Tuesday, 20 October 2026

Kurang 20 Jam di Kuala Lumpur

Catatan Hujung Minggu | Sabtu - Ahad, 17 - 18 Oktober 2026

Hujung minggu kali ini agak memenatkan kerana saya dan Encik Suami perlu bermusafir dari Perlis ke Kuala Lumpur (KL) dalam waktu yang singkat - pergi hari Sabtu dan balik hari Ahad.

Sempat saya memotret keindahan sang mentari pagi sebelum bergerak meninggalkan rumah Perlis. Matahari berwarna oren dan kelihatan besar. MasyaAllah indah alam ciptaan Tuhan.

Kami singgah di Sungai Petani, Kedah - ada urusan perlu diselesaikan di sini. Lama juga kami di sini dari pagi membawa ke petang. Sempatlah makan dua kali - sarapan di Hussain Nasi Kandar dan makan tengah hari di Secangkir Kopi.

Pukul 2 petang barulah kami menyambung perjalanan ke KL.

Keadaan hujan hampir di sepanjang perjalanan, kadang hujan biasa dan kadang sangat lebat sehingga menyukarkan pemanduan. Bila hujan begini, saya suka menikmati pemandangan bukit dan gunung yang dilitupi kabus. 

Alhamdulillah kami selamat tiba di KL dan mendaftar masuk di STEG Hotel (nama baru - Boutech Hotels) kira-kira pukul 8.10 malam. Catatan lanjut berkenaan hotel ini di entri bulan lepas DI SINI. 

Bilik penginapan kami kali ini terletak di aras 9 dengan pemandangan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Cahaya lampu KLCC masih mampu menyerlahkan keindahannya di balik jerebu yang menyelubungi suasana.

Esok paginya kami sarapan di hotel. Kali ini tak perlu beratur panjang di bahagian telur kerana kami jadi antara orang terawal turun bersarapan.

Walaupun makanan di sini kurang sesuai dengan selera, tapi memudahkan kami yang perlu makan awal. Bolehlah buat perut rasa kenyang sebab saya jenis buka mata je terus nak cepat makan. Saya tak menambah makanan pun, hanya makan apa dalam pinggan saya tu jelah. Minuman teh tarik tu saya tambah sebab sedap dan tak manis sangat.

Pukul 7.30 pagi Encik Suami keluar ke tempat kerja. Saya duduk jelah dalam bilik berehat, tak minat nak berjalan-jalan. Kalau menginap di The Everly Putrajaya tu saya sukalah sebab boleh berjalan-jalan di taman rekreasi berhampiran.

Kira-kira pukul 1.40 petang, kami memulakan perjalanan untuk kembali ke utara tanah air. Singgah di Bangsar selesaikan sedikit urusan, kemudian menyambung perjalanan kira-kira pukul 3.30 petang.

Semasa di Bangsar, saya mula rasa tak sedap badan - kepala rasa berat dan dahi rasa panas. Terus telan sebiji paracetamol yang ada dalam beg tangan saya. Dalam perjalanan menuju ke utara, Encik Suami pula mula rasa tak sedap badan. Entah disebabkan jerebu atau badan kami keletihan dek permusafiran jauh dalam masa yang singkat.

Perjalanan menuju ke utara juga kurang lancar, hujan hampir di sepanjang perjalanan. Langit cepat gelap, kenderaan bergerak perlahan. Kami akhirnya buat keputusan singgah bermalam di Ipoh. 

Alhamdulillah kami tiba di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh pada waktu Maghrib. Dapatlah berehat satu malam sebelum meneruskan perjalanan esok pagi.







Thursday, 15 October 2026

Seketika di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, Dungun

Catatan hari Khamis, 17 September 2026.

Sebelum meninggalkan Dungun, kami singgah di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang bagi mengenali dengan lebih dekat haiwan yang menjadi ikon negeri Terengganu.

Pusat ini mula beroperasi pada tahun 1985 dengan pembiayaan penuh oleh kerajaan negeri Terengganu, manakala pengurusannya di bawah Jabatan Perikanan Malaysia.

