Thursday, 25 September 2025

Ringkasan Perjalanan | Trip ke China - Wilayah Yunnan dan Jiangsu

 

Setelah lima bulan berlalu, saya kembali menyambung catatan perjalanan ke dua wilayah di China. Jemput baca entri pertama yang juga catatan pengenalan  - Kembara ke Wilayah Yunnan dan Wilayah Jiangsu di China

Musafir ke negara luar kali ini agak berbeza kerana buat kali pertama saya bergerak dalam kumpulan seramai lima orang - saya, Encik Suami bersama tiga orang kawan Encik Suami. Biasanya hanya berdua - saya dan Encik Suami.

Walaupun ini merupakan trip urusan kerja Encik Suami, tetapi sempat juga kami berjalan-jalan seharian pada hari terakhir di Nanjing yang terletak di wilayah Jiangsu. Maka, ada jugalah entri berkenaan tempat tarikan pelancongan di China.



RINGKASAN PERJALANAN SELAMA 6 HARI 5 MALAM :

HARI PERTAMA | KHAMIS, 10 APRIL 2025
  • Saya dan Encik Suami terlepas penerbangan PEN - SIN - KMG (Penang - transit Singapore - Kunming) berlepas pada pukul 4.55 petang menaiki pesawat Scoot Airlines. Terpisah sekejap dengan ahli kumpulan 😅
  • Beli tiket baru, penerbangan PEN - CAN - KMG (Penang - transit Guangzhou - Kunming) berlepas pada pukul 11.55 malam menaiki pesawat China Southern Airlines.

HARI KEDUA | JUMAAT, 11 APRIL 2025
  • 4 pagi tiba di Guangzhou Baiyun International Airport. Transit 3 jam.
  • 7.05 pagi berlepas ke Kunming.
  • 9.06 pagi tiba di Kunming Changshui International Airport.
  • Makan di sebuah restoran di Kunming, selepas itu ke Kunming Nanyao Railway Station.
  • 1.09 tengah hari naik tren CRH ke Lincang.
  • 5 petang tiba di Lincang Railway Station.
  • Lawatan kilang.
  • Makan malam di restoran.
  • 9.40 malam daftar masuk Rayzen Hotel.

HARI KETIGA | SABTU, 12 APRIL 2025
  • 7 pagi daftar keluar hotel, selepas itu menuju ke Lincang Railway Station.
  • 7.55 pagi naik tren CRH ke Kunming.
  • 12 tengah hari tiba di Kunming Nanyou Railway Station.
  • Makan tengah hari di restoran.
  • Jalan-jalan di kawasan sekitar.
  • 4 petang tiba di Kunming Changshui International Airport.
  • 6.15 petang berlepas ke Nanjing dengan menaiki pesawat China Eastern Airlines.
  • 8.25 malam tiba di Nanjing Lukou International Airport.
  • 9.50 malam daftar masuk Liyang Marriot Hotel.
  • Makan malam di restoran berhampiran hotel.
  • 11 malam balik hotel.

HARI KEEMPAT | AHAD 13 APRIL 2025
  • 8.30 pagi makan sarapan di restoran berhampiran hotel.
  • 10.20 pagi lawatan kilang.
  • 5.30 petang balik hotel.
  • Aktiviti bebas - kami ke mall, jalan-jalan di taman dan makan malam.
  • 10 malam balik hotel.

HARI KELIMA | ISNIN 14 APRIL 2025
  • Makan sarapan di restoran berhampiran hotel.
  • 9.15 pagi daftar keluar hotel dan menuju ke Liyang Railway Station.
  • 10 pagi tren berlepas ke Nanjing.
  • 10.30 pagi tren tiba di Nanjing Railway Station.
  • Jalan-jalan ke Yuhuatai Scenic Area.
  • Makan tengah hari di Li Ji Muslim Restaurant.
  • Jalan-jalan ke Niushoushan Cultural Park.
  • Solat di Jingjue Mosque.
  • Jalan-jalan di deretan kedai berhampiran Qinhuai River.
  • Night cruise di Qinhuai River.
  • Makan malam di restoran.
  • 9.50 malam tiba di Nanjing Lukou International Airport.

