Wednesday, 13 August 2025

Buli - Kenangan Silam Yang Kekal Dalam Ingatan

[bu.li] | بولي
Definisi : 1. perbuatan mendera, mempermainkan seseorang supaya dapat menyesuaikan diri dgn suasana yg baru; 2. = membuli mempermain-mainkan orang, biasanya orang yg lemah, dgn tujuan utk menggertak, mencederakan, menakutkan dsb orang yg berkenaan;pembuli orang yg membuli orang lain: mahkamah telah menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara ke atas seorang kontraktor yg menjadi ~ di jalan raya. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Bila bercakap tentang isu buli, saya pasti terkenangkan kisah silam menjadi mangsa buli. Mungkin bukanlah kes buli yang melampau, tetapi pengalaman tersebut menjadi antara kisah hidup yang saya ingati sehingga detik ini.

Saya catatkan kisahnya di sini sebagai sebahagian pahit manis kehidupan saya. Mungkin juga ada pengajaran yang boleh kalian ambil dalam mendidik generasi akan datang.

Semua kisah berlaku di Pontian, Johor - tempat kelahiran saya.


TAHUN 1984 | SEKOLAH TADIKA
Saya bersekolah di tadika milik Cikgu Mi’at (saya lupa ejaan yang betul). Setiap hari saya dapat duit belanja sebanyak 30 sen serta bekalan minuman. Makanan tak disediakan pada waktu rehat, murid perlu bawa bekal atau beli makanan di warung sebelah sekolah (jual beli menerusi pagar yang memisahkan antara sekolah dengan warung). Di sekolah pula cuma menjual air balang dan jajan. Kebiasaannya, duit 30 sen tersebut saya gunakan untuk membeli nasi lemak berharga 20 sen sepiring dan jajan ‘baby’ berharga 10 sen.

Imej janaan AI. Uniform sekolah tadika saya - kemeja lengan pendek warna putih dan skirt warna oren.

Kejadian buli berlaku ketika mula-mula saya masuk sekolah. Suatu hari di waktu rehat, saya dihampiri oleh tiga orang budak perempuan yang juga rakan sekelas saya. Mereka secara paksa meminta duit belanja saya. Duit belanja harian saya sebanyak 30 sen terpaksa diserahkan dek kerana takut.

Habis waktu rehat, saya terus mengadukan hal yang berlaku pada guru kelas kami - seorang cikgu perempuan. Cikgu panggil mereka bertiga di hadapan kelas, di situ juga duit 30 sen dikembalikan. Itulah kali pertama dan terakhir mereka membuli saya.


SEKITAR TAHUN 1985 - 1987 | SEKOLAH RENDAH TAHAP 1
Saya ke sekolah dengan menaiki bas sekolah Pak Akob sejak dari tadika sehingga tamat sekolah rendah. Semasa bersekolah rendah, bas yang saya naiki selalunya bercampur dengan murid sekolah lain. Pak Akob akan berhenti ambil/hantar dari satu sekolah ke satu sekolah lain.

Kisahnya, ada seorang budak lelaki bangsa India (bukan  rasis, sekadar bercerita secara terperinci) dari sekolah lain yang menghalang saya pegang besi kerusi bas. Bayangkan - saya berdiri dalam bas yang penuh muatan, kemudian tak dibenarkan pegang besi pada kerusi berhampiran. Mungkin sebab bas tersebut kecil, jadinya beberapa kali saya terjumpa dan terkena dengan budak lelaki ni.

Saya adukan kepada mak. Esoknya waktu balik sekolah, mak tunggu bas sekolah di depan rumah kami. Sebelum saya turun bas, mak naik bas dan berjumpa dengan budak lelaki tersebut. Masalah selesai.


TAHUN 1996 | KILANG MITSUMI
Sebaik tamat SPM 1995, saya terus bekerja di kilang elektronik tak jauh dari rumah - kilang Mitsumi. Awalnya seronok sebab production line saya semuanya merupakan lepasan SPM dan STPM. Tapi lepas keluar keputusan peperiksaan (sebelum masuk IPT), ramai yang berhenti. Jadi mana yang tinggal dihantar ke production line yang ada kekosongan.

Saya masuk production line bersama pekerja lama. Di sinilah masalah bermula - saya dibuli secara mental.  Dua orang pekerja perempuan Melayu di situ bersikap garang dengan kata-kata yang tak menyenangkan dan riak wajah benci. Saya bertahan kerana memikirkan kehadiran saya di situ cuma seketika - niat saya kumpul duit sebagai belanja persiapan masuk universiti. Cukup masa, saya berhenti kerja.

