Friday, 6 January 2023

Jejak Sejarah | Muzium Diraja Kedah

Masih lagi catatan kisah di Alor Setar, Kedah. Destinasi tujuan kami - Muzium Diraja Kedah. Dengan berpandukan aplikasi Google Maps, kami tiba di sebuah dataran. Kenderaan kami parkir berhampiran Balai Nobat.

Kami berjalan ke kawasan dataran yang dikenali sebagai Dataran Alor Setar, iaitu sebuah kawasan lapang yang dikelilingi beberapa tempat menarik dan bersejarah yang boleh kita kunjungi. Lebih kurang macam Dataran Merdeka di KL, ada banyak tarikan di sekelilingnya.

Walaupun tajuk entri ini ‘Jejak Sejarah | Muzium Diraja Kedah’, tetapi saya sertakan juga foto-foto dan info ringkas berkenaan beberapa tarikan sejarah yang ada disekitarnya ya.

Masjid Zahir Alor Setar
Masjid Zahir tersergam indah di seberang jalan. Masjid Zahir yang juga dikenali sebagai Masjid Diraja merupakan Masjid Negeri Kedah dan menjadi salah satu mercu tanda negeri Kedah. Ia dibina pada tahun 1912.

Banyak sudut menarik bagi yang gemar memotret. Maka sibuklah saya memotret sana sini.

Dataran Alor Setar
Perkataan ‘Alor Setar’ berlatarkan Menara Alor Setar, menara ikonik dengan ketinggian 166 m. Kelihatan juga gerbang berwarna putih dan bangunan seperti menara berwarna kuning. Jom kita tengok lebih dekat…

Struktur gerbang berwarna putih ini merupakan replika pintu gerbang Istana Kota Tengah.

Balai Nobat
Bangunan seperti menara ini pula adalah Balai Nobat, iaitu tempat simpanan alat-alat muzik Nobat. Sebelum ia dibina semula, bangunan ini asalnya binaan kayu.


MUZIUM DIRAJA KEDAH

Sekarang barulah kita cerita berkenaan Muzium Diraja Kedah. Dari kawasan dataran tadi, kita akan nampak sebuah bangunan seperti rumah agam dengan seni bina klasik di dalam kawasan berpagar.

Muzium Diraja Kedah
Kawasan ini berpagar, gigih saya memotret di celah pagar bagi mendapatkan foto tanpa kelihatan pagar. Barulah boleh nampak jelas bagaimana cantiknya seni bina bangunan ini. Bangunan ini dikenali sebagai Balai Besar. Ia berfungsi sebagai Balai Rongseri atau Balai Penghadapan dan merupakan sebahagian daripada kompleks istana yang terletak di belakang bangunan ini.

Balai Besar inilah tempat yang saya teringin nak masuk selepas menonton satu dokumentari di tv suatu ketika dahulu. Awalnya, saya sangka inilah muziumnya. Agak kecewa bila saya dapati pintu pagar tutup dan bermangga. Rupa-rupanya untuk ke pintu masuk muzium kita perlu ke bahagian belakang. Hahaha…patutlah tak ada tulis apa-apa menyatakan bangunan ini adalah muzium.

Muzium Diraja Kedah
Inilah pintu masuk ke Muzium Diraja Kedah. Kedudukannya agak tersorok di belakang dan tanpa papan tanda besar. Mungkin ini juga pintu masuk utama ke istana suatu ketika dahulu berdasarkan reka bentuknya ada ruang berkawal di kanan, kiri dan atas gerbang.

Muzium Diraja Kedah
Bangunan berwarna kuning itulah muziumnya.

Muzium Diraja Kedah
Sudut pandang dari pintu gerbang ke bahagian luar yang menghadap dataran dan Masjid Zahir.

Muzium Diraja Kedah
Inilah ruang utama muzium. Pengunjung perlu menanggalkan kasut dan meniti anak tangga untuk masuk ke muzium. Sebaik tiba, pegawai bertugas meminta kami mengisi maklumat daftar pengunjung. Kami juga dimaklumkan berkenaan larangan merakam gambar/video di dalam muzium, kecuali di ruang utama ini masih dibenarkan. Jangan cuba-cuba menipu tau, sebab ada CCTV dan paparan skrin di kaunter pegawai bertugas.

Muzium Diraja Kedah
Klik foto ini untuk paparan lebih jelas. Info sejarah yang menarik - sistem beraja Negeri Kedah Darul Aman adalah yang tertua di Malaysia, bermula pada abad ke-5 atau ke-6 Masihi.

