Sunday, 24 March 2024

Catatan Hujung Minggu

Semalam (hari Sabtu 23 Mac 2024) seawal pukul 8.30 pagi saya dan Encik Suami keluar menuju ke bandar Kangar yang terletak kira-kira 25 km dari rumah. Ada beberapa tempat menjadi tujuan kami termasuklah membeli keperluan rumah.

Suasana aliran trafik di suatu tempat di bandar Kangar, tenang tanpa kesibukan kenderaan. Seronok jugak dapat menetap di negeri kecil kurang penduduk ni, aman damai. Kadang-kala rasa seperti hidup di zaman berbeza, maklumlah sebelum ni kami menetap di tempat-tempat yang sibuk dan sesak.

Balik rumah, waktu petangnya saya masuk ke dapur. Kemas barangan yang dibeli dan bersihkan ayam yang dibeli dari pasaraya Jmart. Encik Suami beli dua ekor ayam dan minta potong kecil untuk masak sup. Bagusnya tukang potong ayam tadi, bukan saja ayam dipotong kecil malah siap potong hujung kaki ayam 😃. Kerja bersihkan ayam kali ni terasa lebih mudah!

Sebahagian daripada ayam ini saya buat masak sup untuk waktu sahur. Saya masak banyak sekaligus sesuai untuk empat kali makan. Lauk siap masak ni saya simpan dalam chest freezer yang baru dibeli menjelang Ramadan lalu. Saya ni tak rajin nak masak selalu, pulak tu yang makan cuma dua orang. Senang sekali masak terus buat stok ‘ready to eat’ 🤭

Ikut plan, saya nak masak mi goreng buat berbuka. Tapi rasa malas pulak, agaknya tadi dah kepenatan masak sup ayam 😅. Encik Suami ajak ke Padang Besar untuk mengisi minyak kenderaan kerja dan sambil tu bolehlah kami ke bazar Ramadan buat kali pertama. Jarak dari rumah ke Padang Besar kira-kira 20 km. Perjalanan ke Padang Besar lebih mudah dan lancar sebab jalannya lurus je.

Dari dalam kenderaan, sempat saya merakam foto pemandangan indah hamparan pokok lalang memutih berlatarkan perbukitan batu kapur di Jalan Chuping-Padang Besar. Kebanyakkan kawasan yang terbakar tempohari dah berganti dengan pokok lalang. Warna hitam bertukar menjadi warna putih.

Tiba di pos kawalan sempadan. Padang Besar terletak di sempadan Siam (Thailand), pergerakan keluar/masuk Padang Besar perlu melalui pos kawalan ini. Biasanya kalau kami lalu sini pada hujung minggu, akan berderet kenderaan dari kedua-dua hala. Tapi kali ini lengang, mungkin sebab bulan puasa orang tak berjalan.

Kami ke bazar Ramadan di Jalan Kok Mak, Padang Besar. Lokasinya bersebelahan Masjid Usmaniah. Ada ruangan parkir yang luas di hadapan masjid dan kawasan bersebelahan. Bazar Ramadan yang indah di mata saya sebab berlatarkan pemandangan pokok-pokok kelapa dan bukit batu kapur. Kelihatan juga sekumpulan kambing sibuk mencari makan di belakang gerai jualan. Orang tengok makanan, saya tengok pemandangan 😄

Berbeza dengan bazar Ramadan di bandar yang sesak dengan manusia, suasana di sini tenang je. Berderet panjang gerai jualan di sini, tetapi menurut saya tak begitu banyak pilihan makanan. Saya jadi kurang teruja nak membeli, tapi baguslah begitu kan.

Saya beli kuih tako RM2/pek. Biasanya saya makan kuih tako ada hirisan sengkuang cina, tapi yang ni ada ketulan jagung di bawahnya. Kuih tako ni masih mengekalkan ciri tradisional, iaitu menggunakan bekas daun pandan. Bahagian sambungan daun pandan dilekatkan dengan pita pelekat jernih.

