Monday, 13 February 2023

Medan, Indonesia | Hotel Santika Premiere Dyandra

Urusan pembelian tiket penerbangan dan hotel penginapan trip ke Medan, Indonesia dibuat oleh encik suami. Tetapi kerja mengkaji hotel mana yang bagus dan sesuai, itu menjadi tugas saya. Saya buat carian senarai hotel di aplikasi Agoda, pilih hotel yang menyediakan sarapan pagi, lihat jarak hotel dengan tempat-tempat tarikan pelancongan di aplikasi Google Maps dan baca ulasan mereka yang pernah menginap di hotel tersebut. Saya kemudiannya memberikan nama beberapa hotel terpilih kepada encik suami untuk urusan tempahan.

Hotel Santika Premiere Dyandra

Hotel Santika Premiere Dyandra yang terletak di Jalan Kapten Maulana Lubis, Kecamatan Medan Petisah, Kota Medan menjadi pilihan encik suami. Hotel bertaraf 4-bintang yang terletak di pusat kota Medan ini juga mempunyai dewan konvensyen. Ia menjadikan hotel ini sentiasa meriah dengan kehadiran tetamu bagi majlis tertentu. Semasa kami di sini, ada majlis perkahwinan berlangsung pada malam harinya. Kelihatan kumpulan tetamu dengan pakaian cantik bertemakan warna ungu - para wanitanya berjubah moden/dress dengan aksesori hiasan renda dan manik. Nampak begitu gah.

Berbalik kepada cerita hotel ini, setiap kenderaan yang masuk ke kawasan hotel akan diperiksa dengan alat pemeriksaan di bawah kenderaan bagi memastikan tiada bahan letupan. Tetamu hotel juga perlu melalui ‘pintu’ metal detector sebelum melangkah masuk bangunan. Begitu ketat prosedur keselamatan di sini.

Sebaik melangkah masuk, kami disambut mesra oleh staf lelaki lengkap memakai tanjak. Ruang lobi hotel berada di lantai atas. Boleh naik escalator atau mendaki anak tangga untuk ke atas.

Hotel Santika Premiere Dyandra, Kota Medan, Indonesia
Di lobi hotel. Hiasan bunga segar menambah seri ruangan ini.

Hotel Santika Premiere Dyandra, Kota Medan, Indonesia
Dekorasi yang menarik perhatian saya.

Bilik Penginapan Yang Selesa

Kami dapat bilik di lantai lima. Nak naik ke atas, kita perlu sentuhkan kad akses terlebih dahulu sebelum menekan nombor lantai. 

Hotel Santika Premiere Dyandra, Kota Medan, Indonesia
Inilah bilik penginapan kami - Superior Room Queen Bed. Keluasan sederhana, masih ada ruangan buat kami solat berjemaah. Seterika pula tak disediakan. Saya minta pinjam seterika nak gosok tudung bawal 😄, mereka hantar ke bilik lengkap dengan papan seterika. Air minuman pula disediakan 4 botol setiap hari. Alhamdulillah, dapat bilik penginapan yang bersih dan selesa.

Hotel Santika Premiere Dyandra, Kota Medan, Indonesia
Kalaupun nak mencari kekurangan, saya kurang selesa dengan ruang mandinya yang agak sempit (tak nampak dalam foto). Juga pancuran airnya yang tidak sekata.

Pemandangan dari jendela bilik kami - menghadap kolam renang. Foto di atas saya rakam ketika hujan turun, itu yang kosong tak ada orang.

Selit satu foto beg kami sepanjang bermusafir di sini. Semasa pergi, berat beg masing-masing sekitar 4.2 kg. Baliknya bertambah jadi lebih 5 kg setiap beg sebab kami membeli kek Bika Ambon Zulaikha dan 8 buah buku.

Saya tukang susun isi beg bagi muat dan memastikan tiada yang melebihi 7 kg (had maksima untuk bawa beg bersama kita naik pesawat). Terasa berat juga bila dah lebih 5 kg tu sebab saya jarang menggalas beg ke hulu ke hilir. Encik suami kesian pada saya, dia berkeras nak bawakan beg saya semasa perjalanan baliknya.

Hidangan Sarapan Pagi Yang Sedap!

Waktu sarapan pagi bermula dari pukul 6 - 10 pagi. Tidaklah awal pukul 6 pagi tu, sebab macam pukul 7 pagi di Semenanjung Malaysia. Sarapan pagi disediakan di Benteng Restaurant yang terletak di lantai 3. Seawal pukul 6 pagi kami dah boleh dengar bunyi alunan muzik tradisional yang dipasang di Benteng Restaurant.

Kalau baca ulasan mereka yang pernah menginap di hotel ini, memang rata-rata berpendapat hidangan sarapan pagi di sini sedap. Tapi kan selera kita berbeza, jadi kenalah merasa sendiri. 

