[Catatan Trip Ke Kuching - Hari Pertama | Jumaat, 17 Mei 2024]
Sambungan catatan hari pertama kami berada di Kuching, Sarawak. Kalau ikut itinerari, pada petang hari pertama kami akan menaiki bot menyusuri Sungai Sarawak. Tapi kerana berlaku kelewatan penerbangan, juga tambahan masa di lapangan terbang bagi urusan laporan barang hilang dalam check-in baggage dan hal kerja Encik Suami yang perlu diselesaikan, maka terpaksalah saya melupakan hasrat tersebut.
Walaupun begitu, kami masih boleh menikmati suasana malam di tebingan Sungai Sarawak yang begitu meriah dan mempesona dengan pelbagai tarikan.
Kami keluar dari hotel penginapan kira-kira 6.30 petang. Kalau di Semenanjung Malaysia waktu begini masih siang, tetapi di Sarawak sudah pun hampir masuk waktu Maghrib. Kami menuju ke sebuah masjid yang juga merupakan salah satu tarikan di tebingan Sungai Sarawak.
⏵ MASJID INDIA BANDAR KUCHING @ MASJID TERAPUNG KUCHING
Masjid India Bandar Kuching atau dikenali sebagai Masjid Terapung Kuching yang bernilai RM21 juta ini telah dirasmikan pada Mac 2019. Mengapa namanya Masjid India? Ia berkaitan sejarah masjid tertua di Sarawak, yang dibina pada tahun 1834 oleh pedagang India Muslim.
Seni bina masjid ini cukup menarik. Oleh kerana kami tiba ketika orang ramai berkumpul bagi menunaikan solat Maghrib, maka saya tak merakam foto bahagian hadapan masjid dan bahagian dalam ruang solat.
Pemandangan indah bangunan DUN (Dewan Undangan Negeri) Sarawak dan Jambatan Darul Hana yang saya rakam dari bahagian luar tempat wuduk dan tandas perempuan.
Gigih saya kembali ke ruangan ini selepas solat demi merakam foto di atas. Memanglah dari sudut mana pun kita masih boleh nampak dua mercu tanda ikonik ini, tetapi sudut yang berbeza akan memberi hasil fotografi yang berbeza.
Antara perkara lain yang menarik di dalam masjid ini - terdapat sebuah beduk (gendang besar) dan papan tanda dengan tulisan bahasa Tamil (ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana ini Masjid India).
Masjid di sini juga mengamalkan bacaan Qunut Nazilah untuk rakyat Palestin yang dilakukan pada rakaat terakhir. Tentunya sama seperti masjid-masjid lain di seluruh Malaysia malah mungkin di seluruh dunia, semuanya tak putus berdoa buat Palestin 🇵🇸
⏵ JAMBATAN DARUL HANA
Dari masjid terapung, kami berjalan kaki menyusuri tebingan sungai menuju ke jambatan ikonik - Jambatan Darul Hana. Jambatan pejalan kaki yang dibina dengan kos RM35 juta ini telah dirasmikan pada November 2017. Waktu operasi jambatan ini bermula pada pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam sahaja.
Jom kita nikmati keindahan malam dari atas Jambatan Darul Hana :
Jambatan berbentuk ‘S’ sepanjang 335 meter yang merentangi Sungai Sarawak ini menghubungkan Kuching Utara dan Kuching Selatan.
Malam yang indah dan meriah dengan kehadiran ramai pengunjung. Sesekali terasa bergoyang juga lantai jambatan apabila ada orang berjalan berhampiran kita.
Masya Allah…pemandangan Sungai Sarawak yang mempesona 😍. Tersergam indah Masjid India @ Masjid Terapung Kuching dan tambah menarik dengan kehadiran feri Sarawak River Cruise yang sedang menyusuri sungai.
Nun di seberang sungai - Pangkalan Sapi yang juga kelihatan meriah dengan pengunjung. Ada juga yang sedang duduk-duduk di lantai jeti.
