Catatan hari Rabu - Sabtu, 25 - 28 Februari 2026.
Selama empat hari saya ikut Encik Suami ke Lembah Klang atas urusan kerja. Buat pertama kali, kami menginap di Mardhiyyah Hotel & Suites yang terletak di Shah Alam. Hotel ini dahulunya dikenali sebagai Grand Blue Wave Hotel.
Perjalanan dari rumah Perlis ke Shah Alam, Selangor sejauh hampir 500 km terasa sangat melelahkan dek pergerakan kenderaan yang tidak lancar di lebuh raya - terdapat kerja-kerja penyelenggaraan di banyak tempat dan hujan lebat di beberapa tempat. Tambahan pula kami sedang berpuasa.
Kami tiba di hotel sudah pun lewat petang. Sebaik kaki melangkah masuk di ruang legar hotel, terdengar alunan lembut bacaan zikir dan selawat. Terasa lain suasananya.
Ruang legar hotel luas, saya hanya memotret satu sudut je. Badan dah penat, saya ambil foto sekadarnya setakat buat kenangan dan rujukan.
Penginapan kami di aras 13, bilik jenis Deluxe King RM188/malam tidak termasuk bayaran Selangor Sustainability Fee RM7/malam.
Perabot dan karpet nampak agak usang, tetapi semuanya dalam keadaan bersih dan tiada bau yang tak menyenangkan. Keluasan bilik sangat memuaskan dan lengkap pelbagai kemudahan. Pendek kata, cukup selesa untuk kami menginap di sini selama tiga malam.
Ruang bilik air ni saja sedikit bermasalah buat kami. Tab mandi (tak kelihatan dalam foto di atas) dan shower di tempat sama - setiap kali nak guna shower kena masuk dalam tab mandi.
Satu lagi masalah, masa hari pertama elok je boleh keluar air panas (hangat) tapi masuk hari kedua cuma air sejuk je keluar. Tak mampulah nak buat urusan lama-lama dalam ni 😅. Bila kita duduk hotel, sejuk lain macam ya walau pun dah tutup pendingin hawa. Kami tak buat aduan sebab waktu siang saya tinggal seorang, malaslah saya nak tunggu/terima orang masuk bilik. Dah malas, hadap jelah kan.
Pemandangan sekitar hotel dari jendela bilik kami. Tersergam indah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Teringin nak ikut solat tarawih di masjid ni, tapi nampaknya tak berkesempatan - lepas berbuka, kepala saya jadi berat. Lebih selesa tarawih di bilik je.
Harga bilik penginapan kami tidak termasuk hidangan bufet sahur, perlu tambah lebih kurang RM50/seorang. Hidangan bufet berbuka puasa pula lebih kurang RM180/seorang. Kami sahur dan buka sendiri jelah, lebih berbaloi 😁
Terdapat banyak pilihan kedai makan di sekitar Shah Alam, kami sempat mencuba hidangan di tiga buah kedai makan - dua buah kedai kami beli makanan menerusi GrabFood dan hanya sebuah kedai je kami pergi sendiri ke tempatnya.
Warong Tiga Lima | Kedai makan yang terletak berhampiran hotel, cuma berjalan kaki sekejap je sampai. Kami ke sini selesai solat tarawih. Tadi berbuka dengan sebungkus nasi Arab kongsi berdua (beli menerusi GrabFood), jadi sekarang barulah nak makan kenyang-kenyang.
Kami makan mi kari, mi goreng mamak dan cucur bawang. Rasanya belum menepati selera saya, jadinya sekali tu jelah kami ke sini. Apa pun, rasa makanan adalah subjektif - kena datang cuba sendiri ya. Layanan di sini sangatlah baik, mesra dan makanan semua sampai cepat.
Rumah Makan Selebriti | Berbuka hari kedua, sekali lagi kami beli makanan menerusi GrabFood. Berbuka di bilik, lebih selesa dan mudah. Masya Allah sedap sungguh masakan Rumah Makan Selebriti ni - lontong darat, soto dan ayam goreng berempah semuanya kena dengan selera saya.
Paling sedap - lontong darat dihidangkan dengan lauk paru balado, rendang daging, sambal goreng, sambal tumis, serunding kelapa dan kuah kacang.
Oleh kerana sedap, waktu sahur kami cuba pula nasi lemak. Pun sedap walaupun beli sebelum tidur, makan pada waktu sahur - nasi lemak, ayam goreng dan telur goreng dah sejuk. Hari ketiga berbuka, sekali lagi saya makan lontong darat. Encik Suami mencuba mi rebus, pun sedap tapi lontong darat tetap nombor satu!
Harganya agak mahal, lontong darat RM16.90 pembelian menerusi GrabFood. Agaknya kalau makan di kedai tidaklah mahal gitu. Menurut saya, harganya berbaloi dengan pelbagai jenis lauk yang sedap semuanya. Lontongnya pula bukan nasi impit tetapi lontong daun pisang - lembut dan beraroma. Tengok harga macam mahal, tapi bila dah makan terus rasa tak mahal pun 😁
Kalau kalian ke Shah Alam, nak tidur hotel boleh menginap di Mardhiyyah Hotel dan kalau nak makan bolehlah mencuba hidangan di Rumah Makan Selebriti - saya baru tau ia dimiliki oleh selebriti Nazia Mustafar.






