Tuesday, 29 October 2024

Beli Oleh-Oleh di XianXian Muslim Food, Guangzhou

[Catatan Trip ke Guangzhou, China | September 2024]

Selesai ziarah dan solat jamak di Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, kenderaan kami menuju ke suatu lokasi yang menempatkan deretan kedai Muslim - XianXian Muslim Food. Saya tak pasti kedudukan lokasi ini secara tepat, tetapi ia berada tak begitu jauh dari Xiaobei Road Primary School.

Tujuan kami ke sini sekadar nak melihat-lihat suasana dan kalau ada sesuatu yang berkenan bolehlah dibeli sebagai oleh-oleh.

XianXian Muslim Food Guangzhou China
Pukul 2.08 petang.
Kami bertiga berjalan kaki menyusuri deretan kedai - ada kedai makan dan kedai menjual barang keperluan. Selain orang tempatan, saya dapati ramai juga orang berwajah Afrika di sini.

XianXian Muslim Food Guangzhou China
Meriah dengan pelbagai jualan makanan halal. Sayangnya ketika ini perut masih kenyang, tak dapatlah singgah mencuba makan di mana-mana kedai makan di sini.

XianXian Muslim Food Guangzhou China
Kedai menjual pelbagai jus minuman. Penjualnya, seorang lelaki memberi salam dan tersenyum melayani kami. Jarang-jarang saya jumpa orang bermuka manis di sini.

XianXian Muslim Food Guangzhou China
Kami membeli jus delima dan jus sea buckthorn. Entah apa nama buah sea buckthorn dalam bahasa Melayu, tak ada kot. Rasa jusnya seakan rasa jus oren, sedap.

XianXian Muslim Food Guangzhou China
Dari jalanan tadi, kami menyusuri lorong kecil dan sempit.

XianXian Muslim Food Guangzhou China
Kami berhenti di salah sebuah kedai yang meriah dengan pelbagai pilihan makanan kering - sesuai dibeli sebagai oleh-oleh.

XianXian Muslim Food Guangzhou China
Terlalu banyak pilihan sampai saya keliru nak pilih mana satu.

XianXian Muslim Food Guangzhou China
Mooncake isi kekacang. Harganya 4 yuan.

XianXian Muslim Food Guangzhou China
Keju.

XianXian Muslim Food Guangzhou China
Selesai melihat-lihat dan membeli sedikit oleh-oleh, kami beredar dari tempat ini. Tapi tak berpatah balik, kami teruskan berjalan di celah lorong untuk kembali ke jalan besar. Saya dan Encik Suami ikut saja langkah kaki kawan Encik Suami yang sesekali berhenti bertanyakan arah kepada penduduk tempatan yang ditemui.

XianXian Muslim Food Guangzhou China
Tadi berjalan di deretan kedai, sekarang masuk celah lorong rumah penduduk pulak 😄. Sesekali kami perlu berhenti sebentar dan ke tepi bila ada motor elektrik nak lalu. Bahaya jugaklah sebab motor elektrik senyap je tanpa bunyi, jadinya kita kena lebih berhati-hati dan peka. Apa pun, ini satu pengalaman buat saya yang sebelum ini tertanya-tanya bagaimana rupa kediaman penduduk di sini.







Monday, 28 October 2024

Bahagian 2 | Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou

[Catatan Trip ke Guangzhou, China | September 2024]

Alhamdulillah, sekali lagi saya berkesempatan ke Masjid As-Sahabi Abi Waqqas pada hari ketiga di Guangzhou. Sebelum ini kami datang waktu lewat petang membawa ke malam, tak banyak yang dapat diperhatikan apabila keadaan mulai gelap. Entrinya DI SINI.

Kali ini kami datang waktu tengah hari. Tetapi keadaan di Guangzhou ketika itu sedikit mendung dan basah selepas hujan, jadinya foto-foto yang dirakam agak gelap.

Catatan bahagian kedua ini saya fokus pada keindahan lanskap taman di persekitaran masjid dan bahagian makam yang terdapat di dalam kompleks masjid ini.


