Showing posts with label Rawatan Gusi. Show all posts
Showing posts with label Rawatan Gusi. Show all posts

Tuesday, 13 January 2026

Ke Pulau Tikus, Georgetown Memenuhi Rutin Enam Bulan Sekali

Catatan hari Sabtu, 10 Januari 2026.

Setiap enam bulan sekali saya akan ke Pulau Pinang bertemu dengan doktor pakar periodontik untuk pemeriksaan dan rawatan gigi/gusi di Tria Dental Specialist Centre yang terletak di Pulau Tikus, Georgetown. Jauh ya dari Perlis, tapi sebab enam bulan sekali taklah rasa terbeban sangat.

Pukul 7.20 pagi - singgah sarapan di Dapoq Tok Su Lijah di Changlun, Kedah. Kami pelanggan pertama 😀

Kami selalu singgah makan sarapan di sini. Saya suka nasi lemaknya sedap cukup rasa lemak santan. Dah cuba beberapa menu lain tapi kurang menepati selera saya. Servis di sini pantas dan mesra, walaupun ramai pelanggan tapi tak perlu menunggu lama. Cuma sesekali kita akan terganggu dengan bau tak menyenangkan dari longkang berhampiran 😅

Pukul 9.30 pagi - di atas Jambatan Pulau Pinang menuju ke bahagian pulau. Landskap di sini sedikit berubah dengan kewujudan pembinaan tiang di sepanjang tepi jambatan (dalam foto - sebelah kiri). Carian saya mendapati ia merupakan projek pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kami tinggalkan kenderaan di kawasan parkir berhadapan dengan Queensbay Mall, Bayan Lepas dengan kadar caj RM1/jam. Dari situ kami naik kenderaan e-hailing menuju ke klinik. Cara begini lebih mudah sebab kami tak perlu memandu dalam kesesakan jalan di Georgetown (dinobatkan sebagai bandar paling sesak di Malaysia pada tahun 2024) dan tak perlu susah payah mencari parkir berhampiran klinik.

Mula-mula dulu je kami memandu terus sampai ke klinik, lepas beberapa kali terus ubah strategi. Saya ni dahlah seriau gigi nak ‘dikerjakan’, tapi belum jumpa doktor dah letih mental jadi pembantu driver nak tengok jalan mana nak masuk dan hadap ragam sesetengah pemandu, belum lagi penat melilau mata cari parkir 😅

X-ray Gigi | Rawatan kali ini dengan Dr. Ying. Saya maklumkan ada sedikit rasa sakit pada gusi bawah kanan, lepas diperiksa tak nampak apa-apa terus kena buat x-ray. Mula-mula x-ray fokus ke bahagian yang sakit, tapi tak jelas jadi buat pula x-ray untuk seluruh mulut. Masih juga tak jelas apa punca masalah. Jadinya rawatan kali ini - x-ray dan scaling sahaja. Kos rawatan sebanyak RM475. Janji temu seterusnya pada 4 Julai 2026.

Pukul 12.45 tengah hari - makan di The Chicken Rice Shop, Queensbay Mall. Saya order Crispy Wanton. Sekali bila dapat, terkejut tengok rupanya jauh berbeza dengan gambar menu. Pembelian yang tak berbaloi dengan rasa dan rupa persembahan hidangan 😅

Masjid Nagore Alor Setar
Masjid Nagore Alor Setar - masjid yang dibina pada tahun 1881 oleh komuniti India Muslim dari Nagore, India.
Pukul 6.30 petang - singgah makan sizzling yee mi di Sizzle Eatery, Alor SetarKunjungan kali kedua ke sini. Kali ini saya sempat memotret foto Masjid Nagore yang terletak berhadapan dengan restoran.

Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah kira-kira pukul 8.45 malam. 







Wednesday, 8 January 2025

Rutin Setiap Enam Bulan Sekali

Catatan hari Sabtu, 4 Januari 2025.

Janji temu saya dengan doktor pakar periodontik adalah pada pukul 3 petang. Dari Pen Mutiara Hotel ke Tria Dental Specialist Centre mengambil masa kira-kira 30 minit. Kali ini kami tak memandu sendiri, tetapi menaiki e-hailing - Grab. Lebih mudah sebab tak perlu memandu sendiri menempuh kesesakan bandar Georgetown dan tak perlu bersusah-payah cari parkir. Cuma perlu berbelanja lebih jelah 😆


PEMANDU GRAB WANITA
Buat kali pertama, kami dapat pemandu Grab seorang wanita. Orangnya peramah, terus memulakan perbualan ketika kami melangkah masuk kenderaan. 

