Saturday, 22 November 2025

Menginap Satu Malam di Denai Kabus, Gerik

Catatan hari Sabtu - Ahad,
11 - 12 Oktober 2025.


Denai Kabus Agro Farm and Adventure Resort atau lebih dikenali sebagai Denai Kabus merupakan antara tempat percutian agro pelancongan yang terkenal di negeri Perak. Lokasinya yang terletak di kaki gunung Kenderong dan Kerunai menawarkan suasana tenang dengan panorama indah alam semula jadi.

Denai Kabus terletak kurang 8 km dari Air Beruk Campsite - lokasi saya dan Encik Suami menginap pada bulan Ogos lalu. Walaupun masih di kawasan yang sama, tetapi setiap tempat memberikan pengalaman yang berbeza.

Tempahan penginapan saya buat empat hari sebelum pergi. Tempahan perlu di buat secara online (link saya sertakan di hujung entri), sangat mudah urusannya.

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Dari jalan utama, kita perlu melalui jalan kecil sejauh kira-kira 3 km sebelum tiba di Denai Kabus. Terasa jauh jugalah bila berada di laluan kecil dan tidak rata, tambahan pula hujan di sepanjang perjalanan.

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Kami tiba di Denai Kabus pada pukul 2.50 petang. Cantik berkabus ketika ini.

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Bangunan yang menempatkan kaunter pendaftaran, kafe dan kedai runcit mini.

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Di sini tiada sungai, tetapi ada semacam terusan bertingkat dengan aliran air dari gunung. Tingkat pertama waterpark, tingkat kedua kolam renang (foto di atas) dan tingkat seterusnya untuk aktiviti berkayak.

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Penginapan kami jenis Havea Studio yang terletak berhadapan dengan kolam renang. Harganya RM240 satu malam bagi kadar hujung minggu. Masa untuk daftar masuk pada pukul 2 petang dan daftar keluar pada pukul 12 tengah hari.

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Luas, bersih dan semua kemudahan tersedia berada dalam keadaan baik. Alhamdulillah dapat penginapan yang selesa.

Tuala mandi, air minuman, tisu dan peralatan mandian tidak disediakan, kecuali shower gel dalam botol besar disediakan dalam bilik air. Tetapi tuala mandi dan tisu kita boleh minta di kaunter pendaftaran.

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Bilik air bersih selesa, cuma ada sedikit bau tak menyenangkan yang mungkin berpunca dari sistem kumbahan - berbau setiap kali kita flush tandas. 

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Kami bawa multi cooker, peralatan makan dan bekalan makanan untuk kudapan malam dan sarapan.

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Hujan dah berhenti, kami keluar makan di kafe. Foto dirakam dari tingkat atas kafe.

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Hidangan kami - set tempoyak patin / RM17.90 dan set asam pedas tenggiri / RM18.90. Minuman teh o lemon ais / RM3.50. Terasa agak mahal set hidangan kami berdua ni berbanding dengan saiz ikan, rasa masakan dan cara hidang - menggunakan pinggan dan sudu pakai buang.

Selesai makan, kami jalan-jalan di sekitar kawasan ini.

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Pakej aktiviti yang ditawarkan di sini. Boleh juga pilih aktiviti tertentu saja.

Kalau datang ke sini tanpa menginap pun kita masih boleh buat aktiviti yang ada di sini. Saya dapati ramai juga pengunjung yang melakukan aktiviti di sini - ada yang berkayak, naik ATV dan zipline (boleh tonton dalam video di hujung entri).

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Waterpark RM5 / seorang. Percuma jika menginap di sini.

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Kawasan penginapan Cottage A dan tapak perkhemahan. 

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Suasana malam di sini tenang. Ada juga kumpulan kecil sedang buat aktiviti BBQ tapi tidaklah bising hingga mengganggu.

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Esoknya seawal pukul 7.15 pagi, kami berdua keluar untuk menikmati suasana pagi di sini. Kami mendaki  ke kawasan bukit berhampiran. Ini juga laluan yang sama jika kita nak melakukan aktiviti zip bike.

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Kami tiba di tempat aktiviti zip bike. Nampak tak jauh mana, tapi rasanya saya tak berani pun nak naik zip  bike ni. Agaknya kalau usia muda saya masih berani buat aktiviti begini, tapi umur saya lagi beberapa tahun dah nak masuk separuh abad.

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Kami tiba di kawasan bukit yang tertera tulisan besar ‘Denai Kabus’. Dari sudut ini saya dapat memerhatikan keseluruhan kawasan Denai Kabus Resort. Puas memerhati sekeliling dan berfoto kenangan, jomlah kita turun.

