Sambungan entri Sedim Rainforest Resort, Kulim | Menikmati Keindahan Khazanah Alam Hutan Lipur Sungai Sedim.
The Tree Top Walk Sungai Sedim merupakan tarikan ekopelancongan yang terletak di Hutan Simpan Gunung Inas, Kulim, Kedah. Laluan kanopi Sungai Sedim ini siap di bina pada tahun 2005 dan memulakan operasi pada tahun 2006.
Lokasinya berhampiran dengan Taman Eko Rimba Sungai Sedim dan Sedim Rainforest Resort. Saya dan encik suami hanya perlu berjalan kaki menyeberangi jambatan dari Sedim Rainforest Resort untuk ke Tree Top Walk.
Sebenarnya, kami dah pernah berkunjung ke Tree Top Walk ni sewaktu tahun awal ia beroperasi iaitu sekitar tahun 2007. Jadi wajarlah kami berkunjung semula ke sini setelah 15 tahun berlalu. Kalau dulu kami dapat menyaksikan kehadiran Enggang, burung bersaiz besar dengan paruh berwarna kekuningan.
Gerbang masuk Tree Top Walk Sungai Sedim. Laluan ini hanya untuk pejalan kaki. Pengunjung perlu meletak kenderaan di ruangan parkir taman eko rimba. Kalau pada hujung minggu atau cuti umum, eloklah datang awal sebab ruangan parkir berkongsi dengan pengunjung yang datang berkelah. Memang sesak.
Agak jauh jugak kita perlu berjalan dari gerbang tadi menuju ke lokasi laluan kanopi. Sambil tu bolehlah kita memerhati tumbuhan di kanan dan kiri laluan.
Kami nampak pokok senduduk dengan buah yang sudah masak berwarna ungu gelap. Encik suami bercerita memori zaman kanak-kanaknya memakan buah pokok senduduk ni. Oh, boleh dimakan rupanya. Masa saya kanak-kanak dulu memang biasa jumpa pokok ni di semak tepi jalan. Tapi seingatnya saya tak pernah atau tak tahu buahnya boleh dimakan. Kalau makan buah letup-letup tu memang biasalah.
Selepas melewati bangunan penginapan di kiri jalan dan kawasan tapak perkhemahan di kanan jalan, teruskan perjalanan sehingga kita tiba di lokasi laluan kanopi. Kaunter tiket terletak dalam bangunan.
Inilah ruang dalam bangunan yang menempatkan kaunter tiket dan ruang galeri. Sebelum naik laluan kanopi, bagus kalau kita baca info tersedia mengenai Tree Top Walk - sejarah pembinaan, latar belakang projek laluan kanopi dan jenis burung yang dikenal pasti terdapat di sini.
Klik gambar untuk lebih jelas. |
Senarai harga bagi kemudahan dan aktiviti yang ditawarkan oleh pihak Tree Top Walk. Bukan sekadar naik laluan kanopi je ya. Kita boleh datang menginap di sini atau berkhemah di tapak perkhemahan.
Harga tiket dewasa untuk pemegang MyKad - RM12. Sebelum ini RM10, baru saja naik harga beberapa bulan lepas.
Di sinilah permulaan laluan kanopi sepanjang 925 meter. Memang panjang! Dikatakan ini merupakan laluan kanopi hutan hujan tropika yang terpanjang di dunia. Laluan kanopinya di bina membentuk satu pusingan. Ketinggian bermula pada aras 5 meter dari lantai hutan. Jom kita mulakan perjalanan menikmati hutan hujan tropika pada aras tinggi.
Begini rupa laluan kanopi. Laluan dengan lantai struktur besi yang kukuh. Tapi kalau ada orang lain jalan berhampiran kita, terasa bergoyang jugak laluan ni.
Gayat ke tak gayat? Tak nak gayat, jalan tengok depan. Kalau tengok bawah, nampak tiang besi ni sayup ke bawah memang rasa gayat!
