Wednesday, 7 September 2022

Dua Puluh Tahun

Kisah yang saya catatkan ini berlaku sekitar bulan Mei 2022 yang lalu, masa tu saya dan encik suami perlu mengambil perkhidmatan Grab dari rumah untuk ke Juru.

Kereta yang kami naiki dipandu oleh seorang lelaki Melayu yang usianya sekitar usia kami juga. Kami berdua masuk ke dalam kereta dan memberi salam kepada pemandu. Encik pemandu Grab agak ramah dan mula mengajak kami berbual. Topik perbualan berkenaan kadar sewa rumah yang kami diami, topik menjual secara dalam talian sehinggalah membawa kepada kisah hidup yang menyentuh rasa.


DUA PULUH TAHUN ADA

Tanpa kami bertanya, encik pemandu Grab bercerita tentang kisah bagaimana dia boleh menjadi pemandu Grab. “Dua puluh tahun saya bekerja di tempat yang sama, sejak habis belajar. Tak pernah bertukar kerja. Tiba-tiba diberhentikan kerja.” beliau memulakan cerita.

Akibat pukulan badai virus COVID-19 yang memberi kesan besar kepada ekonomi, banyak syarikat terpaksa mengurangkan pekerja demi memastikan syarikat kekal hidup. Beliau salah seorang yang menerima kesan tersebut. Pada masa yang sama, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berlangsung. Maka menjadi pemandu Grab merupakan pilihan yang terbaik untuk beliau meneruskan kelangsungan hidup.

Tambahnya lagi, ”Kita dah biasa tiap bulan selama dua puluh tahun, pergi ATM cucuk duit gaji. Tiba-tiba semuanya berubah…”.

Saya dan encik suami memahami, kerana kami telah melalui fasa turun naik ekonomi keluarga. Kami pernah merasa detik sukar dan berkira-kira untuk keperluan seharian. Kami pernah melakukan pelbagai kerja termasuklah menjadi pembuat dan penjual ice-blended demi terus hidup.

Bezanya, apa yang berlaku sekarang (sewaktu perbualan kami) keadaan lebih sukar kerana ekonomi negara khasnya dan dunia amnya memang sedang berada pada fasa kejatuhan. Tambahan pula beliau menanggung isteri dan anak. Tentu sangat berat beban fikiran beliau. 


DUA PULUH TAHUN TIADA

Habis berkisah tentang apa yang berlaku dalam hidupnya, beliau bertanya berkenaan anak. Kami jawab, “Tak ada. Belum ada rezeki”.

Soalan bertambah lagi, “Dah berapa lama kahwin?”.

“Hampir dua puluh tahun…”.

Dari cermin tengah kereta, saya dapat melihat wajahnya berubah. Matanya membesar. “Dua puluh tahun…dua puluh tahun ya...”. Mungkin terkejut dengan kenyataan yang baru didengar tadi.

Perbualan kami tidak berlanjutan kerana kami sudah pun tiba di destinasi. Nampaknya, kisah kami ada persamaan masa iaitu dua puluh tahun.

Beliau ada pekerjaan tetap selama dua puluh tahun dan kemudian hilang rezeki pekerjaan tersebut. Kami pula sudah berkahwin hampir dua puluh tahun (sewaktu perbualan berlangsung), namun tiada rezeki zuriat.

Beginilah setiap dari kita, ada lebih di situ kurang di sini. Yang lebih atau yang kurang, semuanya tetap satu bentuk ujian buat kita di dunia sementara ini - sama ada kita bersyukur dengan kelebihan dan bersabar dengan kekurangan.


Foto dirakam beberapa hari lalu (Sabtu).
Alhamdulillah, hari ini genap dua puluh tahun usia perkahwinan saya dan encik suami. Kadang bagai tak percaya bahawa kami telah melalui hidup berumahtangga tanpa kehadiran anak sebegitu lama. Puji dan syukur kepada Allah atas segala kurniaan-Nya.

Penglihatan jangan dibanyakkan ke atas, tetapi menolehlah ke bawah. Dengan demikian kelak tuan melihat bahawa orang yang kurang daripada tuan lebih banyak daripada orang yang di atas tuan!
Waktu itulah kelak tuan akan merasai syurga itu. Air yang mengalir di bawahnya menyiram dan memberi kesejukan bagi jiwa tuan.
- petikan buku Falsafah Syaitan, Buya Hamka





 

 

24 comments:

  1. Alhamdulillah, tahniah Ujie & suami...

    ReplyDelete
  2. Salam Ulang tahu perkahwinan buat sis dan suami..
    Sha doakan semoga terus bersama hingga ke syurga.. Aamiin..

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah.
    perancangan yg maha esa. Hanya DIA mengetahui.

    happy anniversary ❤️

    ReplyDelete
  4. Happy anniversary kak Ujie. Lama tu 20 tahun. hebat. mungkin ada hikmah di setiap jalan yang Allah dah tetapkan untuk kita. masing-masing ada rezeki

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rezeki dari Allah untuk kami masih kekal bersama.

      Terima kasih Sal 😊

      Delete
  5. Happy Anniversary Kak Ujie. Alhamdulillah semoga perkahwinan kekal bahagia sehingga ke syurga.

    Pasti ada hikmah di sebalik ketentuan Allah, asalkan kita tak berputus asa dgn rahmat Nya Insha Allah ada ganjaran di hari kelak buat keluarga Kak Ujie dan pemandu Grab tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah, Aamin...
      Terima kasih Carneyz 😊

      Delete
  6. Semuanya ketentuan Dia
    Eppi annibersari ke-20

    ReplyDelete
  7. Happy Anniversary Pn Ujie & suami 💐
    Tahniah buat puan suami isteri. Moga berkekalan bahagia hingga ke syurga 🤲

    Allah Maha Adil, Maha Berkehendak. Mungkin rezeki puan dlm bentuk lain :)

    ReplyDelete
  8. happy anniversary buat akak dan suami... moga kekal bahagia hingga ke syurga

    ReplyDelete
  9. Selamat ulangtahun terlewat daripada saya.
    Betul itu ada bahagian kita kurang ada bahagian lebih. Apapun bersyukur Puan Ujie bersama suami selamat 20 tahun. Semoga berterusan hingga ke akhir nyawa.

    ReplyDelete
  10. Wow 20 tahun.. happy Anniversary kak..
    You both are still looking good..
    Semoga berbahagia bersama hingga ke jannah..Aamiin

    ReplyDelete
  11. 20 tahun tu lama juga kan . Alhamdulillah kak ujie bertahan untuk cabaran rumah tangga . CCL ucapkan selamat ulang tahun perkahwinan kak ujie dan suami . Semoga rumah tangga sentiasa dalam lindungan Allah Taala.aamiin

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah...
      Aamin...
      Terima kasih CCL 😊

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****