Tuesday, 19 November 2024

Kembali Ke Tanah Air Dengan Penerbangan China Southern Airlines

[Catatan Trip ke Guangzhou, China | September 2024]


NAIK BAS DARI HOTEL KE LAPANGAN TERBANG
Hari terakhir di bumi Guangzhou, kami mendaftar keluar hotel seawal pukul 5.25 pagi. Penginapan kami di Liz Hotel menyediakan perkhidmatan airport transfer, jadi mudahlah pergerakan kami nak ke lapangan terbang pada waktu awal pagi.

Syukur juga waktu Subuh di sini awal iaitu sekitar pukul 5 pagi, solat Subuh dapat dilakukan di bilik hotel dengan mudah dan selesa. Setakat yang saya tahu, tiada ruang solat disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun.

Di lobi hotel, rupa-rupanya dah ramai orang berkumpul untuk sama-sama menaiki bas ke lapangan terbang. Tak lama menunggu, sebuah bas tiba di perkarangan hotel. Mulanya terpinga-pinga jugalah kami sebab staf hotel beri makluman dalam bahasa Cina. Kawan Cina Malaysia Encik Suami tiada bersama kami sebab dia menginap di hotel berbeza.

Encik Suami letak beg dalam ruang penyimpanan yang terletak di kanan dan kiri badan bas, saya pula terus naik untuk mendapatkan tempat duduk. Pemanduan di sini sebelah kiri, jadinya pintu masuk bas terletak di sebelah kanan. Bila dah berada dalam bas, eh…tempat duduk dah penuh. Kami kemudian diarahkan masuk ke sebuah bas lain yang baru tiba. Masa ni agak kelam kabut sebab beg dah masuk dalam bas pertama.

Dengan bantuan Google Translate, barulah kami faham - nanti kedua-dua bas akan bergerak bersama dan berhenti tempat sama. Jadinya kami naik bas kedua, beg pula dalam bas pertama. Rasa risau juga bila beg di bas lain. Tak boleh buat apa kecuali tenangkan diri dan banyak berdoa.

Perjalanan menaiki bas menuju ke lapangan terbang mengambil masa kira-kira 15 minit. Mula-mula bas berhenti turunkan penumpang di Terminal 1, kemudian barulah kami pula turun di Terminal 2. Alhamdulillah tak ada sebarang masalah, hilang rasa berdebar bila dapat ambil beg di bas pertama.


PEMERIKSAAN KETAT DI PINTU MASUK LAPANGAN TERBANG
Di setiap pintu masuk bangunan lapangan terbang, kelihatan begitu sesak dengan orang ramai. Hairan juga saya, nak masuk bangunan pun dah sesak. Rupa-rupanya ada pemeriksaan keselamatan - anti-explosive checking. Setiap orang yang masuk akan dicalit dengan sesuatu (entah apa benda kecil di tangan petugas keselamatan) pada badan dan beg yang dibawa.

Kemudian kami semua bergerak ke hadapan sedikit, berkumpul dan menunggu seketika di situ untuk security screening. Seorang petugas memerhatikan hasil imbasan di sebuah skrin. Lepas tu barulah penghadang di buka.

Begitulah ketatnya prosedur keselamatan di sini, maklumlah China negara besar maka kawalan keselamatan perlu lebih ketat bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk.

Rabu, 25 September 2024 | 6 pagi.
Kami ke kaunter P - China Southern Airlines bagi urusan daftar masuk. Percubaan kami nak check-in secara online, gagal. Entah kenapa susah betul nak register untuk log in laman webnya. Kesannya, kami tak dapat pilih seat lebih awal dan tak dapat request menu halal. Untuk menu halal tu ada cara lain juga - boleh buat request menerusi e-mel.

Semasa nak ke pintu pelepasan, saya ternampak sebuah kedai makan halal - Lanzhou Beef Noodle. Masih ada masa jika kami nak makan, tapi kami tak mahu ambil risiko perut meragam dalam penerbangan jika makan makanan berat pada awal pagi begini.


CHINA SOUTHERN AIRLINES
Pesawat China Southern Airlines.

Pukul 7.30 pagi, kami masuk pesawat. Di pintu pesawat, tersedia beberapa jenis surat khabar. Encik Suami ambil akhbar berbahasa Inggeris - China Daily. Krew kabin wanita berpakaian warna maroon purple dan skirt paras lutut berjalur serong menyambut mesra para penumpang.

