Tuesday, 13 December 2022

Lantana Villa, Bangi

Lantana Villa yang terletak di Bangi Golf Resort, Bangi, Selangor ini merupakan tempat reunion saya dan sahabat LabuLadies pada penghujung bulan November lalu. Sebuah rumah besar 3 tingkat dengan tatarias mewah dan dilengkapi pelbagai kemudahan. 

Lantana Villa menawarkan :
  • 6 buah bilik tidur (sebuah di tingkat bawah, 4 buah di tingkat dua & sebuah lagi di tingkat 3).
  • Bilik air ada di setiap bilik tidur, kecuali bilik tidur tingkat bawah perlu guna bilik air berasingan. Terdapat 3 buah bilik air yang berasingan dari bilik tidur. Memang cukup banyak.
  • Kolam renang untuk dewasa & kanak-kanak.
  • Lif
  • Bilik karoake di tingkat bawah.
  • Perpustakaan mini di tingkat 3.
  • Pool table di tingkat 3.
  • Ruang solat di tingkat 2.
  • Ruang menonton di tingkat bawah & tingkat 2.
  • Dapur dilengkapi peralatan memasak dan peralatan makan, peti sejuk, mesin air minuman sejuk & panas.
  • Ruang parkir untuk 7 buah kereta di dalam dan ruang parkir luas di luar/tepi rumah.

Jom kita melawat rumah ni melalui foto-foto yang sempat saya rakam semasa menginap selama 2 malam di Lantana Villa. Ada beberapa foto kredit kepada sahabat LabuLadies.

Lantana Villa dari luar. Boleh parkir di dalam atau di luar rumah (ada kawasan lapang di bahagian tepi rumah).


Tingkat bawah

Ruang tamu rumah. Saya rakam foto zoom-out dari tingkat 2 supaya boleh nampak gambaran keseluruhan ruangan. Dari foto ini kita boleh nampak tangga untuk ke tingkat atas, lif dan bilik karaoke yang terletak berhampiran tangga.

Ruang dapur yang cukup lengkap dan selesa digunakan sepanjang kami di sini. Foto ni saya rakam dari tingkap cermin kecil memanjang yang menjadi pemisah antara dapur dan laluan ruang tamu ke ruang makan & ruang menonton.

Pintu dalam foto di atas tu merupakan pintu menuju ke bilik tidur bersaiz kecil dan ada sebuah pintu untuk kita keluar ke bahagian tepi rumah. Ada ampaian penyidai di situ, mudahlah kalau kita nak menyidai apa-apa sepanjang menginap di sini.

Ruang makan dengan sebuah meja panjang muat untuk 10 orang terletak di sebelah kiri gambar. Kanan tu dapur tadi, ada kaunter bar sebagai pemisah ruangan. 2 buah meja bulat tu bukanlah susun atur asal rumah ni, tapi kami letak situ sesuai untuk makan-makan reunion kami. Ada sebuah lagi kami letak di tepi kolam renang. Meja dan kerusi tersebut memang ada disediakan, kita cuma perlu susun dan kemas sendiri. Alas meja dan hiasan meja tu tak disediakanlah ya.

Ruang menonton tingkat bawah. Kiranya kalau kita berjalan masuk dari ruang tamu, sebelah kanan ada dapur dan ruang makan, manakala sebelah kiri ruang menonton. Pintu di belakang sofa tu menuju ke kolam renang.

Inilah kolam renangnya. ‘Angsa’ dan ‘unicorn’ tu tak tersedia ya, kami bawa dan pam sendiri. Pam guna alat pam kaki, tak susah tapi kena bergilir mengepam sebab angsa tu besar sangat lenguh jugak kaki mengepam.

Sepanjang menginap di sini, saya cuma sempat sekali je masuk kolam renang ni. Bolehlah merasa jadi orang kaya, masuk kolam renang di rumah bukan di hotel. Sambil tu boleh berfoto aksi itu ini untuk majalah Manggis πŸ˜†. Aksi majalah Mangga tak boleh ya, ada 2 buah CCTV sedang merakam.


Tingkat 2

Kita boleh pilih nak naik lif atau anak tangga ke tingkat atas. Tapi lif tak boleh naik ramai-ramai. Jadi lebih cepat dan mudah naik je tangga. Kecuali angkat barang tu saya naiklah lif.

