Wednesday, 21 January 2026

Menara Alor Setar - Menikmati Suasana Malam Pada Ketinggian 105 Meter

Catatan hari Sabtu, 17 Januari 2026.

Buat kali pertama, saya dan Encik Suami naik Menara Alor Setar yang merupakan salah satu mercu tanda bagi ibu negeri Kedah. Selalunya lalu gitu je kan, kali ini ada kesempatan bolehlah kami menikmati suasana malam bandar raya Alor Setar pada ketinggian 105 meter.

Info ringkas Menara Alor Setar :
  • Menara telekomunikasi berketinggian 165.5 meter.
  • Turut berfungsi sebagai tarikan pelancongan.
  • Reka bentuk inspirasi serumpun padi yang diikat - bersesuaian dengan Kedah yang dikenali sebagai negeri jelapang padi.
  • Telah dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 14 Ogos 1997.

Menara Alor Setar
Rakaman foto pada pukul 8.25 malam. Menara Alor Setar berdiri megah dan indah dengan limpahan cahaya yang bertukar warna. Suasana di bahagian bawah menara ini meriah dengan pengunjung - terdapat sebuah taman rekreasi dan taman permainan kanak-kanak di sini.

Keratan rentas menegak yang menunjukkan struktur menara serta pembahagian antara tingkat menara. Sewaktu kunjungan kami - nampaknya tiada kedai cenderamata di TH01 Observation Deck, restoran di TH02 pula hanya untuk tempahan acara dan Open Deck di TH04 kini dikenali sebagai Star View.

Harga tiket kadar hujung minggu bagi warganegara :
Observation Deck | Dewasa - RM8, Kanak-kanak & Warga Emas - RM6
Star View | Dewasa - RM26, Kanak-kanak & Warga Emas - RM18
*kalau hari biasa, jimat RM1 daripada harga tertera di atas.

Kami beli tiket untuk naik ke bahagian atas sekali iaitu Star View - harga tiket termasuk untuk ke Observation Deck. Sebelum naik lif, terdapat photo booth dengan latar tulisan Menara Alor Setar. Ada petugas akan memotret foto pengunjung secara percuma, tapi kalau nak fotonya kena bayarlah ya. Kami menolak dengan baik dan terus saja masuk lif menuju ke TH03.

Terasa gayat juga naik lif dengan dinding kaca boleh nampak luar 😅. Sampai di TH03 Mega View yang berada pada ketinggian 100 meter, ada petugas periksa tiket. Dari situ kami perlu naik lif kecil untuk ke TH04 Star View.

Menara Alor Setar
Begini rupa lif kecil, tak boleh sandar di dinding sebab yang bergerak cuma lantai dan satu bahagian yang ada pemegang tangan dan butang lif. Ada sedikit rasa takut bila lif ini bergerak, mujurlah tak lama - setakat naik 5 meter.

Menara Alor Setar
Star View.

Sebaik kaki melangkah ke luar (bahagian terbuka), terasa angin sejuk bertiup agak kuat. Jadi berkibaran tudung saya. Suasana di atas ni tenang saja, tak ramai pengunjung jadi saya dapat lebih menikmati suasana.

Di suatu sudut, kelihatan pasangan muda sedang menikmati hidangan di meja yang dihias indah. Perlu buat tempahan awal kalau nak merasa pengalaman begini.

Menara Alor Setar
PELANTAR STAR VIEW | Pelantar pemandangan terbuka dengan lantai kaca yang dikenali sebagai Star View merupakan tarikan utama di sini. Ia dibuka kepada pengunjung bermula pada Julai 2020. Terdapat dua pelantar Star View - menghadap arah utara dan selatan bandar raya Alor Setar.

Mula-mula saya nampak keluarga dengan anak kecil, mereka hanya duduk berfoto di atas lantai kaca. Kemudian naik pula keluarga dengan beberapa orang anak remaja, mereka semua nampak santai berdiri di atas lantai kaca sehingga ke sudut hujung. Jadi saya fikir, oklah saya pun tentu tak ada masalah nak naik Star View ni. Yakin sungguh kan 🤭

Sementara menunggu giliran, saya memotret pemandangan bandar raya Alor Setar pada ketinggian 105 meter. Encik Suami pula sibuk menggunakan teropong yang dibawanya sendiri. Seronok juga dapat menyaksikan keindahan bangunan bercahaya dan jalan raya dari kedudukan tinggi begini.

Menara Alor Setar

Menara Alor Setar

Menara Alor Setar

Tibalah giliran kami untuk naik pelantar Star View…

Menara Alor Setar
Beginilah rupa pelantar Star View. Menerusi lantai kaca, saya dapat melihat pemandangan 105 meter nun di bawah sana. Ya Allah…gayat!

