Catatan peristiwa yang berlaku pada hari Ahad, 6 November 2022. Sambungan entri Menikmati Suasana Malam di Kampung Baru, Kuala Lumpur
Inilah pintu gerbang Kampung Baru yang terletak di Jalan Raja Muda Musa. Jalan yang terkenal sebagai syurga makanan. Agak susah juga kami berjalan kaki di sini kerana kerja-kerja menambah baik laluan pejalan kaki sedang dijalankan. Kami juga perlu berhati-hati dengan kereta dan motor yang banyak dan sesekali perlu berhenti memberi laluan kepada pejalan kaki yang lain. Suasana yang cukup sesak namun begitu meriah.
Oleh sebab perut kami sudah kenyang, kami hanya berjalan sambil memerhati suasana kemeriahan pengunjung dan penjual di sini. Juga melihat kesibukan orang-orang yang menjaga kawasan parkir di celahan lorong kecil memanggil kereta untuk masuk. Yang dah penuh akan diletakkan tanda ‘Full Parking’ di hadapan lorong kecil tersebut.
Rakaman foto pada pukul 8.21 malam. |
Kami tiba di satu persimpangan jalan. Dari sini kami akan berpatah balik ke pintu gerbang dan pulang ke hotel penginapan. Eh, mata saya terpandang pula sebuah gerai menjual Pani Puri di seberang jalan. Nama makanan yang baru saya kenali di media sosial tapi belum pernah merasa. Inilah masanya untuk saya mencuba.
Sebelum melintas jalan untuk ke gerai Pani Puri, saya rakam foto gerai dari seberang jalan. Masa inilah saya terpandang beberapa orang lelaki berlari-lari di celahan orang ramai dan kenderaan yang sibuk di jalanan. Pendengaran saya menangkap kata-kata, “Habislah. Tak boleh masuk….tak boleh masuk!”. Saya panjangkan leher untuk melihat ke arah mereka berlari. Tak nampak apa-apa yang pelik. Orang-orang tersebut berlari dan menghilang di balik deretan kedai. Baiklah, abaikan saja. Kita fokus beli Pani Puri.
Kami membeli Pani Puri Original. Disebabkan tak pernah makan, saya bertanya kepada adik penjual cara makan Pani Puri. Encik suami pula bertanya asal usul makanan. Haha! Adik penjual memberi penerangan yang cukup jelas.
Selesai urusan membeli, saya pusingkan badan untuk berpatah balik. Ketika inilah mata saya menangkap satu pemandangan yang mengejutkan. Kepulan asap merah dan api marak menjulang! Adik penjual tadi pun terkejut bila saya bagitau ada kebakaran. Dia yang sedari tadi berjualan di situ pun tak perasan bila bermulanya kebakaran.
Rakaman foto pada pukul 8.24 malam. |
Api menjulang tinggi dan kepulan asap di sebalik deretan kedai. Foto ini saya rakam sebaik saja saya sedar kebakaran sedang berlaku. Waktu ni barulah saya faham keributan kecil yang berlaku tadi. Rupanya ada keributan besar sedang berlaku di balik bangunan yang tak disedari oleh orang ramai. Telefon Bomba? Saya yakin sudah ada yang menghubungi Bomba sebaik saja kebakaran bermula tadi.
Di sinilah kedudukan kami, di gerai jualan Pani Puri. Masa ni orang ramai masih belum perasan apa yang terjadi. Keadaan masih seperti biasa, sesak dengan kenderaan lalu lalang. Satu saja saya terfikir, ada tak pihak yang dah halang kenderaan dari memasuki pintu gerbang?
Sedikit rakaman video kebakaran yang dirakam pada pukul 8.29 malam. Inna lillah wa inna ilayhi roji’un. Berdebar saya menyaksikan julangan api! Tangan saya jadi menggigil. Terbit rasa risau kalau kebakaran lambat dikawal akan menjejaskan lebih banyak bangunan. La haula wala quwwata illa billah. Sesungguhnya tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah, saya hanya mampu memanjatkan doa.
Seperti yang saya risaukan, nampaknya tiada pihak yang menghalang lebih awal laluan masuk ke jalan ini. Akibatnya, pihak Bomba mengalami kesukaran untuk masuk ke kawasan kejadian. Dalam rakaman video di atas, itulah bunyi siren jentera Bomba yang pertama tiba di lokasi. Perjalanan masuk yang sukar kerana Jalan Raja Muda Musa ini sememangnya sesak dengan kenderaan dan ditambah lagi dengan kenderaan yang parkir di bahu jalan.
Suasana jadi kecoh. Masing-masing menjerit meminta kenderaan yang sedang bergerak dan menghalang laluan jentera Bomba supaya segera membelok ke lorong lain. Dengan keadaan jalan yang sempit dan sesak, memang terasa sukarnya situasi yang sedang berlaku.
Rakaman foto pada pukul 8.37 malam |
Masa ni nampaknya kebakaran sudah hampir berjaya dikawal. Tiada lagi julangan api. Kalau tak silap kiraan saya, terdapat 4 atau 5 buah jentera Bomba yang masuk ke jalan ini. Selain jentera Bomba, kelihatan juga kenderaan EMRS (Emergency Medical Rescue Services) dan Pertahanan Awam.
Suasana sekitar selepas api berjaya dipadamkan. Kepulan asap putih memenuhi ruang udara.
Masa ni keadaan sudah agak kembali tenang. Barulah kami menyibukkan diri berjalan ke depan lagi untuk melihat situasi. Nampaknya hos pemadam api perlu melalui kedai-kedai untuk kerja-kerja memadam kebakaran. Mencabar sungguh bila berlakunya kebakaran di kawasan sesak dan tiada laluan sesuai untuk ke lokasi kebakaran.
