beliau, kami mungkin sampai lewat. Maklumlah baru pertama kali ke sini, setiap langkah perlu merujuk Google Maps.

Azan pertama berkumandang ketika saya selesai berwuduk dan sedang berjalan menuju ke ruang solat perempuan.

.

InsyaAllah catatan pengalaman ziarah dan solat Jumaat di Tokyo Camii bersambung pada entri seterusnya.







Saturday, 15 March 2025

The Everly Putrajaya

Ini bukanlah kali pertama saya dan Encik Suami menginap di The Everly Putrajaya. Tetapi kali ini kami mendaftar masuk sedikit awal (sekitar pukul 9 malam) berbanding sebelumnya (sekitar pukul 2 pagi). Jadinya saya masih larat nak memotret keadaan dalam bilik penginapan, bolehlah buat entri sebagai kenangan dan rujukan akan datang.

The Everly Putrajaya
Laluan menuju ke bilik-bilik penginapan.

Penginapan kami Deluxe King Bed terletak di aras 14. Biliknya luas dan dilengkapi dengan mesin kopi. Memang berbeza dengan dua kali pengalaman penginapan kami sebelum ini.

The Everly Putrajaya
Lega rasa bila dapat bilik penginapan begini, bolehlah kami berehat dengan selesa selepas menempuh perjalanan jauh.

The Everly Putrajaya
Lengkap dengan pelbagai kemudahan. Semuanya berada dalam keadaan baik dan bersih.

The Everly Putrajaya
Ada singki, mesin kopi dan tersedia empat tin minuman di dalam peti sejuk mini. Encik Suami rujuk YouTube cara-cara menggunakan mesin kopi - hasilnya dapatlah kami menikmati beberapa cawan kopi pada malam tersebut.

Air minuman disediakan dalam botol kaca. Pengalaman sebelum ini, rasa airnya tak sedap - macam minum air paip. Tapi kali ini terpaksa juga minum sebab terlupa membeli air mineral. Alhamdulillah kali ini ok je rasa airnya.

The Everly Putrajaya
Ceria dan menarik rekaan notis makluman dan bekas isi kad akses.

The Everly Putrajaya
Bilik air luas, bersih dan selesa. Lengkap dengan tab mandi. Tapi leceh bila nak mandi guna shower kena masuk dalam tab mandi. Ada sesetengah hotel buat asing - tab mandi dan ruang shower.

The Everly Putrajaya
Sabun tangan, sabun mandi dan syampu disediakan dalam botol besar. Mudah nak guna.

Saya lupa nak ambil foto pemandangan dari jendela bilik, tapi pemandangannya biasa saja - bangunan dan kawasan rumah. Bukan bilik menghadap tasik taman rekreasi.

Harga penginapan termasuk bufet makan sahur. Waktu sahur pada pukul 4 - 6 pagi. Kami turun makan kira-kira pukul 4.40 pagi.

Banyak juga pilihan makanan tersedia - nasi lemak, nasi goreng, mi goreng, mi sup, bubur nasi, sup cendawan, roti canai, salad dan pastri.

The Everly Putrajaya
Saya makan nasi lemak tak letak kacang dan bilis. Sedap rasa nasi lemak dan sambalnya. Ambil juga sup cendawan, tapi cair dan rasanya tak kena selera. Mujur ambil sedikit, boleh habiskan. Lepas tu ambil juga roti canai dan sejenis pastri.

Masa tengah ambil pastri, tiba-tiba terdengar orang memanggil nama saya. Terkejut jugak. Rupa-rupanya kawan sekolah menengah yang menegur saya. Tak rasa kekok sebab kami dah bertemu beberapa kali sebelum ini ketika reunion. Kawan saya datang dari Kuantan ditemani suaminya, ada urusan kerja di Putrajaya.

Kami berbual ringkas dan ambil foto berdua sebagai bukti untuk dikongsi dalam grup WhatsApp kami. Biasanya kalau ada kawan yang datang ke Putrajaya, mereka akan atur pertemuan dengan kawan-kawan yang bekerja di kawasan sekitar. Tapi saya tak boleh buat begitu sebab saya terikat dengan jadual kerja suami yang tak tetap masa dan lokasi.

Berbalik kisah pengalaman penginapan kami di The Everly Putrajaya, secara keseluruhannya saya berpuashati menginap di sini. Ada kawasan parkir yang mencukupi, proses daftar masuk keluar yang pantas dan paling utama bilik penginapan yang cukup selesa. Dekat pula dengan Alamanda, bolehlah ambil kesempatan shopping. Maklum saja kalau nak shopping di Perlis memang terhad pilihannya.







Friday, 14 March 2025

Dua Hari Berbuka Puasa Dengan Gula-gula Eclipse

Walaupun pada bulan puasa, Encik Suami tetap jua perlu ke wilayah tengah atas urusan kerja. Kali ini ada urusan kerja di Putrajaya.