⏵ KEINDAHAN LANSKAP TAMAN

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Kami masuk ikut South Gate, sama seperti sewaktu kali pertama ke sini kelmarin.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Laluan pejalan kaki menuju ke masjid. Seronok melayan mata memerhatikan pokok-pokok di sini, semuanya kelihatan segar selepas disimbahi hujan pagi tadi.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Eh, jumpa budak comel ni sekali lagi. Lucu tengok gaya kakinya 😆

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Terdapat laluan kecil untuk kita jalan-jalan menikmati kehijauan alam di sini.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Saya tertarik dengan pokok buluh ni. Tak tinggi, tapi cantik merimbun. Entah spesis apa.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Unik rupa pokok ni - ada ruangan di tengahnya. Nampak macam spesis pokok Ara.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Bunga-bunga warna merah yang menambah seri taman. 

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Saya pandang ke atas, eh…ada buah bergantungan. Saiznya besar macam buah limau bali, warna kuning kehijauan.


⏵ MAKAM SAAD BIN ABI WAQQAS DAN PARA SAHABAT
Masjid As-Sahabi Abi Waqqas bukan sahaja terkenal kerana ia merupakan masjid terbesar di Guangzhou, tetapi turut dikenali kerana di sini dikatakan terletaknya makam sahabat Nabi SAW iaitu Saad bin Abi Waqqas.

Beliau ialah sahabat Nabi SAW yang terawal menerima Islam. Beliau juga merupakan komander yang telah membawa agama Islam ke negara China.

Makam Saad bin Abi Waqqas | Ada pendapat yang mengatakan makam beliau terletak di Guangzhou, ada juga pendapat mengatakan makam beliau terletak di Madinah. Apa pun, ia bukanlah isu besar. Paling penting - kita ambil tahu sumbangan beliau, menghargai usaha serta pengorbanan beliau dalam menyebarkan Islam dan mengambil semangat perjuangan beliau dalam menegakkan agama Allah.

Ketika kunjungan saya ke masjid ini, berlaku sedikit kekeliruan berkenaan kedudukan makam. Maklumlah, ini trip mengejut jadinya saya tak mengatur itinerari dan tak membuat carian terperinci. Sewaktu tiba di sini, saya memerhati sekitar dan terpandang binaan kubur di suatu sudut.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Pintu gerbang di kawasan perkuburan. Saya sebut kawasan perkuburan sebab ada lebih kurang 10 buah binaan kubur di sini.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Saya tak masuk melepasi pintu gerbang, sekadar merakam foto dari luar pintu gerbang.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Perhatikan bentuk susunan binaan kubur di sini, unik. Mungkin ada maksud disebaliknya.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Ini pula binaan kubur yang terletak di bahagian sisi. Hasil menggunakan Google Lens, tertera terjemahan tulisan yang menyatakan ‘rebuilt in May 1998’ pada binaan yang terdapat simbol bulan bintang. Perkataan lain gagal diterjemahkan - sama ada gagal diterjemahkan dengan perkataan yang sesuai dengan kuburan atau tiada sebarang terjemahan - mungkin kerana menggunakan bahasa lama.

Saya minta bantuan kawan Encik Suami - orang Cina Malaysia bagi menterjemahkan info pada batu kecil di sudut hadapan kuburan. Ringkasnya, ini ialah kuburan para tentera pada zaman dahulu.

Jadinya, di mana kedudukan makam yang dikatakan milik Saad bin Abi Waqqas? Pada masa sama, saya nampak ada sebuah bangunan dengan pintu kecil berhampiran kuburan ini. Tapi saya tak pergi masuk melihat-lihat kerana menyangka entah bangunan apa. Rupa-rupanya, di situlah letaknya makam tersebut. Saya hanya mengetahui selepas beredar dari masjid, selepas membuat carian internet 😄

Aduhai…saya rasa sedikit terkilan sebab dah sampai tempatnya tapi tak pergi ke kawasan makam tersebut. Apa pun, dari awal memang niat saya cuma nak ziarah/solat di masjid. Ziarah ke makam hanyalah sampingan.