Naik je tangga ke tingkat 2, kita akan nampak ruang menonton ni. Tenang dan cantik dekorasinya. Tapi sepanjang kami di sini, tak pernah pun ada yang sempat menonton di sini. Ruang ni kami jadikan ruang aktiviti kerohanian (solat berjemaah subuh/maghrib/isyak, bacaan al-Ma’thurat dan tazkirah/perkongsian). Dari ruang ini kita boleh menjenguk ruang tamu dan pintu masuk utama di tingkat bawah.

Inilah laluan dari tangga/ruang menonton tadi untuk ke bilik-bilik tidur dan ruang solat. Sebelah kiri terdapat tingkap untuk kita melihat ke ruang tengah rumah (tempat kami berfoto dengan belon-belon dalam entri INI). Sebelah kanan laluan terdapat 3 buah bilik tidur dan ada sebuah lagi di sebelah kiri.

Salah sebuah bilik tidur di sini. Inilah bilik penginapan saya, luas dan cukup selesa lengkap almari dan cermin besar. Sofa tepi katil tu boleh ubah jadi tempat tidur. Muatlah dua orang tidur di situ.

Malam pertama saya tidur di bilik ini bersama 2 orang sahabat. Malam seterusnya, bilik ni menjadi penginapan saya bersama 5 orang sahabat - dua orang tidur di katil, dua orang di sofa bed, seorang lagi di air mattress (bawa sendiri) dan saya memilih tidur di luar.

Inilah ruang solat yang terletak di tengah antara 4 buah bilik. Dah siap diatur arah kiblat, tempat imam dan turut disediakan sejadah. Kalau solat sendiri atau berjemaah beberapa orang saja, kami solat di sini.

Di sini juga menjadi tempat saya tidur bersama 2 orang sahabat pada malam kedua. Kelengkapan tidur memang AJK dah pesan bawa sendiri ikut keselesaan masing-masing, jadinya saya siap bawa sleeping beg (boleh jadi sebagai alas tidur dan selimut, 2 in 1). Malam kedua ni kami tidur tanpa pasang alat pendingin hawa mahupun kipas angin, tetapi kami tetap rasa sejuk. Mungkin lantai mozek di sini jenis yang sejuk.

Inilah bilik air ‘terbuka’ yang saya sebut dalam entri DI SINI. Walaupun bilik air ini berada di ruang tertutup sama seperti bilik air biasa, tetapi ia ‘terbuka’ kerana berdindingkan cermin. Apa yang kita buat di dalam bilik air ini tidaklah menjadi rahsia peribadi kerana orang yang lalu boleh nampak segala-galanya πŸ˜‚.

Bilik air ni terletak di dalam sebuah bilik tidur paling luas yang ada di tingkat 2. Di sini juga terdapat sebuah tangga spiral yang menjadi penghubung untuk kita ke tingkat 3. Jadinya kalau kita tak naik lif, tetapi nak naik tangga maka kita perlu melalui bilik air ‘terbuka’ ni. Macam mana nak guna bilik air ni? Pandai-pandailah ya! Kalau tak pandai, guna je bilik air berasingan yang ada di luar atau guna bilik air di bilik-bilik lain.


Tingkat 3

Menurut saya, inilah tarikan utama yang ada di tingkat 3 - sebuah perpustakaan mini. Pertama kali saya naik ke tingkat atas dengan menggunakan lif, mata bersinar gembira apabila keluar dari lif ‘disambut’ dengan pemandangan indah begini. Bahagia sungguh kalau beginilah rupa perpustakaan mini milik saya. Terbayang-bayang yang di sudut sana nak susun buku apa, yang di sudut ini nak susun buku apa pula.

Inilah satu-satunya bilik tidur yang terdapat di tingkat 3. Bersambung dengan perpustakaan mini tadi. Bilik tidur ni unik rekaannya, ada ruang kita boleh melihat bilik tidur di bawahnya (iaitu bilik tidur dengan bilik air ‘terbuka’). Entah apa fungsinya.

Nampak pintu di hujung sana? Itulah laluan untuk kita ke bahagian yang separa terbuka.

Sebuah ruang luas separa terbuka. Ada disediakan sinki dan set kerusi meja. Juga ada peralatan senaman dan di sinilah terletaknya bilik yang menempatkan pool table. Cantik pemandangan dari atas ni. Tapi kalau nak makan-makan di atas ni agak leceh juga nak bawa naik turun makanan dan peralatan. Jadinya tempat ni kami buat aktiviti permainan berkumpulan.