Pesawat yang kami naiki ni besar - tempat duduk 3-3-3. Krew kabin menunjukkan tempat duduk saya yang terletak di bahagian kanan pesawat. Tandasnya juga ada banyak - di bahagian depan, tengah dan belakang. Di setiap bahagian ada dua unit tandas. Boleh bayangkanlah macam mana besar dan ramainya penumpang dalam pesawat ni.

Hasil foto zoom-out.
Tempat duduk kami 49B dan 49C- emergency seat di bahagian tengah pesawat. Tadi di kaunter kami minta untuk duduk bersebelahan, dan cuma di sini saja yang ada kekosongan. Saya duduk di tengah, Encik Suami di kanan (aisle) dan seorang remaja perempuan Cina di sebelah kiri (tepi tingkap).

Krew kabin cing cong cing cong nak menerangkan kepada saya berkenaan tugasan selaku penumpang emergency seat. Segera saya minta krew kabin bertutur dalam bahasa Inggeris.

Ini pengalaman pertama saya duduk dalam pesawat dengan ruang hadapan kosong tanpa kerusi penumpang lain. Luas dan selesa. Kerusi berlipat depan saya tu tempat duduk krew kabin semasa pesawat berlepas dan mendarat. Buat pertama kalinya juga, saya mencuba guna lavatory (tandas) dalam pesawat sebab dah ada depan mata. Walaupun duduk dekat dengan tandas, tak ada sebarang bau tak menyenangkan. Kerap juga saya lihat krew kabin masuk membersihkan tandas.

Penat jadi krew kabin, mereka ke sana ke sini memenuhi keperluan penumpang dan sentiasa memeriksa serta membantu dengan senyuman mesra. Saya baru je nak mencari mana butang lampu membaca, terus ada yang datang membantu. 

Disebabkan tak request menu halal, tak dapatlah kami menikmati hidangan yang disediakan. Kami cuma ambil buah pisang dan minuman teh/kopi. 

Penerbangan dari Guangzhou ke Kuala Lumpur mengambil masa kurang 4 jam. Bagi mengisi masa dan menghilangkan rasa bosan - selain melelapkan mata, saya baca buku travelog ke Bhutan. Nak menonton cerita di skrin, saya kurang gemar.

Alhamdulillah penerbangan kami selamat mendarat di Kuala Lumpur pada waktu tengah hari. Urusan ambil beg agak lama, letih menunggu conveyor berpusing-pusing tak muncul beg kami. Pesawat besar, penumpang ramai, beginilah keadaannya. Syukurlah akhirnya muncul juga beg kami, risau juga kalau terjadi masalah.

Dari lapangan terbang, Encik Suami memandu kereta menuju ke restoran Salomak Sampodeh di Nilai bagi memenuhi kerinduan tekak pada masakan tradisi Negeri Sembilan. Eleh…baru pergi China 4 hari 4 malam dah sibuk rindu makanan Malaysia 😝. Pada hal perut memang lapar, maklumlah tak makan berat sejak dari pagi.

Dari NS kami meneruskan perjalanan kembali ke rumah Perlis. Alhamdulillah kami selamat sampai pada pukul 3.30 pagi, hari Khamis.


SEMBILAN TAHUN BERLALU…
Catatan trip mengejut saya ke Guangzhou, China berakhir di sini.

Pengalaman yang menarik buat saya dapat berkunjung ke Guangzhou buat kali kedua. Banyak perbezaan dapat saya saksikan, antaranya - tiada lagi bau hancing di laluan pejalan kaki kerana sudah banyak tandas awam disediakan (merata-rata ada kod QR untuk imbas lokasi tandas awam), tiada lagi orang meludah sana sini, tiada perebutan dan pergaduhan ketika penumpang menaiki Metro dan beberapa hal lain.

Hampir sembilan tahun berlalu, suasana di Guangzhou berubah menjadi lebih baik.







23 comments:

  1. dan keadaan di bandaraya negara kita pulak berubah jadi negara orang

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kadang sendiri confuse, rasa macam kita pulak yang ke tempat orang 😅

      Delete
  2. Seindah"nya nya dan se enak"makanan di ngeri orang..tetap saja ya kangen makanan negri sendiri..apalagi kalau banyak makanan non halal..waduuh..kayak tersiksa hehe...begitu sampai langsung pesan macam"..lapeer 😁

    ReplyDelete
  3. Malaysia pula belum banyak kenderaan elektrik.
    Rugi juga tidak dapat makan sebab penerbangan China Southern Airlines tambangnya termasuk makanankan?
    Alhamdulillah bertambah baik keadaan negara China.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sana rata-rata kenderaan elektrik, senyap bergerak.

