Monday, 24 June 2024

Naik ETS Dari Arau Ke KL Sentral

[Catatan hari Sabtu, 22 Jun 2024]

Ini bukanlah kali pertama saya dan Encik Suami menaiki ETS (Electric Train Service), tetapi ini merupakan pengalaman pertama kami naik ETS dari Arau, Perlis ke KL Sentral, Kuala Lumpur. Bukan saja berjalan-jalan tetapi kami ke KL atas urusan Encik Suami.

Tiket tren kami beli beberapa hari sebelumnya melalui aplikasi KTMB Mobile. Syukurlah masih ada tempat kosong walaupun kami terpaksa duduk pada kedudukan kerusi mengundur (backward) dan tak dapat kerusi untuk duduk bersama.

Tetapi masih pada kedudukan bersebelahan, hanya dipisahkan dengan laluan dalam tren. Dalam aplikasi pembelian tiket, ada tertera jantina untuk kerusi yang sudah dibeli. Jadinya mudahlah kita pilih kerusi kosong dengan jantina yang sama bersebelahan. Encik Suami duduk di kerusi 4B bersama sorang lelaki, manakala saya duduk di kerusi 4C bersama seorang perempuan.

Naik ETS Dari Arau Ke KL Sentral
Tren tiba di Stesen Kereta Api Arau pada pukul 7.48 pagi, tepat mengikut jadual. Tren berhenti beberapa minit sahaja untuk mengambil penumpang.

Naik ETS Dari Arau Ke KL Sentral
Kami berada di koc B. Kosong je, tak ada penumpang dari stesen pertama (perjalanan tren dari utara bermula di Stesen Kereta Api Padang Besar).

Koc dan tempat duduk yang cukup bersih dan selesa untuk sebuah perjalanan jauh. Ruang kaki luas dan tempat bersandar boleh laras tanpa mengganggu penumpang belakang. Juga dipaparkan suhu, kelajuan tren dan status tandas (warna hijau - kosong, warna merah - sedang digunakan) di bahagian atas pintu koc.

Naik ETS Dari Arau Ke KL Sentral
Tak perlu risau bateri telefon habis, boleh mengecas dalam perjalanan.

Naik ETS Dari Arau Ke KL Sentral
Tak lama selepas tren bergerak, Encik Suami pergi ke kafe di koc C bagi membeli makanan sarapan kami. Tak boleh pergi bersama dan makan di kafe sebab salah seorang perlu jaga beg. Kami beli makanan di awal perjalanan, dapatlah kami menikmati sarapan sementara penumpang di kerusi sebelah masing-masing belum naik. Lebih selesa.

Nasi briyani dan nasi lemak, semuanya RM14.50. Rasanya memuaskan.

Bahan bacaan pilihan saya sewaktu dalam perjalanan - Road to Japan. Tapi tak sampai halaman 50, saya berhenti membaca kerana rasa pening kepala. Mungkin sebab berada pada kedudukan mengundur atau membaca dalam keadaan tren yang sedikit bergoyang.

Naik ETS Dari Arau Ke KL Sentral
Kira-kira pukul 9.40 pagi, kedengaran pengumuman memaklumkan tren akan melalui Tasik Bukit Merah dan meminta penumpang bersedia bagi merakam foto. Dapatlah saya memotret foto di atas dari kedudukan kerusi di tepi laluan (aisle). Masa ni penumpang di sebelah saya (duduk di tepi tingkap) sedang tidur dan tingkapnya ditutup sebahagian.

Dalam trip kali ini, buat kali pertama saya menggunakan tandas dalam tren. Selepas siap makan sarapan, terus saya menuju ke tandas yang ada di koc kami. Kalau lambat dah ramai penumpang naik, kenalah tunggu giliran. Sepanjang perjalanan nampaknya tak putus-putus orang menggunakan tandas.

Macam mana keadaan tandas dalam ETS? Alhamdulillah tandasnya bersih, selesa dan lengkap kemudahan paip air untuk bersuci. Tapi airnya paipnya perlahan je, mungkin nak sesuaikan dengan penggunaan di dalam tren.

Alhamdulillah kami selamat tiba di destinasi akhir tren, iaitu KL Sentral pukul 1.12 tengah hari. Perjalanan keseluruhan mengambil masa kira-kira 5 jam 20 minit.

Bagi perjalanan kali ini, kami menaiki ETS Platinum dengan kadar tambang sebanyak RM106 seorang dari stesen Arau ke stesen KL Sentral.

Tren ETS menggunkan kadar tambang fleksi - tidak tetap untuk setiap hari, bergantung kepada tarikh perjalanan dan masa pembelian tiket. Semakan kadar tambang boleh dibuat terus di aplikasi KTMB Mobile. Seperkara lagi, kalau kita nak naik ETS pada hujung minggu atau musim cuti perayaan/sekolah, memang perlu beli awal bagi memastikan dapat tempat duduk dan dapat kedudukan yang kita mahu - kedudukan forward dan duduk bersama dengan kumpulan kita.







