Thursday, 14 February 2019

Red Forest Yang Memukau Pandangan!

05.02.2019 | SELASA

Alang-alang suami ada kerja di Lanchang, Pahang dan keesokan harinya (Selasa) merupakan cuti umum sempena Tahun Baru Cina, kami merancang untuk mendaki sebuah bukit di Jerantut, Pahang. Bukit yang memang dalam wishlist pendakian saya - BUKIT BULUH atau dikenali juga sebagai RED FOREST. Saya lebih suka menyebut bukit ini sebagai Red Forest sebab itulah keunikan yang ada di bukit ini.

Cara Ke Sana?
Kita perlu melalui Jalan Padang Piol, Jerantut iaitu laluan yang sama jika kita nak ke Taman Negara Kuala Tahan. Kami guna Google Maps je untuk ke sana - buat carian 'Bukit Buluh, Jerantut, Pahang'. Laluan masuk ke Red Forest terletak di sebelah kanan jalan.

jalan padang piol
Kami sampai sini sekitar pukul 10 pagi. Lebih senang nak cari tempat ni sebab dari kejauhan dah nampak deretan kenderaan pengunjung yang diletak di bahu jalan. Kami letak kereta di kawasan lapang berhampiran papan tanda bertulis 'Kawasan JKKK Gajah Mati'. Rasa lebih selamat berbanding di bahu jalan sana tu. (sekadar ingatan : pastikan letak kenderaan di tempat yang tak menghalang/mengganggu laluan keluar/masuk penduduk tempatan.)

Dari Ladang Sawit Menghijau Ke Hutan Pokok Merah
Perjalanan menuju ke Red Forest bermula di sini - jalan ladang kelapa sawit. Macam mana kami tahu nak ikut jalan ladang sawit yang mana? Kami cuma ikut petunjuk yang ada, iaitu kenderaan dan kumpulan para pengunjung (ramai yang dah turun masa ni). Tapi sedih dan geram, awal-awal lagi dah jumpa sampah botol air mineral dan plastik! Tolonglah...bila bawa makanan/minuman, pandailah bawa keluar dan buang sampahnya di tempat yang betul.

Dari jalan ladang kelapa sawit, kami melalui jalan tanah merah dan belukar untuk ke kaki bukit. Selepas itu barulah kami betul-betul berjalan di dalam hutan. Laluan di sini jelas, kita ikut je laluan tersedia. Ini adalah antara laluan yang perlu ditempuh. Semakin ke atas, pendakian makin curam dan perlu berpaut pada tali untuk memanjat. Memang menguji kekuatan tangan saya.

Tali pun ada yang dah licin sebab basah dengan peluh pendaki yang ramai hari ini. Memang perlu pakai sarung tangan untuk elak tangan melecet dan licin masa pegang tali. Saya pulak memang tak bawa. Mujur ada seorang pendaki yang saya temui di ladang kelapa sawit awal tadi, beri sarung tangannya kepada saya. (dan kemudiannya saya beri kepada pendaki lain yang saya temui semasa menuruni bukit).

Di sepanjang perjalanan ini juga, kami kerap berselisih dengan pendaki yang sedang turun. Nampak ramai juga kumpulan keluarga (bawa anak kecil dan orang tua). Seronok saling bertegur sapa dan diberi kata-kata semangat.

bukit buluh jerantut
Sebelum sampai ke puncak, kami melalui dua kawasan yang ada rimbunan buluh. Mungkin itu sebabnya bukit ini dinamakan Bukit Buluh. Bila dah jumpa kawasan buluh yang kedua nanti, itu tandanya kita dah makin dekat dengan puncak.

pemandangan pendakian di bukit buluh

Indah sungguh ciptaan Allah...pemandangan yang cukup damai! Pakej dengan bunyi nyanyian unggas hutan, memang rasa bahagia dan tenang sangat! Tapi ni belum sampai puncak bukit. Agak tertipu juga pada awalnya, sebab kawasan ni landai dan lapang ingatkan dah sampai. Jom teruskan perjalanan sampai jumpa hutan pokok merah...

Inilah Red Forest
red forest hutan dengan pokok warna merah
RED FOREST....pokok semua merahhhh! Alhamdulillah kami selamat sampai di puncak sekitar pukul 11.30 pagi, setelah mendaki selama 1 jam 10 minit (bermula di jalan ladang kelapa sawit). Terpegun saya dengan kecantikkan taman pokok merah sebaik menjejakkan kaki di puncak bukit ni. SubhanAllah 😍

beirut di bukit buluh jerantut
Keunikan lain di bukit ini - terdapat 'beirut'. Iaitu struktur besi seperti di atas (segitiga dan berkaki empat). Ia bukan pondok untuk pendaki berteduh tau. Dahulunya beirut di bina sebagai penanda sesebuah puncak, untuk tujuan pemetaan. Namun ia tak lagi digunakan pada masa sekarang. Kalau nak ia kekal tegak sebagai tinggalan sejarah, mungkin perlu letak papan tanda di larang duduk kat besi tu. Selalu kena duduk, lama-lama boleh roboh jugak tu.

hutan red forest
Sudut pemandangan di lereng puncak bukit. Rasa macam berada di alam fantasi pulak! 😄

pokok gelam merah
Close-up pokok merah. Menurut info yang saya dapat, nama pokok ni pokok GELAM MERAH. Kulit pokoknya berwarna merah, lembut dan mudah tanggal. Bila saya pegang, macam kulit bawang tertanggal...nipis je. Pokok ni nampaknya hanya terdapat di bahagian puncak bukit, saya tak jumpa pokok yang sama di sepanjang pendakian tadi.

Akar pokok yang berserabut, menjadikan tanah di puncak bukit ini agak lembut - terasa macam kita pijak span. Warna tanah pun nampak kemerah-merahan. Menarik kan!

puncak red forest jerantut
Nyaman sangat kat puncak bukit ni! Angin bertiup sejuk. Walaupun masa ni waktu tengahari. Tambah pulak dengan bunyi unggas, memang seronok bersantai di sini.

puncak bukit buluh jerantut
Bukit Buluh dengan ketinggian 371 meter. Kalau ikut alat pengukur yang digunakan oleh suami, ketinggian di sini 340 meter. Tak tau la mana yang tepat, yang pasti bukit ni tak lebih 400 meter ketinggiannya.
  
Sekitar pukul 12.15 tengahari, kami bergerak turun. Menuruni cerun curam nampaknya lebih susah berbanding mendaki naik tadi 😅. Sepanjang menuruni bukit kami selalu jugak berselisih dengan pendaki yang baru nak naik. Macam tadi juga, kena bertolak ansur bergilir guna laluan/tali yang ada. Sambil tu boleh juga saya melepas lelah...hehe.

Alhamdulillah setelah 50 minit, kami selamat kembali di jalan ladang sawit. Misi Bukit Buluh a.k.a. Red Forest terlaksana! Ok, masa ni terus rasa taubat sebab peha dan lengan terasa sakit-sakit...

--------------------------------------------------------------------
Rekod pendakian. 
Semua pun letak kat blog, senang nak rujuk semula.


*mendakilah untuk menghargai indahnya hutan kita,
bukan mendaki untuk memenuhi keinginan berada di puncak semata*