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, Dungun
Pintu masuk yang menempatkan galeri pameran. Tiada bayaran dikenakan, hanya perlu catat butiran ringkas pada buku pelawat yang terletak di kaunter.

Ketika kami di sini, pelawat hanya dibenarkan melawat galeri pameran dan melihat penyu yang ada di kolam. 

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, Dungun
Ruang pameran yang sederhana luas, memadai bagi pelawat mendapat info umum berkenaan penyu. Bermula dengan sejarah penyu di Rantau Abang sehinggalah usaha-usaha konservasi yang dijalankan.

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, Dungun
Saya teringin tengok anak penyu hidup, tapi bila tengok anak penyu dalam balang ni timbul rasa kasihan pulak. Pada hal anak penyu ini semuanya tentulah dah mati baru diletak dalam balang untuk tujuan pameran (pembelajaran).

Selesai membelek bahan pameran dan penerangan di galeri, kami ke sudut luar yang menempatkan kolam penyu.

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, Dungun
Ada dua buah kolam saiz begini yang bercantum di tengah. Terdapat tiga atau empat ekor penyu di sini. Tak pasti penyu spesis apa, tak ada papan tanda penerangan. Kalau rujuk pada gambar spesis penyu, penyu yang ada di sini mungkin penyu agar atau penyu karah.

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, Dungun
Semuanya aktif berenang ke sana ke sini.

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, Dungun
Penyu nan seekor ni paling rajin ke sudut tepi kolam, lepas tu letak kepala di dinding kolam.

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, Dungun
Hai…comel tak saya posing gini? 😀

Boleh jadi leka tau bila kita memerhati pergerakan penyu-penyu ni. Seronok tengok.

Sumber poster : Fb Public Health Malaysia.
Antara rekod kehadiran penyu bertelur di pesisiran pantai Terengganu pada tahun ini.

Perkara yang kita patut tahu berkenaan penyu dan telur penyu - ia dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 [Akta 317] serta Enakmen Penyu Terengganu. Menjadi satu kesalahan jika kita mengganggu, menangkap atau mengambil penyu dan telur penyu.


**********

Dari Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu kami menuju ke kedai jualan batik yang terletak di bangunan berhampiran. Lebih tepat, ia berada di kawasan sama tempat kami meletak kenderaan. Sebelum masuk kenderaan, kita singgah kedai batik.

Tengok Batik, Rantau Abang, Dungun
Nama kedai - Tengok Batik.

Tengok Batik, Rantau Abang, Dungun
Ruang niaga kecil tapi penuh dengan pelbagai produk batik dan cenderamata Terengganu. Selain kami, ada beberapa orang pengunjung perempuan sedang memilih kain bahan. Penjual atau mungkin pemilik kedai, seorang lelaki begitu ramah dan baik melayan pelanggan. Membuatkan kami rasa patut beli sesuatu di sini.

Tengok Batik, Rantau Abang, Dungun
Antara produk yang dijual. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas.

Saya tertarik dengan kain batik printed siap berjahit dan ada kotak khas (foto atas, kiri). Harganya RM35/sehelai, saya beli tiga helai dengan harga RM90. Esoknya saya ke Pasar Payang, nampak kain batik yang serupa - harga sama RM35/sehelai. Tetapi jika beli tiga helai penjual beri RM100. Terus rasa syukur dapat beli dengan harga lebih jimat di Tengok Batik 😀







Tuesday, 13 October 2026

Sarapan Selera Terengganu di Bakatawa, Kuala Dungun

Selepas berjalan-jalan menikmati suasana pagi di tepi pantai, barulah kami menuju ke kedai makan untuk bersarapan.

Terdapat banyak pilihan kedai makan di sepanjang jalan. Ada beberapa kedai makan yang sempat saya ambil fotonya semasa sedang berjalan-jalan di tepi pantai tadi (deretan kedai terletak di seberang jalan kawasan pantai).

Nasi Dagang Che Su. Nampak perkataan nasi dagang je terus rasa lapar.

Kafe Buwa.

