Monday, 18 May 2026

Kudapan Tradisi Perlis | Ringgi Jagung Kelapa

Hari ini Isnin cuti umum gantian bagi negeri Perlis sempena Ulang Tahun Keputeraan DYMM Raja Perlis yang jatuh pada hari Ahad. Kebetulan pula saya ada urusan di Maybank, jadinya pagi tadi saya ke cawangan di Changlun, Kedah yang terletak kira-kira 25 km dari rumah. Jarak yang sama jika saya ke bandar Kangar, kiranya kedudukan saya di tengah-tengah - boleh pilih nak buat urusan di Kangar, Perlis atau Changlun, Kedah.

Ceritanya, saya sangat gembira dan puas hati dengan servis di Maybank Changlun - proses buat kad baharu cuma memakan masa sekitar 35 minit! Pelanggan agak ramai, tapi kaunter yang dibuka pun banyak jadi tak perlu tunggu lama. Staf lelaki di kaunter juga mesra dan sangat membantu memudahkan urusan saya yang dah sekian lama tak berurusan dengan bank. Siap berseloroh…sekarang Perlis tinggal 7 oranglah sebab Puan ke Kedah πŸ˜†

***

Berbalik kepada tajuk entri, hari Ahad minggu lepas (10 Mei 2026) saya dan Encik Suami ke Nat Pokok Getah di Arau. Walaupun menetap di Perlis, sesekali je saya ke sini sebab jaraknya agak jauh dari rumah.

Suasana jalan raya di kawasan nat (pasar pagi) pada awal pagi - masih belum sesak dengan kenderaan orang-ramai, cuma kenderaan peniaga memenuhi bahu jalan bagi menurunkan barang jualan. Kami suka datang awal bagi mengelakkan kesesakan.

Moi
Kita sarapan dulu! Menu utama di gerai ini hidangan berasaskan sup - bihun sup dan moi sup. Saya makan bubur nasi dengan sup ayam, loghat tempatan panggil moi (bubur nasi). Sambal merah disediakan dalam mangkuk di tengah meja, tapi setakat ni saya masih belum boleh sesuaikan tekak makan sup dengan sambal merah - dah terbiasa makan hidangan sup dengan sambal kicap.

Perut kenyang, jomlah kita membeli…

Segar dan menarik untuk dibeli. Saya beli cili api hijau, cili api merah dan kunyit dalam kuantiti yang banyak untuk buat pes masak lemak cili api (MLCA). Beli juga beberapa batang pokok ketumbar - bukan daunnya saja, saya gunakan akar ketumbar dalam masakan tomyam dan sup ayam.

Beli telur puyuh 30 biji buat masak telur puyuh balado.

Murah harga telur ayam ni, cuma RM6/sepapan. Kalau beli dua papan cuma RM10. Telur saiz kecil, entah gred apa. Saya beli telur saiz besar sedikit RM8/sepapan, tapi beli 15 biji je jadinya bayar RM4.

Gerai menjual makanan tradisi. Saya tanya penjual yang warna hijau tu apa? Katanya emping. Saya beli sebekas nak merasa. Kalau tak silap ingatan saya, harganya RM5.

Jomlah kita balik, dah sakit bahu Encik Suami angkut beg biru Ikea berisi hasil shopping πŸ˜„. Masa ni keadaan jalan raya semakin sesak. Kena hati-hati berjalan sebab bahu jalan pun hampir tiada, dah dipenuhi gerai jualan.

Ringgi jagung kelapa
Ringgi jagung kelapa.
Ringgi Jagung Kelapa | Inilah makanan tradisi yang saya beli tadi. Mungkin ramai yang dah biasa makan emping tapi ia agak asing bagi saya.