Makanan lain kami beli - bihun sup utara RM7, ayam percik RM6, kuih karipap putar 4 biji RM3 dan air teh ais cincau saiz besar RM6.

Pagi tadi (hari Ahad 24 Mac 2024), morning walk bersama Encik Suami. Tengah berpuasa ni kita jalan sikit-sikit jelah. Sempatlah saya memotret di kawasan tanaman pokok jati yang meninggi. Dedaunnya kekeringan dek musim kemarau berpanjangan.

Suhu pukul 3.10 petang tadi. Lokasi semasa menunjukkan ‘Kangar’ walaupun kedudukan rumah saya ni sebenarnya jauh dari bandar Kangar dan kalau buat carian Kangar, lain pula bacaannya. Maksudnya, nama tempat je sama tapi berbeza bacaan.

Beginilah bacaan suhu di sini sepanjang minggu, suhu maksima berlegar sekitar 37℃ - 39 ℃ menjadikan negeri ini menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) berada pada status cuaca panas Tahap 2 Gelombang Haba (suhu maksimum harian melebihi 37 ℃ hingga 40 ℃ sekurang-kurangnya 3 hari berturut-turut).

Semalam khabarnya di bandar Kangar dan beberapa tempat lain di Perlis menerima hujan, tetapi nampaknya hujan masih belum mahu turun di tempat saya. Insya Allah tunggu sajalah masanya pasti tiba.






.

36 comments:

  1. Take care. Memang suhu tinggi sekarang ni.
    Wahhh hujung kaki ayam pun dipotong siap. Bagus nya penjual.
    Lengang betul Bazar Ramadhan di Padang Besar. Sedap nampak kuih2.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah...jarang jumpa kaki ayam siap potong kan? Teliti orang yang buat kerja.

      Delete
  2. Panasnya suhu. Seronok pula tengok lengang lengang saja di sana.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul, kita rasa seronok sebab tak payah berasak. Tapi mungkin peniaga tak seronok penawaran melebihi permintaan.

      Delete
  3. Seronoknya bawa kereta tidak perlu hadap kesesakan jalan raya.
    Oh! Saya masa bulan puasa tiada buat aktiviti jalan laju. Takut juga terdehidrasi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya jalan santai je ni NA dan sekejap. Susah nak stop walau sehari, rasa ada sesuatu yang kurang kalau tak jalan-jalan kat luar sehari 😄

      Delete
  4. Uncle pernah jumpa kaki ayam yg dah masak tapi lupa potong hujungnya... Seram la pulak rupanya!

    ReplyDelete
  5. Perlis antara negeri terpanas skrg ni. Gombak alhamdulillah 3 hari berturut² hujan sebelah petang 🤲
    Bezanya harga kuih tako tu dgh dekat sini... 4 ketul RM5 PU 😏

    ReplyDelete
    Replies
    1. Makk ai...seketul jadi rm1.25! Tak tau la kot rasa lebih sedap dan saiz lebih besar.

      Delete
  6. suhu panas btul ....kuih tako isi jagung tkpernh lg mkn..biasa mkn yg isi sengkuang

    ReplyDelete
  7. Sy boleh bayangkan betapa panasnya di sana. Dulu, zaman baru² kahwin setiap kali balik kampung, mesti naik ke Padang Besar, kalau lalu kat Chuping tu, memang kagum tengok pemandangan yg terbentang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dua puluh tahun dulu, saya ada beberapa kali ke Padang Besar, tapi entah kenapa tak ada memori pemandangan di Chuping. Sekarang dah duduk sini, pandanglah puas-puas 😀

      Delete
  8. Tempat saya pun bentar lagi masuk musim panas,tapi saya cek di hp suhu saat ini 29 derajat ,lumayan sejuklah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Beza 10 darjah dari tempat saya, memang cukup selesa.

      Kami di sini pula tak lama lagi masuk musim hujan. Bergantian kita ya 😄

      Delete
  9. Nyaman ya Mbak tinggal di daerah dengan suasana trafik yang tidak padat. Sepertinya juga masih ada sawah disana dan suasana masih asri.