⏵ AZAN ZOHOR DAN SOLAT JEMAAH LEWAT DARI WAKTUNYA
Saya selit sedikit pengalaman waktu solat Zohor di sini. Masuk waktu solat Zohor pada pukul 12.20 tengah hari, tetapi azan dan solat jemaah dilakukan pada pukul 1.30 tengah hari. Ini berbeza dengan pengalaman waktu solat Maghrib sebelum ini yang dilakukan tepat pada masanya.

Carian saya mendapati, azan dan solat jemaah dilakukan lewat dari masuk waktu Zohor kerana mengikut kesesuaian waktu rehat orang bekerja. Ia juga merupakan amalan biasa di negara-negara bukan Islam - azan dan solat jemaah dilakukan ikut kesesuaian waktu di mana ramai jemaah boleh hadir ke masjid. Satu pengalaman baru buat saya.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Sebelum beredar, saya dan Encik Suami berfoto kenangan di hadapan Masjid As-Sahabi Abi Waqqas.

Video pendek - laungan azan Zohor di bumi Guangzhou.







.

Thursday, 24 October 2024

Tak Boleh Guna Google Maps di China?

[Catatan Trip ke Guangzhou, China | September 2024]

Biasanya kalau saya pergi ke mana-mana, saya gunakan Google Maps untuk tahu jarak dan masa perjalanan. Kalau nak gunakan pengangkutan awam pun mudah - Google Maps menyediakan panduan jenis kenderaan (bas atau tren), nombor bas, nama stesen tren dan nombor platform. Sangat membantu dan memudahkan perjalanan kita walaupun ada ketikanya tersesat juga 😄


SEKATAN INTERNET
Berbeza dengan pengalaman bermusafir di negara China, Google Maps tidak boleh digunakan. Mengapa? Ini kerana China menyekat sebahagian aplikasi internet, antaranya Google Maps. Alasan sekatan, secara ringkasnya :
China's laws prohibit the spread of information that undermines national unity, infringes upon national honor and interests, or subverts state power. Foreign individuals and firms can use the internet in China, but they must abide by the country's laws. (Sumber dan bacaan lanjut di wikipedia.org)
Sekatan dikenakan jika kita menggunakan kad SIM China dan Wi-fi. Cara untuk mengatasi sekatan ini, perlu gunakan VPN (Virtual Private Network). Nak tahu lebih lanjut berkenaan VPN, boleh buat carian sendirilah ya.

Atau, cara paling mudah kita gunakan je data roaming. Saya dan Encik Suami masing-masing melanggan data roaming Celcom - 7 Day Unlimited Pass dengan kadar caj RM58. Dengan menggunakan data roaming, tiada sebarang sekatan. Kita boleh gunakan semua aplikasi yang ada di telefon kita seperti biasa.

Tak ada sekatan, bolehlah gunakan Google Maps kan?
Jawapannya, boleh guna tetapi lokasinya tidak tepat. Selain itu juga, tiada paparan panduan perjalanan bagi mod pengangkutan awam (bas/tren).


MUSLIM TRADITIONAL LANZHOU STRETCHED NOODLES
Oleh kerana urusan Encik Suami selesai lebih awal, kami ada masa satu hari lagi untuk berjalan-jalan. Kali ini kami jalan-jalan bertiga - bersama kawan Encik Suami, seorang lelaki Cina Malaysia. Tak naik Metro, tapi kami naik kenderaan sewa dengan pemandu orang tempatan.

Kami keluar dari hotel penginapan kira-kira pukul 11 pagi, terus menuju ke tempat makan. Kami buat carian dan ikut panduan di Google Maps. Walaupun dah sedia tahu Google Maps di China tak tepat, tapi nak mencuba juga 😀

Panduan perjalanan di Google Maps.
Hasilnya - memang tiada kedai makan tersebut di lokasi yang ditunjukkan pada Google Maps 😄. Seterusnya, kena cari guna mata sendiri. Masing-masing pandang keliling mencari, sambil kenderaan kami dipandu perlahan.

