Monday, 3 August 2026

Mencari Al-Quran Per Juzuk di Mekah

CATATAN KEMBARA 8 HARI 7 MALAM DI BUMI HARAMAIN
HARI KEEMPAT | JUMAAT, 10 APRIL 2026



Awal pagi esok kumpulan kami akan bergerak ke Madinah, jadinya hari ini merupakan hari terakhir aktiviti kami di Tanah Suci Mekah. 

Masjidil Haram, Mekah
Subuh di ‘Rooftop’ | Saya dan Encik Suami solat Subuh di rooftop Masjidil Haram. Kubah kecil di rooftop menjadi lokasi kami bertemu selepas solat Subuh dan solat jenazah. Foto dirakam sekitar pukul 5.30 pagi.

Masjidil Haram, Mekah
Dalam perjalanan turun, kami singgah di aras 1. Foto di atas memaparkan suasana ruang solat aras bawah.


Mekah, Arab Saudi
Sarapan | Pukul 6.55 pagi, kami makan sarapan di dewan makan hotel. Bagi rakan jemaah yang melakukan umrah tambahan, mereka sarapan lebih awal kerana pada pukul 7 pagi bas akan bergerak menuju ke tempat miqat di Taneem (juga dikenali sebagai Tanaim).


Mencari Al-Quran Per Juzuk Sebagai Oleh-oleh | Kami berhasrat mencari al-Quran per juzuk (satu naskhah satu juz atau beberapa juz) sebagai oleh-oleh dari Mekah buat diri kami sendiri. Boleh saja jika nak mencari di Madinah tetapi kami mahu beli di Mekah sebagai kenangan umrah pertama.

Idea membeli al-Quran tercetus setelah saya membaca naskhah travelog dan refleksi umrah karya Nisah Haron yang berjudul Sehelai Sejadah di Lantai Kaabah.

Jika kita mahu beli al-Quran biasa tu mudah saja, terdapat banyak gerai atau kedai yang menjualnya untuk tujuan wakaf atau untuk diri sendiri. Tetapi kami mahu al-Quran per juzuk, jadinya perlu cari di kedai buku.

Hasil carian Google Maps ‘bookstore near me’ membawa pencarian kami ke sebuah kedai buku di Makkah Commercial Centre.

Mekah, Arab Saudi
Tersesat masuk ke The Clock Towers Shopping Center. Oleh kerana ini kali pertama kami berjalan-jalan di bangunan sekitar Masjidil Haram, jadinya kami tak tahu nama-nama bangunan di sini (kecuali bangunan Safwah Tower - lokasi hotel penginapan kami).

Saya agak terkejut sebab baru tahu ada pusat beli-belah moden dan besar begini berhampiran Masjidil Haram. Tapi kami tak sempat dan tak larat nak meronda, bila sedar tersilap bangunan terus je keluar untuk mencari di manakah Makkah Commercial Centre.

Pintu gerbang The Clock Towers Shopping Center yang gah.

Masjidl Haram, Mekah
Pintu masuk Masjidil Haram di hadapan pintu gerbang tadi. Dekat je.

MCDC Mall (Makkah Commercial Centre)
Kami berjalan ke bangunan seterusnya, barulah jumpa MCDC Mall yang juga dikenali sebagai Makkah Commercial Centre.

MCDC Mall (Makkah Commercial Centre)
Berbeza dengan bangunan Clock Towers, keadaan di sini lengang tak ramai pengunjung.

Dawah Corner Bookstore, MCDC Mall (Makkah Commercial Centre)
Alhamdulillah…akhirnya jumpa kedai buku yang dicari iaitu Dawah Corner Bookstore. Lokasinya di Aras 1, berhampiran eskalator.

Dawah Corner Bookstore, MCDC Mall (Makkah Commercial Centre)
Saya bayangkan kedai buku besar, rupa-rupanya kecil je. Mulanya kami masuk ke dalam kedai, kemudian baru perasan jualan al-Quran diletakkan di bahagian luar.

