🌸 CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KELIMA - AHAD, 8 DISEMBER 2024 🌸
Sambungan entri terdahulu —-> Menikmati Tendon Pertama di Tendon Itsuki, Ginza
Selesai makan dan solat, kami menaiki tren menuju ke Higashi-Jujo di Kita City - sebuah bandar yang terletak di bahagian utara Tokyo.
Suasana di dalam tren. Tak ramai penumpang ketika ini.
Panduan perjalanan menggunakan aplikasi Google Maps. Lengkap semua maklumat diberi, sangat memudahkan pergerakan kita. Tren yang kami naiki akan berhenti di tujuh buah stesen sebelum tiba di stesen destinasi kami iaitu Higashi-Jujo Station.
Eh, nama stesen ni lebih kurang macam nama saya 😁
TERPISAH SEKETIKA | Oji Station terletak sebelum Higashi-Jujo Station. Mungkin kerana leka memerhati pemandangan di luar, kami tak perasan tren sudah pun tiba di Higashi-Jujo Station. Para penumpang lain keluar dan masuk koc. Sebaik kami perasan, Encik Suami segera melangkah keluar dari koc diikuti oleh saya. Tetapi saya tak sempat keluar - pintu ditutup. Segera saya buat isyarat tangan minta Encik Suami tunggu dan nanti saya akan berpatah balik.
Walaupun agak terkejut dengan situasi yang terjadi, tapi saya tidaklah rasa cemas kerana sudah beberapa hari kami ke sana ke sini di Tokyo dengan menaiki tren. Tambahan pula, stesen di sini bukanlah stesen besar seperti Ueno Station yang complicated sehingga sukar nak cari pintu keluar yang betul.
Saya turun di stesen berikutnya iaitu Akabane Station. Sebaik melangkah kaki di platform stesen, seorang lelaki Jepun mendekati saya. Lelaki muda tersebut bercakap bahasa Jepun sambil tangannya menunjuk ke suatu arah - tangga menuju ke platform bawah. Saya yang agak keliru cuma menggeleng kepala tanda tak faham.
Selepas lelaki Jepun tersebut berlalu pergi, barulah saya faham maksud lelaki tadi - untuk berpatah balik ke stesen sebelumnya saya perlu turun tangga yang ditunjukkan tadi. Aduhai…blur sungguh saya! Agaknya tadi dia ada dalam koc yang sama dan tahu situasi saya lalu cuba membantu. Harapnya dia fahamlah reaksi saya tadi dek kerana keliru, bukan sombong. Semoga Allah membalas perbuatan baiknya terhadap saya.
Belum sempat saya turun ke bawah, Encik Suami pula muncul - baru keluar dari tren. Risau saya bergerak sendirian, jadi Encik Suami bergegas naik tren berikutnya untuk bersama saya.
Pukul 4.05 petang, kami tiba di Higashi-Jujo Station. Alhamdulillah.
Turun eskalator untuk keluar bangunan stesen. Dari stesen, kami berjalan kaki ke lokasi tujuan kami.
Sementara menunggu lampu isyarat melintas jalan bertukar hijau, sempatlah saya memotret rupa kabel elektrik di sini. Nampak macam seni anyaman pulak 😀
Papan tanda tertera ‘Higashijujo Koban’ di tiang lampu trafik. Juga papan tanda ‘koban’ di bangunan berhampiran. Carian saya mendapati, ‘koban’ merupakan balai polis kecil yang terletak di sesebuah komuniti. Tujuannya supaya polis dilihat ada dan sentiasa bersedia untuk memberi khidmat kepada masyarakat. Satu usaha yang bagus!
Suhu ketika ini 11℃ (feels like 8 ℃). Memang sejuk! Saya tak ada sarung tangan, jadinya pada kebanyakkan masa saya masukkan tangan ke dalam poket jaket. Ketika ini juga langit cerah mulai gelap. Matahari terbenam awal iaitu sekitar pukul 4.30 petang.
Kami melalui sebatang jalan yang kelihatan cantik dengan dekorasi lampu dan gantungan bendera kecil pelbagai negara. Saya cuba memerhati deretan bendera tersebut, tapi tidak kelihatan bendera Malaysia.
SUPER AUTOBACS | Inilah tujuan kami ke Higashi-Jujo, kami nak ke tempat jualan aksesori kereta. Lebih tepatnya - Encik Suami yang beria nak ke sini, saya hanya menurut saja. Sebenarnya, Encik Suami berhasrat nak ke cawangan lain yang lebih besar tapi lokasinya lebih jauh.
Menarik jugalah - banyak pilihan barang dan tersusun rapi.
Encik Suami sibuk membelek barang dari satu rak ke satu rak.
Rak barang berharga 110 yen - lebih kurang RM3.20.
Staf di sini tidak boleh berbahasa Inggeris, jadinya agak sukar bila Encik Suami nak bertanya lanjut berkenaan barang tertentu.
Kami berada di sini kira-kira 50 minit. Selesai membeli, kami berpatah balik ikut jalan yang sama untuk kembali ke stesen tren.