Keluar dari lorong kecil, kenderaan kami masuk ke jalan besar. Barulah jumpa kedai yang dicari. Dah tentulah bukan saya atau Encik Suami yang nampak, sebab kami tak pandai baca aksara Cina. Terus jadi buta huruf 😂

Inilah kedai makan yang kami cari - berwarna hijau. Tiada perkataan atau simbol ‘halal/حَلال‘, tetapi perkataan halal ditulis dalam aksara Cina iaitu 清真. Begitulah ketatnya peraturan di China dalam menyekat sesuatu yang dianggap budaya luar.

Ruang dalam kedai - bersaiz kecil, tersusun kemas dan bersih. Seorang perempuan tempatan bertudung (dengan cara nampak kedua belah telinga) datang melayani kami.

Cara order di sini dengan menggunakan kod QR. Tapi bab order ni kami berdua serahkan saja kepada kawan Encik Suami. Memang lebih mudah urusan bila ada ahli grup yang boleh berbahasa Cina.

Mencuba minuman botol - air oren.

Makanan pertama tiba di meja kami - mi tarik daging. Selepas itu tiba dua jenis makanan juga berasaskan mi, tapi bukan jenis berkuah sup. Semua hidangan bersaiz besar, tak habis kalau makan seorang. Kami kongsi makan bertiga, dapatlah merasa setiap jenis makanan yang dipesan. Alhamdulillah sedap semuanya sesuai dengan cita rasa saya. 

Perut dah kenyang, jomlah kita teruskan aktiviti hari ini. Kami menuju ke Masjid As-Sahabi Abi Waqas (sekali lagi 😁) untuk tujuan ziarah dan solat jamak Zohor-Asar.

Kali ini, kami tak lagi menggunakan Google Maps sebagai panduan perjalanan. Kami cari lokasi di Google Maps, kemudian tunjuk kepada pemandu untuk buat carian di aplikasi pada telefon bimbitnya. Tapi nak tunjuk tu mestilah dalam aksara Cina, barulah dia boleh faham. Bab nak fahamkan ni semua menjadi tugasan kawan Cina - sekejap cakap Cina dengan pemandu, sekejap cakap Melayu pula dengan kami 😀
.
.
.
Berbalik kepada tajuk entri. Google Maps bukan saja tak boleh guna di China kerana sekatan yang dikenakan, malah tak berguna walaupun boleh diakses (menggunakan data roaming atau VPN).

Antara aplikasi China yang serupa dengan Google Maps - Baidu. Saya cuba install tetapi gagal menggunakannya kerana tiada pilihan bahasa Inggeris. Mungkin juga ada aplikasi lain yang mudah digunakan, tetapi di luar pengetahuan saya.

Berdasarkan pengalaman sendiri yang sudah beberapa kali cuba menggunakan panduan Google Maps di Guangzhou - sekiranya tiada pilihan lain, kita boleh bergantung kepada Google Maps tetapi mata perlu melilau mencari tempat sebenar di sekitar kawasan tersebut. Kalau dekat jaraknya atau tak terselindung dengan bangunan lain, mudahlah. Kalau sebaliknya, memang menguji mental dan fizikal 😂







Tuesday, 22 October 2024

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou

[Catatan Trip ke Guangzhou, China | September 2024]

Dari masjid terbesar di Guangzhou - Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, kami meneruskan langkah kaki menuju ke Jalan Xiaobei (Xiaobei Lu) dengan menaiki Metro. Kami nak mencari makanan Muslim di Xiaobei seperti yang disarankan oleh lelaki Afrika yang kami temui di pekarangan masjid petang tadi.