Laluan kanopi ni bukan sekadar kita lalu gitu je tau, ada disediakan papan info bagi kita mempelajari jenis pokok yang terdapat di sini dan pengetahuan berkenaan hutan. Rajin-rajinlah berhenti untuk membaca dan memerhati sekeliling. Pembelajaran alam yang menyeronokkan. Lebih banyak yang kita tahu, lebih dekat rasa cinta kita kepada alam dan penciptanya.
Di tempat-tempat tertentu, terdapat papan info berkenaan ketinggian laluan kanopi. Setakat yang saya perasan dan sempat rakam fotonya, titik paling tinggi adalah 20 meter dari lantai hutan.
Berdasarkan info di laman Facebook Kedah Tourism pula, titik paling tinggi terletak 26 meter dari lantai hutan. Mungkin ada tempat yang saya terlepas pandang papan infonya.
Berada pada kedudukan aras tinggi begini memberi kelebihan bagi kita memerhati struktur hutan dari atas dan dapat memerhati pokok-pokok tinggi pada kedudukan lebih dekat. Kami berdua juga sibuk memerhati mencari-cari kalau ada burung Enggang atau spesis lainnya. Gigih bawa binokular. Tapi nampaknya tak ada rezeki, langsung tak kelihatan kelibat burung di sini.
Inilah pokok yang yang saya sebut dalam entri terdahulu - pokok tinggi dengan buah lebat di batang pokok. Sebelum ni susah nak tengok rupa buahnya sebab terlalu tinggi. Di sini, pada kedudukan aras tinggi dengan mudah kita dapat melihat secara dekat pokok Ara Pencekik. Berbuah lebat, saiz kecil. Warna hijau akan bertukar merah apabila sudah masak. Tapi awas ya, katanya buah ara jenis yang ini tak boleh dimakan.
Menurut saya, paling rasa gayat bila perlu jalan di laluan kanopi dengan aliran deras sungai di bawah. Berdebar rasa nak lalu. Kalau tak pandang bawah, rugi pulak. Jadi kita lawan jelah rasa gayat tu demi sebuah pengalaman.
Aliran Sungai Sedim yang indah. Saya nampak ada sekumpulan orang di bawah, mungkin kumpulan yang menyertai aktiviti rentas hutan.
Sampai semula di tempat bermula tadi. Keseluruhan masa kami di laluan kanopi ni adalah kira-kira satu jam. Terasa lama jugak kami berada di atas laluan kanopi ni, tambahan pulak dengan cuaca yang agak panas.
Secara keseluruhannya, ia satu pengalaman yang menarik dan pendidikan alam yang bagus. Laluan kanopi di sini juga tidaklah begitu gayat berbanding titian kanopi di Taman Negara Kuala Tahan kerana perbezaan struktur jambatannya.
Kalau kalian nak ke sini, eloklah pakai kasut yang bersesuaian sebab kita perlu berjalan agak jauh bermula dari pintu gerbang dan untuk keselamatan semasa berjalan di lantai laluan kanopi yang berlubang-lubang. Juga bawalah sedikit bekalan makanan dan minuman dalam beg sebagai persediaan jika lapar dan dahaga, sebab di sini tiada jualan makanan dan minuman. Sebaiknya datang pada waktu pagi bagi mengelakkan panahan terik matahari.
Paparan video berdurasi 0:51 minit.
—————————————————————————————————
THE TREE TOP WALK SUNGAI SEDIM
Hutan Lipur Sungai Sedim,
Kulim, Kedah.
Waktu operasi :
Setiap hari
9 pagi - 5.00 petang
*operasi dihentikan jika hujan lebat, kilat dan angin kuat.
Subhanallah cantiknya pemandangan dia kak dari atas tu, dia punya kanopi walk tu nampak kukuh ya kak teringat tahun 2007 dana ada kursus di taman negara endau rompin kena masuk hutan dan naik kanopinya. Tak pasti mana 1 lagi tinggi tapi memang seriau sbb dahla hujung pokok ketinggiannya, jambatan tu pulak tak sekukuh ini jenis yg goyang2 berayun tu... hahahha memang terjerit2 lah kejenya tp mmg cantik pemandangan dari atas tu. Hutan dengan dana memang tak serasi, rasanya tahun 2007 itu terakhir dana masuk hutan hahahha
ReplyDeleteYang jenis jambatan gantung tu bukan takat rasa gayat, tapi rasa nak gugur jantung!