Terkejut saya bila tahu umurnya sudah melewati 60 tahun. Hebat! Seorang wanita berusia 60-an mampu jadi pemandu Grab di sebuah bandar yang sibuk dan sesak. Banyak juga hal yang kami bualkan, tapi lebih kepada mendengar kisah beliau. Perbualan yang menarik kerana beliau seorang yang positif melalui kehidupan dan juga seorang yang banyak pengetahuan.

Perbualan kami terhenti apabila tiba di destinasi. Kami bersalaman dan saling mendoakan.


PERIODONTAL THERAPY & PERIODONTAL SPLINT
Kali ini doktor Freeda yang memeriksa dan merawat, sesuai dengan permintaan saya. Dah biasa dengan beliau, saya rasa kurang selesa dan kurang yakin pula bila dirawat oleh doktor lain.

Menurut doktor, gigi dan gusi semuanya dalam keadaan baik. Alhamdulillah. Proses rawatan pun tak begitu lama, cuma berlangsung kira-kira 35 minit. Tetapi, tetap jua terasa lama bagi saya yang ada masanya perlu menahan rasa sakit dan ngilu sepanjang proses rawatan. Hati sentiasa berzikir Rabbi Yassir Wala Tu’assir - Ya Allah, permudahkanlah dan jangan dipersulitkan.

Rawatan kali ini - scaling, ukur gigi dan tukar ikatan gigi (splint) bahagian atas. Kos rawatan kali ini sebanyak RM450. Janji temu seterusnya pada 5 Julai 2025.


Dari klinik, kami naik Grab ke Plaza Gurney. Saja berjalan-jalan. Nampak ada pameran dua buah kereta Tesla, kami singgahlah sekejap membelek kereta elektrik ni. Rekaannya memang kemas dan moden.






.

Monday, 5 August 2024

Catatan Hujung Minggu

[Catatan hujung minggu | 2 - 4 Ogos 2024]

⏵ JUMAAT 2 OGOS 2024
Bilik air dinding kaca di Wesley Hotel, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Pada hari Sabtu saya ada janji temu dengan doktor gigi di Pulau Pinang, jadinya kami ambil keputusan untuk menginap di hotel supaya tak perlu bertolak awal pagi (sebelum subuh) dari Perlis.

Bilik air di penginapan kami berdinding kaca (rujuk foto di bawah). Leceh jugaklah setiap kali nak guna kena tarik/buka kain langsirnya. Juga ada sedikit bau kurang sedap bila kain langsir basah. Selain hal bilik air berdinding kaca dan bilik kurang kedap bunyi (dengar orang bilik sebelah berborak), saya puas hati dengan tahap kebersihan bilik penginapan kami.


⏵ SABTU 3 OGOS 2024
Janji temu rawatan susulan dengan doktor gigi
Janji temu setiap enam bulan sekali bagi memastikan gusi/gigi saya dalam keadaan baik. Buat kali pertama, bukan doktor Freeda yang memeriksa dan merawat saya, tetapi seorang doktor perempuan berbangsa Cina. Jujurnya saya rasa kurang selesa sebab sejak tahun 2022, hanya doktor Freeda yang memeriksa dan merawat saya. Saya suka cara doktor Freeda beri penerangan, juga tutur kata beliau yang lembut dan membuat saya rasa tenang.

Rawatan yang dilakukan kali ini - scaling, ukur gigi dan baiki ikatan gigi (splinting) depan bahagian atas. Kos kali ini sebanyak RM350

Menikmati suasana kampung di Jendela Sungai Lenggong, Perak
Dari Pulau Pinang kami menuju ke Perak. Destinasi yang tak asing bagi kami, iaitu ke Kampung Danglang, Kuak, Lenggong. Ini merupakan kali ketiga kami menginap di kampung ini. Sebelum ini kami pernah bermalam di Amazing Camp Legacy, kali ini kami menginap di Jendela Sungai Lenggong pula. Walaupun rumah kami di Perlis juga dalam suasana kampung/hutan, tapi tetap ada bezanya dengan kampung di Lenggong. InsyaAllah akan ada entri khas perkongsian pengalaman kami di sini.


Wesley Hotel, Restoran Tasik Raban dan gerai jual durian.

