CATATAN KEMBARA 8 HARI 7 MALAM DI BUMI HARAMAIN
Hari Kedua | Rabu, 8 April 2026
Sambungan entri terdahulu —> Melaksanakan Rukun Umrah | Tawaf - Saie - Tahallul
Menyambung catatan hari kedua di bumi haramain.
Tak terasa hari pertama di Mekah kerana saya tiba dan mendaftar masuk hotel sudah pun menghampiri tengah malam - hari pertama habis dalam perjalanan.
Masuk saja hari kedua selepas waktu tengah malam, bermulalah langkah pertama ke Masjidil Haram seterusnya melaksanakan rukun umrah seperti yang saya catatkan dalam entri terdahulu.
‘Jet lag’ | Menempuh penerbangan selama 9 jam ke Jeddah, kemudian menaiki bas kira-kira 2 jam ke Mekah dan terus selesaikan ibadah umrah sebaik tiba - membuatkan badan saya rasa letih lesu. Situasi ini berlarutan selama beberapa hari. Antara usaha yang saya lakukan - minum ORS (oral rehydration salt) juga vitamin harian - Vitamin C dan Omega 3 Fish Oil.
Mungkin ini kekurangannya jika kita masuk ke Mekah terlebih dahulu - badan tak sempat berehat dan sesuaikan diri dengan perbezaan masa 5 jam, tetapi kelebihannya kita sudah pun selesai tujuan utama iaitu menunaikan umrah pada detik awal tiba di tanah suci.
Sarapan di Hotel | Pakej penginapan saya dan Encik Suami di Mekah termasuk makan sarapan. Kami pergi ke dewan makan agak lewat iaitu sekitar pukul 9 pagi. Hotel kami terletak di Safwah Tower yang menempatkan beberapa hotel lain. Nak cari dewan makan hotel pun agak keliru, pusing sana sini tanya orang barulah jumpa.
Banyak pilihan makanan tetapi bukanlah selera nusantara. Makan sajalah janji perut berisi.
Solat dan Tawaf Sunat di Aras 1 | Alhamdulillah badan saya terasa sedikit segar selepas tidur dan bangun beberapa kali (sejak selesai ibadah umrah kira-kira pukul 2.50 pagi tadi). Tenaga dah ada bolehlah beribadah di Masjidil Haram.
Waktu solat Zohor masuk pada pukul 12.23 tengah hari. Kami berdua menuju ke Masjidil Haram lebih kurang satu jam sebelum masuknya waktu Zohor.
Tiada perancangan nak masuk ikut pintu mana, terpandang ramp ini kami terus saja ikut arus para jemaah masuk ikut laluan ini. (Foto di atas saya rakam ketika selesai solat, sebab tu nampak ramai jemaah di laluan Exit.)
Tertera papan tanda arah laluan ini menuju ke First Floor Tawaf. Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Lampu hijau di tempat permulaan tawaf. Kami sempat melakukan tawaf sunat sebanyak tiga pusingan, kemudian berhenti apabila laungan azan Zohor berkumandang.
Allahu Akbar…syahdu dan nikmat sungguh rasanya mendengar laungan azan ketika diri berada dalam Masjidil Haram.
Jauh berbeza ya bila kita melakukan tawaf di mataf aras 1 berbanding di mataf aras bawah - suasana lebih tenang tanpa perlu bersesak, tetapi jaraknya lebih jauh kerana pusingan lebih besar.
Info | Mataf bermaksud tempat tawaf. Mataf bukan saja di aras bawah iaitu dataran paling hampir dengan Kaabah tetapi juga di aras lebih tinggi. Mataf aras bawah hanya untuk mereka yang memakai pakaian ihram.
Tak sempat nak cari ruang solat muslimah yang ada alas karpet, saya solat je di tempat berhampiran dengan lampu hijau sebab nanti nak sambung melakukan tawaf sunat. Masa beginilah pentingnya kita bawa sejadah sendiri - boleh solat di mana-mana sesuai.