Dawah Corner Bookstore, MCDC Mall (Makkah Commercial Centre)
Kami beli dua set al-Quran per juzuk - set mushaf warna biru putih (satu naskhah satu juz) menjadi pilihan Encik Suami berharga 250 riyal, manakala set mushaf warna coklat putih (satu naskhah lima juz) pilihan saya berharga 220 riyal.

Beli juga tiga buah buku himpunan surah pilihan sebagai oleh-oleh buat mak saya, mak Encik Suami dan kami sendiri. Harganya 25 riyal sebuah.

Alhamdulillah rasa gembira dapat memiliki al-Quran per juzuk pilihan saya ini sebab lebih ringan mudah dipegang semasa membaca, mushaf Madinah dengan kertas berkualiti dan cetakan yang jelas.

Membeli al-Quran sebagai oleh-oleh tidaklah mudah kerana kita perlu menjaga adab bagi memuliakan al-Quran  :
  • Perlu ada wuduk ketika memegang al-Quran.
  • Pegang beg yang membawa al-Quran di paras dada.
  • Semasa dalam kenderaan, letak beg yang membawa al-Quran di tempat tinggi.

Begitu juga kalau kita nak bawa al-Quran sendiri ke Tanah Suci, perlu jaga adabnya. Saya pernah nampak jemaah bawa al-Quran sendiri masuk ke masjid untuk dibaca sementara menunggu waktu solat. Masalahnya, al-Quran tersebut disimpan dalam beg dan hanya letak di hadapan tempat sujud. Kemudian datang jemaah lain lalu di depan dan langkah beg tersebut.


Beli Kopiah di Safwah Tower | Terdapat banyak kedai jualan di Safwah Tower - lokasi hotel penginapan kami. Kami pergi ke beberapa buah kedai melihat barangan dijual. Tak ada yang berkenan di hati, saya tak beli apa-apa.

Safwah Tower
Begini rupa deretan kedai di Safwah Tower tingkat atas. Encik Suami singgah beli kopiah untuk kawan-kawan tempat kerja. 

Safwah Tower
Sebelum naik ke bilik, kami ke food court beli makanan. Kali ini kami mencuba hidangan piza saiz sederhana berharga 35 riyal.







28 comments:

  1. Terima kasih juga atas peringatan tentang adab memegang dan menjaga Al-Quran tu kadang-kadang benda kecil macam ni orang terlepas pandang. Semoga naskhah Al-Quran per juzuk ni membawa berkat dan rajin dibaca sentiasa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama SA.

      Terima kasih juga atas doanya tu 😊

      Delete
  2. Damai dan tenang suasananya di masjid. Kalau tak jalan, mesti tak tahu kewujudan shopping mall besar tu kan. Cantik gambar pintu gerbang tu.
    Alhamdulillah tercapai juga hasrat nak beli Al-Quran per juzuk. Bawa Al-Quran ni kena jaga elok-elok kan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau ikut penat badan, memang rasa malas nak berjalan. Tapi sebab ada benda nak cari dan esok nak tinggalkan Mekah, kena rajinkan diri jugaklah. Alhamdulillah jumpa Quran yang dicari 😀

      Delete
  3. Alhamdulillah jumpa yang dicari.
    Di rumah mertua Sy ada Quran per Juzuk ni.
    Betul, kena jaga adab

    ReplyDelete
    Replies
    1. Syukur ada kedai berdekatan, kalau jauh saya tak pergi. Tak dapatlah membeli.

      Delete
  4. Replies
    1. Suasana yang membuat semua orang rindu nak datang lagi.

      Delete
  5. Dalam mall pun rasa tenang nengoknya mungkin tidak ramai orang.
    Menarik juga Al Quran per Juzuk tu.
    Lebih ringan dan mudah dibawa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mall berhampiran Masjidil Haram, lain auranya ya.