Bakatawa, Kuala Dungun, Terengganu
Bakatawa. Kami bersarapan di sini.

Ketika kami sampai di sini, cuma ada pilihan nasi kerabu dan nasi minyak. Walaupun tak banyak pilihan lauk, tapi semuanya nampak menyelerakan.

Lemak bakar
Lemak bakar yang membuat saya tergoda nak mencuba. Lemak bakar merupakan potongan lemak lembu yang diperap dengan bahan perapan, kemudian di bakar.

Nasi minyak Terengganu
Pilihan saya - nasi minyak dengan lauk lemak bakar dan ayam masak merah.

Nasi kerabu
Pilihan Encik Suami - nasi kerabu dengan lauk ikan rebus goreng dan ayam goreng.

Bakatawa, Kuala Dungun, Terengganu
Alhamdulillah semuanya sedap sesuai dengan selera kami. Lemak bakar tu buat saya teringat-ingat 😋. Kos sarapan kami cuma RM24. Dahlah murah, sedap pulak tu.

Selesai bersarapan, ayuhlah kita berjalan kaki sejauh kira-kira 1.2 km untuk kembali ke penginapan di Ombak Beach Inn.

Tak terasa jauh pun bila kita berjalan kaki di tempat begini - menikmati ketenangan pagi sambil memerhati suasana sekitar. Ketika berjalan kaki inilah saya dapat melihat dengan lebih dekat deretan penginapan dan kedai makan juga kafe estetik yang ada di sini.

Saya rasa tak puas berada di sini, yelah memang sekejap je pun - kami tiba malam tadi dan pagi ini dah nak bergerak ke destinasi seterusnya. InsyaAllah ada rezeki saya akan kembali lagi.







Sunday, 11 October 2026

Laksa Sarawak Pattaya di Amoy Kopitiam, Arau

Kalau teringin makan laksa Sarawak di Perlis ni, saya dan Encik Suami akan ke gerai Amoy Kopitiam yang terletak di Hub Bas Arau. 
Laksa Sarawak Pattaya di Amoy Kopitiam, Arau
Selain laksa Sarawak biasa, ada pilihan laksa pattaya - iaitu laksa Sarawak biasa dengan tambahan telur dadar. Bila sebut ‘pattaya’ saya terbayang hidangan macam nasi goreng pattaya - nasi dalam bungkusan telur dadar. Rupa-rupanya begini cara ia dihidangkan - telur dadar diletak sebahagian di tepi mangkuk dan sebahagian di dalam mangkuk.

Laksa Sarawak Pattaya di Amoy Kopitiam, Arau
Laksa Sarawak pattaya berharga RM15.90 yang sangat memuaskan selera saya 😋. Alhamdulillah…sedap macam makan di Sarawak. Setahu saya, pemilik bisnes ini memang orang Sarawak. 

Selain laksa Sarawak, terdapat juga hidangan lain seperti mi kolok, nasi aruk dan nasi goreng dabai. Oleh kerana saya suka laksa Sarawak, jadi itulah yang diulang makan. InsyaAllah lain kali saya patut cuba menu berbeza. Juga saya patut ambil foto gerai dan menu yang ditawarkan untuk dikongsikan di blog. 







Friday, 9 October 2026

Menikmati Suasana Pagi di Tepi Pantai

Catatan hari Khamis, 17 September 2026.

Pagi pertama saya dan Encik Suami di Kuala Dungun, Terengganu. Kami menikmati suasana pagi dengan berjalan-jalan di tepi pantai - dari Pantai Sura ke Pantai Teluk Lipat. Tak jauh pun, cuma kira-kira 1.2 km sehala. Kedudukan penginapan kami di hujung kawasan Pantai Sura, jadinya bila berjalan sampailah ke kawasan Pantai Teluk Lipat.

Hasrat hati nak menyaksikan keindahan matahari terbit, tapi nampaknya tak ada rezeki disebabkan keadaan jerebu. Walaupun taklah teruk tahap jerebunya, tapi suasana sekitar jadi kelam dan suram. Hasil foto pun jadi kurang menarik.

