Monday, 20 April 2026

Kembara 8 Hari 7 Malam di Bumi Haramain


Masjidil Haram, Mekah, Arab Saudi

Alhamdulillah saya dan Encik Suami selamat kembali ke tanah air setelah 8 hari 7 malam berada di Bumi Haramain - dua kota suci iaitu Mekah dan Madinah. Walaupun singkat masanya, saya bersyukur dikurniakan rezeki menjadi tetamu-Nya dan menunaikan umrah buat kali pertama.


RINGKASAN PERJALANAN

Hari Pertama | Selasa, 7 April 2026
  • 3.05 petang waktu Malaysia - pesawat Malaysia Airlines (MAS) berlepas dari KLIA menuju ke Jeddah, Arab Saudi.
  • Niat umrah sebelum/ketika pesawat melalui miqat Qarnul Manazil.
  • 7 malam waktu tempatan (Arab Saudi 5 jam lewat dari Malaysia) - tiba di King Abdulaziz International Airport, Jeddah. Naik bas ke hotel penginapan di Mekah.
  • 11 malam - masuk bilik penginapan di Safwah Royal Orchid Hotel.
  • 11.45 malam - berkumpul di lobi hotel untuk ke Masjidil Haram.

Hari Kedua | Rabu, 8 April 2026
  • 12.30 pagi - mula tawaf, seterusnya saie dan tahallul.
  • 2.50 pagi - selesai ibadah umrah.
  • Tawaf sunat sebelum/selepas solat Zohor.
  • Selepas solat Asar, sesi post-mortem umrah di Elaf Hotel.

Hari Ketiga | Khamis, 9 April 2026
  • 7-10 pagi - trip ziarah luar kota Mekah.

Hari Keempat | Jumaat, 10 April 2026
  • Selepas solat Asar, sesi taklimat perjalanan ke Madinah di Elaf Hotel.
  • 5.20 petang - bergerak ke Hira Cultural District untuk ke Muzium Wahyu.
  • 9.15 malam - makan nasi unta.

Hari Kelima | Sabtu, 11 April 2026
  • Selepas solat Subuh, buat tawaf wada.
  • 8.40 pagi - berkumpul di lobi hotel kemudian naik bas depan Olayan Hotel.
  • 10.10 pagi - bas bergerak menuju ke Madinah.
  • 12.30 tengah hari - berhenti makan dan solat di hentian.
  • 4 petang - tiba di kota Madinah.
  • 4.40 petang - masuk bilik penginapan di Dar Al-Naem Hotel.

Hari Keenam | Ahad, 12 April 2026
  • 7-10 pagi - ziarah sekitar Masjid Nabawi.
  • Lepas solat Zohor, slot masuk Raudhah bagi lelaki.
  • 9.30 malam - slot masuk Raudhah bagi perempuan.

Hari Ketujuh | Isnin, 13 April 2026
  • 7-11 pagi - trip ziarah luar Madinah.
  • Selepas solat Asar, sesi taklimat perjalanan balik Malaysia di Dallah Hotel.

Hari Kelapan | Selasa, 14 April 2026
  • Selepas solat Subuh, buat ziarah wada.
  • 10.40 pagi - bas bergerak ke lapangan terbang.
  • 5.30 petang - pesawat MAS berlepas dari Prince Mohammad Bin Abdulaziz International Airport menuju ke Malaysia.

Selamat mendarat di KLIA pada hari Rabu, 15 April 2026 pukul 7.05 pagi waktu Malaysia. 

***

RINGKASAN PENGALAMAN

‘Jet Lag’ | Ini merupakan pengalaman pertama saya berada dalam penerbangan bagi tempoh masa panjang iaitu kira-kira 9 jam dengan perbezaan waktu di antara Malaysia dan Arab Saudi selama 5 jam. Badan rasa letih, kepala terasa berat dan mata asyik mengantuk selama beberapa hari selepas tiba di Tanah Suci.

Kaabah Sedang Diselenggara | Ketika kami tiba, kaabah sedang diselenggara (bermula pada 6 April 2026) sebagai persediaan musim haji. Penghadang dipasang keliling kaabah dan kelihatan para petugas tekun bekerja. Satu pengalaman unik dapat menyaksikan kaabah dalam rupa berbeza - kain Kaabah (Kiswah) diangkat menampakkan susunan bata asli.