Kawasan di hadapan saya (selepas penghadang warna putih hijau) itulah kawasan mataf, boleh nampak Kaabah ketika melakukan tawaf.
Biarpun bukan di atas karpet yang selesa dengan pemandangan Kaabah di depan mata, ia tetap menjadi detik manis buat saya kerana dapat menunaikan solat fardu berjemaah di Masjidil Haram.
Selesai solat Zohor dan solat jenazah, saya beredar bagi menyambung tawaf. Saya toleh ke belakang. Barulah saya perasan begitu ramai jemaah sedang menunggu untuk masuk. Petugas keselamatan menahan mereka sehingga solat jemaah selesai dan para jemaah bersurai.
Saya dan Encik Suami bertemu di lampu hijau, kembali melakukan tawaf sunat yang berbaki empat pusingan. Semasa sedang berjalan, ada seorang lelaki menegur kami. Katanya, “Malaysia?”. Saya ragu-ragu nak menjawab kerana hampir terkena dengan scammer pada awal pagi tadi di tempat saie. Encik Suami yang membalas. Lelaki tersebut tersenyum, “Good…” katanya lagi sambil meneruskan langkah.
Antara nikmat berada di Masjidil Haram, kita dapat minum air zamzam sepuasnya. Hampir setiap kali masuk masjid dan sebelum beredar, saya tak lepaskan peluang untuk menikmati air zamzam.
Dalam foto di atas ni tong air zamzam berada pada kedudukan sedikit tersorok, tiada orang jadi mudahlah saya rakam fotonya. Latar foto juga menunjukkan kerja penyelenggaraan dijalankan sebaik selepas selesai solat jemaah Zohor.
Pemandangan semasa menuruni laluan ramp untuk kembali ke hotel di Al Safwah Tower.
Laluan masuk ke Al Safwah Tower. Sentiasa meriah kerana selain menempatkan beberapa buah hotel, di bangunan ini juga terdapat pasaraya, food court dan deretan kedai jualan.
Suasana Petang dan Senja di Dataran Masjidil Haram | Selepas Asar, jemaah kumpulan kami perlu berkumpul di Elaf Hotel untuk sesi post-mortem umrah. Seorang petugas Rayhar membawa kami dari lobi hotel penginapan kami ke Elaf Hotel. Tak begitu jauh tapi kedudukannya agak tersorok di celah bangunan.
Pukul 4.44 petang. Suhu ketika ini 33 darjah Celsius.
Sesi post-mortem umrah bertujuan bagi memastikan ibadah umrah yang telah dilakukan awal pagi tadi memenuhi syarat dan rukun. Sesi ini berakhir kira-kira pukul 6.05 petang.
Suasana senja nan indah di pekarangan Masjidil Haram. Foto dirakam ketika dalam perjalanan kembali ke hotel penginapan.
Food Court Safwah Tower | Pakej penginapan kami tidak termasuk makan tengah hari dan makan malam. Jadinya kami beli sendiri makanan di food court yang terletak di dalam bangunan Safwah Tower. Kiranya tak susahlah bab cari makan, food court dan hotel berada di bangunan yang sama.
Terdapat banyak pilihan gerai makanan termasuklah cita rasa Malaysia yang dijual di restoran Felda D’Saji. Sepanjang di Mekah, saya tak cuba membeli di Felda D’Saji. Mungkin tekak belum rasa rindu sebab kami baru saja tiba dari tanah air dan berada di Mekah hanya beberapa hari.
Begini rupa food court di sini. Tak banyak meja makan disediakan. Kami beli dan makan di bilik je, lebih selesa.
Antara pilihan yang ada.
Hidangan tengah hari kami - nasi kabsah kambing / 30 riyal dan minuman alpukat (avocado) / 10 riyal. Beli nasi tu siap diberi alas plastik makan, kami jadikan hamparan alas makan dalam bilik.