Denai Kabus Resort, Gerik, Perak
Jalan-jalan di kawasan taman. Nun di atas bukit sana tulisan besar ‘Denai Kabus’ - tempat kami mendaki tadi.

Ketika ini juga barulah kelihatan dua puncak gunung yang menjadi latar indah tempat ini, iaitu Gunung Kenderong dengan ketinggian 1,223 meter (sebelah kiri foto) dan Gunung Kerunai dengan ketinggian 1,000 meter (sebelah kanan foto). Tapi tak lama kemudian, kedua-dua puncak ini hilang dari pandangan - diselubungi kabus.

Untuk makluman - buat masa ini aktiviti pendakian hanya boleh dilakukan di Gunung Kerunai.

Selesai aktiviti jalan-jalan pagi, kami kembali ke bilik penginapan untuk bersarapan. Kami masak ringkas je. Nasi lemak bawa pek segera, cuma perlu rendam pek dalam air panas. Tapi saya tertinggal pek sambal tumis segera, terpaksalah makan nasi lemak tanpa sambal.

Lebih kurang pukul 10.30 pagi, kami ke kolam renang yang terletak di hadapan bilik. Suasana masih sunyi, hanya kami berdua berada di kolam renang. Bagus jugalah, lebih privasi. Air kolam terasa sangat dingin, maklumlah punca air dari gunung. Lantai kolam terasa agak licin, jadi saya tak berani nak bergerak jauh. Lagi pula saya tak pandai berenang, cuma berani bermain air di bahagian tepi kolam. Encik Suami yang betul-betul enjoy - berenang dari hujung ke hujung. 

Kami mendaftar keluar kira-kira pukul 12 tengah hari. Tamat sudah percutian kami di kaki dua puncak gunung - walau jarang-jarang nampak puncaknya dek litupan kabus tebal. Alhamdulillah…seronok jugalah dapat menikmati suasana damai dan nyaman di sini. Kalau datang ramai-ramai mungkin lebih seronok dapat sama-sama buat pelbagai aktiviti di sini.


Video berdurasi 3 minit 14 saat - perjalanan dan suasana sekitar Denai Kabus.


******************************************

DENAI KABUS AGRO FARM AND ADVENTURE RESORT
Jalan Gunung Kenderong,
Kampung Pahat, Gerik,
Perak.

Info lanjut - penginapan, aktiviti dan tempahan boleh klik DI SINI.







33 comments:

  1. Memang besar dan lapang bilik Havea Studio, siap ada 1 katil bujang lagi.
    Ya Allah tengok video itu rasa mendamaikan tempat itu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nak bilik berdua, tak ada. Ambil jelah bilik bertiga ni.
      Memang damai tempat ni, maklumlah jauh dari jalan besar dan kesibukan bandar.

      Delete
  2. Kawasan perak ini memang baguuuuuus yaaa. Luas juga. Saya baru sampai Ipoh, kota lainnya belum.

    Kalau sampai ke sini, memang teringinlah nak stay di tempat begini, kaki gunung pula. Sejuk, berkabut. Memang tempat favorit saya sangat 🤩🤩. Rasanya stay sebentar tak puas 😄

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau suka nature, suasana kampung memang sesuai Fanny ke Gerik.

      Delete
  3. Yey, sampai juga ke Denai Kabus. Harap berpuas hati lah dengan pengalaman penginapan di DK. Best pagi2 memang sejukkkkkk kawasan sekitar tu. Tapi makanan kat kafe tu macam mahal je :O

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe…akhirnya dapat juga ke sini. Alhamdulilah sangat puas hati, bersih selesa sangat! Ya, makan jelah yang kurang puas hati 😄

      Delete
  4. saya suka pi perak ..terutama kawasan pedalaman. kawasan hutan begini memang kena dengan jiwa saya.. jaman muda2 dulu, sekurangnya sebulan sekali saya akan keluar melarikan diri ..mencari hutan hijau, alur air, pulau2..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rasa tenang jiwa dapat ke tempat begini kan.

      Delete
  5. Sy perasan tempat ni bila lalu nak balik kampung, tapi tak pernah singgah. Cantik gambar yg nmpk 2 gunung tu, esp gunung yg berkabus tu lawa sangatttttt.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itu jelah gambar yang sempat diambil, datang masa hujan jadi banyak kabus.