Melakukan Tawaf di Tiga Aras Berbeza | Mataf bermaksud tempat tawaf iaitu dataran sekeliling Kaabah. Tawaf umrah dilakukan di mataf aras bawah (dataran paling dekat dengan Kaabah). Manakala bagi tawaf sunat saya lakukan di mataf aras 1 dan mataf rooftop. Setiap aras memberikan pengalaman, pemandangan dan suasana berbeza.

Waktu Paling Kurang Jemaah Umrah | Saya dapat tahu, situasi di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi ketika saya berada di sana - tidaklah sesak seperti selalunya. Ia mungkin disebabkan musim haji semakin hampir dan juga faktor konflik Asia Barat.

Musim Sejuk Yang Panjang | Cuaca nyaman dengan suhu serendah 19 darjah Celsius. Matahari memancar garang pada siang hari tetapi udaranya sejuk. Udara terasa lebih sejuk ketika saya berada di Madinah. Menurut pembantu mutawwif (pelajar Universiti Madinah), musim sejuk kali ini panjang berbanding biasa. Memang selesa seharian tanpa berpeluh, cuma kesannya saya menghadapi masalah kulit kering dan mengelupas disebabkan cuaca sejuk dan kering.

Interaksi Dengan Jemaah dari Pelbagai Negara | Interaksi berlaku biasanya ketika saya menunggu waktu solat di masjid - ada ketika saya yang memulakan perbualan dan ada ketika jemaah di sebelah yang menyapa terlebih dahulu. Di tempat wuduk juga boleh jadi ruang interaksi. Sempatlah saya berbual ringkas dengan jemaah dari India, Pakistan dan Amerika Syarikat. Saya juga dapat oleh-oleh pek makanan segera pemberian jemaah Pakistan. Jemaah dari Turki pula tak boleh berbahasa Inggeris, jadinya kami bercakap ‘bahasa ayam-itik’. Lucunya, kami masih saling faham isi penting perbualan.

Bukan Semua Manusia di Tanah Suci Adalah Suci | Tanah Suci merupakan tempat suci umat Islam, tetapi manusia yang hadir tetap dengan perangainya sendiri. Ketika kami selesai melakukan umrah dan sedang dalam perjalanan keluar dari laluan saie, seorang lelaki mendekati Encik Suami - memulakan perbualan tentang Malaysia kemudian mula menceritakan kisah sedihnya. Pendek kata, dia mahukan duit.

Penggunaan Bahasa Melayu/Indonesia | Bermula dengan petugas di kaunter imigresen, petugas di masjid dan para peniaga, rata-rata boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu/Indonesia. Kadang-kala kedengaran lucu perkataan yang dituturkan, namun masih boleh difahami.

Umrah Adalah Ujian dan Latihan | Kembara ke Bumi Haramain bukanlah satu percutian di mana kita boleh bersantai dan bersenang-senang. Ia suatu perjalanan ibadah yang menguji mental, fizikal dan emosi. Perjalanan yang melelahkan serta kurang selesa, penatnya kaki melangkah melakukan tawaf-saie-solat di masjid dan menghadapi ragam manusia yang datang dari pelbagai negara. Kembara istimewa ini juga adalah ujian kejujuran dan latihan disiplin. Tanpa ada sesiapa yang memberi arahan serta memantau - kita melakukan tawaf sebanyak 7 pusingan, menjaga pantang larang ihram dan bersiap sedia setiap kali masuknya waktu solat.


Catatan kembara saya di Bumi Haramain ini bukanlah untuk berbangga atau menunjuk dalam melakukan ibadah, tetapi ia sekadar catatan kenangan dan perkongsian pengalaman.

InsyaAllah catatan lanjut bakal menyusul.








32 comments:

  1. alhamdulillah apa khabar kak?moga segala ibadah di tanah suci diterima&membawa seribu keberkatan..minggu lepas teringat2 dekat akak..dengan harapan ada terselit doa untuk kami juga dapat kesana dalam masa terdekat ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah akak sihat, suami je MC demam batuk selsema.

      Aamin..terima kasih doa Afzan 💙

      Hehe, iya ada akak doakan buat kawan-kawan yang berhajat ke sana moga dapat segera jadi tetamu-Nya.

