Sunday, 8 November 2026

Ayam Hutan dan Ikan Puyu

GULAI AYAM HUTAN BATANG PISANG | Biasanya saya makan gulai daging batang pisang, tapi kali ini saya berpeluang merasa gulai ayam hutan batang pisang pemberian jiran.

Gulai ayam hutan dimasak bersama batang pisang (bahagian lembut batang pisang - umbut). Daging ayam hutan teksturnya pejal tetapi tidaklah liat. Sedap lembut mudah dikunyah. Batang pisang pula sememangnya menjadi antara makanan kegemaran saya sejak berhijrah ke negeri Perlis. Kalau ke kenduri yang menghidangkan masakan kampung, saya pasti tercari-cari lauk gulai batang pisang.

**********

IKAN PUYU TERAKHIR | Dalam beberapa catatan terdahulu, saya ada bercerita berkenaan Encik Suami yang memelihara ikan puyu secara suka-suka - bela tapi tak makan. 

Mula bela pada Jun 2024, setahun kemudian Encik Suami beri hampir semua ikan puyu tersebut kepada jiran untuk sambung bela dan makan. Hanya tinggal 5 ekor ikan puyu menjadi penghuni kolam poly tank.

InsyaAllah bulan ini menjadi bulan terakhir kami menetap di Perlis, jadinya ikan puyu yang ada Encik Suami beri kepada jiran.

Kolam poly tank dikosongkan. Hasilnya, cuma ada 4 ekor ikan puyu. Tak tahulah mana pergi seekor lagi - entah di makan burung bangau yang sering kelihatan di sekitar rumah, atau melompat keluar ketika air kolam tinggi dek curahan hujan.

Ikan puyu yang sudah dibela selama kira-kira 2 tahun 5 bulan.

Foto-foto ikan puyu di atas hasil rakaman kamera telefon jiran, saya edit sedikit untuk diletakkan di blog sebagai kenangan. 







Friday, 6 November 2026

Mencari Baju Batik dan Kain Pasang di Pasar Kedai Payang 1

Selepas bersarapan di Nasi Dagang Atas Tol (Cawangan Bandar), kami menuju ke Pasar Kedai Payang yang juga dikenali dengan nama Pasar Payang.

Ketika kali terakhir kami ke Kuala Terengganu, bangunan Pasar Payang yang ada pada hari ini masih belum dibina. Waktu itu, kerja meroboh bangunan lama dan pembersihan tapak sedang berjalan. Sempatlah kami ke Pasar Payang yang terletak di lokasi sementara.
  
Pasar Kedai Payang 1
Bangunan Pasar Kedai Payang yang mula beroperasi sejak Julai 2024 ini lebih moden dan menarik dengan sentuhan seni bina tradisional. Ia memberikan nafas baru kepada imej Pasar Payang di bangunan lama yang sempit, sesak dan panas.

Pasar Payang beroperasi di dua buah bangunan berbeza yang terletak berhampiran - Pasar Kedai Payang 1 dan Pasar Kedai Payang 2. Dalam foto di atas dan di bawah merupakan bangunan Pasar Kedai Payang 1, manakala foto di hujung entri merupakan bangunan Pasar Kedai Payang 2.

Pasar Kedai Payang 1
Kami masuk ke Pasar Payang 1 yang menempatkan kedai emas, batik, barangan kraf dan produk pelbagai.  Kami tiba di sini kira-kira pukul 9.40 pagi, sudah agak ramai pengunjung.

Pasar Kedai Payang 1
Kawasan terbuka di tengah bangunan Pasar Payang, reka bentuk yang membantu aliran pengudaraan yang baik - bangunan tidak rasa bahang. Keadaan ini memang jauh lebih selesa berbanding di bangunan lama.

Pasar Kedai Payang 1
Deretan kedai emas di tingkat bawah.

Pasar Kedai Payang 1
Deretan kedai kraf dan cenderamata yang juga terletak di tingkat bawah. Saya suka tengok produk kraf yang dijual.

Pasar Kedai Payang 1
Rasa teringin pulak nak ada tikar mengkuang di rumah. Walaupun terkejut dengan harga jualan tikar mengkuang, tapi akhirnya sehelai tikar mengkuang berukuran 7x6 kaki dengan harga RM280 ikut kami balik ๐Ÿ˜€

Pasar Kedai Payang 1
Beg dan tikar mengkuang yang dijual.

Pasar Kedai Payang 1
Terdapat kemudahan eskalator untuk ke tingkat atas. Sangat memudahkan pengunjung.

Pasar Kedai Payang 1
Deretan kedai batik di tingkat atas. Laluan tengah di antara deretan kedai cukup luas, pengunjung tak perlu bersesak seperti di bangunan lama. Rasa lebih selesa nak berjalan dan membelek produk yang dijual.

Pasar Kedai Payang 1
Encik Suami beli baju batik lengan pendek di kedai ini.