HARI KEENAM | SELASA 15 APRIL 2025
  • 1.40 pagi berlepas ke Singapura dengan menaiki pesawat Scoot Airlines.
  • 6.40 pagi tiba di Singapore Changi Airport.
  • Makan sarapan di Bedok.
  • 9.45 pagi daftar masuk Ammara Hotel.
  • 5 petang daftar keluar hotel, kemudian menuju ke Singapore Changi Airport.
  • 7.20 malam berlepas ke Pulau Pinang dengan menaiki Scoot Airlines.
  • 8.25 malam tiba di Penang International Airport.

Alhamdulillah kami selamat kembali di rumah Perlis pada hari Rabu pukul 1.15 pagi. 



Klik foto untuk paparan jelas. (Sumber peta : nationsonline.org)
Kedudukan negara China dalam peta dunia. Dua wilayah yang saya kunjungi iaitu wilayah Yunnan terletak di bahagian barat daya China dan wilayah Jiangsu terletak di bahagian pantai timur China.







Tuesday, 23 September 2025

Penentuan Waktu Solat Dalam Penerbangan dengan Halal Trip dan Panduan Berwuduk serta Solat Dalam Pesawat

PENENTUAN WAKTU SOLAT DALAM PENERBANGAN DENGAN HALAL TRIP
Saya tahu berkenaan Halal Trip sewaktu membuat carian persediaan trip ke Jepun. Ketika itu, buat kali pertama saya perlu menunaikan solat Subuh sewaktu dalam penerbangan. 

Bagaimana kita nak tahu waktu solat Subuh ketika pesawat berada di udara? Cara paling asas adalah dengan memerhatikan ketika terbitnya fajar sadiq iaitu cahaya putih terang menyebar secara melintang di ufuk timur. [Bacaan lanjut di laman web muftiwp.gov.my]

Tetapi dengan teknologi masa kini, kita boleh rujuk laman Halal Trip bagi mengetahui waktu solat dengan lebih mudah.


Buka laman web https://www.halaltrip.com/prayertimes/inflight/ atau boleh juga gunakan aplikasi Halal Trip. Masukkan maklumat penerbangan dan klik calculate.


Paparan maklumat penerbangan dan waktu solat.


Berdasarkan pengiraan, waktu solat Subuh bermula pada pukul 4.37 pagi (waktu Malaysia).


Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Arah kiblat turut disertakan, boleh jadi panduan sekiranya terdapat ruang solat di sudut pesawat. Sila ambil maklum juga nota kaki berkenaan jam rujukan kita dan berkenaan ketepatan pengiraan waktu solat.


BERWUDUK DALAM TANDAS PESAWAT
Kalau waktu solat di awal penerbangan, lebih mudah kita siap-siap berwuduk di lapangan terbang sebelum naik pesawat. Tapi kalau sebaliknya, terpaksalah kita berwuduk dalam tandas pesawat.

Cabaran utama ketika nak berwuduk di dalam tandas pesawat - wuduk perlu dilakukan dengan segera dan tanpa kesan basah di tandas.

Syukurlah kedudukan kerusi saya tak jauh dari tandas, mudah saya perhatikan bila tandas kosong. Saya juga siap-siap pakai tudung jenis mudah buka dan sarung semula. Begitu juga pakaian, pakai lengan baju yang mudah disingsing. Buka stokin sebelum ke tandas dan tukar selipar. Pendek kata, buatlah persediaan supaya proses wuduk dalam tandas pesawat jadi mudah dan pantas.

Saya berwuduk dengan menggunakan botol spray saiz kecil. Lakukan wuduk pada anggota yang wajib saja (muka, tangan, kepala dan kaki) dan cukup buat 1 kali. Pastikan selepas spray anggota wuduk, airnya mengalir barulah kita ratakan air tersebut kecuali bahagian kepala (tak perlu air mengalir).

Sebelum keluar, pastikan tandas dalam keadaan kering demi keselesaan pengguna seterusnya. 


 PANDUAN SOLAT DALAM PESAWAT
Sama seperti solat biasa, cuma dilakukan dalam keadaan duduk. Bab pemakaian pula, saya bawa dan pakai sarung lengan supaya aurat lengan tak terbuka ketika melakukan pergerakan solat.

