AHAD | 30.01.2022
Aktiviti pertama saya dan encik suami di Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam - eksplorasi ke Gua Kelam 2. Untuk masuk ke Gua Kelam 2 ni kita wajib mendapatkan khidmat juru pandu arah dengan bayaran sebanyak RM80 untuk kumpulan maksima 10 orang. Boleh terus datang sebelah pagi atau sebaiknya buat tempahan slot lebih awal dengan menghubungi pihak Jabatan Perhutanan Negeri Perlis atau terus hubungi Pengawas Hutan Gua Kelam - 013 332 4224 (En. Muhamad Saili).
Kumpulan kami? Cuma berdua. Pejam mata jelah masa bayar ya. Encik suami kata takpelah, kita sokong industri eko pelancongan Perlis. Jadinya kalau ada yang nak ke sini, cukupkanlah 10 orang ya. Lebih jimat…hehe.
[Pengenalan] Gua Kelam 2 merupakan salah satu daripada gua-gua di Hutan Simpan Wang Mu. Ia terletak di Banjaran Nakawan yang merupakan banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia dan merentasi sehingga ke Thailand. Suatu masa dahulu, aktiviti perlombongan bijih timah giat dijalankan di dalam gua ini. Pengunjung akan dapat melihat kesan tinggalan aktivit perlombongan tersebut di dalam gua selain menyaksikan keunikan dan keindahan gua batu kapur.
Ok, jom kita masuk ke Gua Kelam 2…
Untuk ke Gua Kelam 2, masuk ikut bangunan ni.
Sebelah kiri itulah laluan ke pintu masuk Gua Kelam 2. Sebelum tu, kita perlu pakai topi keselamatan.
Pintu masuk Gua Kelam 2 terletak di aras tinggi. Kita perlu melalui jambatan besi ini untuk ke pintu gua.
Sebelum masuk gua, jom kita baca peta Gua Kelam 2 ni. Jarak keseluruhan gua adalah sepanjang 3,389.6 meter, tetapi buat masa sekarang pakej yang ada hanya dibuka untuk laluan sepanjang sekitar 1,011.4 meter sahaja. Untuk sekitar 400 m pertama, kita akan melalui laluan rata.
Di sinilah pintu masuk ke Gua Kelam 2. Ada pagar berkunci untuk mengelakkan pencerobohan. Nampak laluan bersimen dan ada semacam besi rel tu? Rupa-rupanya semasa di awal pembukaan Gua Kelam 2, pengunjung akan di bawa masuk ke sini menggunakan trem. Tetapi atas sebab keselamatan, perkhidmatan tersebut ditamatkan pada tahun 2013 setelah 3 tahun beroperasi.
Bumbung gua yang rendah, sebab tu kita kena pakai topi keselematan. Menurut juru pandu kami, sebelum ini bumbung gua ni lebih rendah (sesuai untuk pengunjung naik trem). Selepas tiada servis trem, bumbung gua di tinggikan lagi sesuai untuk pengunjung berjalan. Saya yang berketinggian 160 cm pun dah terasa risau kot kepala terkena bumbung gua, kalau yang jauh lebih tinggi nampaknya kenalah jalan sambil menunduk kepala atau membongkok badan sedikit. Penat juga tu 😅
Kami tiba di ruang utama gua, di mana terdapatnya Kolam Biru (The Blue Pool). Airnya jernih dan berwarna biru kehijauan. Air di sini merupakan air beralkali dengan tahap pH 8.5. Menurut juru pandu kami, walau pun air di sini nampak cetek tetapi sebenarnya agak dalam juga kerana paras selut yang tinggi.
Tamat sudah perjalanan yang agak santai, selepas ini kita akan berjalan di permukaan yang tidak rata dan mendaki anak-anak tangga. Udara juga terasa berbeza, panas. Paras oksigen juga terasa semakin rendah kerana tiada celah udara masuk.
Biasanya kita masuk gua cuma tau stalaktit dan stalagmit, kali ni saya belajar satu lagi formasi gua yang dipanggil sebagai Tirai Gua (Cave Curtains). Ia terbentuk apabila air yang mengandungi mineral yang turun dari siling atau dinding gua pada laluan yang sama, hasilnya struktur ini kelihatan seperti lembaran nipis yang tergantung.