      Delete
  2. Pengalaman yang berharga. Buat yang tak pernah jejak kaki ke sana dapat baca pengalaman pun dah rasa macam kat sana.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Moga perkongsian pengalaman akak memberi manfaat buat pembaca.

      Delete
  3. Alhamdulillah. Rindu pulak nak pergi umrah lagi sekali bila baca penulisan Kak Ujie ni. Kak Ujie pergi dengan travel agent yg mana?

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah, selamat tiba di Malaysia. semoga mendapat umrah yg diberkati :) sejuk tu kalau kat mekah 19c

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah...aamin. Terima kasih Mazni 💙

      Kat Mekah pernah juga 19 darjah, masa tu dekat pukul 6 pagi.

      Delete
  5. Alhamdulillah, catatan ini dapat dijadikan rujukan bagi yang lain yg akan ke sana kelak, kan.. Ujie. Bukan bermaksud berbangga atau menunjuk².

    ReplyDelete
    Replies
    1. Harapnya gitulah, moga catatan ini bermanfaat juga untuk yang lain.

      Delete
  6. Alhamdulillah..selamat pergi dan pulang.. semoga mendapat umrah yang mabrur...aamin..
    terima kasih share pengalamannya kak

    ReplyDelete
  7. Alhamdulillah selamat pergi & kembali 🤲🏻
    Semoga sihat ye PU dan suami sekembali dari Tanah Suci

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah.
      Saya kurang sihat semasa di sana, suami pulak tak sihat lepas balik dari sana.

      Delete
  8. Terus teringat2 kat mekah dan madinah

    ReplyDelete
  9. Alhamdulillah Ujie dan suami telah selamat sampai di tanah air. Semoga dikurniakan umrah yang mabrur. Menarik membaca recaps 8 hari 7 malam yang lengkap dan berinformasi. Semoga kami semua yang membaca blogpost ini dijemput menunaikan umrah satu hari nanti.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nak buat catatan lengkap tu ambil masa panjang, jadi kita tulis yang ringkas dululah 😀

      InsyaAllah…moga semuanya berpeluang jadi tetamu-Nya.

      Delete
  10. Tempat yg palinggg besttt kan ujie dan sgt dirindui bila balik Malaysia
    Alhamdulillah
    Rezeki Allah panggil ke sana

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah…saya rasa nak pergi lagi sebab ada perkara nak buat tapi tak dapat buat.

      Delete
  11. alhamdulillah slamat pulang ke tanah air...kita pi umrah last year tk sempat lg update story dkt blog utk kenangan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kena buat jugak walau ringkas, nanti terus lupa tak ada catatan kenangan 😀

      Delete
  12. alhamdulillah selamat kembali ke tanah air...
    dah nak masuk musim haji kan... mcm2 persiapan mereka tgh rakcak lakukakan kat sana...

    p/s jojo ok ke tu lps kena tggl lama? ;-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Iya, sempatlah kami saksikan persiapan musim haji.

      Alhamdulillah Jojo baik-baik aje. Kami pasang CCTV jadi boleh pantau Jojo dari jauh 😁. Setiap hari ada orang datang rumah siram pokok dan tengok-tengokkan keperluan Jojo.

      Delete
  13. Selamat kembali ke tanah air. Semoga sihat semuanya. Antara tips yang orang beri adalah tidak bersabun ketika di sana supaya kulit tak kering. Mungkin ada yang tak sanggup tapi boleh cuba selang2kan. Semoga mendapat umrah yang mabrurah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maksudnya jangan guna sabun hotel ke sebab keringkan kulit? Saya bawa sabun dari Malaysia untuk kulit sensitif, tapi nampaknya masih lagi ada masalah kulit.

      Delete
  14. Alhamdulillah selamat pergi dan balik, juga selesai menjalani ibadah umrah dgn sempurna kak

    ReplyDelete
  15. Tengok tentatif macam 2 hari di Makkah dan siap buat post-mortem.
    Alhamdulillah Puan Ujie selamat buat dan selamat sampai di Malaysia. Ya saya tengok di tv, orang tidak ramai bertawaf di Kaabah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terus buat post-mortem petang tu lepas selesai umrah pada awal pagi, jadinya boleh check kalau umrah kita tak sempurna, esok dan lusa boleh buat umrah lagi. Pihak TA ada aturkan untuk bawa kita ke tempat miqat.

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****