⏵ AHAD 4 OGOS 2024
Lawatan ke Galeri Lenggong Geopark
Saya tahu kewujudan galeri ini sewaktu buat carian di Google Maps - things to do - museum. Lokasinya tak begitu jauh dari Galeri Arkeologi Lembah Lenggong. Mulanya kami rancang nak pergi kedua-dua galeri tersebut, tapi memandangkan kami mengejar masa nak balik Perlis maka kami pilih ke galeri geopark sahaja. InsyaAllah catatan lanjut galeri berkenaan geologi ini dalam entri khas.

Menikmati hidangan tengah hari di Restoran Tasik Raban
Kami terjumpa restoran ini secara tak sengaja. Restoran Tasik Raban terletak di jalan besar iaitu di laluan Baling - Kuala Kangsar. Restoran yang luas dan sangat banyak pilihan lauk tengah hari. Setiap lauk ada tanda harga, taklah terkejut masa membayar nanti. Tempat makan di sini juga berkeadaan bersih dan selesa untuk kita menjamu selera. Waktu operasi (saya ambil info di Google Maps) - setiap hari 10.30 pagi sehingga 4.30 petang.

Beli durian D24 dan IOI
Sebelum beredar dari penginapan Jendela Sungai Lenggong pagi tadi, tuan punya penginapan ada memberi kami buah rambutan dan sebiji durian. Cukup harum aromanya di dalam kereta kami. Saya fikir cukuplah sebiji durian tu buat kami makan berdua. Tapi, eh…ada orang rasa tak cukup dan sibuk nak membeli bila ternampak gerai jual durian tak jauh dari tempat kami makan tengah hari tadi.

Menurut penjualnya - seorang lelaki muda berbangsa Melayu, semua durian yang dijual merupakan durian tempatan. Encik Suami beli durian IOI dengan harga RM35/kg dan durian D24 dengan harga RM20/kg.

Selesai urusan membeli durian, kami terus bergerak balik ke Perlis melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Sebelum sampai rumah tu pula ada beberapa tempat lagi kami singgah - antaranya, pos bungkusan (return defect item) dan gunting rambut Encik Suami di Napoh, Kedah. Alhamdulillah jumpa jugak kedai yang bagus kemas hasil kerjanya dan harganya cuma RM10.

Alhamdulillah kami selamat sampai di rumah sebelum pukul 7 malam. 







Friday, 16 February 2024

Ke Klinik Gigi Memenuhi Rutin Setiap 6 Bulan

[Catatan hari Sabtu, 3 Februari 2024]

Janji temu rawatan susulan bagi masalah gusi saya ini telah dibuat pada bulan Julai 2023 lalu sewaktu masih menetap di Pulau Pinang. Sekarang bila dah berpindah ke Perlis, terpaksalah saya bertolak seawal kira-kira pukul 5 pagi supaya sempat tiba di klinik sebelum waktu janji temu iaitu pada pukul 9 pagi. Disebabkan ini klinik pakar, maka susah bagi saya nak tukar masa sesuka hati.

Alhamdulillah pukul 8 pagi saya dan Encik Suami dah berada di atas Jambatan Pulau Pinang. Nampaknya ada pembinaan di sebelah jambatan. Entah nak buat apa agaknya.

RAWATAN & KOS | Seperti biasa, Dr. Freeda menyambut mesra kehadiran saya di bilik rawatan dengan ucapan salam dan bertanya tentang kesihatan gigi (baca : gigi dan gusi). Alhamdulillah sejak kali terakhir bertemu beliau 6 bulan lalu, saya tak mengalami sebarang masalah gigi.

Rawatan susulan kali ini doktor lakukan tiga perkara berikut :
  • Scaling
  • Periksa ikatan gigi (splinting)
  • Ukur gigi
Alhamdulillah semua dalam keadaan baik dan tiada penyakit gusi. Menurut Dr. Freeda, walaupun ada bahagian gigi saya yang masih mengalami penyusutan gusi agak teruk (dapat diketahui setelah melakukan prosedur ukur gigi) tetapi semuanya bebas penyakit gusi. Gusi yang susut memang tak dapat pulih kembali tetapi dapat dicegah penyusutannya dengan memastikan gusi bebas penyakit.

Kos rawatan susulan kali ini sebanyak RM400. Janji temu seterusnya pada awal bulan Ogos. Alhamdulillah lega setiap kali selesai hal gigi. Maklumlah bukan mudah nak beranikan diri jumpa doktor gigi.






.