Kelmarin, hari Rabu kira-kira pukul 11.30 pagi kami bertolak dari rumah Perlis menuju ke Putrajaya. Tak dapat nak bertolak lebih awal, Encik Suami masih ada kerja nak diselesaikan.

Perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan lancar - cuaca panas terik di utara, kemudian bertukar redup dan hujan mulai turun sewaktu memasuki Selangor.

Pukul 5 petang kami berada di NKVE. Aliran trafik sesak.

Kalau ikutkan, kami dijangka tiba di Putrajaya sebelum pukul 6 petang. Masih ada cukup masa untuk membeli makanan berbuka. Tapi nampaknya, kami tiba ketika menghampiri waktu Maghrib. Kenderaan kami terus menuju ke Alamanda.

Sampai di ruangan parkir, beberapa detik kemudian masuklah waktu berbuka puasa. Maka berbukalah kami dengan apa yang ada - gula-gula Eclipse 😁

Gula-gula Eclipse boleh kata sentiasa ada dalam beg saya. Bermusafir ke luar negara pun saya sentiasa bawa bekalan Eclipse. Bekas penyimpanan yang kemas dan rasa gula-gula yang sedap serta ada pilihan perisa.

Makan gula-gula seorang sebiji, lepas tu kami cari restoran. Rata-rata tempat makan yang ada di Alamanda dipenuhi orang ramai yang sedang berbuka puasa.

Alhamdulillah dapat juga meja kosong di Nando’s.

Antara menu yang dipesan - honey yuzu chicken thigh skewers. Sedap sungguh rasa perapannya, ada rasa masam yuzu - sejenis buah limau.

Dekorasi raya di ruang legar utama Alamanda.

Selesai makan, kami ke hotel penginapan - The Everly yang terletak berhampiran Alamanda. Rancangan untuk menunaikan solat tarawih di Masjid Putra terpaksa dibatalkan. Kami solat jemaah di bilik hotel jelah. Teringin juga nak merasa suasana tarawih di masjid besar, tapi tak berkesempatan.

.

Semalam petang lepas selesai urusan Encik Suami, kami bertolak balik ke utara. Cuma satu malam menginap di Putrajaya, belum hilang penat dah kena menempuh perjalanan jauh sekali lagi. Gitulah…bukan mudah mencari rezeki.

Hampir di sepanjang perjalanan sehingga tiba di P. Pinang hujan membasahi bumi, kadang terlalu lebat sehingga pandangan jadi terhad. Ada ketikanya trafik bergerak perlahan sebab terdapat kemalangan dan juga penutupan sebahagian jalan untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

Dah nak hampir waktu Mahgrib, kami keluar dari lebuh raya menuju ke Ikea Batu Kawan, P. Pinang. Nak berbuka di sana dan membeli sedikit keperluan di pasaraya.

Kisah berulang - kenderaan kami tiba di ruangan parkir beberapa detik menjelang Maghrib. Maka sekali lagi, kami berbuka puasa dengan gula-gula Eclipse 😁

Lepas tu barulah masuk ke restoran Ikea. Tapi sebab lambat datang, ada makanan yang dah habis. Sama seperti di Alamanda, orang ramai memenuhi ruang restoran Ikea.

Saya nak makan mushroom soup dengan roti dan juga popia. Tapi roti dan popia dah habis pulak. Tukar menu - nasi tomato. Rasanya tahap ok je - boleh makan habis tapi tak mahu ulang beli. Apa pun, Alhamdulillah ada rezeki untuk dimakan.

Selepas itu kami teruskan perjalanan ke Perlis walaupun pada mulanya kami bercadang nak bermalam di P.Pinang untuk berehat dan bolehlah solat tarawih. Rasa rugi kalau tinggal tarawih sebab ia ibadat yang hanya ada di bulan Ramadan. Tapi nampaknya kali ini terpaksalah tinggalkan tarawih.

Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah kira-kira pukul 12 tengah malam.







Thursday, 13 March 2025

Gyumon Halal Ramen, Asakusa

CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KEDUA - KHAMIS, 5 DISEMBER 2024

Sambungan dari catatan terdahulu --> Bahagian 2 | Melawat Perkampungan Warisan Budaya di Oshino Hakkai, Oshino


Jalan-jalan cari makan merupakan antara fokus utama trip kami ke Tokyo. Makanan adalah jendela bagi mengenali budaya tempatan. Jadinya, setiap hari kami akan berusaha makan di tempat berbeza bagi menikmati variasi makanan Jepun. Sebolehnya kami elak makan makanan seperti kebab sebab ia bukan makanan Jepun. 

Tempat makan ketiga yang kami kunjungi - Gyumon Halal Ramen yang terletak di Asakusa ini merupakan hasil cadangan Encik M. Ia terletak di tepi sebuah jalan besar, mudah nampak.