      Bila makin bertambah umur ni, saya perlukan Quran besar supaya mudah baca. Kalau Quran biasa saiz besar jadi berat pegang, itu yang nak beli jenis per juzuk gini.

      Delete
  6. Ada pusat beli-belah The Clock Towers, dekat sangat rupanya dengan Masjidil Haram. Mesti sangat berbeza keadaan sekitar Masjidil Haram sekarang berbanding waktu saya datang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sekarang ni nampak moden. Akan datang tentu berubah lagi.

      Delete
  7. Terima kasih kongsi tips kedai buku dan peringatan adab jaga mushaf al-Quran.

    ReplyDelete
  8. Kenangan terindah sangat kan Ujie, kak ana hari tu duduk di Olayan Al Haram jarak 500 meter dari Masjidil Haram, memang seronok melihat umat Nabi Muhammad berjalan kaki sepanjang masa 24 jam lalu lalang depan hotel untuk pergi dan balik ke masjid.. Masyaa Allah rindu sangat..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul, rasanya momen yang saya rindu adalah melihat para jemaah berpusu-pusu ke masjid tak kira siang malam.

      Delete
  9. Mak ada beli Al Quran per juzuk di Mekah dulu. Ada dalam simpanan kami. Rindunya Mekah dan Madinah. Banyaknya berubah sejak 2022 yang lalu. Moga kami diizinkan ke sana lagi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Walau baru beberapa tahun pun dah banyak berubah kan, ini pun katanya nanti hotel lama di sekitar tu akan dirobohkan. Berubah lagi suasananya.

      Delete
  10. Terubat rinduuu tgk gambar ni
    Allahu rinduuu nye
    Sarapan pg seronok seingat ciknur awal2 pg tu
    Solat kat rooftop pun sekali dua je merasa jga

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terbalik dengan saya, kurang seronok makan sarapan sebab tak ada hidangan nusantara 😄

      Delete
  11. Escalator di MCDC Mall tu sangat femes di TT

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ooh…yelah memang unik sebab eskalator kanan kiri di luar bangunan.

      Delete
  12. Kak saya baru tahu ada Alquran per juz. 😍. Jadi 1 naskah itu hanya 1 juz yaa?

    Menarik juga. Krn kdg pun saya ada baca juz2 tertentu saja. Aiiih menyesal tak cari dulu.

    Saat umroh saya ada juga ke mall di sana, tp lupaaa lah mall yg mana 🤣🤣. Asal masuk saja. Besar juga. Nak cari parfume waktu itu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Akak ada buat pembetulan dan tambahan info dalam entri di atas. Kami beli dua jenis al-Quran per juzuk - 1 naskhah 1 juz dan 1 naskhah 5 juz.

      Iya Fanny, kalau akak pun masuk je…tak tahu nama mall 😄
      Masa akak pergi ni memang banyak gerai/kedai jual perfume. Sana sini hulur kad sample perfume, ambik jelah kan 😀

      Delete
  13. Cantik gambar pintu gerbang. Terima kasih Ujie bagi tips adab menguruskan Al-Quran apabila travel. Al-Quran per juzuk di Mekah ini ada tafsiran dalam Bahasa Arab atau ianya Quran sahaja?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Gah sangat pintu gerbangnya kan…kagum saya tengok.

      Sama-sama KSarie.

      Saya beli ni Quran sahaja.

      Delete
  14. tengok mall tu saya dah rasa kecut perut risau sesat dalam tu..
    saya pun baru tahu ada alquran per juzuk rupanya ye

    ReplyDelete
  15. oh dalam MCDC mall tu rupanya. saya selalu lalu depan tu, tapi takde kesempatan untuk masuk. tahu escalator MCDC mall tu sebab viral kat tiktok, turun2 escalator terus nampak masjidil haram dari luar.

    kiranya quran per juzuk ni nipis jela kan. idea yang menarik jugak beli utk diri sendiri. makin banyak jumlah juzuk, nampak makin murah harganya

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****