Kiranya di bahagian ruang utama muzium ni menempatkan info berkenaan sejarah kesultanan Kedah termasuk paparan susur galur sultan. Kalau ada tak faham boleh bertanya kepada pegawai bertugas yang mesra melayan.

Selepas itu kami memasuki ruangan demi ruangan di dalam Muzium Diraja Kedah ini yang asalnya adalah istana Sultan Kedah. Istana ini dibina pada tahun 1735 oleh Sultan Kedah ke-19, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah (Marhum Kota Setar) yang bersemayam di istana ini sehingga kemangkatannya pada tahun 1778.

Bahagian istana yang dijadikan muzium ini tidaklah begitu besar, namun cukup menarik dan menambah pengetahuan kita tentang sejarah kesultanan Kedah dan kehidupan istana suatu masa dahulu. Turut dipamerkan salinan surat Chin Peng kepada Tunku Abdul Rahman untuk berunding.

Kami menghabiskan masa selama hampir satu jam di dalam muzium ini. Selepas itu kami mengambil peluang melihat-lihat kawasan sekitar. Menurut pegawai bertugas, walaupun pengunjung tak dibenarkan masuk ke bangunan lain kerana ia masih milik Istana, tetapi pengunjung masih dibenarkan untuk bergambar di bahagian luar seperti di tangga dan tepi bangunan.

Muzium Diraja Kedah
Bangunan bahagian hadapan yang menempatkan Balai Besar.

Muzium Diraja Kedah
Tinggalan masa lalu (bangunan istana) yang masih tersergam menyaksikan pembangunan masa kini (Menara Alor Setar) negeri Kedah.

Kalau ada ke Alor Setar jangan lupa berkunjung ke Muzium Diraja Kedah ini ya. Tak ambil tahu tentang sejarah mungkin nampak tak rugi apa-apa, tetapi jika kita ambil tahu sejarah ia mungkin memberi nilai tambah buat diri kita daripada aspek pengetahuan dan sudut pandang hidup.


——————————————————————————

MUZIUM DIRAJA KEDAH
(Kedah Royal Museum)
Alor Setar, Kedah

Waktu operasi :
Setiap hari kecuali Hari Raya Aidilfitri & Aidiladha
Sabtu - Khamis : 9 pagi - 5 petang
Jumaat : 9 pagi - 12.30 tengah hari, 2.30 petang - 5 petang

Bayaran masuk :
PERCUMA






.

13 comments:

  1. Wah menarik..Walaupun saya anak Kedah tapi banyak tempat saya belum pernah sampai

    ReplyDelete
  2. Saya teringin juga mahu bercuti di Alor Setar. Terima kasih atas cadangan ini.

    ReplyDelete
  3. cantik bangunan di Muzium Diraja...tangga warna biru nmpk klasik & mewah...

    ReplyDelete
  4. Cantik gambar-gambar yang dipotretkan. Seronok memotret outdoor ni sebab lighting on point. Masjid ni nampak dari kejauhan je bila ke Kedah. Tak berpeluang menyinggah. Seni bina cantik dan unik dengan kombinasi hitam putih. Masih terjaga lagi istana dulu. Cantik lagi rupanya.

    ReplyDelete
  5. Cikbunga pun suka explore Muzium juga... Nak juga sampai sana satu hari nanti🌹🌹

    ReplyDelete
  6. Masih cantik macam dulu, Masjid Zahir, Balai Nobat dan Muzium Kedah. Dulu saya pernah sampai ke sini, masa lawatan sekolah. Masa tu, saya sekolah di SRK Sultanah Asma, Aloq Staq. :)

    ReplyDelete
  7. Teruskan menjadikan muzium sebagai destinasi pelancongan keluarga anda.. Saya dah pergi muzium ni, kalau tak silap tahun 2021.

    ReplyDelete
  8. Selalu lalu sini tapi belum pernah singgah melawat muzium, Balai nobat dll yg berdekatan. Yg wajib singgahnya Pekan Rabu.

    ReplyDelete
  9. Strategik kedudukan muzium itu. Wah rupanya setentang dengan Masjid Zahir.
    Tidak silap saya pernah ke Masjid Zahir tapi tidak tahu ada Balai Besar dan muzium. Harap dapat pergi ke sana walaupun tidak pasti bila. Amin.

    ReplyDelete
  10. suka tgk senibina lama cantik2

    ReplyDelete
  11. Menarik ni. Kerap juga ke Alor Setar tapi tak sampai lagi ke sini. Nampak cantik bangunannya. Seronok bergambar kalau memang suka upload gambar ke IG

    ReplyDelete
  12. menarik.. berapa kali dh pi As tp tak pernah singgah di sini

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****