Sunday, 1 June 2025

Ziarah dan Solat di As-Salaam Masjid, Okachimachi

🌸 CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KEEMPAT - SABTU, 7 DISEMBER 2024 🌸

Jemput baca entri terdahulu —> Catatan Hari Keempat di Tokyo


As-Salaam Masjid merupakan masjid keempat yang sempat saya dan Encik Suami kunjungi ketika berada di Jepun. Sengaja saya selitkan aktiviti ziarah masjid dalam itinerari bagi mengetahui lebih dekat perkembangan Islam di negara minoriti Muslim ini, selain itu dapatlah kami menunaikan solat dalam keadaan selesa. Tambah seronok apabila dapat bertemu dan bertegur sapa (walau sekadar ucapan salam) dengan saudara seagama yang datang dari pelbagai negara.
Info | As-Salaam Masjid juga dikenali sebagai Ueno Okachimachi Mosque. Operasi masjid ini digerakkan oleh As-Salaam Foundation.
Berpandukan aplikasi Google Maps, kami berjalan kaki kira-kira 220 meter dari Naka-Okachimachi Station menuju ke As-Salaam Masjid. Tak susah nak mencari masjid ini kerana dari jauh kita dah boleh nampak seni bina masjid yang biasa kita lihat iaitu kubah. Sayangnya, saya tak perasan foto yang dirakam 'terpotong' binaan kubah di atas bangunan.

Masjid As-Salam, Okachimachi
As-Salaam Masjid terletak di sebuah bangunan empat tingkat. Aras bawah berfungsi sebagai Community Center, manakala aras atas berfungsi sebagai ruang solat lelaki dan perempuan.

Masjid As-Salam, Okachimachi
Pintu utama bangunan masjid.

Masjid As-Salam, Okachimachi
Terdapat sebuah mesin minuman di sini yang menawarkan pelbagai jenis minuman halal.

Sebaik melangkah masuk bangunan, kami disambut mesra oleh seorang lelaki yang berada di kaunter Community Center. Kami ditunjukkan arah untuk ke ruang solat - masuk bangunan, pergi ke pintu di sebelah kanan.

Di sini, tempat wuduk lelaki berada di aras bawah - ambil wuduk kemudian barulah naik ke tingkat atas untuk ke ruang solat lelaki. Sebelum melangkah naik tangga, kita perlu buka kasut dan letak di rak tersedia.

Masjid As-Salam, Okachimachi
Ruang solat perempuan di aras 2. Pintu ini perlu sentiasa di tutup sebab orang lelaki akan lalu untuk naik ke aras atas. 

Masjid As-Salam, Okachimachi
Ruang solat muslimah - luas dan selesa. Pintu di bahagian hadapan kanan tu tempat wuduk dan tandas.

Masjid As-Salam, Okachimachi
Tempat wuduk dan tandas. Ruangnya terhad tapi ini pun dah cukup selesa dan memadai bagi sebuah masjid yang berada di negara minoriti Muslim.

Masjid As-Salam, Okachimachi
Di Jepun memang terdapat banyak notis peringatan di sana sini, termasuklah dalam masjid. Kalau datang Jepun kenalah rajin membaca supaya kita tak buat perkara yang menyalahi norma hidup masyarakat tempatan.

Di sini, selepas berwuduk kita mesti keringkan kaki menggunakan tisu tebal/keras yang disediakan. Setakat beberapa buah masjid yang saya kunjungi di Jepun, semuanya menyediakan tisu tebal/keras di ruang wuduk untuk kita lap keringkan kaki. Amalan baik yang bagus kita ikuti. Tidaklah karpet jadi lembab dan berbau hapak.

Masjid As-Salam, Okachimachi
Di Jepun, kita tak boleh tinggalkan sampah kita sesuka hati sebab sistem pengurusan sampah di sini sangat terperinci dan mengutamakan kitar semula.

Perasan tak? Notis dipaparkan dengan terjemahan bahasa Melayu/Indonesia. Saya tak tahu sebab yang tepat, tapi saya fikir mungkin kerana ramai para musafir warga Malaysia dan Indonesia yang menggunakan kemudahan masjid. Selain itu memang ada operasi masjid yang digerakkan oleh sukarelawan Indonesia yang menetap di Jepun, iaitu Masjid Nusantara di Akihabara.

Alhamdulillah kami berkesempatan menunaikan solat di As-Salaam Masjid sebanyak dua kali - iaitu pada hari keempat dan kelima di Tokyo. Saya rasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak As-Salaam Foundation yang telah berusaha mendirikan masjid ini. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadat umat Islam dan aktiviti keagamaan, masjid ini juga berfungsi sebagai pusat dakwah agama Islam.

