Monday, 15 March 2021

Taman Negara Pulau Pinang | Rentis Ke Teluk Aling

Sabtu | 13.03.2021
Alhamdulillah pada 5 Mac lalu, sempadan daerah dah pun di buka semula. Dapatlah saya kembali menikmati keindahan hutan, kembali bermesra dengan alam!

Destinasi rekreasi pertama saya untuk tahun 2021 - Taman Negara Pulau Pinang, Teluk Bahang. Kunjungan pertama pada tahun lepas juga selepas PKP, dan kali ini sekali lagi selepas PKP 2.0 pulak. Tapi kali ini saya akan lalu rentis berbeza. (Trip sebelum ni saya ke Pantai Kerachut, boleh baca DI SINI).

Macam biasa, saya cuma berdua dengan suami. Kali ni kami lewat keluar rumah, perjalanan dari rumah nak ke Teluk Bahang ni mengambil masa sekitar 1 jam. Ada sekatan jalan raya masa nak masuk bahagian pulau, sedikit sesak tapi tak lama. Bila sampai di Taman Negara Pulau Pinang, parkir dah penuh. Pusing cari di bahagian lain, dapatlah parkir di kawasan bangunan Hab Pengumpulan dan Pengedaran Ikan, LKIM. Caj RM5 dikenakan oleh seorang lelaki yang sebelum tu melambai-lambai kereta kami supaya parkir di tempatnya. Takpelah bayar, lebih selamat berbanding parkir sebarangan di tepi jalan.

1. Notis di pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang. Pendaftaran akhir kalau masuk untuk aktiviti mendaki/merentas hutan adalah pada pukul 2 petang. Kalau nak naik bot, lepas pukul 2 masih boleh.

2. Lepas mendaftar (imbas kod QR), kita akan melalui kaunter jualan tiket bot yang dikendalikan oleh persatuan bot pelancong. Yang ni pilihan, kalau tak nak penat sangat bolehlah masa pergi merentas laluan hutan dan baliknya naik bot. Atau tak mau merentas hutan, terus je naik bot ke pantai pilihan.

Kadar Caj Bot
Biasanya setiap bot boleh dinaiki 10 orang. Tapi disebabkan SOP COVID-19, sekarang cuma boleh naik 5 orang je. Kadar caj dikira untuk satu bot, bukan per orang. Jadinya kalau naik sorang pun tetap kena bayar untuk satu bot.

Kat sini saya sertakan kadar caj bot seperti yang dimaklumkan oleh penjual tiket untuk rujukan akan datang :

•Dari Pantai Kerachut balik ke Teluk Bahang : RM100/bot
•Dari Pantai Kerachut - singgah Monkey Beach - Teluk Bahang : RM120/bot
*perlu tetapkan masa untuk bot datang ambil di Pantai Kerachut, sebab situ tak ada line telefon/internet untuk buat panggilan.
•Dari Teluk Bahang - Monkey Beach - Teluk Bahang : RM100/bot
*buat masa sekarang akses ke Monkey Beach hanya melalui jalan laut, rentis hutan ditutup atas faktor keselamatan.

3. Laluan kami kali ni : Dari pintu masuk ➡️ A (Pasir Pandak) ➡️ B (Sungai Tukun) ➡️ C (Teluk Aling/USM CEMAC) ➡️ D (Teluk Duyung/Monkey Beach) ➡️ E (Rumah Api Muka Head).

Kami perlu menaiki bot dari C ke D dan dari D balik ke Teluk Bahang disebabkan rentis hutan ke/dari D ditutup. Kos bot kami RM90. Ya, walaupun cuma berdua sebab caj kira satu bot. Mula-mula rasa nak tukar rancangan, pergi ke tempat yang tak perlu bot. Tapi lepas berbincang laki bini, kami akhirnya setuju. Takpelah...naik bot boleh ambil pengalaman berbeza, sambil bantu merancakkan industri pelancongan yang suram dek wabak. Lagi pulak rasanya memang tak larat la nak merentas hutan pergi dan balik A ↔️ E kalau pun rentis ke/dari D tu boleh dilalui. Nak kena naik bot jugak. Haha!