Hidangan makan malam - shawarma / 12 riyal, martabak cheese / 15 riyal dan dua jenis minuman / 18 riyal.
Catatan rekod berjalan kaki sebanyak 24,214 steps. Boleh bayangkanlah bagaimana penatnya badan dan letih kaki pada hari tersebut. Waktu awal pagi selesaikan rukun umrah (tawaf-saie) dan tengah hari buat tawaf sunat.
Terima kasih Allah atas kurniaan kudrat buat saya terus melangkah walau diri rasa lelah.
















Balik Malaysia nikmati semula menu nusantara... nanti selera rindu kat menu arab pulak...
ReplyDelete😀
DeleteTapi kan, setakat ni saya tak rindu menu sana. Makanan kita lebih menyelerakan.
Banyak kena berjalan/bergerak bila buat umrah/haji ni. Steps pun banyak la dapat kan :)
ReplyDeleteKalau buat haji lagilah banyak steps kan 😀
DeleteSeronoknya menjadi tetamu Allah. 24k steps, 16km banyak juga berjalan tu.
ReplyDeleteDengan bentuk muka bumi berbukit, memang agak mencabar jalan banyak gitu.
DeleteHebatlah Ujie, sampai 24k steps sehari! Tapi memang betul, bila berada di Tanah Suci ni, penat tu tolak tepi sebab rasa seronok dan teruja nak beribadah. Alhamdulillah, rezeki Ujie dan suami dapat peluang buat tawaf sunat di aras 1 dengan tenang..
ReplyDeleteAllah bagi kudrat...dapatlah terus melangkah dalam keadaan penat badan kaki.
DeleteAlhamdulillah memang jauh lebih tenang tawaf di aras 1, tapi lebih jauh pusingannya, lebih penat.
Seronoknya jd tetamu Allah
ReplyDeleteRinduuu nk jejak lg ke sana
Semoga Allah jemput ciknur
InsyaAllah…moga CikNur dan kita semua diberikan rezeki ke sana lagi.
Deleteoh akak duduk di safwah tower rupanya. saya datang around 2-3 kali kot kat situ utk shopping dan cari makanan hihi
ReplyDeleteduduk mekah, madinah ni kalau tak lebih 10k steps dala sehari memang tk sah!
Hehe..iya, situ banyak kedai. Akak je yang tak berapa sempat nak meronda situ sebab stay sekejap je kan.
DeleteItulah, memang senaman kaki sungguh. Lagi pulak di Mekah jalan berbukit 😄
Sup apa yang Puan Ujie makan pada gambar pertama?
ReplyDeleteOh takde makanan tengahari dan malam disediakan. Macam saya dahulu ada sebab itu tidak fikir hendak beli makanan cuma beli jajan.
Sup lentil, kalau tak silap ingatan saya.
DeleteIya, pakej ni cuma makan sarapan. Tapi bagus jugaklah sebab boleh cuba makanan di tempat lain.
Menariknya makanan dalam food court Safwah Tower tu. Macam-macam ada. Boleh rambang mata kalau KSarie ni. Ramai yang berkongsi mendengar azan di Masjidil Haram itu syahdunya lain macam. Menusuk betul ke kalbu
ReplyDeleteTerubat rindu tgk gambar2 kak Ujie...
ReplyDeleteKalau saya dulu, Mekkah juga tujuan pertamanya, tp saya baru merasa jetlag saat balik ke jakarta kak. Itu dah macam zombie di kantor 🤣🤣. Tak bisa tidur malam, paginya baru mengantuk. Tp dah harus kerja. Saat di tanah suci biasa saja mata dan badan 😄.
ReplyDeleteTeringin nak balik lagi, belum tahulah kapan bisa. Apalagi ingin ajak anak2 juga
Rindunya Mekah. Moga diizinkan ke sana lagi. Thanks for sharing Ujie.
ReplyDelete