Panduan solat dalam pesawat - dalam keadaan duduk di kerusi pesawat.

Kalau rasa tak yakin atau bimbing terkeliru, eloklah buat amali solat dalam pesawat ini sebelum kita terbang. Semoga dengan segala persediaan rapi, kita dapat menunaikan solat dalam keadaan tenang dan mudah.

Sebarang kemusykilan, eloklah bertanya terus kepada mereka yang arif dan berkelayakan. Saya sekadar berkongsi menurut kefahaman dan apa yang saya yakini.







Thursday, 18 September 2025

Dua Hari Satu Malam di Air Beruk Campsite, Gerik

Catatan 23 - 24 Ogos 2025.

Perancangan saat akhir cuti-cuti back to nature - saya dan Encik Suami menginap di sebuah chalet berhampiran aliran sungai. Saya cari lokasi dan buat tempahan dua hari sebelum pergi.

Lokasi kali ini - Air Beruk Campsite (ABC) yang terletak di Kampung Padang Stang, Gerik, Perak. Lokasinya kira-kira 210 km dari rumah. Perjalanan yang jauh, tapi saya suka dapat melihat tempat orang - melewati kampung-kampung yang belum pernah saya sampai.

Air Beruk Campsite, Gerik
Jalan masuk ke ABC. Terdapat banner Warung Sejuk Jiwa.

Air Beruk Campsite, Gerik
Dari jalan masuk tadi, akan nampak sebuah warung di sebelah kanan dan deretan pondok di sebelah kiri. Kaunter pendaftaran dan bayaran terletak di pondok sebelah kiri, di tepi jalan masuk. Tiada ruang parkir khusus, pengunjung boleh parkir di mana-mana sudut yang sesuai di celah pokok getah.

Kenderaan kami menuju terus ke hujung kawasan ini - chalet kami terletak di sudut paling hujung. Kami masuk letak barang dalam chalet, lepas tu keluar berjalan-jalan melihat sekitar kawasan ini.

Air Beruk Campsite, Gerik
Bilik air bagi pengunjung yang datang berkelah dan berkhemah.

Air Beruk Campsite, Gerik
Menu yang ditawarkan di Warung Sejuk Jiwa - warung yang beroperasi di dalam kawasan campsite.

Air Beruk Campsite, Gerik
Tak begitu lapar, jadinya kami sekadar memesan satu mangkuk mi bandung.

Air Beruk Campsite, Gerik
Boleh makan di mana-mana pondok bermeja berhampiran warung. Kami duduk di sini menghadap aliran sungai. Meriah jugalah tempat ini dengan pengunjung yang datang berkelah - mereka duduk di pondok tepi sungai.

Air Beruk Campsite, Gerik
Air sungai cetek di bahagian ini, sesuai untuk anak kecil bermandi-manda.

Di aliran sungai yang sama - depan sedikit dari kawasan ABC, terletaknya kafe dalam air iaitu Castella Cafe. Kami berjalan menyeberangi sungai untuk melihat dengan lebih dekat suasana Castella Cafe. Walaupun air sungai nampak cetek, tapi perlu melangkah dengan berhati-hati sebab ada ketikanya aliran terasa sedikit deras.

Menghampiri pukul 4 petang, keadaan agak lengang. Tempat ini mungkin sibuk pada waktu makan tengah hari. Kafe dalam air - nampak menarik, tapi atas alasan tertentu saya belum tertarik nak mencuba konsep makan begini. 

Air Beruk Campsite, Gerik
Beginilah rupa chalet penginapan kami. Walaupun menginap di campsite, tapi kami tak berkhemah. Dah beberapa tahun kami tak guna khemah yang ada, entah elok lagi atau tidak. 

Penginapan kami berharga RM150 bagi kadar hujung minggu. Tapi nampaknya harga tersebut tak berbaloi dengan apa yang kami dapat. Keadaan chalet tidak memuaskan - dinding kehitaman, keadaan katil seperti belum dikemas, bidai tingkap yang sudah rosak dan bilik air tidak diberus juga mangkuk tandas kuning. Pendek kata, saya rasa tak selesa. Chalet ini sebenarnya nampak belum lama dibina, tapi mungkin tidak diselenggara dengan baik.