Rentis Ke Teluk Aling (USM CEMAC)

4. Perjalanan dari pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang bermula sekitar pukul 11.10 pagi. Dah nak tengah hari baru masuk hutan...tak pernah kami buat sebelum ni. Huh!

5. Melepasi lokasi A - jambatan Pasir Pandak, laluan akan berpecah dua. Jika pada trip sebelum ini kami ke kiri (Pantai Kerachut), kali ini kami akan ambil laluan ke kanan pulak untuk ke Teluk Aling (USM CEMAC).

6. Laluan bermula dengan mendaki anak-anak tangga batu begini. Perjalanan akan menyusuri pantai/laut di sebelah kanan tu. Seronok melayan bunyi ombak dan pemandangan lautan.

7. Kami tiba di lokasi B - jambatan Sungai Tukun. Pemandangan kat sini pun menarik.

8. Masih di lokasi B tadi, nampaknya suatu masa dulu ada jeti di sini.

9. Pemandangan di bawah jambatan Sungai Tukun tadi. Sungai Tukun la agaknya ni.

10. Selepas jambatan tadi, sekali lagi laluan berpecah dua. Kami ambil ke kanan untuk ke Teluk Aling (USM CEMAC). Kat belakang tu ada sebuah pondok yang hampir rebah, tertera tulisan ‘Pos Kawalan Sungai Tukun’.

11. Laluan di sini jelas. Hampir keseluruhan laluan kita akan melalui tangga batu/kayu atau platform kayu/besi. Cuma perlu berhati-hati melangkah pada bahagian kayu/besi sebab ada yang dah rosak. Sepanjang perjalanan juga saya nampak kabel, tiang letrik dan paip poly. Pastinya untuk membekalkan air dan elektrik ke USM CEMAC di Teluk Aling.

12. Sesekali kita akan berjalan di laluan begini, saya lebih suka begini. Terasa suasana hutan.

13. Pokok yang menarik perhatian saya disebabkan warna kulitnya kemerahan. Teringat saya pada keindahan Red Forest. Sewaktu saya membelek kulit pokok ni, terpandang pulak ada macam besi paip atau ntah besi apa tertanam di batang pokok bahagian atas (lihat gambar kecil).

14. Jumpa penanda Monkey Beach 2km. Cantik warna dedaun kering kat lantai hutan ni.
 
15. Alhamdulillah...kami sampai jua di lokasi C - pantai Teluk Aling pada pukul 11.55 pagi. Catatan masa 45 minit. Masya Allah cantik sungguh pemandangan kat sini! Pantai Teluk Aling ni lebih dikenali sebagai pantai USM sebab adanya pusat penyelidikan USM - CEMAC (Centre for Marine and Coastal Studies). Sebab tu jugak ada jeti elok tu.

16. Air lautnya hijau kebiruan dan jernih. Tenang rasa.

Kat tepi pantai ni jugak kami ternampak monyet entah spesis apa - badan berwarna kehitaman, ada macam rambut putih di kepala dan berwarna putih di bahagian mulut serta mata. Saiz agak besar, tapi tak ganggu kami pun. Sibuk makan atas pokok tu. Comel rupa monyet ni. Ada yang tau spesis apa?

17. Kami berjalan hingga hampir ke hujung pantai Teluk Aling dan akhirnya memilih untuk duduk melepas lelah di sini, beralaskan sebatang dahan pokok. Di belakang kami adalah bangunan USM CEMAC. Kami buka bekalan yang di bawa - air sejuk yang dicampur ORS (Oral Rehydration Salts), roti Twiggies dan coklat Ikea. Sambil makan, sambil mata melayan keindahan alam yang terbentang. Untung siapa kerja kat CEMAC ni.