PILIHAN TEMPAT MAKAN
Menurutnya lelaki tadi, terdapat pilihan makanan Muslim tempatan di bahagian luar masjid - ikut pintu North Gate (kami datang dari arah bertentangan iaitu South Gate). Jika mahu pilihan makanan Arab/Turki/Pakistan (tetapi harganya lebih mahal), kami disarankan ke Xiaobei. Kami nak mencuba pengalaman berbeza, jadinya kami memilih ke Xiaobei. Yang dekat ada, tapi pilih yang jauh 😄


NAIK METRO KE XIAOBEI
Dari Stesen Yuexiu Park di Line 2, kami perlu turun di Stesen Xiaobei di Line 5.

Perjalanan naik Metro kali ini terasa agak sukar dan memenatkan. Kami berdepan dengan keadaan sangat sesak dalam Metro dan pertukaran dari Line 2 ke Line 5 yang tak begitu mudah - perlu banyak naik turun tangga stesen dan berjalan di laluan panjang seperti terowong. Benarlah seperti apa yang dikatakan lelaki tadi, lebih mudah jika kami naik teksi berbanding naik Metro. Dah lalui sendiri, barulah faham 😅

Turun di Stesen Xiaobei, keluar ikut pintu A.

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou
Pintu A, Stesen Xiaobei.

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou
Sebaik kami melangkah keluar di Pintu A, terus nampak jalan dan bangunan yang meriah ni. Rata-rata pengunjung di sini berwajah Afrika dan Arab. Kelihatan kenderaan mewah seperti Tesla diparkir di sini.

Buat pertama kali juga (sepanjang berkunjung di Guangzhou), kami dihampiri peminta sedekah. “Assalamuaikum…”, sambil tangannya menghulurkan bekas sumbangan ke arah kami. Yang lelaki berkopiah dan yang perempuan bertudung, mereka berwajah Cina - mungkin orang tempatan. Dua orang lelaki berpakaian seragam (mungkin anggota polis), kami lihat menghampiri peminta sedekah tadi - mereka bercakap-cakap dan memeriksa dokumen kecil yang dihulukan oleh peminta sedekah. 


DERETAN PILIHAN RESTORAN MAKANAN MUSLIM
Terdapat deretan pilihan restoran makanan Muslim di sini - di tingkat bawah dan juga tingkat atas bangunan. Tiada tanda atau simbol halal - sebab di China tak boleh pamerkan tanda atau simbol budaya luar. Tapi kami percaya sajalah apa yang lelaki Afrika tadi beritahu kami - pilih saja mana-mana restoran.

Keliru nak memilih entah mana satu pilihan yang terbaik, kami akhirnya masuk ke sebuah restoran di hujung bangunan yang berada di tingkat atas. Restoran ni tak ramai pengunjung, saya rasa lebih selesa. Seorang lelaki berwajah Arab menyambut kami dengan memberi salam.

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou
Restoran Azal - makanan Arab dan Yaman, gitulah yang saya faham 😄

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou
Membelek buku menu. Tak tahu nak makan apa.

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou
Pilihan nasi.

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou
Servis di sini pantas, tak lama menunggu sampailah hidangan makan malam kami. Pilihan saya - Zubaidi Grill. Sambil makan, saya buat carian ikan Zubaidi. Rupa-rupanya ia sejenis ikan bawal, nama Arabnya - Zubaidi 😄

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou
Encik Suami pilih makan nasi. Lupa pulak saiz hidangan nasi Arab biasanya memang besar. Memang tak habis makanlah banyak begini 😅

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou
Foto di atas ni sebenarnya saya nak tunjuk suasana dan dekorasi di Azal Restaurant, bukan nak tunjuk Encik Suami perah limau 😁. Masa ni saya tak banyak merakam foto sebab dah keletihan dan lapar. Bila nak buat entri, baru perasan…eh tak ada foto suasana dalam restoran.