DeleteHutan dan Dana berpisah terus ya 😄
ye kak, nasibla jambatan tu tak panjang sangat sebab sedang dalam tempoh pembaikan, kalau tidak 1kilometer jauhnya tau, yang dana naik tu pun dekat 500m jugak la, mujurla kalau tak 1 km nak habiskan entah camno agaknya.
Deletepemandangan hijau yg nyaman dan segar tuuuh., ;p
ReplyDeleteAlhamdulillah dapat tengok hijau alam.
Deletesy pernah singgah ke tree top walk sedim ni masa tahun 2011 kalau tak silap sbb balik kursus dari alor setar. terasa nak pergi lagi hehehe
ReplyDeleteBila dah lama sangat pergi, kita pun dah lupa suasana macam mana. Jadinya memang kena pergi lagi tu...hehe
Deletesubhanaullah
ReplyDeletesegar mata tgk kehijauan
rinduuunya nk blk kg tgk kebun he hew
Terus rindu kat kebun ya CikNur..hehe
DeleteMenarik!
ReplyDeleteSejenis pokok senduk juga yang itu ye Puan? Sy biasa tengok pokok ni tapi tak pernah tahu namanya :) yg saya kenal pokok senduk putih & ungu yg cantik tu
Ya, famili sama.
DeleteBezanya, senduduk putih/ungu daun dia licin, senduduk bulu ni daun dia berbulu.
Seronoknya jalan tengah hutan dan tidak perlu menjejak tanah.
ReplyDeleteHirup udara segar sambil hayati alam. Betul ada ilmu boleh dikutip dengan baca info pada papan yang disediakan.
Mengapa dipanggil Ara Pencekik ya? Adakah ia sejenis parasit yang menumpang pokok?
Ara Pencekik sejenis tumbuhan epifit - menumpang dan buat makanan sendiri. Tapi lama2 dia membesar melebihi pokok yang ditumpang dengan akar mengelilingi batang pokok tersebut. Akhirnya pokok tumpang mati.
DeleteAgaknya sebab tu panggil 'pencekik'. Dia hidup tinggi, tapi pokok tumpang mati.
Menarik tempatnya.. teringin nak pergi jugak.
ReplyDeleteInsyaAllah moga ada rezeki Fairus.
Deletepernah gi yg di Taman Negara Kuala Tahan...mmg best berjalan diantara pokok2..
ReplyDeleteLain suasana bila kita ada di atas.
Deletedah lama tak menikmati kesegaran alam macam ni... last kami pergi tanjung piai rasanya...dah lama bertahun dah
ReplyDeleteYan boleh try pergi Tmn Negara Kukup pulak. Naik bot di jeti Kukup.
DeleteWah, bestnya kak. Betullah kan, selalu kita tengok pokok dari bawah aje. Manalah kita nampak keadaannya di atas sana. Bagus ada tree top walk ni. Teringin sangat nak pergi. Harap ada rezeki lepas habis musim hujan ni
ReplyDeleteSebelum tu, penat akak dongak kepala sebab nak tengok buah apa la yang lebat. Seronok bila naik titian kanopi, eh boleh tengok dekat..hehe.
DeleteInsyaAllah moga ada rezeki Sal ke sini.
Dah lama teringin nak jalan jalan kat tree top walk macam ni. Risau gayat je. Nak pergi tree top walk KL tak pergi² lagi. Haritu masa beria nak pergi tutup pulak. Baru tahu nama pokok tu senduduk. Biasa nampak tumbuh liar kat kampung atau semak kebun.
ReplyDeletePernah sekali je naik treetop walk di FRIM Kepong. Rasa gigil lutut dan nak pitam sbb gayat! Tapi view mmg cantik, cuma tak dpt menikmati masa tu sbb gayat sangat.
ReplyDeleteWargh!! Sha yang gayat.. Cantik pemandangan.. Namun untuk melaluinya tak tahulah.. Tengok gambar pun dah seram sejuk..
ReplyDelete