Carian saya mendapati, makanan ini lebih tepat dipanggil ringgi - ia dihasilkan daripada padi pulut muda, diketam sebaik saja padi berisi. Berbeza dengan emping, ia dihasilkan daripada padi pulut yang hampir masak. [Rujukan : perlislib.gov.my]

Ringgi jagung kelapa - ringgi gaul jagung dan kelapa parut putih. Tekstur ringgi lembut dan agak kenyal. Rasa kudapan ini sedap lemak masin. Kalau ke Nat Pokok Getah pasti saya akan beli lagi πŸ˜‹







44 comments:

  1. Viral betul Nat Pokok Getah ni kan? Biasanya paling sekejap dekat sini 1 jam cukup ke? KSarie tak pernah tersampai-sampai lagi sini. Nak sampai ke belah Perlis pun entah bila pun tak tauπŸ˜… First time dengar menu Ringgi Jagung Kelapa. Macam sedap jadi desserts tuh.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Viral sebab unik - pasar pagi dalam kebun getah. Tambah menarik sebab ada jualan barang terpakai, barang antik.

      Kalau nak pusing semua, tak cukup 1 jam. Kali ni saya cuma ke bahagian makanan dan barang basah, cukup 1 jam termasuk makan sarapan.

      Saya dah menetap sini lebih 2 tahun barulah kenal Ringgi πŸ˜„

      Delete
  2. Wah.. menarik, pergi nat pokok getah. Lepas sarapan, beli barang² dapur pula yang murah². Saya tak pernah cuba ringgi jagung kelapa tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Entah-entah Nur pernah makan masa menetap di Perlis, cuma tak ingat sebab masa tu budak lagi kan.

      Delete
  3. Pertama kali kenal kudapan tradisi belah utara ni. Murahnya telur puyuh kat situ kak. Alamak, ni yg teringin nak cari telur puyuh tapi nak buat masak sambal / masak merah πŸ˜…

    ReplyDelete
    Replies
    1. Murah ya harga gitu? Akak jarang beli telur puyuh jadi tak tau sangat pasal harganya πŸ˜„. Biasanya akak pun buat masak sambal, saja kali ni nak cuba masakan berbeza.

      Delete
  4. Sy belum pernah jumpa/makan ringgi. Kalau jagung rebus gaul kelapa parut yg diletak gula & garam sikit arwah Mak selalu buat. Kami cuma panggil jagung gaul nyior je. Kalau emping pula, makan bersama santan.

    Seronok pergi nat ni, semua benda ada

    ReplyDelete
    Replies
    1. Harapnya nanti saya jumpa emping santan tu, nak mencuba jugak.

      Delete
  5. Orang johor kalau sup kena layan dengan sambal kicap baru kick. Emping pernah rasa tapi ringgi ni emm belum lagi tapi nampak sedap. Pergi pasar pagi macam ni memang seronok sebab banyak sayur kampung dan kuih tradisional yang kadang susah jumpa. emm kalau saya le....memang banyak borong ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe..itulah, sejak kecik makan dengan sambal kicap, dah tua gini baru kenal sambal merah, jadi lambat sikitlah nak terima.

      Kami ni sebab ahli rumah cuma berdua, tak boleh nak memborong sangat πŸ˜„

      Delete
  6. Br pernah tau jugak ringgi tu.. mmg x adalah jumpa kat sini

    ReplyDelete
    Replies
    1. Iya, makanan tradisi Perlis. Kena datang Perlis baru jumpa πŸ˜€

      Delete
  7. Hubby pun ada sebut perkataan Nat ni merujuk pasar pagi. Dia orang Alor Setar. Nampak best la pasar pagi kat sini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Iya, nat merujuk kepada pasar pagi. Saya tau pun sejak berpindah ke sini.

      Delete
  8. Murahnya telur. Seronok ya pelbagai jenis sayur dan makanan tempatan.
    Baru tahu pasal ringgi ini. Warnapun hijau kuning macam bendera Kedah padahal di Nat Pokok Getah, Arau PerlisπŸ˜…

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe…katanya ringgi ni ada juga di Kedah, tapi lebih terkenal dan mudah dapat di Perlis.