Secara keseluruhannya, makanan yang kami makan semuanya sedap tetapi bukanlah makanan yang betul-betul memenuhi selera saya. Dari segi kos, memang agak mahal sesuailah dengan tempat makan begini. Para pelayan berwajah tempatan semuanya elok memakai seragam, tetapi yang melayan kami semuanya muka ketat. Sebenarnya memang susah nak jumpa orang tempatan bermuka manis di sini, mungkin budaya mereka begitu.

Selesai makan malam, kami menaiki Metro untuk pulang ke hotel penginapan. Alhamdulillah pada pukul 9.30 malam kami selamat sampai di bilik hotel. Ke sana ke sini sepanjang hari, jam tangan saya mencatatkan rekod 14,290 langkah kaki. Letih sungguh!







Thursday, 17 October 2024

Bahagian 1 | Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou

[Catatan Trip ke Guangzhou, China | September 2024]

Selepas mengunjungi masjid tertua di China iaitu Masjid Huaisheng, saya dan Encik Suami menuju ke sebuah lagi masjid yang terdapat di Guangzhou. Kami ke masjid terbesar di Guangzhou, juga paling besar di wilayah Guangdong (Guangzhou merupakan ibu negeri bagi wilayah Guangdong) iaitu Masjid As-Sahabi Abi Waqqas.

Semasa kali pertama ke Guangzhou, kami gagal menemukan lokasi masjid ini. Kali ini saya berharap dapat melunaskan hasrat yang tak kesampaian pada kunjungan terdahulu. Alhamdulillah rupa-rupanya bukan sekali, malah saya berkesempatan ke masjid ini sebanyak dua kali pada hari berbeza 😊

Catatan berkenaan masjid ini saya buat dua entri kerana kami datang pada dua waktu berbeza - lewat petang membawa ke malam dan waktu tengah hari.


CARA KE MASJID AS-SAHABI ABI WAQQAS
Dari Stesen Ximenkou di Line 1, kami menaiki Metro ke Stesen Yuexiu Park di Line 2 dengan kadar tambang 2 yuan / seorang. Sampai di stesen, keliru pulak nak keluar ikut pintu mana satu untuk ke masjid. Kami keluar ikut pintu yang salah. Berkerut kening memerhati sana sini dan berfikir mana satu arah nak dituju. Masa ni pulak gerimis halus mulai membasahi bumi.

Pendek cerita, kami akhirnya berjaya sampai di lokasi yang dicari. Jika naik Metro macam kami, begini caranya :

Community Police Station. Foto dirakam sewaktu dalam perjalanan balik.
Keluar melalui Pintu B2 di Stesen Yuexiu Park. Sebaik saja keluar, kita boleh nampak bangunan dengan seni bina bercirikan tradisional Cina iaitu Community Police Station. Ia terletak bersebelahan dengan Canton Orchid Garden.

Teruskan berjalan menuju ke arah bangunan tersebut yang terletak di lorong pertama yang kita temui. Kemudian ambil arah ke kiri. Teruskan berjalan sehingga ke penghujung lorong. Pintu masuk masjid terletak di sebelah kanan, di hujung jalan.


MASJID AS-SAHABI ABI WAQQAS - MASJID DI DALAM TAMAN DAN MAKAM SA’AD BIN ABI WAQQAS

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Kedudukan pintu masuk masjid di sebelah kanan, di penghujung jalan. Mulanya kami keliru jugak sebab laluan ke hujung ni terlindung dengan kerja-kerja baik pulih jalan.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Masuk ikut pintu kecil.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
South Gate | 5.20 petang hari Ahad, 22 September 2024.
Tiba di pintu gerbang. Alhamdulillah sampai jua 😁. Bangunan masjidnya tak nampak lagi, tapi saya yakin ini lokasi yang betul sebab mengenali rupa pintu gerbang ni sewaktu buat carian internet berkenaan masjid ini. Kemudian baru saya tahu ini merupakan South Gate. Ada satu lagi pintu masuk dari arah bertentangan iaitu North Gate. 