Antara tinggalan aktiviti perlombongan yang dapat kita saksikan. Sebelah kiri tu adalah tempat cuci bijih timah.
Tin susu yang dipercayai tinggalan para pelombong.
Tumbuhan yang terdapat di dalam gua ini - Kulat Bulu Arnab. Tapi yang ni dah hampir mati. Yang masih baru dan cantik memutih boleh tengok dalam video di hujung entri ni ya.
Kami bergambar berlatarkan formasi Tirai Gua yang cantik.
Ini pula merupakan stalaktit yang telah dipotong oleh penceroboh gua untuk mendapatkan bahagian batu bernilai tinggi yang dikenali sebagai batu kristal atau batu bunga. Kami dapat melihat dengan jelas kesan pemotongan tersebut di beberapa tempat lain lagi. Akibatnya, batu ini ‘mati’ dan kita tak dapat lagi melihat keindahan batu yang bersinar bagai kristal di dalam gua ini.
Kami di bawa naik ke tempat yang tinggi di dalam gua, dipercayai tempat rehat para pelombong suatu masa dulu. Dari kedudukan ini, kami dapat menyaksikan ruangan gua dengan pandangan yang lebih luas. Nampak kayu tu? Terdapat banyak kayu-kayu seumpamanya di siling gua yang dipercayai digunakan sebagai titi/jambatan semasa aktiviti perlombongan.
Antara penghuni di Gua Kelam 2 - Katak Gergasi. Mujur juru pandu dah bagitau kami, ada katak besar di sini. Kalau tak, mau terkejut saya. Katanya ada dua ekor, tapi nampaknya kami cuma jumpa seekor saja. Juru pandu kata boleh ambil gambar dekat-dekat dengan katak ni, tapi saya tak berani la pulak. Haha. Selain katak, sepatutnya ada kelawar. Tapi akhir-akhir ini kelawar dah tak kelihatan lagi di sini.
Alhamdulillah, dah sampai di pintu keluar Gua Kelam 2. Terasa sekejap dan tak puas pulak. Yelah, cuma sekitar 1 km je jaraknya dan tempoh masa eksplorasi cuma sekitar 40 minit.
Apa pun, ini merupakan satu pengalaman yang menarik kerana setiap gua ada keunikan tersendiri. Ini merupakan pengalaman pertama saya memasuki gua ada pintu masuk dan pintu keluar berbeza, biasanya kita perlu berpatah balik di laluan yang sama untuk keluar dari gua. Sebab tu jugak masa eksplorasi jadi lebih singkat.
Gua Kelam 2 juga merupakan gua tanpa lubang/celah angin, menjadikan udara di bahagian tengah gua lebih panas dan paras oksigen terasa semakin rendah. Manakala di awal dan hujung gua terasa sejuk berangin.
Pengalaman Bergelap di Dalam Gua
Disebabkan tiada lubang/celah, gua ini juga sebenarnya sangat gelap tanpa kemasukan sebarang cahaya. Tapi jangan takut gelap, sebab gua ini dilengkapi lampu di beberapa tempat. Satu lagi pengalaman menarik, kami diberi peluang merasai kegelapan di dalam gua ini seperti mana yang dilalui oleh para pelombong dahulu (mereka cuma menggunakan lampu kabait sebagai sumber cahaya). Juru pandu mematikan suis utama elektrik dan kami matikan lampu suluh. Suasana berubah menjadi gelap gelita! Tiada apa yang dapat saya lihat dalam kegelapan. Suasana sunyi, saya hanya mendengar bunyi titisan air yang berjatuhan di dalam gua. Awalnya mungkin sedikit seram, tapi kemudiannya saya rasa satu ketenangan kerana pendengaran fokus pada bunyi titisan air.
Dan…eh, sempat pulak saya berimaginasi babak dalam novel Pergi yang baru saya baca - watak Diego tinggal bertahun dalam gua gelap bersama kelawar untuk latihan keupayaan bertarung di dalam gelap. Begini agaknya, apabila deria penglihatan tertutup maka deria pendengaran kita akan menjadi lebih fokus.