Pasar Kedai Payang 1
Saya pula beli kain pasang di kedai ini. Penjualnya seorang perempuan muda, mesra melayan dan bukan jenis memujuk/mendesak kita memilih. Harga yang ditawarkan juga sedikit rendah berbanding kedai lain tanpa perlu tawar-menawar. Saya tak pandai nak tawar-menawar ๐Ÿ˜… 

Pasar Kedai Payang 1
Deretan kain pasang corak batik yang membuat saya rambang mata. Tak tahu nak pilih, yang itu cantik yang ini pun cantik.

Terdapat dua pilihan material kain pasang - cotton viscose dan sutera crepe. Kain pasang sutera crepe semuanya dah diletak perincian manik/batu, saya pula suka sesuatu yang ringkas. Tak jadi nak beli sutera crepe, saya ambil cotton viscose jelah. Dah beberapa kedai saya masuk, memang sama je - sutera crepe dijual dengan perincian manik/batu.

Pasar Kedai Payang 1
Kain pasang material cotton viscose dengan corak marble.

Baju batik, kain pasang dan tikar mengkuang - ini sajalah barang yang kami beli di Pasar Payang 1. Menjelang tengah hari, kami beredar dari sini. Saya perhatikan masih banyak kedai yang belum dibuka. Selepas itu barulah saya tahu bahawa rata-rata peniaga di sini tidak menjalankan operasi perniagaan pada hari Jumaat.  

Dari Pasar Payang 1 kami menuju ke bangunan Pasar Payang 2.

Pasar Payang 2 berfungsi sebagai pasar harian - jualan makanan dan barang basah.

Mulanya kami nak masuk ke Pasar Payang 2 ni, tapi lepas tu kami ubah fikiran - rasa letih badan dan perlu balik ke penginapan untuk persediaan solat Jumaat. Maka, kita simpan untuk kunjungan akan datang jelah ๐Ÿ˜„







Wednesday, 4 November 2026

Nasi Dagang Atas Tol (Cawangan Bandar), Kuala Terengganu

Catatan hari Jumaat, 18 September 2026.

Penginapan pada malam pertama di Primula Beach Resort sengaja kami ambil tanpa sarapan, bolehlah kami menikmati sarapan di Nasi Dagang Atas Tol (NDAT).

Pengalaman kali pertama makan di Nasi Dagang Atas Tol (Cawangan Losong) pada tahun 2019 buat saya teringat-ingat kelazatan nasi dagang, padahal saya bukanlah peminat nasi dagang ๐Ÿ˜„

Kali ini kami ke Nasi Dagang Atas Tol (Cawangan Bandar) yang terletak kira-kira 2 km dari hotel penginapan. Tak susah mencari, ikut saja panduan di aplikasi Google Maps. Kedainya terletak bersebelahan dengan tempat letak kereta awam Paya Bunga Station.

Nasi Dagang Atas Tol (NDAT) - Cawangan Bandar
Papan tanda NDAT dengan dialek Terengganu.

Nasi Dagang Atas Tol (NDAT) - Cawangan Bandar
Kami parkir di sini - kawasan tempat letak kereta awam Paya Bunga Station. Kami tiba di sini pada pukul 8.25 pagi, masih ada tempat kosong. Kadar caj parkir dikenakan sebanyak RM2.20.

Nasi Dagang Atas Tol (NDAT) - Cawangan Bandar
NDAT terletak di bangunan yang menempatkan deretan kedai makan. Ketika kami tiba, ada satu atau dua buah kedai makan lain yang sedang beroperasi.

Nasi Dagang Atas Tol (NDAT) - Cawangan Bandar
Menu yang ditawarkan. Klik foto untuk paparan lebih jelas. Dah tahu nak makan apa, bolehlah beratur masuk barisan - sebelah kiri untuk makan dan bungkus, sebelah kanan untuk bungkus sahaja.

Nasi Dagang Atas Tol (NDAT) - Cawangan Bandar
Encik Suami beratur seorang, saya cari meja makan untuk kami berdua. Meliliau mata memerhati, tiada meja kosong. Saya keluar ke sudut yang sedikit jauh dari kedai, Alhamdulillah dapat sebuah meja yang baru saja ditinggalkan oleh pelanggan lain.

Nasi Dagang Atas Tol (NDAT) - Cawangan Bandar
Teh peng ombak rindu, harganya RM7. Beli satu je kongsi minum berdua.

Nasi Dagang Atas Tol (NDAT) - Cawangan Bandar
Kami makan menu yang sama - nasi dagang ikan, harganya RM7 satu hidangan. Encik Suami minta ikan lebih, ada tambahan harga sebanyak RM2.

Nasi Dagang Atas Tol (NDAT) - Cawangan Bandar
Gabungan butiran nasi yang lembut dan rasa lemak ikan tongkol dengan tekstur lembut berjus benar-benar memuaskan selera saya. Tiap suapan rasa begitu nikmat ๐Ÿ˜‹

Nasi Dagang Atas Tol (NDAT) - Cawangan Bandar
Kuah gulai dihidang asing.

Alhamdulillah puas hati dapat makan di sini. Cuma saya rasa agak rugi tak membeli kuih-muih tempatan yang diletakkan di kaunter tempahan/bayaran. Mungkin ini boleh dijadikan alasan untuk kami datang lagi ke sini pada masa akan datang ๐Ÿ˜€

Kos makan sarapan kami sebanyak RM23.