Catatan hari Sabtu, 3 Januari 2026.
Sejak menetap di negeri paling kecil di Malaysia, setiap kali nak servis kenderaan kami perlu ke negeri lain - sama ada ke Kedah atau Pulau Pinang. Sebabnya, tiada pusat servis di Perlis bagi jenama kenderaan yang kami pakai.
Sabtu minggu lepas, kami ke sebuah pusat servis kenderaan yang terletak di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Dalam perjalanan balik ke Perlis, kami singgah cari makan di Alor Setar, Kedah. Tekak teringin makan mi sizzling, jadinya saya buat carian di Google Maps - ‘sizzling sedap Alor Setar’. Muncul nama kedai ‘Sizzle Eatery Enterprise’, baca ulasan dan jomlah kita!
Sizzle Eatery terletak di tepi sebuah jalan besar, berhadapan dengan Masjid Nagore Alor Setar - sebuah masjid lama yang dibina oleh komuniti India Muslim dari Nagore, India. Dengan berpandukan aplikasi GPS, mudah je nak cari kedai ni.
Tiada ruang parkir di hadapan kedai, tetapi kita boleh parkir di lorong tepi kedai yang dikenali sebagai Laman Seni. Lorong ini merupakan jalan sehala, kita tak boleh masuk dari laluan depan kedai. Kita kena pusing bangunan dan masuk ikut laluan belakang.
Kenderaan kami parkir di sini. Sebelah kiri merupakan bangunan kedai dan sebelah kanan pula bangunan penjara lama. Lorong ini dikenali sebagai Laman Seni kerana terdapat seni lukisan mural di dinding bangunan kedai dan tembok penjara lama. Cantik dan menarik! Ketika kami tiba di sini, saya nampak beberapa orang sedang berfoto dengan latar mural.
Sizzle Eatery terletak di bangunan berhadapan jalan utama, kedai yang pertama. Tepi bangunan kedai terdapat lukisan mural Tun Dr. Mahathir Mohamad. Saya tak ambil foto penuh mural sebab ada orang sedang berfoto di sini.
Papan tanda restoran Sizzle Eatery.
Meja makan di bahagian depan sudah dipenuhi pelanggan, kami duduk di sudut belakang. Tempat memasak dan kaunter bayaran di ruang paling belakang. Ruang makannya tidak begitu luas, tapi saya nampak di bahagian tepi ada anak tangga ke atas. Tak pasti jika ada ruang makan di bahagian atas.
Imbas kod QR di atas meja untuk melihat menu, kemudian tulis sendiri kod menu pada kertas order. Lepas tu pergi ke kaunter untuk serah kertas order dan buat bayaran.
Minuman saya - apple asam boi kurang manis dan minuman Encik Suami kopi O ais tanpa gula.
Kami berdua pilih menu sama - sizzling yee mi biasa.
Sedap rasanya, tak terlalu masin kuahnya. Tambah sedap bila dimakan bersama cili kicap.
Sebelum beredar, saya beli dadih susu dan puding karamel untuk makan di rumah.
Kalau kalian berkunjung ke Alor Setar dan teringin nak menikmati hidangan sizzling, bolehlah cuba makan di Sizzle Eatery - restoran milik Melayu Muslim. Tempat makannya bersih selesa, layanan mesra dan rasa mi sizzling yang memuaskan selera.
*******************************************
SIZZLE EATERY
34, Jalan Penjara Lama,
Pesisiran Tanjung Chali,
Alor Setar, Kedah.
Google Maps | Sizzle Eatery Enterprise
Waktu operasi :
Setiap hari | 12 tengah hari - 11 malam
Jumaat & Sabtu | 4 petang - 11 malam
Tutup hari Isnin









Wow lukisan mural yang sangat indah sekali, cantik ..subahanallah..
ReplyDeleteNampak sedap tu. Makan pulak dengan cili potong fuhhh memang ngam.
ReplyDelete