Mujurlah saya bawa keperluan yang lengkap - tuala, sleeping bag sebagai alas tidur dan selimut, kain lap kaki dan lain-lain. Saya juga perlu kreatif bagi mengatasi masalah bidai tingkap yang rosak - saya tutup tingkap tersebut dengan kain tudung bawal yang dilipat dua dan disepit kanan kiri pada bidai. Bolehlah jadi langsir untuk satu malam.

Air Beruk Campsite, Gerik
Menariknya, chalet kami ni betul-betul menghadap sungai. Juga disediakan meja dan kerusi untuk kita bersantai sambil menikmati deruan air sungai.

Keadaan meja kotor, sebelum guna saya bersihkan meja dan kerusi dengan tisu basah. Cerewet sungguh makcik ni kan, ada je tak kena 😆

Air Beruk Campsite, Gerik
Suasana senja di sini, ketika ini hujan gerimis. Foto diambil dari chalet kami.

Sewa sebuah chalet tapi dapat satu campsite! Siang tadi petugas campsite memaklumkan bahawa tiada pengunjung lain menginap di sini dan tiada petugas menjaga. Agak terkejut jugalah saya mendengarnya. Tapi katanya tak perlu risau setakat ini tak pernah ada sebarang masalah. Kalau ada, boleh terus hubungi dia.

Air Beruk Campsite, Gerik
Pukul 8.30 malam - dalam rintik halus hujan, kami berdua berjalan memantau keadaan campsite. Terdengar sayup suara orang berborak dari chalet Castella Cafe yang terletak di seberang sungai. Tidaklah terlalu sunyi dan masih ada manusia lain di kawasan berhampiran. Lega jugalah.

Kami mengisi malam dengan mengopi dan berborak sambil ditemani irama alam - deruan air sungai, bunyi cengkerik dan entah bunyi apa lagi. Kemudian kami sambung berehat dalam chalet. Malam berlalu tanpa sebarang masalah. Alhamdulillah.

Esok paginya…

Air Beruk Campsite, Gerik
Hampir pukul 7 pagi - hujan sejak malam tadi masih belum berhenti. Air sungai yang jernih bertukar warna kuning coklat. Suasana sejuk dan nyaman.

Air Beruk Campsite, Gerik
Masa untuk main masak-masak! Masak yang mudah dan cepat je, janji perut kenyang. Seronok jugalah bila sesekali dapat sarapan dalam suasana alam semula jadi. Hidangan biasa je pun rasa jadi lebih menyelerakan.

Sedang kami menikmati hidangan pagi, ternampak sekumpulan monyet melompat dari satu pokok ke satu pokok. Alamak…terus saya rasa cemas. Syukurlah kumpulan monyet tersebut bergerak semakin jauh dari tempat kami.

Lepas makan, masa untuk turun ke sungai.

Air Beruk Campsite, Gerik
Chalet kami - foto diambil dari sungai.

Air Beruk Campsite, Gerik
Air sungai sudah semakin jernih maksudnya bahagian atas tak hujan lebat. Selamat untuk kita masuk dalam air. Ketika ini cuma terasa rintik halus hujan.

Air Beruk Campsite, Gerik
Airnya terasa sangat sejuk! Kena masuk kaki dan badan sedikit demi sedikit supaya tak terkejut. Paras air tak begitu dalam, cuma separas pinggang saya. Kemudian saya duduk berendam separas dada untuk menikmati keseronokan main air sungai. Ketika ini masih tiada sesiapa di campsite, terasa seperti sungai ini kami yang punya 😂. Fuh! Rasa segar sungguh badan dapat berendam dalam air sungai.

Kami beredar meninggalkan ABC - Air Beruk Campsite sebelum waktu tengah hari. Alhamdulillah dapat juga kami merasa bermalam di tepi sungai setelah sekian lama tak buat aktiviti begini. Kalau kalian nak datang sini untuk berkelah atau mandi sungai tanpa bermalam pun boleh, sedikit caj dikenakan.


