Sekian lama saya memasang angan untuk ke Sabah (kerana keindahan alam semulajadinya), akhirnya tercapai. Persediaan awal seperti menempah hotel dan mencari info menerusi web & blog dibuat beberapa minggu sebelum pergi.
Penerbangan menaiki pesawat Air Asia dari LCCT ke Terminal 2, Kota Kinabalu (KK) mengambil masa kira-kira 2 1/2 jam. Tiba di sana kita akan mendapat pas lawatan yang mesti disimpan untuk dikembalikan semasa meninggalkan Sabah. Masa ni memang terasa macam rakyat asing pulak! Lepas tu jangan lupa ambil peta Sabah yang disediakan percuma berhampiran tempat mengambil bagasi.
Dari situ perjalanan diteruskan ke Kundasang dengan menaiki kereta sewa- Saga (manual), walaupun pada awalnya suami telah pun menempah kereta Saga (auto). Disebabkan masalah tersebut, kami ditawarkan kadar RM150 untuk penggunaan sehingga jam 4 pm esok harinya (28 jam). Kadar biasa bagi Saga (auto & manual) adalah RM130 untuk tempoh 24 jam. Kereta yang kami naiki luar dan dalam masih cantik & baru, cuma enjin berbunyi sedikit bising. Maklum saja dah digunakan oleh ramai orang. Yang bagusnya, kereta ni dihantar secara percuma ke Terminal 2 ni. Tidak seperti beberapa pengendali lain yang mengenakan caj RM30. Ada yang minat? Hubungi En. Wan 016-552 5327.
Sebelum meneruskan perjalanan, kami mengisi petrol RM40 di KK (dan ianya sangat cukup sehingga kami kembali ke KK). Untuk ke Kundasang, kami mengikut arah tanda ke Tuaran, kemudian ke Ranau. Perjalanan pada awalnya lancar, tetapi menjadi perlahan setelah memasuki laluan berbukit kerana berada di belakang beberapa buah lori dan treler.
|
Pemandangan di Kundasang. |
Setelah melalui perjalanan selama
2 1/2 jam, kami tiba di tempat penginapan iaitu
Kinabalu Pine Resort. Resort ni dipilih kerana kebanyakkan
blogger mencadangkannya, selain harganya yang masih mampu bayar. Sebaik saja melangkah ke sini, pandangan mata terpesona dengan keindahan resort dan landskapnya. Ditambah pula dengan landskap semulajadi Gunung Kinabalu yang melatari resort ini, memang cantik..
Maha Suci Allah!
KINABALU PARK
Selesai urusan di resort, kami bergerak ke
Kinabalu Park yang terletak kira-kira
12 minit pemanduan. Bayaran masuk
RM3 untuk dewasa.
|
*PERHATIAN: Tiket ni sah untuk sehari ke semua destinasi dlm. taman yang sama.
Jadi, jangan bayar lagi jika ke Poring Hotspring. |
Rancangan awal nak masuk Botanical Garden terbatal sebab sudah pun di tutup. Kami sampai sana sudah melewati jam 4 pm. Jadi kami terus saja ke Timpohan View yang terletak kira-kira 3 km dari pintu utama. Pemanduan kadang-kala sedikit sukar kerana menggunakan kereta manual dan keadaan jalan yang menaik.
|
Timpohan View |
Udara di Timpohan View sangat sejuk. Angin bertiup agak kuat, ditambah pula dengan hujan renyai-renyai. Suhu yang sempat dicatatkan ketika itu 20.4 darjah celcius (suhu diambil menggunakan jam tangan dengan fungsi catatan suhu). Disebabkan kabus sudah bergerak menutupi puncak Gunung Kinabalu dan sekitarnya, tiadalah rezeki kami untuk menyaksikan keindahannya dari situ.
|
Antara pemandangan dari Timpohan View. |
Dari Timpohan View, kami bergerak ke atas lagi untuk ke Timpohan Gate. Ia merupakan satu daripada pintu masuk bagi para pendaki untuk mendaki Gunung Kinabalu.
|
Tak mampu mendaki, dapat bergambar kat sini pun ok! |
|
Pendakian bermula di laluan ini... |
Dulu..saya memang ada keinginan untuk mendaki Gunung Kinabalu. Tapi bila usia melewati angka 30, sudah lama pulak meninggalkan aktiviti pendakian..akhirnya tahap keinginan menurun. Sekarang..dapat sampai ke Timpohan Gate pun dah bersyukur!
Kami kemudian naik ke pelantar untuk menikmati suasana di sini dan mengambil gambar. Angin di sini lebih kuat dan suhu lebih sejuk...suhu terendah yang sempat dicatatkan adalah 16.8 darjah celcius. Memang menggigil!
KINABALU PINE RESORT
Udara malam di sini sangatlah sejuk! Angin bertiup kencang sampaikan pintu bilik selalu bergegar dilanggar angin. Mujurlah makan malam sudah termasuk dalam pakej penginapan, tak perlu lagi meredah dingin malam untuk mencari makanan di pekan Kundasang atau Ranau (yang terletak agak jauh).
Terkejut masa tengok set hidangan ni..punyalah banyak! Sup cendawan, kari ayam, ikan masak sambal, baby kailan dan sawi. Rasanya? okeylah! Sampai kenyang saya makan..
|
Set hidangan utk. dua orang..tapi cukup utk. 3-4 orang! |
Lepas makan, kami balik bilik berehat sebab esok nak berpagi-pagian lagi. Suhu dalam bilik mencecah 21 darjah celsius tanpa aircond mahupun kipas!
*Entri seterusnya..ke Poring Hotspring & Canopy Walkway.