Monday, 24 July 2023

Janji Temu Kedua Rawatan Susulan Bagi Penyakit Gusi

Inilah sebabnya mengapa saya dan Encik Suami perlu bergerak awal pagi Sabtu dari Perlis balik ke Pulau Pinang (PP) - saya ada janji temu kedua rawatan susulan bagi penyakit gusi dengan doktor Freeda. Kali terakhir saya bertemu beliau adalah pada bulan Oktober 2022.

Janji temu selepas 6 bulan sepatutnya pada bulan April 2023 lalu, tapi tertangguh membawa kepada tarikh 22 Julai 2023, hari Sabtu pukul 12.30 tengah hari. Silap saya tak perasan tarikh pada bulan April tu rupanya pada minggu raya puasa, kami masih bercuti raya di Johor.


LOKASI BARU
Kunjungan kali ini klinik dah bertukar lokasi dari Bayan Lepas ke Pulau Tikus, George Town. Terasa susah sungguh perjalanan ke klinik disebabkan kesesakan lalu lintas di George Town. Nak cari ruang parkir pun sangat susah 😥

Lokasi klinik di Jalan Burma, Pulau Tikus, George Town. 

Klinik baru dengan ruang lebih luas.

RAWATAN SUSULAN
Tujuan rawatan susulan adalah bagi memastikan gusi saya berada dalam keadaan baik, kekal bebas daripada penyakit gusi.

Proses rawatan kali ini berlangsung sekitar 30 minit saja, paling sekejap rasanya sepanjang saya berjumpa dengan doktor Freeda. Sebab kali ini doktor cuma lakukan prosedur scaling. Ikatan gigi (splinting) pun masih berkeadaan baik, tak perlu dibaiki atau diganti. Kos bagi rawatan kali ini sebanyak RM350. Saya catatkan secara terperinci di blog untuk tujuan rekod rujukan sendiri.

Alhamdulillah doktor maklumkan semuanya berkeadaan baik, cuma perlu teruskan rawatan susulan setiap 6 bulan sekali. InsyaAllah janji temu seterusnya pada awal Februari 2024.

Saya ada menerima beberapa pertanyaan menerusi e-mail dan juga di ruangan komen pada entri lepas. Ramai yang ada masalah serupa tetapi tak tahu di mana nak mulakan rawatan. Bagi yang nak tahu, boleh klik DI SINI untuk membaca catatan pengalaman rawatan gusi saya sejak Februari 2022.






.

Saturday, 29 October 2022

Janji Temu Pertama Rawatan Susulan Bagi Penyakit Gusi

Catatan terdahulu berkaitan rawatan penyakit gusi saya :


Petang semalam (Jumaat, 28.10.2022), sekali lagi saya berjumpa doktor gigi bagi menjalani rawatan susulan berkaitan penyakit gusi yang saya alami. Janji temu sepatutnya pada penghujung bulan Ogos lalu, tetapi bertukar masa beberapa kali atas beberapa sebab (kadang Dr. Freeda tak ada dan kadang saya pula yang tak dapat hadir). Sudahnya, rawatan susulan yang sepatutnya dibuat selepas tiga bulan jadi berjarak lima bulan. Tapi itu bukanlah masalah besar, sebab ianya hanyalah rawatan susulan.

Alhamdulillah, semalam dapat juga saya hadir setelah menggantikan slot pesakit lain yang tak dapat hadir. Pihak klinik sangat profesional dalam menguruskan slot rawatan, semuanya diatur dengan baik. Jadinya kalau ke klinik, tak perlulah kita menunggu lama untuk mendapatkan rawatan dan ruang menunggu tak dipenuhi dengan pesakit yang sedang menunggu.

Bagi rawatan susulan kali ini, ada tiga perkara dilakukan :
  • Ukur gigi
  • Scaling
  • Repair splinting gigi atas
Menurut Dr. Freeda, secara keseluruhannya gusi saya sudah kembali sihat (gusi yang sihat adalah gusi yang mampu memegang kukuh gigi). Tetapi ada sebatang gigi yang tak dapat dipegang kukuh oleh gusi disebabkan keadaan penyusutan gusi yang teruk. Buat masa sekarang, pilihan yang ada hanyalah gigi tersebut perlu kekal memakai ikatan gigi (splinting) supaya kukuh tidak bergoyang.

Disebabkan tiada masalah serius, maka rawatan susulan berikutnya hanya perlu dibuat setiap enam bulan sekali. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah. Walaupun gusi yang dah susut tak mungkin pulih seperti asal, tetapi sekurang-kurangnya gusi saya sudah bebas daripada penyakit gusi.