Pantai Sura, Kuala Dungun, Terengganu
Suasana di Pantai Sura - kawasan pantai yang terletak di seberang jalan penginapan kami. Ketika ini air laut semakin surut, ombak perlahan.

Pantai Sura, Kuala Dungun, Terengganu
Penginapan kami Ombak Beach Inn dilihat dari pantai. Dekat je, cuma perlu melintas jalan besar yang tak terlalu sibuk.

Pantai Sura, Kuala Dungun, Terengganu
Hamparan tumbuhan spesis bunga seri pagi  - bukan sekadar menjadi penyeri pantai tetapi ia bertindak sebagai tumbuhan penutup bumi bagi mengurangkan hakisan pantai.

Pantai Sura, Kuala Dungun, Terengganu
Dua variasi warna bunga tapak kuda (beach morning glory). Cantik kan? Carian saya mendapati - tumbuhan liar yang menjalar di pasir pantai ini dipanggil tapak kuda kerana bentuk daunnya seperti tapak kaki kuda. 

Pantai Sura, Kuala Dungun, Terengganu
Saya suka perhatikan tekstur pada permukaan batang kayu hanyut yang kelihatan seperti hasil seni ukiran.

Pantai Sura, Kuala Dungun, Terengganu
Jejak-jejak yang ditinggalkan. Boleh agaklah kan, mana satu jejak saya dan mana satu jejak Encik Suami. Bila jumpa pantai, orang tua pun boleh jadi budak 😄

Pantai Sura, Kuala Dungun, Terengganu
Taburan cangkerang, nampak biasa tapi tetap menarik di mata saya kerana ia menggambarkan keindahan pantai. Oh ya, biasa saya sebut dan tulis ‘cengkerang’ tapi rupa-rupanya menurut Dewan Bahasa dan Pustaka ejaan betul ialah cangkerang. 

Matahari pagi yang kelam.

Kami tiba di kawasan yang dipenuhi pokok rhu. Pemandangan yang mendamaikan.

Arca tanda Tanjung Sura Melati. Nampak macam baru saja dibina.

Sebelah kanan tu pantai, sebelah kiri pula laluan riadah yang sedang dalam pembinaan.

Laluan riadah (joging/berjalan/berbasikal) di Pantai Teluk Lipat. Menurut adik ipar saya, mereka sekeluarga selalu beriadah di sini. Bahagia sungguh jadi penduduk tempatan, dapat beriadah di tepi pantai yang elok begini. Lepas beriadah, boleh terus menjamu selera di deretan kedai makan di sepanjang jalan (dalam foto, di sebelah kiri).

Kami berhenti setakat di sini saja. Sebelum berpatah balik ke penginapan, kami singgah di sebuah kedai makan bagi menikmati hidangan sarapan selera Terengganu.







Wednesday, 7 October 2026

Menginap 1 Malam di Ombak Beach Inn, Kuala Dungun

Terdapat banyak pilihan penginapan di Kuala Dungun, kriteria utama - saya mencari penginapan yang berada dalam keadaan baik dan bersih. Saya teliti ulasan di Google Maps sebelum membuat pilihan. Faktor lokasi juga diambil kira - saya mahu penginapan berhampiran pantai dan ada kemudahan kedai makan berhampiran. Caranya, lihat pada Google Maps.

Pilihan pertama saya Permata Resort, tapi semua bilik sudah pun penuh. Maklum saja, saya buat tempahan 3 hari sebelum menginap 😅. Sebenarnya, trip ke Pantai Timur ni tak dirancang awal. Semua tempahan penginapan dibuat pada saat akhir.

Pilihan kedua, Ombak Beach Inn masih ada bilik kosong. Alhamdulillah.

Ombak Beach Inn, Kuala Dungun
Saya dan Encik Suami tiba di penginapan kami ketika hari sudah pun gelap. Petugas di kaunter pendaftaran, seorang lelaki yang bertutur dialek Terengganu ramah menyambut kedatangan kami. 

Ombak Beach Inn, Kuala Dungun
Langit malam di sini gelap kurang pencemaran cahaya, menyerlahkan keindahan bulan.