Video berdurasi 1:20 minit sekitar eksplorasi di Gua Kelam 2. Ringkas je, sekadar perkongsian buat yang tak berkesempatan ke sini dan buat kenangan saya sendiri tentang bagaimana rupa di dalam Gua Kelam 2.
Tamat eksplorasi di Gua Kelam 2, juru pandu membawa kami melihat-lihat Tapak Perkhemahan Hujan-Hujan dan seterusnya ke Gua Kelam 1 (biasa disebut sebagai Gua Kelam). Kiranya, kalau ke Gua Kelam 2 kita memang perlu masuk laluan Gua Kelam 1 untuk kembali ke kawasan parkir.
Bersambung cerita di entri seterusnya, InsyaAllah.
.
Bestnya tenang je layan keindahan alam ciptaan Allah SWT. Saya tak pernah lagi sampai ke Perlis. Insya Allah satu hari nanti.
ReplyDeleteInsyaAllah moga ada rezeki Missnick ke Perlis suatu hari nanti :)
DeletePatut kena ada jurupandu sebab tempat sempit dan tiada lubang udara.
ReplyDeleteAda katak gergasi dan kulat bulu arnab.
Sekejap rupanya.
Ya. Atas faktor keselamatan, walau pun laluannya pendek je.
DeleteSatu pengalaman yang menarik kak. Saya lansung tak pernah masuk gua. Mudah terbayang yang bukan bukan kalau masuk gua. Pengaruh cerita agaknya yang ada terperangkap dalam gua. Jadi tak berani.
ReplyDeleteBila berdua nak tak nak bayar je lah kan. Nak tunggu 10 orang macam entah bila cukup. Berdua ni lagi fokus dan puas hati mendengar penerangan. Saya ni dahlah penakut katak. Dengar katak je, terus rasa taknak masuk.
Ada jugak penceroboh masuk. Sayangnya mati selepas dipotong. Kalau saya pergi ni, takut katak satu hal. encik suami pun tinggi, sakit bahu lah bila keluar gua nanti. huhu...
Kot Fiza nak try masuk gua yang luas, terang, ada laluan platform, boleh ke Gua Tempurung. Ambil pakej lawatan no.1. Sesuai untuk beginner.
DeleteBetul, berdua lebih fokus dan senang nak tanya apa2..hehe
Sebelum ni katanya pintu gua tak dikunci, tu penceroboh boleh masuk.
menarik pula tengok tin susu tu. kalaulah pelombong yang tinggalkan tin tu tau yang tin dia jadi artifak untuk dilihat pelancong haha
ReplyDelete😂 harapnya betul la tu tin tinggalan pelombong.
DeleteTeringat masa pergi gua Niah di Miri. Bila tutup lampu picit rasa sangat helpless sebab gelap. Pengalaman menarik kak. Part katak tu je tak best. Hihi
ReplyDeleteGua Niah tu mesti masa kat Moon Cave kan? Gelap gelita! Dah la lampu akak kelam2 nak mati. Risau je ntah ada apa dalam gelap tu.
Deletedari kecik pernah bercita-cita nak masuk gua kelam. apakan daya, perlis terasa begitu jauh. haha
ReplyDeleteInsyaAllah moga ada rezeki nanti. Akak ni pun sebab tetiba kena berhijrah ke utara, kalau sesaja pergi entah bila nak sampai 😄
DeleteWah! Ada trafik light dalam tu?
ReplyDeleteRasanya tu kegunaan masa ada servis trem dulu. Penghujung jalan untuk trem.
DeleteAla tak berpeluang nak tengok video tu.. line internet sopan..
ReplyDeleteTapi teruja betul Sha baca pengalaman sis di dalam gua kelam ini.. Akan dicuba juga ke sini.. Teringin merasai pengalaman ini.. Terima kasih berkongsi pengalaman yang menarik nie sis..
Sama-sama Sha 😊. Moga dapat ke sini nanti.
Deletepengalaman yg menarik..sesuai dgn namanya, mmg kelam betul...cantik tirai gua..
ReplyDeletepernah masuk gua style mcm ni di pulau jeju, tempat masuk & keluar lain2...
Singgah sini dari entry Gua Kelam 2024. Apa yang pasti suka tempat macam ni, tenang.. jauh dari hiruk pikuk kota.
ReplyDelete