Video berdurasi 2:32 minit.










Thursday, 11 September 2025

Meraikan 35 Tahun Persahabatan di Serenity At Port Dickson, Port Dickson

REUNION KALI KE-4
Acara reunion bersama kawan-kawan sekolah menengah (perempuan sahaja) diadakan setiap tiga tahun sekali, kali ini berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan tema pakaian warna coral.

Selama dua hari satu malam (tiga hari dua malam bagi para AJK dan kawan yang berkesempatan datang awal) kami berkumpul di Serenity At Port Dickson - sebuah banglo dua tingkat di tepi pantai. Kami melakukan pelbagai aktiviti bersama, ceria gembira penuh gelak ketawa. Masa seolah-olah terhenti dan terasa kembali ke zaman remaja - ketika menjalani kehidupan sebagai budak asrama. 
Cap jari tanda hadir. Lebih 40 orang berkesempatan hadir pada reunion kali ke-4 ini.

Ada yang datang dari Pahang, Perak, Kedah dan paling jauh dari Manila, Filipina - terbang pulang khusus bagi meraikan 35 tahun persahabatan kami. Saya sendiri melalui perjalanan sejauh kira-kira 600 km dari negeri paling utara di Semenanjung Malaysia.

Setiap orang dapat sebuah tote bag cantik ni sebagai tanda kenangan reunion. Di dalamnya terdapat pelbagai cenderamata kecil lain, termasuk sehelai baju untuk dipakai pada waktu malam.

Aktiviti bermula kira-kira pukul 11 pagi dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden, seterusnya cabutan bertuah - cabutan dibuat beberapa kali sepanjang hari sehingga malam. Oleh kerana ramai yang bermurah hati menaja hadiah cabutan bertuah, maka setiap orang berpeluang dapat lebih dari sekali cabutan.

Sesi fotografi di luar - berfoto ramai-ramai dan kemudian berfoto ikut kelas. Tiada sesi fotografi di pantai kerana nampaknya ada banyak jentera sedang melakukan kerja.

Masa untuk makan! Antara menu makan tengah hari yang disediakan - daging salai masak lemak cili api dengan pucuk ubi, ayam goreng berempah dan sambal udang. Sedap semuanya, tambahan pula bila makan semeja dengan kawan-kawan yang sesekali dapat berjumpa - makan sambil berborak.

Lepas makan, kami diberi masa untuk berehat/menunaikan solat Zohor.

Pukul 2.45 petang bermula aktiviti sukaneka. Kami dibahagikan kepada lima kumpulan. Terdapat lima jenis permainan dengan setiap permainan cuma memerlukan dua hingga lima orang saja. Ada permainan yang sesuai untuk mereka yang sihat fizikal dan ada permainan yang sesuai untuk mereka yang ada masalah kesihatan. Pendek kata, semua berpeluang melibatkan diri.

Permainan paling menguji fizikal - ‘Charlie Chaplin’ iaitu berlari/berjalan laju dengan memakai kain batik sambil kepit bola dan tangan pegang payung. Bermacam-macam aksi lucu dapat dilihat ketika ini, memang tak kering gusi ketawa!

Selepas penat bermain, kami diberi masa untuk berehat/menunaikan solat Asar. Kemudian aktiviti diteruskan dengan acara bertukar-tukar hadiah - setiap orang perlu bawa hadiah bernilai minima RM50, pertukaran hadiah menerusi cabutan nama. Nak bertukar hadiah pun penuh gelak ketawa, ada saja bahan usikan.

Solat Maghrib dilakukan secara berjemaah dan diikuti dengan bacaan surah Yasin, tahlil dan tazkirah ringkas sementara menunggu waktu Isyak. Suasana begini mengimbau kenangan kehidupan di asrama.

Makan malam kami dihidangkan dengan nasi goreng Cina, kambing & ayam panggang serta hidangan sampingan lain.

Kek sempena 35 tahun persahabatan. Bukan saja nampak cantik tapi rasanya sangat sedap!