Rakaman foto pada pukul 8.52 malam. |
Alhamdulillah semuanya dalam keadaan terkawal. Kami bergerak meninggalkan Jalan Raja Muda Musa untuk kembali ke hotel penginapan. Satu pengalaman yang tak dilupakan. Kunjungan pertama saya ke sini pada waktu malam dan berhadapan situasi yang mendebarkan.
Sekadar perkongsian, saya perhatikan di Pulau Pinang ada pihak yang mewujudkan pasukan Bomba sukarela di kawasan tertentu. Juga wujudnya pasukan bertindak, contohnya jika ada kemalangan di kawasan tersebut maka pasukan bermotor dengan memakai jaket cerah akan segera datang mengawal situasi. Mungkin juga kawasan padat seperti Kampung Baru perlu mewujudkan pasukan sebegitu, sekiranya belum ada.
———————————————————————-
Info ringkas kejadian :
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 20:19hrs, seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian. Kekuatan pasukan operasi dari BBP TITIWANGSA dibantu BBP SENTUL, BBP JALAN TUN RAZAK DAN BBP HANG TUAH bersama jentera FRT-4, ALP-1, W.TANKER-1, EMRS-1 dengan kekuatan 36 anggota.
Menurut Komander Operasi Kanan, PPgB RAHMAT BIN KAMARULZAMAN setibanya jentera bomba dilokasi kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah berkeluasan 80x40 kaki persegi melibatkan 5 pintu dan terbakar 90 peratus. Tindakan operasi pemadaman menggunakan teknik offensive dan defensive dengan membuat cooling di rumah berhampiran. Tiada mangsa yang terlibat. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
(Sumber Fb : Jabatan Bomba dan Penyelamat W.P. Kuala Lumpur)
SA pun sebenarnya suka pi area ni...macam- macam ada dan makanan sedap2..cuma kena parking kat luar dan jalan ke dalam...kalau bawak kereta masuk...memang lambat la dapat makan..
ReplyDeleteLebih mudah gitu kan SA, nak cari parking dalam tu susah jugak.
Deletekalau sy pun mmg tak perasan sbb terlindung di sebalik bangunan lain. byk kali dah nampak Pani Puri tp blm sempat mencuba hehehe
ReplyDeleteHaa..betul, terlindung kedai, tu yang tak perasan kecuali api dah marak menjulang baru nampak.
DeleteBolehlah cuba Pani Puri, buat rasa-rasa 😀
Baca entry kak Ujie ibarat baca laporan berita. Memang sesak Kampung Baru ni, susah kalau ada kecemasan. Mujur tiada nyawa terkorban
ReplyDeleteLaporan berita dari wartawan tak berbayar...hehe
DeleteItulah, lega dengar tak ada yang terkorban.
Saya pun berdebar-debar baca tulisan Ujie, seolah-olah turut berada di tempat kejadian. Rasa cemas sangat dengan suasana kesesakan lalu lalang terutama di pintu gerbang.
ReplyDeleteKita cemas sebab risau bila tengok jln sesak gitu, macam mana Bomba nak masuk.
DeleteAllahu. Takutnya bila nampak ada kebakaran
ReplyDeletePengalaman pertama saya saksikan kebakaran. Memang menakutkan walaupun bkn berada terlalu dekat.
DeleteItulah bahayanya kalau kebakaran di tempat sesak. Lambat dapat bertindak.
ReplyDeleteInnalillahiwainnailahirajiun.
Apapun nasib baik tiada yang terkorban.
Alhamdulillah tak ada, walau pun rumah terbakar 90%.
Deletewahh dh mcm pemberita melaporkan kebakaran pula., hehehe
ReplyDeleteHeheh...saja tulis lengkap untuk memori saya sendiri.
DeleteKampung baru memang syurga makanan di tengah bandar, tapi suasana kawasannya yang terlampau padat buat rasa sesak. Dana dah lama tak makan malam di sekitar kampung baru kak, dah lama sangat rasanya dah lebih 10 tahun, masa bujang dulu rajin la jugak ke sana. Kalau dana pun takut tengok api menjulang tinggi gitu
ReplyDeleteDulu pun dah sesak ya? Sekarang lagi la tambah sesak.
DeleteDulu masa mula-mula duduk KL dana pernah nak cari rumah sewa dekat sana, masa tu mmg dah padat sekarang jangan cakapla. Lagilah tak lama lagi nk dibangunkan jadi macam-macam tempat, sebab banyak rumah flat dan teres dah dijual.
DeleteTingginya api... mesti rasa bahang panas kan?
ReplyDeleteTak rasa bahang. Sebab kedudukan saya jauh, ada deretan kedai. Tp bau asap kebakaran yang naik ke udara.
Delete90% terbakar tu teruk, based on my experience. Tapi syukur tiada kemalangan & kecederaaan.
ReplyDeleteKatanya rumah kayu. Itu yang mudah terbakar teruk.
DeleteAllahu...takutnya tengok api menjulang tinggi...
ReplyDeleteAllahu...
ReplyDeleteSemoga mereka yang terlibat dimudahkan urusan
Benarlah
"Api,masa kecil jadi kawan,bila besar jadi lawan"
Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un..Allahuakbar! Kalau saya berada di situ jadi kaget terus. Besar kebakaran tu. Keributan kecil awal tu mungkin dah ada yang bertindak call bomba. Semoga tiada kehilangan nyawa dan dipermudah segala urusan mereka yang terlibat. Aamiinn...
ReplyDeleteWow.. Kampung Baru da lain.. Lamanya tak ke sini sampai tak tahu dah berubah wajah.. Allah.. besar betul apinya.. Trauma pula melihatnya..
ReplyDeleteAlhamdulillah tak ada kemalangan jiwa..