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Wah! Saya rasa macam berjalan dalam sebuah taman rekreasi, tempat ini luas dan indah dengan hijau alam. Ketika ini jugak rintik hujan bertambah lebat. Kami melangkah lebih laju mencari bangunan masjid. Tak sempat saya nak menikmati suasana sekitar.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Tanda arah. Kami datang dari arah South Gate.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Dari laluan pejalan kaki, bangunan masjid terletak di sebelah kiri. Kami meniti anak tangga untuk menuju ke bangunan masjid. Terdapat dua buah khemah besar di perkarangan masjid. Kelihatan beberapa orang pengunjung lain (menurut pemerhatian saya, mereka juga pelancong luar seperti kami) sedang duduk di kerusi di bawah khemah. Kami ikut duduk untuk melepaskan lelah seketika dan menunggu hujan teduh.

Selesai melakukan solat sunat tahiyyatul masjid dan sementara menantikan masuknya waktu solat Maghrib, sempatlah kami melihat-lihat di sekitar kawasan masjid.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Papan tanda masjid dengan tulisan bahasa Arab dan bahasa Cina. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Rupa bahagian hadapan Masjid As-Sahabi Abi Waqqas. Seni binanya sama seperti Masjid Huaisheng - bercirikan tradisional Cina. Bezanya, terdapat simbol bulan sabit di atas bumbungnya yang menonjolkan ciri-ciri Islam.
INFO | Binaan asal masjid ini telah dibina pada zaman Dinasti Tang. Binaan yang ada kini merupakan binaan semula pada tahun 2010 bagi menampung jemaah semasa berlangsungnya Sukan Asia 2010. Ruang solat masjid dua tingkat ini mampu menampung seramai 3,000 orang jemaah dalam satu-satu masa.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Pandangan dari sudut sisi masjid. Barulah jelas binaan masjid ini dua tingkat.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Di sisi bertentangan terdapat bangunan yang menempatkan tandas/tempat wuduk lelaki di bahagian bawah dan pejabat pentadbiran (kalau tak silap saya) di bahagian atasnya.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Tandas/tempat wuduk perempuan pula terasing jauh. Tak berani saya nak pergi sendirian.


SIANG BERTUKAR MALAM | Pukul 6.10 petang, keadaan mulai gelap. Jemaah masjid sudah mulai berkumpul. Kebanyakkan mereka datang dari arah North Gate. Saya perhatikan rata-rata jemaah yang datang mungkin bukan orang tempatan - mereka berwajah Pakistan, Afrika dan Arab.

Pukul 6.23 petang, kedengaran laungan azan Maghrib berkumandang. Syahdu pulak saya rasa bila mendengar azan di negara bukan Islam. 

Video azan Maghrib.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Keindahan Masjid As-Sahabi Abi Waqqas pada waktu malam.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Suasana di dalam masjid. Alhamdulillah ramai juga yang datang untuk solat berjemaah.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Pukul 6.39 petang, kami melangkah meninggalkan kawasan masjid. Di dalam hati, saya berharap moga ada kesempatan sekali lagi ke sini sebelum kami kembali ke Malaysia. Datang pada waktu siang cerah, supaya cukup masa untuk saya memerhati dan menikmati suasana di sini. Juga ke bahagian makam sahabat Nabi yang hanya sempat saya pandang dari jauh.

Alhamdulillah hasrat saya tercapai, catatan seterusnya pada entri Bahagian 2.


MALAYSIA? | Ketika kami berada di perkarangan masjid lewat petang tadi, seorang lelaki muda berwajah Afrika datang menyapa kami - “Assalamualaikum…Malaysia?”.

Katanya dia pernah ke Malaysia dan terkandas ketika pandemik melanda. Kami berbual seketika. Sebelum berpisah, kami bertanya berkenaan lokasi makan halal. Sajalah tanya sebab katanya dia menetap di sini.

Dari masjid, kami berjalan kaki ke stesen Metro terdekat iaitu Yuexiu Park. Seterusnya, kami ke Xiaobei untuk mencari restoran halal seperti yang disarankan oleh lelaki tadi.