Menara Alor Setar
Nampaknya, setakat ini saja tahap keberanian saya 🤭. Memandangkan tiada pengunjung lain menunggu, jadi kami ada lebih masa untuk terus mencuba. Tapi tetap jua kaki saya tak mampu melangkah sehingga ke sudut hujung pelantar. Perasaan gayat boleh dilawan, tapi pemikiran “Eh, kukuh ke tak lantai kaca ni ek..” sukar dibuang 😆

Menara Alor Setar
Encik Suami pula, cuma lebih berani sedikit saja berbanding saya - jejak jugalah lantai kaca bahagian hujung tu. Alasannya, angin kuat jadi rasa kurang berani nak berdiri di hujung sana 😄
Info lantai kaca Star View | Pengunjung tidak perlu bimbang kerana Star View dibina daripada tiga lapisan kaca kukuh dengan ketebalan 12.5 mililiter (ml) setiap satu serta mampu menampung berat sebanyak 1,200 kilogram (kg), malah ia mampu menahan kelajuan angin 140 kilometer per jam. - Sumber : hmetro.com.my

Menara Alor Setar
OBSERVATION DECK | Selesai menikmati suasana di Star View, kami turun ke Observation Deck yang terletak pada ketinggian 88 meter. Terdapat teropong (binocular) di sudut tertentu yang boleh digunakan secara percuma. Kami berdua mencuba beberapa buah teropong, tapi tak nampak apa pun. Entah agaknya kami yang tak pandai gunakan teropong tersebut. 

Aman Central, Menara Alor Setar
Kami turun dari Menara Alor Setar pada pukul 9.30 malam, iaitu 30 minit sebelum waktu operasi tamat. Dari menara, kami ke Aman Central yang terletak di seberang jalan - nak mengopi dulu sebelum balik hotel.

Video pendek sekitar kunjungan kami ke Menara Alor Setar.







34 comments:

  1. Cantik macam bentuk tabung masa kecik dapat dari tabung haji tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ha’ah…yelah Cie, macam bentuk tabung TH lah 😀

      Delete
  2. Sekarang ini angin memang kuat bertiup. Hehe sayapun tidak pasti kalau boleh jalan atas lantai kaca. Mungkin kena tutup mata.
    Tengok pemandangan pada waktu malam memang cantik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Logik jugak tu NA, bila tutup mata taklah rasa gayat sebab tak nampak apa 😂

      Delete
  3. Hahahaha... Sama lah kita tak berani kot nak jejak sampai hujung tu hahaha.. gayat oooo... Kalu pergi smpai hujung mau merangkak nak kembali semula hahahaa..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau merangkak ok lagi, buatnya cuma mampu mengesot je…lagi haru 🤣

      Delete
  4. Cantik view dari atas menara ... Bandar Alor Setar masih lagi aman dan tenteram tanpa byk bgunan tinggi.. ☺️👍🏻

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe…iya, walaupun status bandar raya. Akak suka gini.

      Delete
  5. Wah...cantik pemandangan waktu malam dari Menara Alor Setar tu ye...kena msukkan dalam wishlist ni...boleh try jenjalan sini plak....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Malam cantik sebab ada cahaya lampu, kalau siang katanya cantik sebab boleh nampak sawah padi.

      Delete
  6. Replies
    1. Belum sampai, dah confirm sesiap ya cikNur 😆

      Delete
  7. yang tengok ni pun dah meremang tapak kaki...nak2 saya ni jenis overthinking
    tapi cantik kak pemandangan malam

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tapi kalau dak Pia rasanya berani je ni kan 😀

      Delete
  8. cantiknya kak.... tapi itulah kalau dah takut tak boleh nak di paksa-paksa kan... ada masa nanti boleh datang lagi kan

    ReplyDelete
  9. Sy belum ada kesempatan naik Menara AS ni. Entah berani entahkan tidak nak berdiri atas lantai kaca tu

    ReplyDelete
  10. Eeeeeee... kalau uncle takde la nak berdiri atas kaca tu... No thank you...
    Ujie kira berani dah tu

    ReplyDelete
  11. Alaaa Ujie, gayat lah tapi cantiknya view malam.

    ReplyDelete
  12. Kita pulak yg berdebar2 tengok Ujie berdiri atas tu.

    ReplyDelete
  13. eeeee beraninyaaaaaa kaak ujie! ana ni wlupun usia mcm mudaaa tp lutut ketaaarrr lebih pd org dewasaaaaa kalo nak kena berdiri kat ats lantai kaca camtu! ehehe

    ReplyDelete
  14. Untuk ukuran menara, sebenarnya ini rendah yaaa. Saya ingat menara komtar di Penang, 249 meter. Saat naik ke sky bridge nya, memang pening, tp saya sukaaaaa 🤣😄😄😄. Saya nih obsessed sangat dengan tempat2 tinggi memang. Kalau dah lihat tempat tinggi begini, pasti langsung membayangkan seandainya bisa terbang, atau bungee jumping dr atas 🤣😍.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Patutlah suka tempat tinggi, Fanny memang jenis tak gayat 😄

      Delete
  15. gayatnya tengok. huwaaaa. tapi lawa view

    ReplyDelete
  16. Tak boleh....gayatttt. Tak mungkin la saya berdiri kat kaca tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kena cuba, mana tau tiba-tiba Ezna tak gayat pulak 😁

      Delete
  17. Cantik sungguh pemandangan bandar Alor Star dari menara. Saya pun gayat juga. Tapi dah alang-alang naik ke situ kena la cuba jaya juga berdiri di kaca itu ye

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haha..iya, dah bayar tiket kan..rugi pulak tak mencuba 😄

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****