      Delete
  9. saya pernah makan emping dengan kelapa zaman membesar di utara dulu,tapi zaman tu tak berapa suka,balik sekolah mesti bungkus bihun sup sambal merah depan pagar kuarters.bila tengok gambar kak ujie ambil ni menggamit kenangan zaman remaja saya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wah…Afzan pernah jadi orang utara πŸ˜€

      Delete
  10. Menarik dessert tu. Tak pernah lagi saya tau ada manisan mcm tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Akak tau pun sejak jadi orang utara nilah πŸ˜„

      Delete
  11. Sedapnya kak, teringat pernah makan dulu masa jalan ke kedah... kalau teringin kene cari kt sana tempat lain takde

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe…iya, tempat kita Johor lagi la tak jumpa πŸ˜„

      Delete
  12. femes kan pasar Nat ni , teringin juga nak sampai satu hari nanti In Syaa Allah... suka pasar jual pelbagai makanan kampung dan lama-lama macam ni :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah nanti ada rezeki kak Ana sampai sini jugak.

      Delete
  13. pertama kali SA dengar pasal Ringgi Jagung Kelapa ni, Ujie! Selalu kalau belah utara biasa dengar emping je. Menarik betul beza antara ringgi dengan emping tu (baru tahu ringgi guna padi pulut muda yang baru berisi). Nampak sedap sangat gabungan dengan jagung dan kelapa parut tu, ada rasa lemak-lemak masin. Kalau ke Perlis nanti, wajib SA cari dekat Nat Pokok Getah ..x pernah sampai sini lagi..kalau pergi ni mau 4 hari kat sana kalau nak explore lebih banyak tempat kan..suami SA x pernah ke Perlis lagi ni...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau 4 hari tu insyaAllah dapat pergi banyak tempat dengan santai, tak penat ke sana sini.

      Delete
  14. Emping tu biasa la makan masa ada arwah mak dulu selalu buat.

    ReplyDelete
  15. Uncle baru teringat telur puyuh... tup-tup keluar gambar telur puyuh kat sini!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Harapnya sekarang Uncle dah dapat makan telur puyuh la ya πŸ˜„

      Delete
  16. Masa sy ke Nat Pokok Getah dulu, nampak jugak ni, sy ingat emping. Tak beli pulak, terasa rugi pulak tak mencuba.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tapi kalau tanya penjual, memang dia jawab emping. Agaknya nak mudah faham sebab proses sama je ringgi dan emping. Tapi bila makan memang ada beza, ringgi lembut kenyal sikit.

      Delete
  17. Bank seharusnya memang ada SLA dalam melakukan transaksi apapun. Jadi ada batas waktu maksimal menyelesaikan tugas customer .

    Penasaran mencoba moi di sana. Di sinipun ada bubur nasi, tp kdg topping di tiap tempat berbeda kan.

    Emping nya beda dengan yg saya bayangkan. Saya bayangkan kerupuk emping yg terbuat dari melinjo πŸ˜„.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itu dia...orang kuat bank kasi info πŸ˜€

      Kalau di sini mungkin tak begitu banyak variasi topping-nya. Tapi tetap ada perbezaan dari segi tekstur bubur.

      Delete
  18. Belah2 utara memang terkenal dgn empeng kan mcm2 empeng
    Masa arwah mak ada dia ada jga buatkan utk rasa
    Tp lain versi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ooh ada macam-macam emping ya. Yang saya tahu ni baru dua jenis πŸ˜„

      Delete
  19. jarang saya tengok telur puyuh dijual dalam sepapan besar camtu (nampak sangat jarang pegi pasar). murahlah telur tu 2 papan RM10 je!
    saya emping pun tak pernah makan.. curious jugak dgn ringgi ni pestime dengar

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mazni, akak pun sebenarnya pertama kali nampak telur puyuh dijual sepapan gitu πŸ˜‚

      Kalau ke Perlis, bolehlah cuba beli di Nat Pokok Getah ni. Nat lain tak pasti ada orang jual ke tak.

      Delete
  20. Ringgi jagung kelapa tu saya sendiri pun tak pernah jumpa walau selalu balik perlis hahahaha :D nampak mcm sedap jer...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang bukan mudah jumpa, jarang orang jual. Sedap sebab lembut kenyal, rasa lemak gabungan kelapa parut.

      Delete
  21. Uiii....ringgi tu lagi sedap dari emping sebab ringgi lagi kenyal...
    Kat Kedah jarang dah jumpa ringgi..yang ada emping .Walau rula nampak sama tapi ringgi lagi sedap

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pertama kali cuba, saya terus suka dengan tekstur dan rasanya.

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****