Gyumon Halal Ramen, Asakusa, Taito City, Tokyo, Japan
Bahagian hadapan restoran. Unik dan menarik dekorasinya.

Kami tiba di sini kira-kira pukul 7.10 malam, mulanya tak ramai pelanggan lain tapi tak lama kemudian ruang dalam restoran ini dipenuhi pelanggan.

Gyumon Halal Ramen, Asakusa, Taito City, Tokyo, Japan
Pilihan menu ditawarkan.

Gyumon Halal Ramen, Asakusa, Taito City, Tokyo, Japan
Ramen pun ada macam-macam pilihan.

Gyumon Halal Ramen, Asakusa, Taito City, Tokyo, Japan
Siap ada pilihan tahap pedas bagi menu spicy ramen. Ada kos tambahan bagi setiap tahap pedas yang kita mahu, bukan percuma ya. Nampaknya Indonesia paling tahan pedas - level 9 dan 10 😀

Urusan membuat pesanan makanan jadi mudah sebab yang melayan kami merupakan orang Malaysia - seorang penuntut lelaki di sebuah universiti yang buat kerja part time di sini. Cakap Melayu jelah.

Gyumon Halal Ramen, Asakusa, Taito City, Tokyo, Japan
Minuman kami - green tea dan Japanese soda. Kalau tak beli minuman pun boleh, nanti akan diberi air kosong.

Gyumon Halal Ramen, Asakusa, Taito City, Tokyo, Japan
Makanan pilihan saya - spicy wagyu ramen. Walaupun saya suka makanan pedas, tapi saya cuma berani ambil level 2 je. Boleh makan dengan santai tak payah lap hingus dek kepedasan dan dapat lebih menikmati rasa ramen.

Gyumon Halal Ramen, Asakusa, Taito City, Tokyo, Japan
Encik Suami memilih menu set, entah set apa saya tak pasti.

Gyumon Halal Ramen, Asakusa, Taito City, Tokyo, Japan
Encik Suami mula memasak potongan daging lembu di atas grill pan. Ramen kuah putih tu pula, makanan pilihan Encik M.

Sedang Encik Suami menikmati potongan daging pertama, pelayan restoran menghampiri meja kami dan memaklumkan tersilap hantar set makanan. Bukan tertukar makanan dengan pelanggan lain, tapi dia tersilap tulis order. Lebih kurang gitulah yang saya faham.

Encik Suami kata, tak kisah pun sebab memang nak mencuba apa-apa makanan Jepun. Tapi rupa-rupanya tak boleh begitu, pelanggan mesti dapat pesanan makanan yang betul. Jadinya, makanan Encik Suami diambil semula walaupun dah makan satu potong daging. Harapnya gaji pelayan tadi tak dipotonglah, kasihan pula.

Gyumon Halal Ramen, Asakusa, Taito City, Tokyo, Japan
Tak lama menunggu, tibalah set makanan Encik Suami. Lagi banyak makanannya - siap ada nasi dan ramen 😄

Mujurlah ada Encik M boleh bantu makan. Saya memang tak mampu makan banyak dalam satu masa, saya cuma boleh habiskan makanan saya je. Makanan Encik Suami saya jamah sedikit sekadar merasa.

Gyumon Halal Ramen, Asakusa, Taito City, Tokyo, Japan
Ehh...Encik Suami pandai guna chopstick rupanya 😀. Padahal sebelum ni sama macam saya - tak pandai guna. Malam ni terus jadi pandai sebab nak memasak daging atas grill pan. Tapi kalau makan mi, masih tak mahir guna chopstick.

Kami berada di sini lebih kurang sejam. Kalau tadi semasa masuk kedai, kami disambut meriah dengan ucap selamat datang - agaknyalah, sebab saya tak faham bahasa Jepun 😂. Semasa nak keluar kedai pun meriah juga, mereka beramai-ramai ucap 'arigato gozaimasu' - yang ni saya fahamlah. Terasa sangat dihargai.

Sebelum beredar sempat juga Encik Suami minta berfoto bersama seorang lelaki Jepun yang berpakaian tradisional Jepun lengkap dengan pedang tersisip di pinggang - mungkin bos di sini sebab tugasnya menyambut mesra pelanggan dan nampak sibuk memberi arahan.

Jika kalian berkunjung ke Tokyo, bolehlah cuba makan di sini. Carian Google Maps - Gyumon Halal Ramen Asakusa.

Dari Asakusa, Encik M hantar kami pulang ke hotel penginapan di Nippori. 

Rekod hari kedua - 6,212 langkah sahaja sebab seharian bergerak menaiki kenderaan sewa.

Tamat sudah catatan hari kedua trip saya ke Jepun. Esoknya hari Jumaat, hari yang saya nantikan kerana kami akan berkunjung ke Tokyo Camii seterusnya menunaikan solat Jumaat.