Seingatnya ini stesen minyak pertama yang saya lihat di Jepun. Mungkin sebab saya banyak naik tren, jadi tak jumpa stesen minyak.
Kami kembali melalui jalan dengan dekorasi gantungan bendera kecil. Tempat ini nampak lebih cantik pada waktu malam.
BELI JAKET SEJUK | Semasa melalui jalan ini, saya terpandang sebuah kedai pakaian perempuan yang terletak di hujung bangunan. Rasa tertarik pulak nak masuk sebab nampak ada jual jaket sejuk. Kami masuk dan membelek pilihan yang ada. Saya berkenan dengan sehelai jaket sejuk berwarna purple. Sebenarnya saya memang dah mencari sejak hari pertama tiba di Tokyo, tapi tak jumpa yang berkenan. Walaupun jaket ini bukan buatan Jepun, saya beli juga sebab dah suka. Terdapat label dengan tulisan Jepun di bahagian dalam jaket, juga tertera tulisan bahasa Inggeris - Made in Myanmar.
Penjualnya seorang lelaki Jepun yang nampaknya lebih berusia dari kami, melayan kami dengan senyum mesra. Penjual tersebut bercakap bahasa Jepun, kami pula bercakap bahasa Inggeris. Ajaibnya, tetap saling faham walau bahasa pertuturan jauh berbeza 😄
Mulanya saya tak terfikir nak pakai terus jaket sejuk yang baru dibeli, tapi bila penjual bertanya sama ada saya nak pakai terus atau tidak? Saya terus buka jaket sejuk yang sedang dipakai dan menyarung jaket baru. Jaket lama diambil penjual, dilipat dan dimasukkan ke dalam beg plastik.
KEDAI RUNCIT HALAL | Sedang berjalan, ternampak pula sebuah kedai runcit dengan logo halal. Kami singgah sekejap nak melihat produk yang dijual.
Macam-macam ada di jual - rebung dari Thailand pun ada. Pes soto ayam dari Indonesia dijual dengan harga 150 yen, lebih kurang RM4.30. Tidaklah mahal sangat. Saya mencari produk dari Malaysia, tapi hampa.
Sebelum masuk bangunan stesen, kami singgah membeli kopi panas di mesin minuman yang terletak di bangunan berhampiran. Macam biasa, sebelum beli saya buka aplikasi Halal Japan untuk semakan halal. Sedang kami memilih minuman halal yang mana satu nak dibeli, seorang lelaki Jepun datang menghampiri kami dengan senyuman mesra. Tangan lelaki tersebut menunjuk pilihan minuman sambil bercakap dalam bahasa Jepun. Menurut pemahaman kami, dia sedang memberitahu kami pilihan minuman halal. Kami ucapkan ‘thank you’ dan ‘arigato gozaimas’ sebelum lelaki tersebut beredar meninggalkan kami.
Pandangan dari luar stesen tren - Higashi-Jujo Station North Exit.
Pukul 5.45 petang, kami menunggu di platform no. 4. Suasana lengang, cuma terdapat beberapa orang sahaja yang sedang menunggu ketibaan tren.
Kami naik tren menuju ke Ueno Station untuk balik ke bilik hotel - nak rehatkan badan dan menunaikan solat sebelum kembali berjalan-jalan di sekitar Ueno.
Pukul 8 malam - kami keluar hotel. Saya berfoto kenangan di hadapan bangunan hotel penginapan kami dengan memakai jaket sejuk warna purple yang baru di beli. Saya suka rekaan jaket ini dengan potongan bentuk A dan mempunyai zip serta butang hadapan.
Kunjungan singkat ke Higashi-Jujo yang nampak macam tiada apa-apa, rupa-rupanya meninggalkan cerita manis tentang Tokyo kerana layanan baik oleh tiga orang lelaki Jepun yang kami temui. Kawasan yang terletak di pinggir bandar ini juga memberikan pengalaman yang berbeza - suasananya lebih tenang dan lebih terasa ‘local vibes’.
seronok....tenang jer....
ReplyDeleteIya, tak sibuk sesak. Seronok boleh jalan santai.
DeleteKalau saya dah cemas betul tu kak. Mujur juga nampak encik suami dulu. Kalau akak dah naik train patah balik, lagi haru tengok encik suami tak ada. Seronok tu dapat shopping macam-macam. Rambang mata dibuatnya. Cantik jaket tu kak. Sesuai dengan akak. Jalan-Jalan Japan ni banyak sudut yang menarik untuk dipotretkan.
ReplyDeleteSebelum turun ke bawah, akak try call suami beberapa kali nak bagitau akak nak patah balik. Tapi tak dapat, takde line kat platform. Masa tulah tetiba nampak suami keluar dari tren yang baru sampai. Alhamdulillah 😅
DeleteTerima kasih Fiza. Jaket tu kalau tak beli, mau teringat-ingat pulak 😄
Ada jual barangan makan halal..hebat China..travel yang sungguh membawa banyak kenangan, jauh berjalan-jalan..minda sihat
ReplyDeleteBukan di China, ni di Jepun 😀
DeleteMahu menggelabah sy kalau situasi sama terjadi. Sudahlah berada di negara orang. Husband Ujie betul² hero la. Sebenarnya , Ujie berkenan jaket tu sebab warna purple kot, hahaha.