Hotel Santika Premiere Dyandra, Kota Medan, Indonesia
Hidangan pertama yang saya nikmati - Soto Medan. MasyaAllah sangat sedap! Rupa dan rasanya berbeza dengan soto di tempat kita. Maka, dua hari bersarapan pagi di sini Soto Medan menjadi menu wajib saya. Encik suami ambil Mie Sop, tapi menurut tekak saya rasanya biasa saja. Pagi kedua, encik suami pun ambil Soto Medan.

Hotel Santika Premiere Dyandra, Kota Medan, Indonesia
Ambil nasi goreng dan mi goreng. Kami kongsi berdua untuk merasa. Ambil juga minuman soya, ada rasa sedikit berbeza. Mungkin campuran halia.

Hotel Santika Premiere Dyandra, Kota Medan, Indonesia
Waffle dan pancake, ada bermacam pilihan toppings. Sedap lembut tapi cuma boleh merasa sikit, sebab nak merasa makanan lain juga 😄

Hotel Santika Premiere Dyandra, Kota Medan, Indonesia
Pilihan buah-buahan juga agak banyak. Buah Salak pun ada. Buah Nenas tu sedap manis lembut, kami ambil berulang kali.

Hotel Santika Premiere Dyandra, Kota Medan, Indonesia
Yang ini saya tak pernah jumpa, di bahagian minuman turut disediakan pilihan air jamu! Encik suami mencuba jamu sakit pinggang (dalam pek). Aromanya saja sudah membuat muka saya berkerut, memang tak sangguplah saya mencuba minum. Encik suami berjaya habiskan secawan air jamu, tetapi perlu minum lagi dua cawan kopi sebagai ‘membilas’ tekak 😂

Makanan lain yang agak asing bagi kami - dim sum ceker ayam. Dim sum biasa tu kami ambil, tapi tak mencuba dim sum ceker ayam. Jadinya tak ada gambar.

Lagi satu yang menarik, di bahagian telur kita boleh minta omelette atau telur mata. Nak telur mata dua biji pun boleh, nak cair atau garing semua kita boleh minta. Seronok sungguh kan?

Kami sependapat bahawa hidangan sarapan pagi di sini memang sedap! Pilihannya juga banyak, tak suka yang ini boleh makan yang itu. Pendek kata, kami sangat menikmati sarapan pagi di sini.

Secara kesuluruhannya, kami berpuashati menginap di Hotel Santika Premiere Dyandra, Kota Medan selama 3 hari 2 malam. Bilik penginapan selesa, sarapan pagi sedap dan layanan mesra para staf membuatkan kami akan datang ke sini lagi jika ada keperluan di kota Medan.




20 comments:

  1. bestnya berjalan ke negara orang. cantik hotel nya

    ReplyDelete
  2. disana, setiap makanan mesti ada kerupuk....hotel best, breakfast pun best..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul. Makan nasi, mi semua ada keropok. Siap ada 3 balang keropok berlainan jenis disediakan.

      Delete
  3. Masyaa Allah.. cantiknya hotel ni Ujie , rezeki Ujie makan angin ke Medan Alhamdulillah ..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah kak Ana. Dah bertahun tak berjalan jauh sikit.

      Delete
  4. Keciknya beg puan ujie :D
    Soto Medan tu mmg nampak memukau... Sy pun kalau ke tmpt orang tak lepaskan peluang menikmati local food...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Beg kecik sesuai untuk 2 malam. Bolehlah jimat kos sebab beg pegang sendiri..hehe

      Delete
  5. comel tang beg yang sama tu kak... nampak sedap semua menu tu, kerupuk tu wajib ada sebagai side dish

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe...saja sesekali beli beg sama.
      Makan di sini, semua ada disediakan keropok.

      Delete
  6. Dekorasi hotel yang moden.
    Menarik menu soto Medan.
    Boleh cuba makanan lain daripada kebiasaan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Walaupun tak jauh dari segi jarak, tapi makanannya berbeza. Seronok mencuba.

      Delete
  7. Belum berkesempatan ke Medan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah, satu masa nanti ada rezeki sampai jugak.

      Delete
  8. Oh..soto medan di sana nampak menarik bersama kerupuk.. tak ada pula set nasi macam kat Dapur Sari Dewi kat Serdang ni..soto medan dihidang bersama nasi..jenuh nak makan..dua2 mengenyangkan🤭

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dia nak suruh MamaCella makan banyak 😄

      Delete
  9. pernah pergi dua kali masa kecil bersama arwah ayah.. dan selepas berkahwin.. now anak 4 rasa nya boleh dah kot pi medan ni :D
    btw nak tanya guna camera apa ni cantik gmbr :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih, akak guna kamera hp Samsung Galaxy.

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****