lawo hotelnye., hehe
ReplyDeleteslmt berpuasa TT ye ;)
Selamat berpuasa :)
DeleteMasa namanya Hotel Blue Wave dia macam eksklusif. Banyak event kalau tak dibuat di sini akan dibuat di Hotel Concorde. Saya baru tau kewujudan kedai Rumah Makan Selebriti. Nanti lepas raya boleh makan di sini. Saya sependapat dengan Ujie tentang rasa di Warong Tiga Lima itu. Kurang ngam di tekak saya
ReplyDeleteOh...patutlah, bangunan hotel pun besar, dalamnya nampak eksklusif jugak.
DeleteHehe...mungkin cita rasa kita sama.
SA tau hotel ni...memang sepanjang masa ada alunan ayat suci al quran..cuma SA x pernah staycation kat sini la...boleh tahan jugak harga buffet berbuka dan sahur ye...
ReplyDeleteHehe...itu yang tak ambik buffet 😅
DeleteSeronok menginap di hotel yg ada suasana islamik gini ...
ReplyDeleteTeringin pulak dah tengok lontong darat tu huhu ... Macam² budak² puasa pulak 😅
Alah...saya yang tulis entri ni pun terliur tiap kali tengok entri sendiri, pasal dah makan memang sedap 😄
DeleteOoooo... Grand Blue Wave dah takde ke? Baru tau
ReplyDeleteKalau tak menginap di Mardhiyyah Hotel, saya pun tak tau hal ni 😄
DeleteHotel lama memang gitu shower dalam bath tub memang tak selesa la kita nak kena masuk dalam tu nak mandi.
ReplyDeleteItulah...leceh betul.
DeleteDuduk sini masa staycation dengan kawan2 ITM last year. Hotel agak lama tapi Islamic.
ReplyDeleteMenarik tu, staycation dengan geng zaman belajar.
DeleteNice jugak keluasan bilik dia. Boleh main bola pingpong!
ReplyDeleteShah alam banyak kedai makan best. Better lagi cari makanan luar dri makan buffet hotel mahal2 hehe
Kan...hehe! Bukan setakat jimat tapi lebih berbaloi.
Deleteada tgk juga yg rumah makan selebriti tu sebelum puasa tp tula operation hour start 4 ptg tak silap..kalo buka time lunch dpt la merasa sbb area opis je...hotel mardhiyah mmg best lps renovation...menu kt otel pn best juga dh byk kali kita makan tp kalo nk kena add-on ratus2 juta tu utk berbuka puasa tk berbaloi sbb sekitar shah alam byk tmpt mkn best2
ReplyDeleteHa'ah, start pukul 4 pm. Ingatkan sebab bulan puasa, rupa-rupanya memang gitu ya waktu operasinya.
DeleteItulah...rasa tak berbaloi pulak😄
Patutlah tak pernah dengar rupanya penjemaan baru hotel. Lontong darat bila tenguk harga macam mahal tapi bila kita tenguk makanannya memang berbaloi lah dengan harga. Lagi nasi himpit dia special memang best lah
ReplyDeleteLauknya pelbagai jenis, rasa pulak sedap. Memang sesuai dengan harganya tu. Lontong daun pisang tu memang sedap sangat, lembut wangi daun pisang.
DeleteNama pun dah islamik, tapi seronok jugak kalau masuk hotel dengar alunan zikir n selawat. Hotel lama kan kak agak usang tapi janji bersih n lengkap semua kira ok lah jugak kan.
ReplyDeletePernah dapat hotel lama dan berbau hapak, yang ni Alhamdulillah dah ok sangat. Selesa.
DeleteBesar bilik hotel. Drive waktu berpuasa tak rasa mengantuk ke? Mesti kena saling berborak, ye. Wah.. lontong darat sedap sampai repeat beli. Cantiknya masjid Shah Alam tu, waktu malam.
ReplyDeleteSaya surrender tak boleh tahan ngantuk, tertido-tido je. Tak dapat nak berborak, nanti haus pulak 😄. Suami menguap jugak, tapi dia kata masih ok teruskan drive.
DeleteDah ulang 2x beli pun ni masih teringat-ingat tau 😁
Hotel lama tapi kalau terawat dan bersih, sayapun sukaaaa. Apalagi ciri khas hotel lama ini ruangannya luas. Kalau masalah air panas, saya memang tak pernah masalahkan. Apalagi kalau di negara tropis. Sebab sayapun selalu mandi air dingin. Kecuali ke negara winter, beda cerita.
ReplyDeleteUwaaaah makanan yg dibeli nampak sedaaap kak 🤩. Saya masih penasaran dengan rasa lontong darat 😁. Biasanya makan lontong berkuah, kalau kering belum pernah
Bilik hotelnya sejuk sangat walau dah selalu off aircond, sampai ke bilik air sejuk. Jadi tak tahan bila guna air sejuk 😄
DeleteBoleh cuba lontong darat kalau Fanny ke KL. Kalau di Penang rasanya susah cari, bukan makanan orang utara.
Tak pernah menginap lagi di sini tapi tahulah hotelnya kat mana. Nazia Mustafar dan Nadia Mustafar tu orang yang sama ke?....
ReplyDeleteBetul, orang yang sama. Satu lagi tu nama glamer kot.
Deleteuishhh alamak adehhh boleh tahan hrga berbuka die ye.. baiklah beli sendiri je ehehe
ReplyDeleteHehe...kan. Kita bukan makan banyak mana pun.
DeleteOh Grand Blue Wave Hotel tukar nama jadi Mardhiyyah Hotel!
ReplyDeleteBaru tahu pelakon Nadia Mustafar itu ada buka restoran. Sedap sangat lontong darat itu sampai ulang makan.
Boleh bayangkan sejuknya cemana kalau takde water heater kat hotel😅
ReplyDeleteCantik tempatnya
ReplyDelete