—————————————————————————
Alhamdulillah secara keseluruhannya semua orang berpuashati dengan pemilihan tempat ini. Cukup luas, lengkap segala kemudahan dan cantik tatarias setiap ruangan. Pendek kata, sangat selesa πŸ‘πŸ½

Kalaupun nak mencari kekurangan rumah ini, ada 2 perkara yang kurang seronok. Pertama, lif kerap gagal berfungsi. Kena tekan itu ini baru boleh guna semula. Kedua, lantainya yang sangat licin. Kena hati-hati melangkah apa lagi kalau pakai stokin terasa lebih licin.

Berapa kos penginapan di Lantana Villa? Kami bayar RM5,500 untuk 2 malam. Mahal kalau bayar sendiri, tapi tak begitu terasa bila berkongsi bayar ramai-ramai. Lagipun bukan setiap tahun buat reunion, beberapa tahun sekali je dan bertukar-tukar tempatnya.





22 comments:

  1. puas hati betul kak cantik tempatnya kalau la dapat rumah sendiri macam ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. Akak pulak tak mau rumah sendiri besar gini, penat nak jalan πŸ˜„

      Delete
  2. Dalam banyak2 bilik ni, bilik perpustakaan tu yg paling menarik minat saya kak Ujie.

    ReplyDelete
  3. cantik & selesa betul banglo....kerusi plastik dkt dapur tu nmpk 'out-of-place', rupanya perabut tambahan...hihi...yg paling best 'mini library' tu...sejuk mata memandang, gaya Islamik..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semua nampak mewah, tetiba ada set meja makan kerusi plastik ya πŸ˜„

      Mini library tu memang semua kitab2 je. Saya datang untuk bergambar bolehlah, nak baca tak reti 😁

      Delete
  4. cantiknya villa ni.... best juga kan sesekali reunion datang tempat yg cantik mcm ni...tk rugi pon asalkan servis puas.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul, bila lagi nak merasa duduk villa mewah..hehe

      Delete
  5. Cantiknya rumah orang ada-ada :D
    Paling sy suka ruang solat tu...
    Seronok kalau dapat buat family day di sini

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang sesuai sangat berfamily day di sini.

      Delete
  6. Cantiknyaaaa!!! Semua ruang best.. tp nk tinggal tu kalau x ramai2 seram jugak... sapalah ownernya... nak maintain pn dh sekian ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul Mim, kalau setakat beberapa orang je memang seram. Kami yang ramai 35-40 orang orang malam tu pun tak terasa ramai bila masing-masing duduk bilik/ruangan sendiri πŸ˜…

      Delete
  7. Tersenyum sendiri bila sebut aksi Majalah Mangga tu🀭
    Al- Fatihah untuk MamaJuwei🀲

    ReplyDelete
  8. HUih memang cantik sangat kak, sesuai dengan harganya kak. Betul bila kongsi ramai-ramai tak rasa mahalnya, puas hati tengok lah dengan cantik elok dekonya memang bahagia betul.

    ReplyDelete
  9. Harga tu berbaloi lah dengan saiz, kemudahan dan keselesaan. Ya, kalau bayar ramai-ramai tak terasa sangat.

    ReplyDelete
  10. Cantik rumah. Hehe tapi kalau rumah sendiri saya ubah bilik air boleh nampak itu. Macam tidak sesuai untuk ramai-ramai.
    Pandai siapa yang cari rumah ini untuk buat aktiviti. Rasa berpatutan harga dengan keluasan.

    ReplyDelete
  11. cantik rumahnya..yang paling menarik ada lift dan perpustakaan tu..pemandangan kat luar pun nice.. :)

    ReplyDelete
  12. Seronoknya kalau ada Villa macam ni. Serba serbi cantik. Meja kayu, hallway, bilik air, ruang perpustakaan mini, dapur..semualah nampak tenang dan mewah. Tak lepaskan peluang merakam setiap ruang dan berposing sakan. Bolehlah jadi orang kaya sekejap posing kat swimming pool. View luar pun menarik sangat.

    ReplyDelete
  13. Kalau bayar secara berkongsi, tak terasa harganya.. Lagipun bukan selau kan buat reunion.. Tapi yang paling menggoda dah tentulah perpustakaan mini tu.. Cantik sangat..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****