25 comments:

  1. tunggu ada sampai pontian la baru merasa naik ETS

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah lepas ni ada ETS di Johor. Tapi tak sampai Pontian lah Yan 😄

      Delete
  2. Memang selesa kan. Paling jauh kami naik KL ke Sg Petani.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Berjam pun tak terasa sangat dengan koc dan tempat duduk luas. Kalau rasa bosan boleh jalan-jalan ke koc lain 😄

      Delete
  3. Sy belum pernah naik ETS tapi mertua selalu naik, advance depa w/pun warga emas :D
    Apapun ETS ni sangat memudahkan, reliable dan selesa kan. Students pun ramai guna sangat bermanfaat 👍

    ReplyDelete
    Replies
    1. Students boleh guna kad pelajar, warga emas ada potongan tambang. Memang 👍🏽

      Delete
  4. Selesa nya ye kak, walaupun harganya macam mahal dibandingkan bas tapi sangat selesa. Ruang dalam tu luas, tandas pun bersih terjaga kita rasa 5 jam tu ok je. Lagipun tak penat kalau memandu sendiri dengan jem lagi kan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau memandu sendiri, tak dapat 5 jam sampai KL. Ni dapat sampai cepat sambil berehat 😀

      Delete
  5. nampak selesa dan best boleh tau jantina pada seat sebelah kita.baru LM tau pasal ni. tak pernah naik lagi kalau naik sure terpinga pinga kot

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau tak, tentu rasa tak selesa terpaksa duduk dengan jantina berbeza untuk perjalanan jauh 😄

      Delete
  6. Banyak kali jugak naik ETS dari KL Sentral ke Alor Setar, selalu berteman dengan akaka atau anak buah. Dengan suami pernah sekali, punya laa taknak hadap jem. Tuu yang naik ETS. Mahal laa sikit dari naik bas tapi berbaloi sebab selesa sangat. Cuma sekarang dah jarang naik sebab naik flight pulak sekarang sebab nak jimat masa tak sampai sejam dah sampaiii. Hehehe

    Salam kenal yaa, saya singgah sini sambil komen dan follow ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul, naik flight lagi laju. Tak sempat nak bosan duduk dalam tu 😀

      Cuma kalau macam kami ni nak naik flight leceh sikit kena drive ke Alor Setar. Naik ETS mudah, stesen tak jauh sangat dari rumah.

      Delete
  7. Saya pun tak bisa membaca dalam kendaraan yg bergerak kak, kecuali dalam pesawat yaa. Mungkin Krn gerakannya tak terasa. Tapi kalo dah mobil atau kereta api, dah lah, langsung pusing 😅

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tanda kita semakin berusia 😅
      Masa muda remaja dulu, membaca di mana pun tak ada masalah.

      Delete
  8. tk pernh try lg naik ETS...dlu2 ada plan nk jjcm ipoh naik ETS tp berkubur haha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jangan plan sangat, memang susah nak jadik 😆

      Delete
  9. bestnye kalau boleh pilih jantina begitu.. lebih selesa.. kalau dlu (naik bas) xde boleh pilih.. pernah duduk sebelah lelaki yg tidur melelh ayq liur.. tuhan shj yg tahu rasa tu di hati.. tapi sabar.... :D :D :D

    ReplyDelete
  10. Laju betul ETS ini. 5 jam itu masa yang singkat. Tiada rasa bosan sangat.
    Kiranya tambang ETS macam kadar tambang kapal terbang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tambangnya berbaloilah dengan servis ditawarkan. Kalau memandu sendiri memang tak dapat 5 jam Perlis-KL.

      Delete
  11. Next time turun KL, boleh la jumpa... btw kioks jual makan dah tukar dari koc C ke koc D ke??? alaaaa... next trip naik ETS mmg saja amek koc C sebab nak dekat ngan kioks makanan tu ahahha..

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah Ret, saya selalu jugak ke KL tapi sebab ikut suami kerja jadi susah nak plan. Tak tentu masa dan hari.

      Ret, saya silap tulis. KOC C sebetulnya 😂
      Mujurlah awak tanya, kalau tak habis semua orang dapat info sesat 😆

      Delete
  12. Saya belum pernah lagi naik ETS. Teringin gak nak try.

    ReplyDelete
  13. tak tahu pula ada harga untuk student, dulu zaman belajar dekat perak kalau nak balik kg tak terasa nak naik ets sebab tahu harganya agak mahal berbanding bas. bila tengok kawan2 balik kg naik bas rasa cemburu.. hahaha sekarang ni alhamdullillah, dah pernah merasa.. memang best

    ReplyDelete
  14. selesa naik ETS..smooth ride..akk dulu seat kat Koc C..semerbak je bau makanan.. hihi..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****