Thursday, 28 May 2015

Beli Buku Secara Online di BookCafe

(cerita dua minggu lepas, harini baru sempat publish.)


Pertama kali saya berurusan dengan BookCafe. Alhamdulillah sangat mudah dan takde masalah. Kenapa saya beli buku secara online? Sebab masa saya beli ni ada promosi sempena PBAKL (Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur) 2015, yang berlangsung baru-baru ni. Malas nak bersesak, tapi nak beli buku dengan harga di PBAKL, inilah caranya!

Saya beli 8 buah buku ( 6 daripadanya dengan diskaun 50% dan lagi dua tu diskaun 15%). Kelmarin bila buku-buku ni sampai ada 9 buah. Rupa-rupanya BookCafe bagi satu percuma! Dan yang seronoknya lagi, kos pos adalah percuma dengan pembelian bernilai minima RM150. Buku-buku saya ni nilainya RM150.45 (harga selepas diskaun). Kalau belum diskaun, nilainya RM275. 

Kelebihan beli online - saya boleh 'belek' banyak kali sebelum buat keputusan membeli. Ada disediakan sinopsis dan kadang-kadang ada review pembaca lain. Sekarang pun masih ada diskaun 50% untuk buku terpilih, kot-kot korang berminat.


Nota hati : sehingga detik ini, aku masih belum berkesempatan membaca walau satu buah buku di atas. Sibuk...atau tak reti urus masa? Tapi aku sempat ke Sarawak (dan hilang dokumen penting!).

Friday, 15 May 2015

Pelarian Rohingya : Derita Yang Terus Terpinggir

Saksikan video berdurasi 1.37 minit berikut, oleh BBC News

Dah tonton? Apa yang korang rasa dan fikir?


(sumber gambar : BBC News)

Dari Myanmar (Burma) mereka berlayar, berbulan-bulan. Berhimpit-himpit. Berkongsi duit untuk menaiki kapal uzur, demi melarikan diri dari penindasan dan kekejaman di negara sendiri. Mereka ingin mencari kehidupan yang lebih baik. Dan akhirnya mereka ditipu oleh agen yang menjanjikan bahagia, mereka menjadi mangsa pemerdagangan manusia! Mereka dibiarkan di tengah lautan atau ditinggalkan di mana-mana daratan..di Thailand/Malaysia/Indonesia.

(sumber gambar : MAPIM)

Sementara itu, di negara kita seramai lebih 1,018 orang pelarian Rohingya (termasuk warga Bangladesh) yang telah mendarat di Langkawi, Kedah. Dan ini bukan yang terakhir. Dianggarkan lebih 8,000 orang pelarian masih berada di tengah gelora lautan mencari peluang untuk ke Malaysia. Mengejutkan? Menakutkan?

Ada yang berkata, kita biarkan saja mereka mati di lautan. Atau masukkan dalam kapal, tolak ke tengah laut dan letupkan! Sungguh...di mana hati nurani sesama manusia? Apatah lagi bagi kita sesama Muslim adalah bersaudara (majoriti pelarian adalah Muslim). Cuba letakkan diri kita di tempat mereka, hidup dalam pelarian bukanlah satu pilihan. Bukan!

Jadi, apakah penyelesaian yang terbaik? Bantu mereka! Membantu mereka adalah tanggungjawab kita sesama manusia, juga dituntut dalam agama. Dalam masa yang sama, kerajaan Malaysia (bersama anggota ASEAN lain) perlu bertindak lebih agresif terhadap Myanmar dalam isu ini. Selagi isu Rohingya tak diselesaikan, selagi itulah wujudnya pelarian Rohingya. Selagi itu juga kita akan merasa 'terganggu' dengan kehadiran mereka. Dan sebagai negara berpenduduk majoriti Islam, kita patut menunjukkan rasa tidak senang kita terhadap tindakan Myanmar. Boikot, hantar memorandum, atau apa sahaja bagi menyatakan pendirian kita. 

Isu Rohingya, bukan lagi 'masalah peribadi' Myanmar. Ia adalah isu saudara se-Islam kita. Ia juga isu kemanusiaan sejagat!


Nota hati : 
Tak boleh ke letak pelarian Rohingya di sebuah pulau? Macam pelarian Vietnam dulu. Dan, sungguh pelik bila Aung San Suu Kyi (pemegang Hadiah Nobel Keamanan 1991) terus mendiamkan diri ke atas isu Rohingya. Isu yang berlarutan sekian lama dalam negaranya sendiri!

Tuesday, 12 May 2015

Nak Beri Ke Tidak?


Wanita ni meminta sedekah (dengan menggunakan tisu poket sebagai bahan meminta sedekah), di tengah-tengah kesesakan jalan raya. Dia mendekati kenderaan yang lalu lalang sambil menghulur tisu. 

Perkara pertama yang saya fikir - bahaya! Bayangkan kalau tiba-tiba ada motor yang sedang menyelit dan tak perasan wanita ni. 

Kedua - perlukah kita beri wang kepadanya? Kalau kita beri, macam menggalakkan perbuatan begini pulak. Tak diberi, terasa diri sendiri kedekut sangat.

Ketiga - warganegara manakah wanita ni? Kalau tengok penampilan memang saya kira dia bukan orang Malaysia. Ada tak penguatkuasaan yang boleh dikenakan ke atas mereka ni? 


Saya? Belum pernah beri lagi. Rasa bahaya pulak nak berurusan di tengah-tengah kesesakan jalan raya begini (sungguh pun biasanya dia mendekati kita sewaktu lampu trafik warna merah). Dalam hati terasa belas, jalan hidup apakah yang dilalui mereka sehingga sanggup meminta sedekah dengan cara bahaya begini? Kita pulak yang jadi serba salah!