As-Salaam Foundation juga sedang mendirikan Tokyo Central Masjid. Carian saya mendapati bangunan tersebut bakal siap pada bulan November 2025. Berminat menghulurkan dana? Boleh klik di link berikut --> As-Salaam Foundation

Info lanjut berkenaan operasi As-Salaam Foundation, waktu solat, waktu iqamah (untuk ikut serta solat berjemaah) dan jadual solat Jumaat (dilakukan beberapa kali) kalian boleh rujuk di laman rasmi As-Salaam Foundation.

Carian Google Maps - As-Salaam Masjid, Okachimachi








26 comments:

  1. Bagus gitu kan takdela karpet basah macam kat negara kita selalu surau bau kepam.

    ReplyDelete
  2. Masjidnya tampak bersih, rapi dan tertata dengan baik.
    Rupanya di lantai bawah berfungsi juga sebagai community center.
    Bahagianya Mbak telah berkunjung kesana.

    Salam,

    ReplyDelete
  3. Tak sempat ke As Salaam Masjid ni. Bersih kemas masjid dan tempat solat di sana kan. Carpet kalau lembap, lama2 berbau kalau tak dikeringkan terus, kan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Walaupun tak gah macam masjid tempat kita, tapi kebersihan memang di tahap terbaik.

      Delete
  4. Kiranya kena berhati-hati untuk buang sampah di sana.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul. Kena perhati dan fikir sebelum buang sampah.

      Delete
  5. Sy rasa sistem pembuangan sampah dorang memang agak ketat sikit, Jepun dan Korea sama, nanti kena denda. Takutttt.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Iya, memang sangat ketat. Katanya, kalau silap jenis sampah, kena denda.

      Delete
  6. Betul, bila kaki basah boleh menyebabkan karpet berbau kan...
    Bagus ada signboard Bahasa Melayu senang difahami. Dan kenalah ikut kan, takde alasan tak faham :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Masalahnya ada juga yang tak baca notis, belum keringkan kaki dah masuk ke ruang solat yang berkarpet. Berlaku depan mata saya, kumpulan pelancong dari Malaysia. Hmm…

      Delete
  7. Bangunan yang kita tak sangka masjid rupanya. Seperti lot kedai. Di Jepun ni serba serbi bersih dan peraturan ketat. Kena ikut peraturan di tempat orang. Kebersihan terjaga dan luas tempat solatnya. Kita pun selesa nak menunaikan solat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bila ke sini, barulah rasa bertuah jadi orang Malaysia - negara majoriti Muslim. Ada banyak masjid yang gah, bukan seperti lot kedai.
      Betul, bersih tu yang buat selesa. Kalau gah tapi kotor pun jadi tak selesa.

      Delete
  8. Unik pulak tengok masjid design kurus bertingkat-tingkat camni, jepun ruangnya sangat terhad.

    Kalau pergi mana2 negara non muslim pun, mmng kebanyakan pakai bahasa indonesia/malaysia. muslim dari SEA ni sangat berjasa utk komuniti dan aktiviti keagamaan kat sana

    ReplyDelete
    Replies
    1. Oo..gitu ya. Alhamdulillah…seronok dengar.

      Delete
  9. bagus peraturan macam nie...jadi bersih, kemas dan terjaga je...tapi, tulah, memang bangsa yang berdisiplin Jepun nie...
    bila ke negara Minoriti islam, mesti rasa bersyukur sangat kita di Malaysia...moga ada rezeki linda ke tempat2 orang untuk menambah pengalaman

    ReplyDelete
    Replies
    1. Disiplin tinggi yang membuatkan mereka maju.

      Betul Linda, rasa insaf dan syukur dengan nikmat Islam di bumi Malaysia. InsyaAllah moga ada kesempatan buat Linda bermusafir jauh.

      Delete
  10. peraturan ketat takpe barulah bersih & terjaga kan.. salute Jepun sbb rakyatnya mmg disiplin tinggi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang kagum tengok, banyak peraturan dan mereka patuh pada peraturan.

      Delete
  11. Kalau pergi tempat orang memang kena perhatikan cara hidup mereka macam mana....bab sampah tu ada anak kawan belajar kat Jepun citer sampah mereka tu diasingkan mengikut kategori jadi mungkin dia tak nak orang luar buang sampah macam2.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Katanya kalau silap asing, kena denda. Dan ada juga sampah tertentu yang perlu bayar untuk buang.

      Delete
  12. Skr Ini dah tak susah untuk mencari mesjid di jepang yaaa. Rata2 prefectures yg besar dan memang tujuan turis pasti ada mesjid. Hanya prefectures yg turis tak seberapa banyak yg agak susah sikit.

    Agak menyesal juga saya tak banyak eksplor Tokyo saat kesana. Krn mostly tujuan saya memang kota2 kecil yg bukan destinasi turis. JD tak ada lihat mesjid samasekali.

    Next memang hrs jelajah Tokyo, Osaka atau Kobe yg mesjid ada beberapa dibangun

    ReplyDelete
  13. Masjid kecil tapi hati rasa besar. Di Jepun pun, syiar Islam tetap bersinar.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****