Awalnya saya menolak makan kek ni sebab perut dah kenyang makan hidangan malam, tapi kawan yang menghulur kek minta cuba dahulu. Jadi saya ambil juga dan berkongsi makan dengan seorang lagi kawan. Bermula dengan suapan pertama, saya mampu habiskan sepotong kek. Tak pasti ni kek apa tapi rasanya seperti kek chocolate indulgence, sedap dimakan selepas disimpan dalam peti sejuk. Kesedapan kek ini menjadi antara perkara yang kami bualkan sampai ada kawan yang nak menempah.

Sambil makan kek, cabutan bertuah berlangsung.

Cabutan bertuah kali kedua untuk saya yang disampaikan oleh Presiden yang baru dilantik. Tujuan sebenar saya letak foto ini kerana nak mengabadikan memori menggayakan baju kami pada malam tersebut. Semoga Allah murahkan rezeki kawan kami yang menaja baju batik lukisan tangan dari Kelantan ini. Cantik coraknya dan materialnya lembut selesa.

Aktiviti akhir - acara penyampaian hadiah sukaneka, hadiah penghargaan khas dan cabutan bertuah. Walaupun muka masing-masing keletihan tapi suasana riuh-rendah dengan usik-mengusik.

Aktiviti berakhir hampir pukul 11.30 malam. Saya terus balik ke bilik, membersihkan diri dan bersiap untuk tidur. Ada juga kawan-kawan yang tak terus tidur - bersembang, memakai inai.

Entah pukul berapa saya terjaga dek bunyi tingkap dan pintu kaca bergegar. Nampaknya hujan lebat berserta angin kuat. Lucunya, hanya saya dan seorang kawan yang tersedar kejadian tersebut. Lagi empat orang tidur tak sedar diri gara-gara terlampau letih!

Esok paginya - kami menunaikan solat Subuh berjemaah, diikuti dengan bacaan al-Ma’thurat dan seterusnya sesi perkongsian oleh seorang kawan. 

Kami makan sarapan dan mengemas homestay seperti sedia kala sebelum masing-masing beredar meninggalkan tempat yang telah merakam memori indah reunion kami.


SERENITY AT PORT DICKSON, PORT DICKSON
Oleh kerana saya hanya berkesempatan hadir pada hari kedua - iaitu hari berlangsungnya reunion, maka tak banyak foto sudut banglo yang dapat saya rakam. 

Bahagian belakang banglo yang menghadap pantai. Terdapat sebuah kolam renang bersaiz besar dan laman luas sesuai untuk aktiviti sukaneka. 

Ruang rehat di tingkat atas, seronok kalau dapat berehat di tempat begini tapi kami tak sempat pun nak duduk berborak di sini.

Terdapat lima buah bilik tidur lengkap dengan bilik air. Sebuah bilik tidur di bawah dan empat buah bilik di tingkat atas.

Saya menginap di bilik no. 3 bersama lima orang kawan. Dalam bilik kami terdapat sebuah katil besar dan satu katil single dengan pull out bed di bawahnya. Saya dan seorang lagi kawan tidur di lantai - saya lebih suka tidur pakai sleeping bag yang dibawa dan kawan saya tidur beralaskan tilam tambahan. Dah lama saya tak tidur ramai-ramai dalam satu bilik, rasa seronok dan dapat tidur lena walaupun tidaklah begitu selesa.

Secara keseluruhannya, Serenity At Port Dickson menawarkan penginapan yang bersih dan selesa. Paling menarik sebab lokasinya di tepi pantai. Cuma ianya kurang mesra bagi orang sakit lutut sebab akses masuk rumah ada tangga.


PERGI SATU BEG, BALIK BERBEG-BEG!
Terkejut Encik Suami sewaktu mengambil saya - pergi cuma bawa satu beg tarik tapi masa balik sampai tak cukup dua tangan nak pegang barang.

Barang-barang yang diterima hasil - bertukar hadiah, tiga kali cabutan bertuah, hadiah sukaneka, hadiah dalam tote bag dan oleh-oleh dari Filipina. Bukanlah banyaknya hadiah yang diharapkan, semuanya sekadar suka-suka bagi memeriahkan pertemuan kami.