Rawatan kali ini selesai dalam tempoh kira-kira 50 minit. Caj dikenakan sebanyak RM400. Untuk rekod, ini merupakan kali ke-9 saya mendapatkan rawatan di Klinik Pakar Periodontik & Pergigian Freeda Woon di sepanjang tahun 2022. Insya Allah janji temu berikutnya pada bulan April 2023.


Pukul 4.17 petang - pemandangan dari atas Jambatan Kedua Pulau Pinang sewaktu dalam perjalanan balik ke rumah. Awam gelap dan hujan rintik-rintik.






.

Wednesday, 15 June 2022

Penilaian Selepas Dua Bulan Rawatan ‘Root Surface Debridement’

SABTU | 28.05.2022

Sebelum ini saya pernah menjalani dua sesi rawatan Root Surface Debridement atau dikenali juga sebagai Deep Cleaning untuk masalah gusi susut yang saya alami. Catatan berkenaan rawatan tersebut DI SINI dan DI SINI.

Selepas dua bulan menjalani rawatan tersebut (bagi kes saya sudah pun melebihi dua bulan sebab susah nak dapat slot rawatan pada hari Sabtu), sekali lagi janji temu dibuat untuk doktor melakukan penilaian terhadap gusi saya. Kata mudahnya, doktor akan buat penilaian dengan cara mengambil bacaan ukuran gigi saya untuk dibandingkan dengan bacaan terdahulu.


BACAAN UKURAN GIGI

Setelah bacaan ukuran gigi diambil, Dr. Freeda maklumkan bahawa cuma ada dua batang gigi sahaja yang berada pada skala 4 - border line, iaitu sebatang gigi depan bahagian atas dan sebatang lagi gigi belakang bahagian kiri atas. Jadinya tak perlulah saya menjalani rawatan lanjutan iaitu pembedahan sebab tak ada gigi yang berada pada skala melebihi 4. Alhamdulillah! Terima kasih Allah! Memang puas saya berdoa pasal ni tau, sebab rasa seram pulak kalau gusi nak dibedah. Juga entah berapa pulak kosnya.

Info :
A larger or a higher number indicates that you have gum issues such as plaque and tartar buildup. If you hear numbers of 0 or 1, you are doing pretty well. 2 and 3 means we need to work on your gums a little more and 4 will require some deeper cleaning and closer monitoring.


PENYELENGGARAAN GIGI

Selesai mengambil bacaan ukuran gigi, doktor melakukan penyelenggaraan (maintenance) gigi. Mula-mula doktor buat scaling dan kemudian renew splinting - ikatan gigi lama dibuang dan diganti dengan ikatan gigi yang baru.

Alhamdulillah, rawatan selesai dalam tempoh 1 jam. Caj dikenakan sebanyak RM550. Walaupun tak perlu menjalani pembedahan, saya masih perlu buat rawatan susulan selepas tiga bulan. Janji temu berikutnya adalah pada penghujung bulan Ogos. Jika gusi saya semakin sihat (gusi yang sihat adalah gusi yang mampu memegang kukuh gigi), rawatan susulan akan dibuat setiap enam bulan sekali sahaja.


Ambil gambar kenangan, hujung bulan ini klinik Dr. Freeda akan berpindah ke lokasi baru.
Nampaknya tahun 2022 ni menjadi ‘tahun rawatan gigi’ buat saya. Belum pun setengah tahun, sudah 8 kali saya bertemu dengan Dr. Freeda. Alhamdulillah rasa takut berjaya ditolak ke tepi dengan bantuan Allah. Setiap kali menjalani rawatan, hati sentiasa berzikir dengan doa berikut (doa ini juga - dalam versi lebih panjang, saya amalkan setiap kali memulakan perjalanan dan jika hati merasa risau fikirkan sesuatu hal) :

ربّ يسّر ولا تعسّر
Ya Allah permudahkanlah, jangan dipersulitkan.

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ
Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.







.


Monday, 7 March 2022

Janji Temu Kedua Dengan Pakar Periodontik | Rawatan ‘Root Surface Debridement’

Selepas janji temu pertama dengan doktor pakar Periodontik (catatannya DI SINI), Alhamdulillah…janji temu kedua untuk rawatan Deep Cleaning (Root Surface Debridement) gigi bahagian atas, selamat dilakukan pada hari Khamis, 3 Mac 2022.

Kali ni saya dapat slot akhir, iaitu pada pukul 5 petang. Di sini susah sikit kalau nak memilih slot mengikut masa sendiri, nanti makin lambat pulak janji temunya.

