Friday, 4 September 2026

Santai Bersama Jiran : Mengopi dan ‘Brisk Walk’ Pagi

MENGOPI DI NGOPI, KANGAR
Kisah hari Isnin, 24 Ogos 2026 lalu. Saya bersama dua orang jiran keluar mengopi sekitar pukul 9 pagi, setelah suami/anak masing-masing pergi kerja/sekolah. Jiran saya, M yang memandu kenderaan. Jauh kami pergi mengopi di bandar Kangar yang terletak kira-kira 25 km dari tempat tinggal kami.

Hidangan kami bertiga. Sedap semuanya.

Seronok bila sesekali dapat mengopi begini, banyak hal kami bualkan. Rasa lebih bebas berbual bila sesama perempuan, tanpa suami/anak bersama 😁

Antara hal yang menjadi topik perbualan kami - kisah ketukan misteri di rumah mereka berdua. Akhir-akhir ini, heboh berkenaan ketukan misteri yang berlaku di sekitar Kedah dan Perlis. Terasa seram jugalah sebab saya selalu tinggal sendirian bila Encik Suami ada kerja di luar Perlis, saya perlu kuatkan diri serta memohon perlindungan Allah.

Tak lama pun kami duduk santai di sini, lebih kurang satu jam kemudian kami kembali ke rumah.


‘BRISK WALK’ PAGI
Kisah hari Khamis, 3 September 2026. Saya bersama tiga orang jiran keluar brisk walk pagi. Encik Suami tiada, ada urusan di KL. Bolehlah saya keluar rumah pukul 7.30 pagi, biasanya waktu begitu saya sedang sibuk siapkan sarapan dan makan bersama Encik Suami.

Suasana pagi nan indah.

Bila berjalan dengan jiran-jiran ni, saya betul-betul buat brisk walk (berjalan dengan cepat) sebab ikut rentak mereka. Kalau tidak, biasanya saya akan berjalan santai memerhati sekitar dan kerap berhenti memotret itu ini πŸ˜„

Seronok juga berjalan dalam kumpulan kecil begini, tak terasa kaki melangkah kira-kira 4.5 km pergi-balik sebab ada kawan yang rajin bercakap dan bergurau.

Selesai aktiviti brisk walk, kami tak terus balik rumah masing-masing. Jiran saya, S ajak makan di kedai. Kami berempat naik kereta pergi ke sebuah warung. Masing-masing memesan roti canai dan kami berkongsi makan potongan ayam goreng panas. Sambil makan, sambil berborak. Kadang-kadang jiran bercakap dialek tempatan yang saya tak faham, saya akan tanya semula πŸ˜…

InsyaAllah ada kesempatan, lain kali saya nak ikut mereka brisk walk lagi.







Thursday, 3 September 2026

Masak Kheer Menggunakan Peket Segera Happy Home

Hujung minggu lalu, saya mencuba peket segera kheer pemberian Rizwana - jemaah Pakistan yang saya temui di Mekah. Sebelum tu, saya buat carian berkenaan kheer dan menonton video cara memasaknya. Sajalah nak tahu lebih lanjut kerana ini kali pertama saya akan memasak dan makan kheer.

Apa itu kheer?
Kheer merupakan sejenis hidangan manisan tradisional berasaskan beras dan susu yang popular di negara Asia Selatan - terutamanya di India dan Pakistan. Kheer diperisakan dengan rempah ratus antaranya buah pelaga dan safron.

Saya masak kheer guna peket segera jenama Happy Home, sangat mudah - cuma perlukan 1 liter susu segar. 

Kheer
Bahagian hadapan dan belakang kotak peket segera kheer.

Isi dalam peket segera.

Ikut saja panduan di belakang kotak.

Saya biarkan seketika sebelum dimakan. Boleh hiaskan dengan taburan kekacang dan kismis jika suka.

Apabila sejuk, terbentuk lapisan pekat di permukaannya. Tekstur kheer seperti bubur nasi yang halus dan agak pekat. Rasanya lemak, manis dan ada rasa rempah ratus. Bila makan terasa potongan kecil kekacang. Aromanya juga wangi.

Saya boleh makan tetapi kurang menikmati kerana kurang suka dengan rasa rempah ratus dan aroma wangi. Apa pun, ini merupakan suatu pengalaman yang menarik kerana saya dapat masak dan menikmati hidangan Pakistan di rumah sendiri - dari Karachi ke Perlis 😊

Semoga Allah mengurniakan kebaikan buat Rizwana yang telah bersusah payah membawa oleh-oleh dari Pakistan dan berkongsi dengan saya 🩡











Tuesday, 1 September 2026

Burung Pungguk Betemak Biasa (Brown Boobook)

Hari ini Selasa, hari lori sampah datang kutip sampah di tempat kami. Saya keluar buang sampah di tong sampah luar dah agak lewat, jam sudah melepasi pukul 10 pagi. Laju saya berjalan ke arah tong sampah sambil mata memerhati sekitar. Pernah sekali, seekor ular muncul di balik rumput berhampiran tong sampah. Saya perlu berhati-hati.

Pandangan saya kemudiannya terarah ke bahagian atas pokok belimbing berhampiran tong sampah. Ada seekor burung di dahan pokok. Eh, bukan burung yang biasa saya nampak. Burung ni tak terbang lari. Apa lagi, cepat-cepat saya balik rumah dan ambil telefon. Peluang baik tak datang selalu!

Brown Boobook / Brown Hawk-Owl
Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Si burung masih di situ, di atas dahan pokok belimbing.

Brown Boobook / Brown Hawk-Owl
Sejenis burung hantu, saiz sederhana - tak kecil, tak besar.

Brown Boobook / Brown Hawk-Owl
Tajam matanya merenung saya.
Tak pastilah si burung memang benar-benar melihat saya atau ada penjelasan lain.

Info burung :
Nama Inggeris : Brown Boobook / Brown Hawk-Owl
Nama saintifik : Ninox scutulata
Nama tempatan : Pungguk betemak biasa / burung hantu betemak

Ohh, barulah saya tahu bahawa burung pungguk merupakan spesis burung hantu. Peribahasa ‘Bagai pungguk rindukan bulan’ sedap bunyinya kan. Kalau tukar nama burung - burung hantu, tentu dah tak sedap nak sebut πŸ˜…


Video pendek yang sempat saya rakam.

Alhamdulillah…rasa seronok dapat memotret dan mengenali burung yang ada di persekitaran saya ni. Suatu masa nanti, semua ini akan menjadi kenangan sepanjang saya menetap di bumi Perlis nan permai.