18. Masa untuk meneruskan perjalanan. Sepatutnya dari Teluk Aling ni ada rentis hutan ke lokasi D - Teluk Duyung (Monkey Beach). Tapi disebabkan rentis tersebut tak boleh dilalui buat masa ni, kenalah naik bot. Suami telefon orang bot (yang dah tempah awal tadi) dan tak lama kemudian bot pun sampai. Panjang sungguh jeti ni kan.

19. Lama sungguh tak naik bot di laut. Seronok melayan gerakan bot membelah ombak dan bunyi hempasan ombak. Sesekali ada bot-bot lain lalu lalang.

20. Sekitar 5-6 minit je naik bot ni untuk ke lokasi seterusnya.

Tamat catatan rentis ke Teluk Aling. Bersambung catatan lokasi seterusnya...


15 comments:

  1. Cantik view laut & pantai..bestnya dapat bermesra dgn alam yg indah..

    ReplyDelete
  2. aduhhh cantiknya kak, tapi untuk dana yang tak minat hutan...memang takkan la sampai ke tempat gini hehehe...

    ReplyDelete
  3. Cantiknya warna air laut Teluk Aling.
    Dah lama tak g laut sejak PKP tahun lepas huhuhu

    ReplyDelete
  4. bestnya kak ujie, teringin pulak rasa nak pergi!

    ReplyDelete
  5. boleh lalu ja klu dari USM ni nak ke Monkey Beach, tak bahaya pun cuma da yg a lil bit nak kena panjat bekas dahan yg tumbang tu.... next time takyah ambik boat dah tau... atie weekly hiking situ sbb atie mmg stay teluk bahang :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wah Atie...weekly hiking situ ya 👍

      Ok la kalau Atie cakap gitu, boleh la next time akak lalu je yg dia kata close tu. Kira selamat la kan?

      Tanya kat depan, mmg kata tak boleh lalu lah..haha

      Delete
    2. aah selamat jer akak.. tapi kat depan kalau ckp pergi usm jer... sbb diorg akan ckp laluan monkey beach tutup.. for bot bisness kot

      Delete
    3. Hmm..akak pun terfikir gitu, sbb dengarnya dah lama boardwalk rosak tapi masih tak baiki.

      Thanks info Atie tau ^_^

      Delete
  6. Seronok ini ada teman mendaki dalam hutan.

    ReplyDelete
  7. Seronoknyeee kak ujie aktiviti ni :)

    ReplyDelete
  8. Bestnya masuk hutan, bau hutan..ada pulak pantai yang cantik. Macam best taman negara ni. Ada rezeki dan kesempatan nak juga jejak sini sekali.

    ReplyDelete
  9. rinduuuunyaaa, dulu pergi sini zaman sekolah menengah join program bawah negeri selangor. seronoknya kalau dapat masuk lagi

    monyet tu species dusky leaf monkey atau dusky leaf langur. monyet ni jenis baik, dia mudah juga takut manusia dan tak serang manusia juga

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul pasal monyet Langur tu. Lepas2 tu beberapa kali akak terjumpa, memang pemalu dan tak bising macam monyet yang biasa jumpa tu. Comel tengok. Setakat ni dah jumpa monyet Langur di Penang & Perlis.

      Delete
  10. Tempat Sy membuat kerja lapangan utk paper ekosistem... Masa student mmg penat ... Bukan datang situ utk trekking tp utk ukur kecerunan bukit... Kumpul sample... Mmg letih... Seronok Dan berada girang bila sampai pantai Aling tu... InshaAllah Sy akan datang semula setelah 21 tahun yg lalu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Menarik kajian sis.
      Selamat kembali mengutip memori lalu. Hehe
      Tapi khabarnya sekarang dah ada caj masuk Taman Negara PP, RM10/warganegara.

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****