Klinik Freeda Woon - Periodontics & Dental Specialist Clinic
Prosedur rawatan sama saja seperti pada janji temu pertama (kecuali x-ray tak perlu dilakukan lagi). Doktor Freeda memberi suntikan bius pada bahagian dalam atas mulut saya, entah berapa suntikan semuanya saya tak pasti. Berbanding rawatan kali pertama (untuk gigi bahagian bawah), kali ni saya terasa sakit sewaktu suntikan dilakukan pada bahagian lelangit. Keluar air mata jugaklah saya dek menahan kesakitan. Kalau tak silap saya, ada dua suntikan dilakukan pada bahagian lelangit. Menurut doktor, suntikan pada lelangit terasa menyakitkan sebab berhampiran tulang.

Seterusnya bila bahagian atas mulut saya sudah merasa kebas, rawatan deep cleaning dilakukan. Sesekali saya cuba juga membuka mata (di sebalik safety glasses) untuk melihat peralatan apa yang digunakan. Tetapi dengan segala percikan halus air dan sinaran cahaya lampu yang terang, memang sebaiknya saya pejam mata sajalah sepanjang rawatan. 

Selesai deep cleaning, doktor mengambil bacaan ukuran gigi. Hasil bacaan ini nantinya akan digunakan untuk melihat sejauh mana kejayaan hasil rawatan deep cleaning yang telah dilakukan. Hasilnya akan dinilai selepas dua bulan rawatan.

Dan yang terakhir, doktor melakukan splinting (‘ikat gigi’) untuk 4 batang gigi. Lebih panjang dan saya terasa lebih tebal berbanding splinting gigi bahagian bawah. Memang ada rasa ketidakselesaan sebab ada sesuatu pada bahagian sebelah dalam gigi. Tetapi bila melihat gigi jadi lebih elok rapat dan tidak goyang, saya rasa gembira dan melupakan rasa tak selesa tersebut. 

Caj rawatan untuk janji temu kedua.
Proses rawatan kali ni mengambil masa 1 jam. Alhamdulillah selesai! Tempoh masa penyembuhan gusi adalah selama dua bulan, insyaAllah janji temu seterusnya pada bulan Mei. Apa rawatan selanjutnya? Itu bergantung kepada keadaan kesihatan gusi saya. Kalau semuanya baik-baik saja, saya cuma perlu buat rawatan susulan setiap 6 bulan. Semoga Allah beri kesembuhan kepada gusi saya dan tak perlulah saya menjalani rawatan lanjutan.

Perjalanan balik ke tanah besar (Seberang Perai) melalui Jambatan Kedua Pulau Pinang. Masa ni sudah pun melepasi pukul 7 malam.
Kesan ubat bius tadi hilang sepenuhnya kira-kira 2 jam selepas rawatan. Barulah saya boleh kembali bercakap dan makan secara normal. Kali ni, saya terasa ada sedikit kesakitan (kesan rawatan deep cleaning tadi) selepas ubat bius hilang. Esok paginya juga masih kurang selesa, tetapi Alhamdulillah selepas itu semuanya kembali normal.

Saya catatkan semuanya di blog untuk rujukan sendiri pada masa akan datang dan sebagai perkongsian bagi mereka yang menghadapi masalah penyakit gusi seperti saya. Nak buat rawatan ni pun bukanlah mudah, saya perlukan semangat dan sumber kewangan. Memang banyak kosnya, tetapi kesihatan itu adalah kebahagiaan. Terima kasih Allah, dengan kehendak-Nya segala urusan berjalan lancar.






.

Thursday, 17 February 2022

Janji Temu Pertama Dengan Pakar Periodontik | Rawatan ‘Root Surface Debridement’

Cerita di Perlis masih belum habis, saya selit dulu cerita berkenaan rawatan gusi sebelum terlupa dan terus tak catat di blog. Catatan panjang ini penting sebagai rujukan saya sendiri pada masa akan datang memandangkan rawatan gusi mengambil masa yang agak lama, perlu berulang kali datang ke klinik dan kosnya yang tinggi.