*

Alhamdulillah…terima kasih Allah atas kesempatan buat saya berkumpul bersama kawan-kawan zaman remaja. Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa saya gembira dapat bertemu dengan kawan-kawan yang dikenali sejak kami berusia 12 tahun. Dah cukup kenal perangai masing-masing yang nampaknya tak jauh berubah sejak kali pertama bersua.

InsyaAllah panjang umur dan ada kesempatan, kami akan kembali bertemu pada usia 50 tahun. Kami dah siap berbincang berkenaan reunion gaya orang tua - homestay tiada atau minima tangga, tempat berkumpul ada banyak kerusi dan makanan lembut sesuai gigi orang tua. Lucu tapi inilah hakikatnya - masa muda kami kian berlalu.







Monday, 8 September 2025

35 Tahun dan 23 Tahun

Cuti panjang hujung minggu yang baru berlalu, meninggalkan kenangan indah buat saya :

⏵ MERAIKAN 35 TAHUN PERSAHABATAN

Saya dan kawan-kawan sekolah menengah berkumpul di sebuah banglo tepi pantai di Port Dickson, Negeri Sembilan bagi meraikan 35 tahun persahabatan - kami bertemu dan memulakan kehidupan di asrama pada Disember 1990.

Acara sebenar berlangsung selama dua hari satu malam bermula hari Sabtu, tetapi para AJK acara dan kawan-kawan yang berkesempatan datang sudah pun berkumpul mulai petang Jumaat. Riuh rendah banglo semalam tiga hari dua malam!

Saya dan Encik Suami bertolak dari utara tanah air pada awal pagi hari Jumaat. Lewat petang selesai urusan Encik Suami di Shah Alam, kami menuju ke Bangi - menginap di Hotel Tenera. Kalau balik rumah NS, banyak hal nak kena urus sebelum dapat tidur. Jadinya saya memilih bermalam di hotel supaya dapat berehat secukupnya sebelum bertemu kawan-kawan. Alhamdulillah bilik tidur selesa dan bufet sarapan pun sedap.

Pagi hari Sabtu selepas bersarapan, Encik Suami hantar saya ke Port Dickson. Sepanjang perjalanan saya rasa berdebar dan teruja, Encik Suami pula asyiklah mengusik saya - siap buat suara menjerit teruja. Cisss!

InsyaAllah catatan lanjut acara reunion di entri lain.


⏵ MERAIKAN 23 TAHUN PERKAHWINAN

Hot Stone Bowl Wagyu Beef Steak
Hari Ahad 7 September 2025, genap 23 tahun usia perkahwinan saya dan Encik Suami. Aktiviti bersama kawan-kawan berakhir lewat malam hari Sabtu, sebelum melelapkan mata (waktu sudah melepasi 12 tengah malam) sempatlah saya menghantar mesej ucapan buat Encik Suami.

Dalam perjalanan kembali ke rumah Perlis, kami singgah makan di The Place Steak Houze, Alor Setar, Kedah. Makan malam ringkas di tempat yang menarik, servis bagus dan makanan sedap - sudah cukup bagi meraikan hari istimewa kami.

*

Alhamdulillah kami selamat sampai di rumah pada pukul 10 malam. Jojo si anak bulu bising mengiau menyambut kepulangan kami.

Bangun pagi ni terasa letih dan sakit badan kesan perjalanan jauh dan aktiviti bersuka ria bersama kawan-kawan. Letih tapi seronok!

Terima kasih Allah atas kurniaan 35 tahun persahabatan dan 23 tahun perkahwinan yang penuh warna. Semoga persahabatan kami dan perkahwinan ini terus utuh dan diberkati Allah 💙







Thursday, 4 September 2025

Ghatah Siput Bakaq, Kuala Sungai Baru

Sudah hampir dua tahun saya menetap di Perlis, tapi ini baru kali pertama saya dan Encik Suami makan-makan di Ghatah Siput Bakaq yang terletak 42 km dari kediaman kami. Kunjungan kami ke sini gara-gara saya membaca entri blogger SK - Seri Kandi Tanah Jauhar sewaktu bercuti di Perlis. Kiranya, orang yang menetap di Perlis telah terpengaruh dengan orang yang datang bercuti di Perlis 🤣

Saya dan Encik Suami ke sini pada hari bekerja. Kebetulan Encik Suami cuti pada hari tersebut, jadinya selesai urusan di Kangar kami terus ke sini. 

