Friday, 4 September 2026

Santai Bersama Jiran : Mengopi dan ‘Brisk Walk’ Pagi

MENGOPI DI NGOPI, KANGAR
Kisah hari Isnin, 24 Ogos 2026 lalu. Saya bersama dua orang jiran keluar mengopi sekitar pukul 9 pagi, setelah suami/anak masing-masing pergi kerja/sekolah. Jiran saya, M yang memandu kenderaan. Jauh kami pergi mengopi di bandar Kangar yang terletak kira-kira 25 km dari tempat tinggal kami.

Hidangan kami bertiga. Sedap semuanya.

Seronok bila sesekali dapat mengopi begini, banyak hal kami bualkan. Rasa lebih bebas berbual bila sesama perempuan, tanpa suami/anak bersama 😁

Antara hal yang menjadi topik perbualan kami - kisah ketukan misteri di rumah mereka berdua. Akhir-akhir ini, heboh berkenaan ketukan misteri yang berlaku di sekitar Kedah dan Perlis. Terasa seram jugalah sebab saya selalu tinggal sendirian bila Encik Suami ada kerja di luar Perlis, saya perlu kuatkan diri serta memohon perlindungan Allah.

Tak lama pun kami duduk santai di sini, lebih kurang satu jam kemudian kami kembali ke rumah.


‘BRISK WALK’ PAGI
Kisah hari Khamis, 3 September 2026. Saya bersama tiga orang jiran keluar brisk walk pagi. Encik Suami tiada, ada urusan di KL. Bolehlah saya keluar rumah pukul 7.30 pagi, biasanya waktu begitu saya sedang sibuk siapkan sarapan dan makan bersama Encik Suami.

Suasana pagi nan indah.

Bila berjalan dengan jiran-jiran ni, saya betul-betul buat brisk walk (berjalan dengan cepat) sebab ikut rentak mereka. Kalau tidak, biasanya saya akan berjalan santai memerhati sekitar dan kerap berhenti memotret itu ini 😄

Seronok juga berjalan dalam kumpulan kecil begini, tak terasa kaki melangkah kira-kira 4.5 km pergi-balik sebab ada kawan yang rajin bercakap dan bergurau.

Selesai aktiviti brisk walk, kami tak terus balik rumah masing-masing. Jiran saya, S ajak makan di kedai. Kami berempat naik kereta pergi ke sebuah warung. Masing-masing memesan roti canai dan kami berkongsi makan potongan ayam goreng panas. Sambil makan, sambil berborak. Kadang-kadang jiran bercakap dialek tempatan yang saya tak faham, saya akan tanya semula 😅

InsyaAllah ada kesempatan, lain kali saya nak ikut mereka brisk walk lagi.







No comments:

Post a Comment

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****