ReplyDeleteEntah macam mana saya boleh tenang pulak, cuma terkejut. Hehe..itulah, pantas suami kejar.
DeleteSebab purple ek? Mungkin betul 😂
aduhaiii kalu Ana mmg panic dah terpisah tu wlupun sekejap ehehehe
ReplyDeleteTerpaksa tenang sebab nak kena hadap sorang 😅
Deletekalau saya mesti cemas terlepas station... dahlah kat negara asing, huaaa
ReplyDeletebaiknya 3 lelaki jepun ni. walaupun saling bercakap bahasa yg tak sama, tapi boleh faham jugak
Kan...tak sangka ada yang sudi tolong. Kita ni pulak bertudung. Orang Jepun katanya jenis tak ambik tau hal orang. Tapi rupa-rupanya bukan semua, masih ada yang prihatin. Alhamdulillah.
DeleteItulah baik² orang Jepun ni...
ReplyDeleteAlhamdulillah…setakat ni jumpa yang baik-baik.
DeleteKadang takut jugak terpisah naik tren ni. Bestnya MM Mart jual semua produk halal. Wah kedai aksesori kereta, nasib baik hubby tak ada plan hari tu. Mau lama dibelek2 nanti. Rindu nak ke sana lagi.
ReplyDeletePengajaran jugak buat kami - lain kali kalau dah lambat keluar, eloklah jangan keluar tergesa-gesa gini. Mujurlah terpisah di stesen kecil. Kalau tak entah apa lagi ceritanya 😅
DeleteSaya kalo sampai tertinggal dengan suami, confirm saya yg diam saja, dia yg akan menyusul. Sebab saya buta arah 🤣🤣🤣. Drpd ntah kemana2 nantinya.
ReplyDeleteJaket winter jepang memang bagus2 dan murah. Rasanya tiap ke jepang saya selalu beli 😄😄. Dan masih ada sampai skr.
Waah ada banyak barang Indonesia di supermarket halal nya. Tahu gitu, mending adik saya beli di sini drpd saya bawa banyak dr jakarta waktu itu 🤣🤣
Setiap kali sebelum memulakan perjalanan, kami sama-sama buka Google Maps kaji laluan/stesen. Itu yang akak agak yakin untuk bergerak sendiri selepas terpisah.
DeleteWah, tentu sudah banyak jaket Fanny. Setiap satu menyimpan kenangan pastinya.
Nampaknya memang tak susah nak cari produk Indonesia di Tokyo. Di kedai dalam Tokyo Camii (masjid Tokyo) juga banyak produk Indonesia. Tapi mungkin waktu itu memang belum banyak, berbeza dengan sekarang.
Walau pun cakap bahasa ibunda dia orang, dia orang tetap ada usaha membantu pelancong. Kalau saya, mesti panik bila terpisah tren. Terpisah lif pun dah kalut. Hehe..
ReplyDeleteKagum dengan semangat nak membantu mereka tu. Allah saja yang dapat membalas kebaikan mereka.
DeleteTerpisah lif…saya pernah alami ke tak ya 🤔😄
Kalo saya riau (menangis) dulu...gelabah teruk...
ReplyDeleteAdehh…tak boleh bayangkan kalau termenangis masa tu 😄
DeleteSelalu ada orang baik dimanapun ya Mbak.
ReplyDeleteHanya sayang ya ternyata orang jepun banyak yang tidak bisa berbicara bahasa Inggris.
Rupanya udara disana cukup dingin juga ya Mbak, sampai tangan selalu masuk ke kantong jaket.
Salam,
Iya, hanya segelintir saja yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik.
Deletekalau saya ni dah menangis terpisah macam ni walaupun saya tahu bahasa jepun sikit2 😂😅
ReplyDeleteOrang muda menangis comel lagi, akak ni kategori makcik kalau menangis dalam tren tu tentu buruk 😂
DeleteEh cepat sangat pula pintu tertutup! Allahuakbar, ditititipkan orang yang baik untuk tolong. Ya kadang-kadang rasa serba salah apabila kita beri reaksi yang mungkin beri salah faham pada orang yang menolong kita. Mampu doakan moga Allah beri ganjaran.
ReplyDeleteKami yang silap keluar lambat sebab baru perasan sampai stesen dituju 😅
DeleteItulah, sampai sekarang kalau teringat jadi rasa kesal dengan reaksi saya masa tu.
Dia punya wire atas kepala boleh tahan berselirat juga eh?
ReplyDeleteBerselirat yang kemas 😄
DeleteThe best part is ada aje orang yang baik kat sana kan...cepat gelap ye kat sana...
ReplyDelete