Terdapat kawasan parkir khas. Sangat memudahkan pelanggan.

Kami terus ke bahagian hadapan restoran - pilih menu di sini.

Pilihan makanan laut diletak dalam mangkuk dan juga bekas plastik.

Dah siap pilih, terus ke kaunter bayaran yang terletak di pintu masuk restoran.

Kami pilih set kombo untuk dua orang - siakap goreng tepung, mix box shell out, sotong goreng tepung, nasi putih dan minuman. Jenis minuman boleh pilih mana-mana minuman berharga RM3. 

Kalau di bahagian luar tadi, nampak biasa-biasa je rupa restoran ni. Bila masuk bahagian dalam, nampak menarik! Luas jugalah ruang makan di sini. Masih banyak meja kosong, mungkin sebab kami datang pada hari bekerja dan masih awal (masa ni sekitar pukul 5.45 petang).

Ada beberapa meja kosong di sudut menghadap laut. Dapatlah kami duduk di sini - di meja paling hujung. Foto diambil dari tempat duduk saya.

Suasana di sini terasa cukup santai.

Lokasi restoran di pesisir pantai, berhampiran dengan aliran sebatang sungai.

Dari restoran ini kita dapat menyaksikan deretan bot nelayan berlabuh. Pemandangan yang menarik di mata saya.

Tadi selepas membuat pesanan dan bayaran, kami diberi nombor penanda meja yang unik ni - berbentuk ikan, diperbuat daripada kayu. Sempatlah minuman kami berfoto dengan ikan kayu ni sebelum ia diambil setelah hidangan makanan tiba.

Kedudukan kami berhampiran dengan sebuah ruang rumah kucing. Tak ada sebarang bau yang tak menyenangkan dan kucing-kucing di dalamnya nampak sedang bersenang-senang tidur. Ada seekor dah bangun, saya rakam fotonya dari meja makan kami.

Tak rasa bosan menunggu makanan tiba sebab saya dapat menikmati keindahan alam semula jadi di sini. Saya perhatikan terdapat beberapa jenis burung di pantai, paruhnya yang panjang sibuk mematuk pasir pantai mencari makanan.

Terdapat juga beberapa buah bot melintas menuju ke lautan.

Hidangan kami tiba. Ini merupakan kali pertama kami makan hidangan shell out.

Saya kurang gemar makan makanan laut bercengkerang, jadinya saya fokus makan ikan siakap goreng tepung dan sotong goreng tepung je.

Siakap goreng tepung dan sotong goreng tepungnya sedap rangup di luar lembut di dalam. Tapi kena makan cepat, bila dah sejuk jadi kurang sedap.

Atas - siput mentarang. Encik Suami suruh cuba, saya makan juga satu.
Tengah - siput harimau (merujuk info dari blog SK).
Bawah - kepah, entah jenis apa tapi menarik coraknya.

Walaupun katanya set untuk dua orang, tapi kami tak mampu nak habiskan makan. Nasi masing-masing cuma makan separuh pinggan, manakala sotong dan ikan goreng tepung masih berbaki. Tak bungkus bawa balik sebab bukanlah banyak pun yang tinggal, tapi nak habiskan memang dah tak boleh. Perut dah terlebih kenyang.

Makan di Ghatah Siput Bakaq ni memang suatu pengalaman yang menarik sebab kita makan sambil menikmati pemandangan lautan. Kalau datang waktu senja tentu lebih cantik suasananya.

Semasa kami nak balik, jalanan agak sesak. Rupa-rupanya orang ramai sedang berkumpul membeli hasil laut. Tentunya hasil laut segar yang baru dibawa naik oleh para nelayan.


***********************

GHATAH SIPUT BAKAQ
Kuala Sungai Baru,
Perlis.
Google Maps | Ghatah Siput Bakaq

Waktu operasi :
Jumaat - Isnin | 4.30 petang - 9 malam
Dibuka pada setiap hari cuti sekolah/cuti umum/cuti perayaan | 4.30 petang - 9 malam