      Ha’ah NA, makanan dah termasuk dalam tambang. Itulah terasa rugi tapi ni trip mengejut, agak kelam kabut dan tak dapat usahakan menu halal.

      Delete
  4. Banyak pengalaman yagg. berjaya dirakam sepanjang trip mengejut ini..Seronok membaca sambil membayangkan setiap tempat yang diceritakan...Terima kasih. berkongsi pengalaman 😍

    ReplyDelete
  5. Emergency seat ni actually utk apa ye? Dan how it differs from regular seat? Selalu tahu emergency door je kalau dlm flight tu.
    Pekena masak lomak dulu baru terubat rindu ye PU ,👍🏻

    ReplyDelete
    Replies
    1. Emergency seat merujuk kepada emergency exit seat, iaitu seat yang paling hampir dengan emergency exit door.

      Penumpang yang duduk di seat ni akan dipastikan mereka yang sihat dan boleh bertindak bila berlaku emergency. Biasanya perlu check-in di kaunter sebab staf airline nak tengok orangnya.

      Penumpang yang duduk di emergency seat bertanggungjawab buka pintu emergency bila perlu, dan bantu penumpang keluar dari pesawat. Berat jugaklah peranannya, tapi untungnya emergency seat lebih luas legroom berbanding seat biasa 😀

      Delete
  6. Banyak ya perubahan selepas 9 tahun. Thanks for sharing, menarik sangat trip ke Guangzhou nil

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah, saya pun rasa kagum jugak tengok perubahan yang berlaku. Thanks jugak sudi membaca 😊

      Delete
  7. Saya belum pernah merasa naik China Southern Aielines.
    Dulu pernah juga dengar 'hancing' di sana. Saya pergi empat wilayah di China pada 2018. Alhamdulillah, tak ada aroma itu. Mungkin itulah, keadaan sudah bertambah baik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Untung jugaklah kak Amie tak ada pengalaman buruk tu.
      Masa saya pergi dulu, siap nampak budak membuang air besar di tepi bangunan. Bab meludah pulak, sana sini orang lelaki meludah. Kita nak jalan kena perati dan mengelak bila ada yang meludah. Laluan pejalan kaki kotor dengan ludah dan bau hancing. Sekarang dah jauh berbeza.

      Delete
  8. Jauh perjalanan luas pemandangan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah…rezeki melihat kepelbagaian ciptaan Allah.

      Delete
  9. Agak2 ada Guangzhou kali ke 3 tak?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak nampak bayang lagi. Tapi harapnya biarlah ke tempat lain pulak, explore tempat yang belum pernah sampai 😀

      Delete
  10. Paling ngeri bab tandas kalau nak ke mana-mana, mungkin itu salah satu sbb dana tak berapa suka travel sbb kes payah nk jumpa tandas yang helok. hahahah... Tapi seronok kan kak berjalan di negara orang ...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dalam Malaysia je pun akak dah rasa masalah sungguh bab tandas ni 😅

      Tapi terpaksalah hadap demi nak tengok tempat orang.

      Delete
  11. Ah rupanya ini kali kedua Mbak berkunjung ke Guangzhou setelah 9 tahun lalu.
    Seperti Mbak tulis diatas banya perubahan dari segi fasilitas umum, tapi yang membuat saya salut adalah bagaimana pemerintah disana mendisiplinkan masyarakatnya sehingga tidak ada lagi orang yang meludah sembarangan atau berebutan ketika naik metro.

    Terima kasih Mbak atas tulisan perjalanannya di Guangzhou. Sedikit banyak saya dapat mengetahui suasana disana melalui tulisan Mbak ini.

    Salam,

    ReplyDelete
    Replies
    1. Menurut saya, mungkin melalui penguatkuasaan undang-undang kerana di Guangzhou banyak CCTV di mana-mana.

      Terima kasih juga sudi membaca catatan saya 😊

      Delete
  12. Kalau ada perbezaan dulu dan sekarang dan makin diperbaiki bab bau busuk tu berbaloi juga repeat ke sini kan....

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****