    Salam,

    ReplyDelete
    Replies
    1. Iya, di sini banyak sawah. Sektor pertanian antara penyumbang besar ekonomi Perlis.

      Delete
  10. fuhhhh 39! Ana kat Selatan Perak ni 34-36 pun dah terasa sgt bahangnya.. Allah panas betul cuaca berpuasa kalini

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ujian besar Ramadan tahun ini. Lebih lagi mereka yang perlu bekerja di luar bangunan.

      Delete
  11. Saya sukaaa bazar ramadhan yg tak terlalu ramai ini 😍😍. Jadi lebih selesa memilih. Tak apa pilihan hanya terbatas, malah bagus, jadi tak banyak godaan membeli 😄.

    Jakarta lagi hujaaan selalu kak..memang terbalik kondisinya yaa. Waktu Malaysia Bbrp waktu lalu, jakarta pula panas bahang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada baiknya kan pilihan terbatas 😄

      Tak lama lagi sini masuk musim hujan, mungkin bergantian sana musim panas pula.

      Delete
  12. wahh suhu kat Pontian district pun dh sejuk, mcm nk balik kampong nih., hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Masai tak sejuk macam Pontian ya Wak? 😀

      Delete
  13. Dulu masa kawasan tu ditanami tebu gula cantik sangat saujana mata memandang dengan pokok tebu..sekarang hanya lalang..Ujie dah try ka laksa kol perlis makan dwngan pulut udang?🤭

    ReplyDelete
    Replies
    1. Baru sekali je ke Kuala Perlis sejak pindah sini 😄
      Sempat merasa laksa tapi tak makan dengan pulut udang. Macam mana tu? Pulut udang masuk dalam laksa ka? Nanti saya tanya adik ipar yang dah jadi orang sini 😁

      Delete
  14. seronok membeli bila tenang ni kan
    tak mcm kl aduhaii sesakk

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kat KL nak bergerak pun selangkah demi selangkah 😅

      Delete
  15. Sama dengan saya, kalau pergi bazaar lebih suka tengok pemandangan/gelagat orang dari tengok makanan yang dijual.

    Suka dengan suasana di sana, rasa tenang. Alangkah menariknya kalau saya pindah dok sana tapi apakan daya, family masih ada di sini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang seronok bab tenang, tapi bab harga dan pilihan barangan sebahagiannya agak mahal dan terhad. Nak lebih pilihan kena ke Kedah/Penang. Ada pro & kontra hidup di negeri tenang 😄

      Delete
  16. Seronok dapat duduk di tempat yang aman damai tak sibuk. Bagus kalau peniaga bersihkan dengan elok. Biasanya kalau beli ayam, kami taknak kaki, leher, organ dalam dan buang kulit sekali. Balik tinggal bersihkan saki baki lemak dan mana dalaman yang melekat tu. Senang kerja. Cantiklah suasana lalang tu, buat port bergambar cantik tu. Ohh tako ada letak jagung juga selain sengkuang. Teringin pulak nak makan tako. Syukur beberapa hari ni hujan walaupun sekejap.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lagi mudah gitu ya Fiza, mintak dia buang semua tu.

      Tempat tu dah ada yang buat video drone di TT. Memang cantik view dari atas. Tapi kena hati-hati ni kawasan hutan belukar ada risiko ular 😄

      Agaknya style sini, tako letak jagung. Alhamdulillah nyaman sikit kalau ada hujan sekejap pun.

      Delete
    2. Ye, lebih mudah dan tak membazir. At least kulit, kaki, leher dan organ dalaman tu dorang boleh jual semula daripada saya buang je sebab tak makan.

      Ohh ye tak ye jugak kan. Risiko ular ni musim panas suka menyorok tempat lembap bawah-bawah rumpun.

      Delete
  17. 39 darjah selsius.. Panas tu..

    ReplyDelete
  18. kaki ayam tu kalau dibuat sup pun sodap...

    ReplyDelete
  19. Rindu nak pergi Bazaar Ramadhan di Perlis... Harga pun murah sket :D

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****