Ombak Beach Inn, Kuala Dungun
Bulan sabit muda (waxing crescent).

Tadi semasa di kaunter pendaftaran, kami diberi sekeping kertas kecil bertulisan tangan - tertera nombor bilik dan passcode bagi membuka tempat simpan kunci yang terletak di pintu masuk bilik.

Tekan passcode - buka ruang kecil tersebut - ambil kunci - buka pintu bilik menggunakan kunci tersebut. Pertama kali saya jumpa sistem penginapan begini. Menurut apa yang saya faham, tempat ini juga beroperasi secara layan diri. Petugas kaunter pendaftaran hanya ada mulai pukul 2 petang sehingga 9 malam. Jika kita datang di luar waktu tersebut, urusan boleh dibuat melalui WhatsApp. Ikut saja panduan yang tertera pada papan notis di kaunter pendaftaran.

Bilik penginapan kami bernombor B4, terletak di aras bawah.

Ombak Beach Inn, Kuala Dungun
Alhamdulillah biliknya luas selesa. Bilik kami ada sebuah katil single dan sebuah katil queen.

Ombak Beach Inn, Kuala Dungun
Antara kemudahan yang disediakan - set menggosok pakaian dan sejadah. Kalau tak ada pun tak jadi masalah, saya bawa sendiri travel iron dan kelengkapan solat.

Ombak Beach Inn, Kuala Dungun
Dalam bilik ni turut disediakan rak kasut, mudahlah kita simpan kasut dalam bilik. Bahaya juga kalau tinggal di luar. Saya pernah ada pengalaman kasut dilarikan monyet di sebuah penginapan berhampiran pantai di Perak.

Ombak Beach Inn, Kuala Dungun
Bilik air dalam keadaan baik, selesa digunakan.

*****

Foto siang esoknya. Hari dah terang, barulah jelas suasana di sekitar penginapan kami ni.

Ombak Beach Inn, Kuala Dungun
Sudut pandang dari pintu bilik kami. Boleh terus nampak pantai di seberang jalan sana. Teruja sungguh saya nak berjalan-jalan menikmati suasana pagi di tepi pantai.

Ombak Beach Inn, Kuala Dungun
Rupa bahagian hadapan bilik kami. Ada set meja kerusi di luar, tapi kami tak sempat nak duduk lepak menikmati suasana di sini.

Ombak Beach Inn, Kuala Dungun
Rak jualan minuman dan makanan ringan dengan konsep layan diri. Masukkan duit bayaran dalam tabung atau bayar guna QR.

Ombak Beach Inn, Kuala Dungun
Nak keluar penginapan mudah je, masukkan kunci bilik dalam kotak ini kemudian maklumkan menerusi WhatsApp.

Ombak Beach Inn, Kuala Dungun
Selain bilik-bilik penginapan, Ombak Beach Inn juga menawarkan ruang acara yang terletak di bangunan setingkat.

Ombak Beach Inn, Kuala Dungun
Peringatan penting! Tempahan penginapan hanya diterima melalui WhatsApp atau panggilan telefon ke nombor tertera di atas. Jangan terpedaya dengan membuat tempahan di platform online.

Ombak Beach Inn, Kuala Dungun
Bilik penginapan kami harganya RM130. Semasa buat tempahan perlu bayar RM50, manakala bakinya bayar ketika kami tiba di sini.

Menurut saya, harga yang kami bayar ni sangat berbaloi dengan kemudahan yang disediakan. Bilik penginapan yang luas, berkeadaan baik dan bersih. Cukup selesa bagi kami melepaskan lelah setelah menempuh perjalanan jauh. Juga ada ruang letak kereta yang selamat. Saya sangat puas hati 👍🏽

Lokasinya juga menarik - berhadapan dengan Pantai Sura yang cantik. Nak cari makan pun mudah - berderet kedai makan di sepanjang jalan. Boleh jalan kaki je. Kafe estetik pun ada juga tau, tapi kalau setakat menginap 1 malam macam kami ni memang tak sempatlah nak mencuba makan di beberapa tempat.