Apa itu periodontik? Periodontologi merupakan satu cabang kepakaran pergigian yang tertumpu secara khusus dalam pencegahan, diagnosis dan rawatan penyakit yang berkaitan dengan tisu penyokong gigi (periodontium) iaitu gusi (gingiva), tulang alveolus (alveolus), ligamen periodontium (periodontal ligament) dan simentum (cementum). Perkhidmatan kepakaran ini disediakan di klinik-klinik pergigian primer kerajaan dengan kepakaran Periodontik dan semua pesakit adalah pesakit rujukan. (Sumber : ohd.moh.gov.my)

Kata mudahnya, pakar Periodontik adalah pakar gusi (Gum Specialist). Biasanya kalau kita pergi ke klinik pergigian tu jumpa doktor gigi untuk rawatan biasa, tapi jika kita ada masalah gusi yang serius perlulah berjumpa dengan pakar Periondontik. 

Macam mana saya tahu saya perlu jumpa pakar Periodontik? Beberapa tahun terakhir ini (atau mungkin lebih awal cuma saya tak perasan), saya menghadapi masalah gusi sensitif - rasa ngilu atau sakit disebabkan gusi yang menyusut. Bacaan lanjut berkenaan gusi sensitif di siniYa, saya sudah menggunakan ubat gigi Sensodyne dan memang sangat membantu mengurangkan rasa sensitif yang saya alami. Saya jumpa beberapa orang doktor gigi yang berbeza, semua mengatakan saya ada masalah gusi susut dan tiada rawatan boleh dilakukan selain melakukan rutin rawatan cuci gigi (scaling) seperti biasa.

Masa pertama kali dengar dulu memang saya rasa agak sedih dan kecewa, juga geram pada diri sendiri sebab masa muda dulu penakut jumpa doktor gigi akibat trauma dengan pengalaman zaman sekolah. Saya mula berani berjumpa doktor gigi semula bila umur sudah pun 30-an. Itu pun tidaklah mengikuti rutin scaling 6 bulan sekali. Begitulah kisah kesilapan lalu saya yang memberi kesan kepada kualiti kesihatan gigi saya pada hari ini. Sila ambil pengajaran ya! Amalkan jumpa doktor gigi secara rutin dan bagi yang ada anak, bawalah anak berjumpa doktor gigi seawal gigi pertama tumbuh. 

Jadinya selepas itu gigihlah saya buat carian di internet berkenaan masalah gusi susut. Memang betul, hampir tak ada apa boleh kita buat bila gusi dah susut. Tetapi rupanya masih ada rawatan lanjutan yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan masalah menjadi lebih serius. Tetapi rawatan tersebut perlu dilakukan oleh pakar Periodontik. Masa inilah baru saya tahu adanya pakar Periodontik. 

Disebabkan adanya kekangan untuk saya mengikuti janji temu rawatan di klinik pergigian kerajaan, saya pun buatlah carian klinik pergigian swasta yang ada doktor pakar Periodontik. Alhamdulillah saya jumpa satu klinik di PP ni yang ada pakar Periodontik (selepas itu baru saya tahu cuma ada dua orang doktor pakar Periodontik swasta di PP).


KLINIK PAKAR PERIODONTIK & PERGIGIAN FREEDA WOON
Saya telefon klinik untuk membuat janji temu pertama pada awal Januari lalu. Agak susah juga nak cari slot kosong. Saya dapat pada penghujung Januari dan kemudian saya tukar (atas sebab tak dapat dielakkan) kepada hari Khamis, 10 Februari lalu.

Temu janji saya pada pukul 11 pagi. Saya sampai klinik sekitar pukul 10.45 pagi. Lepas buat pendaftaran, terus je dipanggil masuk ke bilik rawatan. Setelah duduk di kerusi rawatan, seorang doktor perempuan muncul serta memberi salam kepada saya. Oh, Alhamdulillah…doktor Muslim. Sebolehnya memang saya nak buat rawatan dengan doktor perempuan Muslim.


Setelah menerangkan masalah dan keadaan gigi saya, Dr. Freeda buat pemeriksaan awal terhadap gigi saya. Seperti yang saya sedia maklum, kata beliau saya mengalami penyakit gusi - Periodontitis. Saya juga ditanya kalau-kalau ianya faktor keturunan, memandangkan gusi saya susut awal (umur 40-an) dan tiada faktor lain (merokok, stres, diabetes). Ya, karang gigi antara faktor penyebab penyakit gusi. Tetapi bagi mereka yang ada kecenderungan genetik, akan lebih mudah terkena penyakit gusi apabila adanya faktor lain (karang gigi, merokok, stress). Lebih kurang begitulah yang saya faham.