Di penghujung jambatan, tersergam indah bangunan DUN Sarawak. Ramai yang berfoto di sini dengan berlatarkan bangunan gah ini. Seterusnya, kita ke Pangkalan Sapi yang terletak di sebelah kiri.
⏵ PANGKALAN SAPI
Meriah suasana di dataran Pangkalan Sapi walaupun tiada sebarang aktiviti khusus di situ. Saya turun ke jeti untuk menikmati suasana sungai Sarawak secara lebih dekat dan memotret keindahan di sini.
Dari jeti Pangkalan Sapi kita dapat menyaksikan keindahan masjid terapung dari sudut berbeza. Foto di atas, saya zoom-in kamera jadi nampak macam sangat dekat feri dan masjid.
Walaupun suasana sekitar meriah, tetapi berada di sudut jeti ini saya rasa lebih tenang. Mungkin kerana kedudukan saya yang begitu dekat dengan permukaan sungai. Ditambah pula dengan alunan azan Isyak yang sedang berkumandang, kedengaran bersahutan dari dua atau tiga buah masjid/surau berhampiran menjadikan suasana begitu menyenangkan.
Setelah puas menikmati suasana di sini, kami kembali menaiki Jambatan Darul Hana untuk berpatah balik ke seberang sungai. Kami nak menikmati suasana di sepanjang laluan pejalan kaki Kuching Waterfront pula.
InsyaAllah catatan bersambung pada bahagian 2.
.
Cantik gambar pemandangan malam di tebing sungai yang Puan Ujie ambil. Kalau tengok gambar macam tidak ramai orang.
ReplyDeleteTerima kasih NA 😊, tempat cantik dapatlah ambil gambar cantik.
DeleteKena klik gambar untuk paparan lebih jelas, boleh nampak orang ramai.
Tapi memang ada gambar yang saya ambil masa orang tak ada / tak ramai kat situ.
cantiknyaaa view semua! tak sabar tggu part 2 hehe
ReplyDeleteHehe…nak mengarang tu yang kurang rajin.
DeleteCantik pemandangan di malam hari, sinar lampu malam membuat nya semakin indah dan berkilauan.
ReplyDeleteAda unsur air sungai dan limpahan cahaya warna-warni itu yang jadi cantik suasana.
DeleteAstaga bagus sekali. Baru pertama berkunjung langsung terpukau hehe
ReplyDeleteTerima kasih atas kunjungan.
Deletesubhanallah
ReplyDeleteview malam cantiknya
beduk mcm dulu2 kat masjid lama di kg
Kan…dulu-dulu beduk diketuk sebelum laungan azan.
DeletemasyaAllah, cantiknya pemandangan masjid ni pada waktu malam.. indah nian...
ReplyDeleteMemang mempesona, leka saya memandang.
DeleteCantiknya pemandangan di situ. Belum pernah sampai ke Sarawak lagi. Tengok gambar-gambar ni rasa teruja pula.
ReplyDeleteInsyaAllah ada rezeki sis sampai ke Sarawak. Pergi Kuching, macam-macam tarikan ada.
DeleteSerius cantik gambar-gambar dalam post ni. Paling saya suka gambar yang terakhir.....
ReplyDeleteTerima kasih Ezna 😊
DeleteSubhanallah. Masjid cantik. Pemandangan cantik. Semua cantik!
ReplyDeleteIya..pandang sana sini semua memukau mata.
DeleteSemoga tahun depan saya jadi bisa pergi ke Sabah Serawak juga. Memang dah plan nak kesana, tp waktu yg belum bisa. Cantiiiiik sangaaat view bangunan di sana saat malam. 😍😍😍
ReplyDeleteAamin….Sabah dan Sarawak banyak tarikan alam semulajadi untuk diterokai.
DeleteSubhanallah. Cantiknya pemandangan di tepi Sungai Sarawak waktu malam. Kak Ujie pakai kamera apa ye? Jeas dan terang je gambar2 yg Kak Ujie ambik 😍
ReplyDeleteSamsung S24 dan apps Snapseed 😊
Deletecantik ya suasana malam...dulu pergi waktu siang saja...huhu..
ReplyDelete