Dan, saya sempat adukan hal mereka berdua kepada pihak atasan sebelum saya melangkah pergi.

*

BULI DI ASRAMA SEKOLAH?
Usia 13 tahun, saya mula merantau dan tinggal di asrama sebuah sekolah menengah agama di Labu, Negeri Sembilan. Sepanjang lima tahun tersebut, belum pernah saya dibuli mahu pun membuli.

Malah saya menyimpan kenangan indah bersama senior yang baik hati - Kak J yang gigih mengajar saya Matematik, menyuapkan makanan dikala saya demam tak larat dan turut membasuhkan pakaian kotor saya. Hari ini, Kak J sudah pun bergelar Profesor Madya di sebuah universiti tempatan.


HENTIKAN BULI!
Pembulian melampau bermula dengan buli ringan. Jadi, jangan anggap remeh pada kes buli ringan. Sekali dibuli, kita perlu bangkit melawan. Tiada siapa pun yang patut dibuli atas apa jua alasan. Setiap orang berhak hidup aman tanpa tekanan pihak lain.


DOA BUAT SEMUA MANGSA BULI
Semoga keadilan tertegak buat semua mangsa buli yang telah kehilangan nyawa - Zara Qairina, Syamsul Haris dan lain-lain. Kepada Allah tempat kita berserah memohon pertolongan dan petunjuk-Nya.



Ingatlah, pembuli mungkin lupa perbuatannya tetapi kejadian buli akan kekal dalam ingatan mangsa buli. Jangan jadi pembuli dan berhenti jadi mangsa buli!








13 comments:

  1. Banyak jenis buli.
    Mungkinkah pembuli tidak menyedari perbuatan mereka itu sebenarnya 'buli'.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hampir pasti pembuli tak sedar yang mereka sedang membuli.

      Delete
  2. Kes buli ni ada dimana-mana je. Bukan di sekolah je, tempat kerja pun sama. Bilalah masalah buli ni nak berakhir. Tak sudah-sudah cakap biasalah tu senior rangging junior. Bagus kak Ujie setiap kali dibuli terus buat aduan. Selesai masalah. Cuma kat kilang tu je lah tak tahu nasib yang membuli tu.
    Kalau nak dikenangkan, saya tak mahu kenang dah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau sangat menyakitkan jiwa, eloklah jangan dikenang.

      Delete
  3. Innalillahiwainnailaihirajiun.
    Tidak sangka Puan Ujie pernah dibuli. Nasib baik ada tindakan juga apabila Puan Ujie mengadu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Syukurlah cikgu masa tu ambil berat aduan saya.

      Delete
  4. 1984 tahun Cie lahir. Cie pun pernah alami di sekolah rendah dan juga menengah. Bukan buli fizikal tapi buli melibatkan emosi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cie baby, akak dah umur 6 tahun.
      Kadang lagi sakit buli yang bukan fizikal ni, berat emosi menanggung.

      Delete
  5. dengan saudara mara pun boleh jadi kak.. mental je rasa 😫

    ReplyDelete
  6. Penduduk asrama sekolah biasanya ada pengalaman buli kena buli ni

    ReplyDelete
  7. Mujur Ujie kuat tidak membiarkan diri lama menjadi mangsa buli. Ada mangsa yang takut mengadu bila dibuli.

    ReplyDelete
  8. Buli ada di mana²... Kadang orang tak sedar sikapnya tu dikira buli, dan mangsa juga kadang tak sedar bahawa dia sebenarnya dibuli. Tapi sekarang ramai dah ada kesedaran tentang buli ni.

    ReplyDelete
  9. Rasanya semua pernah alami kejadian Buli ni..SA pun sama tapi xde lah sampai jadi jenayah..SA ingat lagi..SA balas semula pembuli tu..SA tutup lampu tandas dan SA ketuk kepala dia sama macam apa yg dia buat kat SA sambil SA buat suara hantu..dia x tau SA yang balas sebab SA dah lari keluar dalam maa dalam kegelapan dan tutup pintu utama tandas...seminggu dia x datang sekolah sebab demam..hahaha..sampai ke udah xde siapa tahu SA balas semula..puas hati SA...jahat sangat

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****