Sebelum memulakan rawatan, saya diberi penerangan (siap tunjuk gambar-gambar) berkenaan apa itu penyakit gusi dan apa rawatan yang boleh dibuat. Kata beliau lagi, rawatan gusi akan mengambil masa yang lama dan tujuan rawatan adalah supaya gusi mampu memegang gigi semula. 



Untuk rawatan kali pertama :
  1. X-ray
  2. Ukur gigi
  3. Deep cleaning (Root Surface Debridement) untuk gigi bahagian bawah.
Untuk x-ray, saya berpindah ke bilik sebelah. Pengalaman pertama saya melakukan x-ray gigi. Perlu senyum lebar sambil gigi menggigit satu alat. Selepas x-ray, saya kembali ke bilik rawatan untuk proses ukur gigi dan rawatan deep cleaning.

Apa itu deep cleaning (Root Surface Debridement)? Root surface debridement involves the careful removal of deposits of calculus and plaque from the root surface. When healthy, the gum surrounding the tooth will fit tightly with a small space between measuring 1-3mm.

Secara mudahnya, ia sama seperti scaling tetapi dibuat lebih jauh ke dalam lagi dan memerlukan pesakit dibius. Rawatan ini perlu dilakukan kerana rawatan scaling biasa tak memadai bagi kes seperti saya. Oleh kerana proses rawatan akan mengambil masa yang lama, deep cleaning akan dilakukan dua kali. Saya pilih buat rawatan untuk gigi bahagian bawah terlebih dahulu.

Sebelum tu, gusi saya (bahagian bawah dalam mulut) disuntik ubat bius supaya kebas dan tak rasa sakit sepanjang rawatan. Sakit tak kena suntikan bius? Sakit sikit je sebab sebelum tu doktor dah sapu ubat bius di tempat suntikan. Selepas itu, seluruh bahagian bawah mulut saya jadi kebas. Memang tak rasa apa-apa dan selesa sepanjang doktor buat rawatan. Sesekali mungkin ada rasa kurang selesa di beberapa tempat, tapi masih ok. Cuma bila doktor suruh berkumur, memang susahlah sebab bibir bawah dah kebas.

Berapa lama proses rawatan deep cleaning saya? Saya agak mungkin menghampiri 1 jam 30 minit. Masa keseluruhan dari masuk jumpa doktor sehingga keluar adalah 2 jam. Fuh, lama sungguh! Walau pun lama, tapi tak rasa terseksa cuma lenguh juga badan berbaring. Sepanjang rawatan saya amalkan zikir Rabbi Yassir Wala Tu’assir (Ya Allah, permudahkanlah dan jangan dipersulitkan). Dr. Freeda sesekali akan bertanya saya, “Puan ok?”. Saya jawab pertanyaan beliau dengan buat isyarat jari 👌🏽. 

Root Surface Debridement
Caj rawatan untuk janji temu pertama. Pergi jumpa doktor pakar di klinik swasta kan, beginilah harganya. Splinting tu ‘ikat gigi’. Ada 4 batang gigi saya yang ‘diikat’ sementara untuk mengukuhkan gigi.

Alhamdulillah selesai rawatan pertama sekitar pukul 12.45 tengah hari. Semuanya berjalan lancar. Klinik yang cantik dan selesa. Staf yang mesra melayan. Paling penting, saya sangat berpuashati dengan layanan dan rawatan yang diberikan oleh Dr. Freeda. Orangnya lembut dan sangat sopan berkata-kata.

Temu janji berikutnya pada awal bulan Mac (tiada slot kosong yang lebih awal) untuk rawatan deep cleaning gigi bahagian atas pula. Selepas tu tunggu dua bulan untuk proses penyembuhan gusi.

Kesan ubat bius tadi hilang sepenuhnya kira-kira 2 jam selepas saya meninggalkan klinik. Alhamdulillah lepas habis ubat bius, saya tak mengalami apa-apa kesakitan. Cuma ada beberapa tempat rasa sedikit tak selesa. Tak terlalu mengganggu.

Semoga Allah memberi kesembuhan kepada gusi saya. Walau pun tak mungkin kembali seperti asal, tapi sekurang-kurangnya rawatan ini dapat mengawal masalah menjadi lebih serius dan mengelakkan kehilangan semua gigi sebelum waktunya. Sejak ada masalah gusi ni, banyak yang saya belajar dan ambil tahu mengenai kesihatan gigi dan gusi. Antaranya, jangan senang-senang setuju cabut gigi kalau sakit. Kenal pasti masalah sebenar dan usahakan buat rawatan (jika ada) sebelum buat keputusan cabut gigi.






.