      Delete
  6. Bestnya bercuti tempat camni. Segar je bangun2 tengok pemandangan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tempat yang sesuai untuk mereka yang cari nature 😀

      Delete
  7. Cantik tempat ni. Masa baru buka dan viral tu ramai yang datang bercuti di sini. Kalau dekat boleh pergi tapi ni jauhlah pulak. Dah banyak membangun kawasan ni. Cantik juga ada terusan. Ingatkan penginapan atas bukit tu je. Boleh tahan luas dan selesa juga. Baguslah mereka jaga kebersihan semua. Barulah orang seronok dan bagi feedback yang baik. Siap ada waterpark dan aktiviti lain lagi. Tak bosanlah stay sini. Paling mahal suasana kabus tu lah. Syoknya pagi-pagi tengok permandangan kabus dan suasana sejuk.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau tak silap, Hevea Studio ni agak baru dibuka. Jadi bertambah pilihan penginapan. Betul, bab kebersihan sangat penting.

      Delete
  8. Patutlah namanya denai kabus sebab memang nampak ramai kabus di kawasan gunung.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Katanya memang itu asal usul nama tempat ni, sebab banyak kabus.

      Delete
  9. wahhh best nyaaaa
    tak lama lagi kompem viral tempat ni...
    dah serupa macam kat bandung dah ni ;-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang dah viral ni Anies, susah nak dapat booking kalau last minute plan.

      Delete
  10. Uniknya nama Denai Kabus dan memang kena nama dengan tempatnya. Bagus Ujie & suami bercuti di tempat semulajadi macam ni, siap bawa makanan ready to eat yang tinggal dipanaskan sahaja. Kalau sy, tak tahulah nasib jika tertinggal sambal nasi lemak, mungkin kena keluar cari makanan lain, hihi.


    Ujie, apa khabar Ujie di sana? Kita baru baca di medsos , Gua Kelam banjir. Harap Ujie di sana baik² sahaja, utara banyak tempat hujan lebat dan dinaiki air. Semoga Jojo pun baik² jugak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tempat ni jauh kalau nak keluar cari makan, pasrah jelah makan nasi lemak tanpa sambal 😅. Kafe resort pulak lambat sikit buka.

      Alhamdulillah kami baik-baik di sini. Area rumah kami dah 3 hari hujan non stop - kadang lebat, kadang gerimis. InsyaAllah tak dinaiki air sebab rumah kami di tempat tinggi. Tempat lain ada yang dah kena pindah PPS.

      Terima kasih SK bertanya, ingat kat saya dan Jojo 💙

      Eh...rasa macam balas surat pulak 😀

      Delete
  11. kena dengan namanya, denai kabus. cantik sangat suasana kat tempat ni, nampak menyegarkan. suasana bilik pun nampak luas dan bersih! cuma bau tandas jelah spoil sikit hehe

    ReplyDelete
  12. Awal
    Tahun kot adik dan kakak ciknur ada kesini siapp promot kita he hee
    Bila blk kg lalu je grik tp x dan jelajah lg
    Menariik bila ujie tunjuk disini
    Kan tmptnya rasa aman nyamann je

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bolehlah cikNur pergi, pakat dengan adik-beradik. Mesti lebih seronok meriah.

      Delete
  13. Lawa tempatnya. Dapat tengok gunung berkabus. Boleh ber-adventure juga. Tenang dapat bercuti di tempat dalam hutan macam ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sesuai untuk orang yang suka tempat tenang. Bebas bunyi bising.

      Delete
  14. saya datang cari akak dekat sini sebab nak bertanya khabar,bila tengok berita Perlis banjir terus teringatkan akak...bila baca jawapan soalan kak SK,rasa lega hati..moga baik2 ye kak..
    tengok pada suasana Denai Kabus rasa sejuk sampai ke sini,cantik la tempatnya suka tengok yang macam sungai tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Afzan ingat kat akak 💙. Alhamdulillah setakat ni tak ada masalah walaupun hujan berhari-hari.

      Hehe…sejuk Gerik sampai ke Kuantan.

      Delete
  15. Zip bike? Uish! Seriau lah uncle!

    ReplyDelete
  16. Wah ada zip bike...menarik ni..kalau my Dania mesti dia nak cuba...aktiviti adventure memang kesukaan dia la...keliling kabus tu..mesti sejuk..

    ReplyDelete
  17. Nampak kawasannya bersih dan terjaga. Sayang pulak toilet berbau bila di flush ye. Aktiviti tu menarik tapi harga agak keras untuk datang bersama keluarga 😅

    ReplyDelete
  18. Cantik betul la tempatnya.....banyak kehijauan pula kat sini jadi suasana pasti tenang je.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****